Arkib Tag: 911 dakar

Keluarga dari Brazil ini tawan Rally dos Sertoes dengan Porsche 911 Dakar – 7,440 km dalam dua minggu

Bukan semua yang beli Porsche 911 Dakar benar-benar mahu membawanya masuk hutan. Kebanyakannya memilih model istimewa itu sebagai koleksi atau sekadar pelengkap gaya hidup. Namun bagi keluarga Piotto Vogt dari Brazil, 911 Dakar mereka bukan sekadar kereta hujung minggu tetapi ia merupakan jentera rali sebenar.

Baru-baru ini, keluarga tersebut mencipta sejarah apabila menjadi pemilik Porsche pertama yang menyertai Rally dos Sertoes, acara off-road tahunan yang bermula sejak 1993 dan dianggap paling mencabar di Amerika Selatan.

7,440 km dalam dua minggu

Susele dan suaminya Fredy menyertai kategori Expedition dalam edisi ke-33 rali berkenaan, yang meliputi laluan lasak sepanjang 3,482 km. Namun perjalanan mereka jauh lebih panjang kerana mereka memandu hampir 1,200 km dari kampung halaman mereka di Campo Largo ke lokasi permulaan di Goiania. Selepas menamatkan rali di Marechal Deodoro, mereka memandu pulang semula ke rumah.

Secara keseluruhan, keluarga ini menempuh kira-kira 7,440 km dalam masa dua minggu menggunakan 911 Dakar dan sebuah SUV. Mereka memandu secara bergilir-gilir, ditemani anak mereka, Joao Pedro, yang berusia 14 tahun.

Antara saat yang paling diingati adalah menyeberangi sungai tanpa ragu-ragu ketika peserta lain berhenti untuk mengukur kedalaman air.

“Ketika itu, kami tahu yang kami telah memilih kereta yang tepat,” kata Susele. Malah, 911 Dakar itu turut dilengkapi khemah bumbung dan dijadikan “hotel bergerak” sepanjang rali tersebut.

Keluarga Porsche sejati

Minat terhadap Porsche bukan perkara baharu bagi keluarga ini. Setakat ini, mereka telah memiliki 19 model Porsche termasuk Cayenne, 718 Boxster, Cayman, Macan, Panamera E-Hybrid, Taycan dan beberapa generasi 911.

Bagi mereka, Porsche bukan sekadar mainan untuk disimpan dalam garaj. “Kami beli kereta untuk dipandu,” kata Fredy. Susele pula menggunakan 911 sebagai kereta harian, termasuk untuk urusan kerja.

Sementara itu, Joao Pedro sudah memasang cita-cita untuk memandu Porsche sebaik sahaja dia menginjak usia 18 tahun.

Ini Nissan Skyline GT-R R32 yang boleh masuk off-road, dengan 500hp!

KAMI rasa semakin suka pula konsep kereta sports dengan kemampuan off-road. Sebagai contoh Porsche 911 Dakar dan Lamborghini Huracan Sterrato. Tetapi kedua-dua ini adalah keluaran rasmi syarikat kereta.

Terinspirasi dengan model-model ini, seorang Youtuber, Adam LZ membina “Safari GTR” menggunakan Nissan Skyline R32. Boleh dikatakan inilah Nissan Skyline GT-R R32 off-road pertama di dunia.

Adam memulakan projek ini dengan membeli R32 GT-R tanpa enjin pada harga USD10,000 (RM46,410). Selepas sedikit restorasi, dia terus memasukkan enjin RB26 6-silinder sebaris dari projek R32 lain miliknya, lengkap dengan turbo Gen 2, intercooler baharu, ECU diubah, lantas mendapat output 500hp.

Dari situ, GT-R ini mula mendapat komponen ‘Safari’ seperti suspensi long travel dengan kelegaan tanah 10.5 inci – dua kali ganda lebih tinggi dari R32 biasa. Cukup untuk menakluki jalan-jalan off-road.

Kemudian rim 17-inci Rays dibaluti dengan tayar Nitto Nomad Grappler bersaiz 215/65, manakala mud flap adalah dari WRX. Sistem pacuan semua-roda aftermarket digunakan untuk kawalan di jalan off-road tetapi boleh ditukar menjadi RWD untuk drifting nakal-nakal.

Bahgian depan diberikan bar khas powder-coated dengan lampu kabus LED 6-inci, sementara bumbung pula dilengkapi rak Nismo berserta lampu kabus 4-inci. Warna badan olive green ini adalah dari balutan, dan ruangan kabin mendapat roll-cage penuh lengkap dengan tempat duduk kustom dan harness.

Projek ini dikatakan memakan masa kurang tiga minggu untuk disiapkan, dan keseluruhan perjalanan ini didokumentasikan dalam channel Youtube Adam LZ.

Tetapi menurut Adam, beliau mempunyai perancangan lebih besar untuk projek ini seperti diberikan brek lebih baik dan sistem snorkel. Bolehlah masuk sungai lebih dalam, bukan?