fbpx

Pemandu kereta plat Singapura halang laluan ambulans di Johor Bahru

Mercedes Singapura Halang Ambulans

BARU-baru ini tular rakaman kamera papan pemuka yang menunjukkan sebuah Mercedes-Benz A-Class dengan nombor pendaftaran Singapura menghalang laluan sebuah ambulans yang dipercayai berlaku di Johor Bahru.

Berikutan kejadian itu, polis meminta pihak yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan untuk tampil menyalurkan maklumat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu.

“Belum ada individu yang membuat laporan polis lagi. Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh tampil supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya dihubungi hari ini.

Video berdurasi 34 saat itu menunjukkan sebuah ambulans pusat perubatan swasta cuba untuk masuk ke lorong di sebelah kanan namun dihalang oleh sebuah Mercedes-Benz A180.

Menurut Harian Metro, kejadian dipercayai berlaku pada jam 4.37 petang kelmarin di laluan menuju ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Ambulans tersebut dilihat menyalakan lampu siren dan lampu isyarat namun tetap dihalang pemandu hatchback berwarna hitam itu. Malah, pemandu tersebut dilihat menekan brek dan tidak berganjak walaupun pemandu ambulans sudah mengangkat tangan bagi meminta laluan.

Raub menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan termasuk memberi laluan kepada pihak berkuasa yang menjalankan tugas kecemasan seperti ambulans, bomba atau polis.

Tambah beliau lagi, perbuatan tidak memberi laluan kepada ambulans boleh menyebabkan siasatan dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved