fbpx

Porsche Panamera generasi ke-3 dapat enjin lebih berkuasa, suspensi lebih canggih

Porsche Panamera 2024 02

SEKILAS pandang, Porsche Panamera generasi ketiga ini nampak seperti tidak mempunyai banyak perubahan jika dibandingkan dengan versi terdahulu.

Bagaimanapun, Porsche memberi jaminan bahawa sedan itu sebenarnya telah banyak dipertingkatkan terutamanya dalam aspek reka bentuk, prestasi dan pengendalian.

Tidak dinafikan, reka bentuk luarannya tidak ubah seperti model generasi kedua namun sebenarnya ada elemen-elemen baharu yang ditambah.

Contohnya, model baharu ini kini didatangkan dengan liang udara tambahan di atas pemegang nombor plat untuk meningkatkan penyejukan enjin. Garisan tingkap direka semula untuk mendapatkan profil sisi yang lebih sporty, manakala lampu matrix LED kini disertakan secara standard.

Panamera baharu mengekalkan bentuk keseluruhan dan dimensi model itu dengan ukuran panjang 5,052 mm (5,202 mm bagi model Executive), lebar 1,937 mm dan tinggi 1,423 mm (1,428 mm bagi Executive).

Papan pemuka turut mendapat sentuhan segar yang menyaksikan tuil gear dialih ke sebelah kanan stereng seperti Taycan. Suis untuk mod Normal, Sport dan Sport Plus kini diletakkan di posisi yang lebih mudah diakses oleh pemandu.

Bukan itu sahaja, pelanggan kini boleh memesan paparan 10.9 inci untuk penumpang hadapan mengakses sistem infohibur dan menstrim video. Bagi tidak mengganggu tumpuan pemandu, paparan tersebut tidak boleh dilihat dari tempat duduk pemandu.

Atas permintaan ramai, Porsche menawarkan empat trenkuasa E-Hybrid untuk Panamera. Varian paling berkuasa adalah Panamera Turbo E-Hybrid yang dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 dan motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 680 PS dan 930 Nm.

Dengan transmisi PDK lapan kelajuan, ia memecut ke 100 km/j dalam 3.2 saat dan boleh mencapai kelajuan maksimum 315 km/j. Varian ini didatangkan dengan bateri 25.9 kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 91 km.

Panamera dan Panamera 4 pula menampilkan enjin 2.9-liter turbo V6 yang telah dipertingkatkan. Kini ia menghasilkan 353 PS dan 500 Nm, menunjukkan peningkatan sebanyak 23 PS dan 50 Nm berbanding model sebelum ini.

Prestasi turut meningkat, dengan pecutan 0-100 km/j kini dalam hanya 5.1 saat dan kelajuan maksimum 272 km/j untuk Panamera. Varian Panamera 4 pula memerlukan 4.8 saat dan boleh mencapai kelajuan 270 km/j dengan bantuan sistem pacuan semua roda.

Panamera didatangkan standard dengan sistem suspensi udara bersama Porsche Active Suspension Management (PASM). Sistem ini boleh mengasingkan tahap lantunan dan mampatan untuk menawarkan keselesaan tanpa mengorbankan kelincahan.

Sebagai alternatif, pelanggan boleh mendapatkan sistem suspensi aktif Porsche Active Ride yang ditawarkan untuk model-model E-Hybrid. Sistem ini mempunyai penyerap hentak aktif yang disambungkan kepada pam hidraulik yang bertindak untuk menjana daya antara badan dan roda bagi memastikan kereta kekal rata ketika membelok.

Menurut Porcshe, Panamera akan mula diserahkan kepada pelanggan di Eropah pada Mac 2024. Harga jualan bermula di Jerman bermula dari 107,800 euro (RM551,095) untuk Panamera, 111,900 euro (RM572,055) untuk Panamera 4 dan 192,500 euro (RM984,099) untuk Panamera Turbo E-Hybrid.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved