Arkib Kategori: PANDU

BYD Sealion 7 Premium lulus cabaran pandu 500 km tanpa cas bateri – pandu uji

BYD Sealion 7 Premium mampu bergerak sejauh 650 km mengikut data NEDC, terima kasih kepada sistem senibina elektrik yang telah dinaik taraf kepada 800V.

Berdasarkan data tersebut, kami diberikan misi untuk memandu sejauh lebih 500 km tanpa sebarang pengecasan dibuat.

Untuk mengelakkan sebarang penipuan, port pengecasan bagi setiap kereta telah ditampalkan pelekat.

Berikut merupakan ringkasan perjalanan kami:

Hari Pertama

  • Ara Damansara menuju ke Gambang
  • singgah di Mentakab dan perlu menggunakan jalan lama

Hari Kedua

  • Gambang ke Ara Damansara
  • perlu menggunakan lebuh raya dan singgah di Ayu Awana Genting Highlands

Hari Pertama

Kami bertolak dari BYD Ara Damansara dengan SoC bateri 99% dan jarak pemanduan sekitar 649 km.

Setelah menempuh beberapa lebuh raya yang sarat dengan trafik pagi, Sealion 7 Premium warna Ultraviolet kami akhirnya berjaya melepasi plaza tol Gombak.

Dari situ, kami masih lagi mengekalkan corak pemanduan yang malar biarpun berdepan dengan laluan yang lebih curam, kerja pembaikan jalan dan lori treler bergerak lebih perlahan.

Selepas plaza tol Karak, kami keluar dari lebuh raya untuk menggunakan laluan persekutuan untuk menuju ke tempat hentian pertama – Mentakab.

Berbeza dengan lebuh raya, jalan lama dirasakan lebih mencabar dengan kawasan berbukit, selekoh tajam dan keadaan jalan yang tidak rata.

Bagi penulis yang terbiasa dengan stereng berat, pengendalian Sealion 7 dirasakan ringan dan mudah untuk dikendalikan oleh kebanyakan pengguna.

Selain itu, sistem suspensi BYD Sealion 7 ini bekerja dengan baik untuk menyerap segala hentakan dan kekasaran dari jalan.

Cuma penumpang di bahagian belakang mungkin duduk dalam keadaan yang tidak senang disebabkan suspensi yang melantun bila bertembung jalan yang tidak rata.

Kami tiba di lokasi makan tengah hari di Mentakab dengan SoC bateri 79% dan jarak sekitar 517 km.

Setelah puas melantak, kami kemudian bergerak ke arah Gambang.

Biarpun keadaan cuaca yang agak panas, ruang kabin masih lagi kekal selesa.

Ini kerana wujudnya corong pendingin hawa untuk setiap baris, dan lebih penting setiap corong boleh dilaras secara manual tanpa perlu mengusik skrin tengah.

Tempat duduk belakang juga ruang kepala dan kaki yang besar, ditambah dengan struktur lantai yang rata.

Setelah sejam lebih pemanduan, kami akhirnya tiba di destinasi bermalam dengan SoC bateri 62% dan jarak sekitar 404 km.

Berdasarkan pemanduan hari pertama, kami berjaya mendapatkan catatan penggunaan tenaga 13.9 kWh untuk setiap 100 km.

Hari Kedua

Kami memulakan perjalanan hari kedua dalam keadaan cuaca yang agak mendung dan hujan sekali sekala.

Dengan bateri sekitar 60% dan jarak tersisa 390 km, kami memandu Sealion 7 dengan menggunakan lebuh raya.

Demi keselamatan, kami mengekalkan kelajuan pemanduan sekitar 70-90 km/j.

Tidak seperti pemanduan semalam, pemanduan berterusan di lebuh raya sebenarnya memberikan kesan kepada penggunaan tenaga yang lebih tinggi (14.8 kWh/100 km).

Saat kami melepasi plaza tol Bentong, perasaan kebimbangan jarak mula menerjah minda.

Ini kerana kami perlu menempuh laluan yang lebih curam dan ekstrem berbanding seksyen Gambang ke Bentong yang jauh lebih landai.

Hasil pemanduan mendaki, kadar penggunaan tenaga Sealion 7 meningkat kepada 26.1 kWh/100 km.

Setibanya di Ayu Awana, kami mendapati SoC bateri turun kepada 21% dan jarak pemanduan 138 km.

Saat menuruni laluan tersebut, kami terus mengaktifkan tetapan brek regeneratif yang lebih kuat untuk memaksimumkan pemulihan tenaga.

Hasilnya, kami perasan SoC bateri naik 2% dengan baki jarak meningkat kepada 150 km ketika menghampiri plaza tol Gombak.

Tidaklah terlalu tinggi untuk sebuah EV dengan kapasiti bateri yang agak besar, namun cukup untuk membuatkan kami menarik nafas lega.

Alhamdulillah, kami berjaya menghabiskan perjalanan sejauh 509 km dengan SoC bateri tinggal 19% dan baki jarak 120 km.

Secara teorinya, ya anda memang boleh mencapai jarak pemanduan yang dipaparkan pada sistem komputer.

Dengan syarat, ia perlulah dibuat dengan teknik pemanduan yang betul dan kaki kanan perlulah ringan seperti memijak kapas.

Adakah berbaloi beli Sealion 7?

Ini merupakan salah satu calon SUV keluarga yang sesuai dengan saiz yang besar dan selesa, dan harga cuma RM188,800 sahaja.

Sealion 7 juga hadir dengan senibina elektrik 800V, bermakna kadar penggunaan tenaga yang lebih cekap.

Malah, pengecasan DC juga kini lebih pantas (230 kW) membolehkan pengecasan 10-80% dalam masa 24 minit.

Antara perkara yang digemari penulis ialah susun atur ruang kokpit yang masih mengekalkan sebahagian besar butang fungsi fizikal.

Antaranya ialah mod pemanduan, tuil penukaran gear, larasan audio, serta butang pandu mula macam kereta ICE.

Mahukan alternatif?

Jika pengecasan pantas bukan satu keutamaan tetapi jarak yang lebih penting, anda masih boleh mendapatkan Sealion 7 Premium versi terdahulu di kedai kereta terpakai.

Usah risau kerana penampilan antara kedua-dua Sealion 7 Premium ini tidak banyak berubah secara visual.

Prestasi masih sama, 308 hp, 380 Nm, pacuan roda belakang, namun ia hadir dengan senibina 400V dan pek bateri 82.56 kWh.

Jarak pandu adalah sejauh 567 km, dengan pengecasan pantas DC sehingga 150 kW (10-80% dalam 31 minit).

Ciri-ciri masih lagi sama seperti:

  • frunk 58 liter
  • ruang kargo 500 liter/1,769 liter
  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin tengah 15.6 inci
  • skrin paparan head-up realiti terimbuh 50 inci
  • upholsteri kulit
  • sokongan Apple CarPlay/Android Auto
  • slot pengecasan tanpa wayar 50W
  • sistem audio Dynaudio dengan 12-pembesar suara

Ciri keselamatan juga sama seperti model sedia ada.

BYD Sealion 7 Premium (versi 800V)

 

BYD Sealion 7 Premium (versi 400V)

 

Kia Carnival tawar pakej lengkap dan selesa untuk seisi keluarga – pandu uji

Antara kenderaan yang mampu memberikan kesan yang mendalam dalam hati penulis ialah Kia Carnival.

Bukan sebab rupa paras atau harga yang lebih mampu beli berbanding MPV kotak premium lain di pasaran, akan tetapi pakej yang ditawarkan.

Mujur dua kali raya tahun ini, pihak Kia Sales Malaysia dengan murah hatinya membenarkan kami untuk menguji dua varian Kia Carnival yang ditawarkan di Malaysia.

Sebelum anda membaca ulasan panjang ini, sejujurnya kami dapat simpulkan yang Kia Carnival merupakan salah satu model MPV yang patut anda pertimbangkan demi keselesaan keluarga.

Rupa paras lebih moden

Ketika mula diperkenalkan empat tahun yang lalu, Kia Carnival sudah menjadi antara MPV yang segak penampilannya, bukan lagi tipikal MPV yang membosankan.

Versi facelift membawakan rekaan tersebut ke satu aras yang lebih tinggi, dan ia kini tidak malu untuk diparkir bersebelahan dengan MPV kotak buatan Jepun.

Muka depan kini lebih tajam dan garang, ditambah dengan struktur jeriji yang lebih lebar untuk mewujudkan ilusi yang lebih besar.

Seperkara yang penulis amat hargai ialah lampu isyarat membelok belakang kini disatukan pada perumah lampu utama.

Kalau versi pra-facelift, lampu membelok diposisikan agak rendah dan mungkin menyebabkan pemandu lain tidak perasan niat kita untuk membelok atau menukar laluan.

Ruang kabin luas

Dimensi Carnival memang agak panjang disebabkan tiada keperluan untuk mengehadkan ukurannya berdasarkan keadaan kota metropolitan yang sempit.

Disebabkan itu juga, ia menyumbang kepada ruang kabin yang cukup luas sehingga boleh memuatkan 11 orang pada satu-sat masa.

Untuk sebuah keluarga moden, tetapan sehingga 11-tempat duduk itu mungkin akan kedengaran keterlaluan atau bak kata orang ‘membazir ruang’.

Namun usah risau kerana baris keempat tempat duduk Carnival ini boleh dilipat dan disimpan terus ke dalam lantai untuk ruang kargo yang lebih besar.

Ia boleh digunakan kembali sekiranya terdapat keperluan untuk membawa lebih ramai orang, terutama kanak-kanak atau dewasa yang kecil saiznya.

Jika 11-tempat duduk dirasakan terlalu banyak, pilih sahaja Carnival versi 7 atau 8-tempat duduk.

Berdasarkan pengalaman membawa penumpang sepanjang dua kali raya tahun ini, anda tidak perlu risau kerana Carnival sememangnya cukup selesa.

Cukup untuk membuatkan penumpang belakang tidur dengan lena, ditambah pula dengan ruang kabin yang kedap dan sistem pendingin hawa yang berfungsi cemerlang ketika panas terik.

Ruang kargo? Bukan satu masalah kerana Carnival ini memang luas.

Kokpit mesra pemandu

Selain keselesaan penumpang, pemandu juga menghargai apa yang ditawarkan pada Carnival facelift ini.

Biarpun tetapan meter analog telah digantikan dengan paparan digital 12.3 inci, tema meter analog masih lagi dikekalkan supaya pemandu tidak rasa kekok.

Skrin tengah 12.3 inci turut menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, selain menawarkan paparan yang mudah untuk digunakan.

Yang lebih penulis hargai ialah panel kawalan audio yang boleh diubah menjadi panel kawalan suhu kabin, di mana dua tombol tersebut berubah fungsinya berdasarkan apa yang anda pilih.

Tiada lagi keperluan untuk mengusik skrin tengah yang kemudian hari akan membuatkan anda lebih terleka sewaktu memandu.

Tempat duduk hadapan juga selesa untuk perjalanan jauh merentas negeri sepanjang tempoh perayaan.

Kehadiran sistem kamera keliling dengan paparan yang jelas ternyata memudahkan pemandu mengendalikan MPV yang agak besar dan panjang ini.

Pemanduan bertenaga

Antara faktor utama yang membuatkan Carnival ini sesuai untuk dijadikan sebagai mod pengangkutan keluarga ialah nadi diesel yang digunakan.

Ya, diesel. Seram bila dengar harga per liter pada masa kini, kan?

Namun, enjin Smartsteam 2.2 liter itu sememangnya terbukti mampu untuk menggerakkan badan anak gajah ini tanpa sebarang drama.

Nadi itu akan terus menyalurkan kuasa berkuasa 199 hp dan 440 Nm kepada roda depan (ya, tiada pilihan pacuan semua roda).

Gandingan enjin 2.2L dengan kotak gear automatik 8-kelajuan itu memberikan bacaan penggunaan bahan api serendah 6.5 liter untuk setiap 100 km.

Biarpun sarat dengan muatan penumpang dan barang, Kia Carnival boleh dipandu sejauh 900 km untuk setangki penuh.

Pengendalian dan keselesaan

Apa yang membuatkan penulis teruja ialah aspek pengendaliannya yang lebih mirip kepada sebuah kereta penumpang.

Stereng Carnival menawarkan respons yang cukup rasa ketika di selekoh, dan memberikan keyakinan sewaktu di jalan yang lurus.

Biarpun dengan badan seberat lebih 2 tan, sistem brek standard mempamerkan prestasi yang konsisten walaupun ada kalanya berdepan dengan situasi yang tidak diingini.

Lebih penting, enjin diesel tersebut tidak mengaum bila dikerah, dan patuh pada arahan pemandu ketika kuasa lebih diperlukan.

Tekan sikit pedal pendikit, Carnival ini akan mara mencapai kelajuan yang diinginkan tanpa sebarang drama.

Disebabkan sistem penebat bunyi yang baik, anda mungkin tidak akan perasan bilakah enjin tersebut bekerja keras membakar bahan api daripada tempat duduk pemandu.

Kestabilan pemanduan pada kelajuan lebuh raya juga tidak mengecewakan.

Biarpun kualiti tar yang berbeza-beza, sistem suspensi standard Carnival (tanpa sebarang larasan) mampu menyerap segala hentakan dengan baik tanpa menjejaskan tahap keselesaan penumpang.

 

Sejujurnya, tiada perbezaan ketara dari segi pengalaman pemanduan antara Carnival 11-tempat duduk dengan versi 7-tempat duduk.

Cuma, varian yang lebih premium itu menawarkan ciri yang tiada pada varian rendah.

Kelebihan Carnival versi 7-tempat duduk

Ini merupakan versi yang anda boleh pertimbangkan sekiranya Carnival 11-tempat duduk dirasakan terlalu asas.

Antara ciri tambahan yang disertakan:

  • rim 19 inci
  • konfigurasi tempat duduk 2-2-3
  • tempat duduk kapten baris kedua
  • fungsi Premium Relaxation

Untuk memastikan penumpang VIP duduk dengan lebih selesa, tempat duduk baris kedua boleh dilaraskan kedudukannya ke belakang, serta ke kanan atau ke kiri mengikut keperluan.

Selain itu, sistem audio standard pada Carnival 11-tempat duduk digantikan dengan sistem audio Bose dengan 12-pembesar suara.

Pada pengamatan penulis yang memang bukan audiophile, sistem audio standard Carnival sudah cukup bagus.

Namun, pada Carnival 7-tempat duduk sistem Bose mampu membuatkan ruang kabin MPV ini seakan dewan konsert bergerak.

Jadi sepanjang perjalanan anda boleh melayan alunan muzik kegemaran yang jelas, rangup dan diiringi dengan dentuman bass yang mengasyikkan.

Keselamatan

Sayang sekali, Kia tidak menyertakan sistem keselamatan standard untuk kedua-dua varian.

Versi 11-tempat duduk hanya mendapat kelengkapan asas seperti 8-beg udara, cagak ISOFIX, ABS, EBD, Bantuan Brek, ESC dan Kawalan Cengkaman.

Untuk sebuah MPV yang agak besar, sayang sekali apabila ia tidak disertakan dengan sistem pemantauan titik buta (BSM).

Mujur juga Kia menyertakan fungsi Paparan Titik Buta (BVM) apabila lampu isyarat membelok diaktifkan untuk memastikan tiada kenderaan dari arah belakang.

Atau sekadar memantau supaya badan Carnival yang cantik ini tidak disagat oleh dinding.

Carnival 7-tempat duduk pula hadir dengan ciri ADAS yang lebih lengkap, termasuklah brek kecemasan autonomi (AEB), bantuan mengikut lorong (LFA) dan amaran tumpuan pemandu (DAW).

Kesimpulan

Dengan harga serendah RM188,000 anda sudah boleh mendapatkan sebuah MPV yang cukup besar dan selesa untuk seisi keluarga.

Sekiranya ruang dan keselamatan merupakan keutamaan, anda perlu sanggup melabur sehingga RM250 ribu.

Kerana di penghujung hari, senyuman ahli keluarga yang terukir setiap kali perjalanan akan membuatkan anda rasa setiap Ringgit yang dilaburkan itu berbaloi-baloi.

Kia Carnival 11-tempat duduk

Kia Carnival 7-tempat duduk

GAC Emkoo: SUV gaya futuristik, tapi berbaloikah? – pandu uji

Di pasaran Malaysia, terdapat pelbagai pilihan SUV segmen C daripada jenama Jepun, hinggalah kepada jenama China termasuklah GAC Emkoo.

Ia dijual pada harga bermula dari RM123,800 hinggalah RM133,800, dan hadir dengan kelengkapan yang diperlukan untuk sebuah SUV moden.

Mungkin sebab kelibatnya sukar untuk dikesan atas jalan raya, Emkoo dilihat lebih menyerlah di laluan urban dan membuatkan SUV segmen C lain ‘tenggelam’.

Persoalannya, adakah SUV ini berbaloi untuk dimiliki?

Dimensi

Dari segi ukuran, Emkoo sememangnya sebuah SUV segmen C yang agak besar dan mampu menyamai saiz SUV buatan Honda.

Dengan panjang 4,680 mm, lebar 1,901 mm, tinggi 1,670 mm dan jarak antara roda 2,750 mm, membuatkan penampilannya lebih gagah.

Ruang kargo sebesar 638 liter sememangnya cukup memadai untuk memuatkan barangan keperluan.

Jika mahukan lebih ruang, lipat saja tempat duduk baris kedua dan anda boleh menggunakan ruang sebesar 1,568 liter.

Secara standard, Emkoo dilengkapi dengan rim bersaiz 19 inci yang dibaluti tayar Continental EcoContact 6.

Penampilan futuristik

Untuk menyembunyikan saiz yang agak besar itu, GAC Emkoo menggunakan pendekatan rekaan mecha serta kit badan yang lebih sporti.

Struktur jeriji berbentuk V menjadikan imej Emkoo lebih berani dan tersendiri, diikuti dengan lampu LED matriks “Eye of Revelation”.

Bahagian belakang pula mengambil inspirasi daripada senjata lightsaber, menjadikan penampilan Emkoo lebih unik terutama pada waktu malam.

Cuma, jika dilihat daripada sudut tegak belakang, struktur lampu tersebut dilihat agak nipis dan menjadikan ruang tersebut nampak kosong.

Percaya atau tidak, walaupun dengan binaan badan bersegi Emkoo masih mampu menawarkan badan aerodinamik dengan bacaan pekali seretan 0.317 Cd.

Kokpit canggih

Pendekatan futuristik turut diterapkan pada ruang kabin, terutama pada bahagian papan pemuka.

Motif rekaan berbentuk bulat boleh dilihat pada corong pendingin hawa tengah yang lengkap dengan suis rotari untuk kawalan suhu.

Sayang sekali, kedudukannya agak jauh untuk dicapai oleh pemandu.

Kedua-dua skrin kluster digital 10.25 inci dan infohibur sebesar 10.1 inci menawarkan paparan grafik yang tajam dan mudah untuk dibaca.

Pada konsol tengah terapung terdapat tombol gear yang dihiasi kaca kristal kompak, ruang meletak cawan, butang pandu mula dan butang lampu isyarat kecemasan.

Ruang kabin dirasakan cukup luas untuk kegunaan harian, disamping struktur lantai belakang rata dan urusan keluar masuk yang agak mudah.

Terima kasih kepada dimensinya yang besar, ia turut menyediakan ruang kabin yang luas, terutama pada bahagian kepala dan kaki.

Menjadikan ruang tersebut lebih lapang ialah kehadiran bumbung kaca panorama sebesar 1.98 meter persegi.

Pemanduan dan pengendalian

Atas kertas, GAC Emkoo dikuasakan oleh enjin 4-silinder sebaris 1.5 liter turbo yang mampu menjana 177 PS dan 270 Nm, dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Terdapat tiga mod pemanduan (Eco, Comfortable dan Sport), namun kebanyakan masa penulis mengekalkan mod Comfortable yang lebih sesuai untuk kegunaan harian.

Respons stereng ringan memudahkan pengendalian, namun untuk kawalan yang lebih meyakinkan tukar saja kepada tetapan Sport yang rasa sedikit berat.

Tetapan suspensi topang MacPherson dan multi-link menyumbang kepada pengendalian yang lebih meyakinkan, serta selesa untuk kebanyakan keadaan jalan di Malaysia.

Cuma anda perlu biasakan diri dengan respons brek yang kadang kala agak mengejut bila pedal ditekan.

Apa lagi yang kami suka?

Dari tempat duduk pemandu, anda akan menghargai skrin paparan head-up yang memaparkan informasi penting sepanjang pemanduan, dan mudah untuk dibaca seimbas lalu.

Seperkara yang penulis cukup suka ialah fungsi memori untuk tempat duduk pemandu, berfungsi untuk memudahkan urusan keluar masuk saat pintu dibuka dan apabila enjin dimatikan.

Sistem audio dengan enam pembesar suara DTS dengan lantunan muzik yang cukup enak di telinga membuatkan pemanduan tidak rasa membosankan sepanjang perjalanan.

Skrin infohibur menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Terdapat juga port pengecasan USB Type-A dan Type-C disediakan, namun jika terlupa membawa kabel, usah risau kerana terdapat port pengecasan tanpa wayar 50W disediakan.

Keselamatan

Boleh dikatakan kelengkapan keselamatan adalah standard untuk kedua-dua varian.

Antara ciri yang tersedia termasuklah enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), serta ciri ADAS yang menyeluruh.

Untuk varian Premium Pro didatangkan dengan ciri eksklusif bantuan parkir automatik penuh (FAPA) yang dapat membantu memudahkan urusan harian.

Tidak menghairankan apabila SUV ini berjaya memperoleh penarafan lima bintang ASEAN NCAP seperti yang diumumkan pada tahun lepas.

Kesimpulan

Setelah beberapa hari memandu uji, kami dapat simpulkan GAC Emkoo merupakan sebuah SUV keluarga yang besar, selesa dan sesuai untuk mereka yang tidak mahu memiliki SUV yang terlalu awam rupanya.

Dengan harga jualan yang kompetitif, spesifikasi dan pakej keselamatan yang ditawarkan secara standard, GAC Emkoo boleh jadi satu pembelian yang berbaloi.

Untuk info, SUV ini merupakan unit pemasangan tempatan di kilang Segambut, dan unit CKD kedua selepas model GAC GS3 Emzoom.

Baca: Spesifikasi GAC Emkoo

Ulasan ringkas pandu uji Denza Z9 GT versi RHD di BYD All-Terrain Circuit Zhengzhou

Sudah terang lagi bersuluh, Denza Z9 GT merupakan antara model kenderaan elektrik yang paling unik bakal tiba di pasaran Malaysia.

Unik kerana ia membawakan reka bentuk wagon (Denza mahu ia dikenali sebagai sebuah shooting brake), satu segmen yang semakin dilupakan.

Selain itu, ia juga hadir dengan tetapan tiga motor elektrik, kuasa melebihi 1,000 hp dan keupayaan yang sukar dipercayai.

Kami berkesempatan untuk menguji sendiri Z9 GT versi pemanduan kanan (RHD) bertempat di BYD All-Terrain Circuit yang terletak di Zhengzhou, China baru-baru ini.

Di fasiliti tersebut, ia menempatkan beberapa cabaran seperti laluan pemanduan dinamik, litar sepanjang 1,758 meter, serta bulatan geseran rendah (drift pad).

Pengendalian di litar & gymkhana

Usah tertipu dengan rupa paras yang elegan itu, kerana Z9 GT mampu memberikan pengalaman pemanduan lebih daripada anda jangkakan.

Kami diberikan peluang untuk memandu Z9 GT sebanyak dua pusingan di dalam litar ‘separuh Sepang’ itu.

Agak sukar untuk mempercayai bahawa Z9 GT yang elegan ini mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,140 hp dan daya kilas 1,200 Nm daripada tetapan tiga motor elektrik.

Dengan pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 2.7 saat sahaja, supercar lain boleh beransur-ansur mengundurkan diri.

Pada laluan lurus sepanjang 550 meter, Z9 GT berkeupayaan untuk mencecah kelajuan tiga angka dalam masa yang singkat tanpa sebarang drama.

Walaupun menggunakan tayar Continental Eco, kereta ini dirasakan melekat bagaikan digam pada jalan tar ketika membelok.

Aspek pemanduan dibantu dengan sistem suspensi udara Disus-A memastikan olengan badan berada pada tahap yang mampu dikawal.

Lebih mengujakan apabila pemandu duduk dengan tegap sepanjang melayan selekoh disebabkan oleh bantuan sistem bolster aktif yang memegang erat tubuh badan setiap kali stereng dipulas.

Sistem brek juga meyakinkan pemandu walaupun berkali-kali sistem tersebut dikerah ketika bertemu dengan selekoh dan selepas pecutan di laluan lurus.

Sejujurnya, selekoh yang disediakan pada litar ini agak kecil tidak seperti Litar Antarabangsa Sepang, namun ia bukan satu masalah bagi Z9 GT.

Dengan bantuan sistem stereng gandar belakang, pengendalian di selekoh dirasakan lebih stabil dengan satu syarat – pada kelajuan yang terkawal.

Ini kerana Z9 GT sukar untuk menyembunyikan kelemahannya, iaitu berat mencecah 2.9 tan dan saiznya yang pendek sedikit berbanding Denza D9.

Disebabkan itu, kami lebih gemar melayan seksyen gymkhana pada kelajuan yang lebih perlahan berbanding kebiasaan untuk menilai pengendaliannya di laluan yang sempit.

Sistem stereng gandar belakang membolehkan tayar belakang mencapai sudut sehingga 15 darjah, menjadikan radius putaran sekecil 4.62 meter sahaja.

Sangat impresif walaupun dengan dimensi panjang melebihi lima meter.

Mahu belajar drift?

Salah satu kelebihan yang ada pada Denza Z9 GT ialah keupayaan pemanduan senget (drift).

Fasiliti BYD ini menyediakan sebuah bulatan geseran rendah (drift pad) yang sentiasa disirami air untuk mensimulasikan keadaan jalan licin.

Aktifkan mod yang terdapat pada skrin, tekan pendikit dan pulas stereng pada arah bertentangan setelah anda merasakan ekor kereta mula keluar.

Untuk mereka yang baru mula belajar, usah risau kerana perisian akan mengawal hantaran kuasa ke roda belakang supaya bahagian belakang tidak melibas secara agresif dan menakutkan.

Dengan teknik dan kawalan yang betul, anda boleh beransur-ansur meningkatkan kelajuan drift, itu pun sekiranya kos menggantikan tayar bukan satu masalah besar.

Paling penting, sila buat di dalam kawasan yang betul dan bukannya di jalanan.

Keupayaan impresif lain

Mahu tunjuk hebat depan kawan-kawan?

Anda boleh aktifkan mod jalan macam ketam pada Z9 GT dengan memanfaatkan sistem stereng gandar belakang.

Atau aktifkan saja fungsi Pencil Compass Turn sekiranya berdepan dengan petak parkir yang agak sempit.

Dalam mod ini, tayar depan akan dikunci dan hanya tayar belakang sahaja yang akan digerakkan berlawanan arah untuk menggerakkan badan kereta masuk ke dalam petak parkir.

Atau buat sahaja aksi donut berkelajuan rendah tanpa menghasilkan kepulan asap (dan yang pasti tiada dentuman ekzos kedengaran).

Satu persoalan, selama mana tayar standard Z9 GT ini akan bertahan sekiranya sistem tersebut kerap diaktifkan oleh pemilik?

Pengecasan sepantas lima minit

Satu lagi kelebihan yang ada pada Z9 GT ialah sokongan pengecasan ultra pantas Flash Charging.

Z9 GT dilengkapi dengan pek bateri Blade generasi kedua berkapasiti 112.49 kWh yang sememangnya serasi dengan sistem Flash Charging.

Dengan kuasa pengecasan 1,500 kW, bateri boleh dicas 10-70% SoC dalam masa sepantas lima minit sahaja.

Tambah lagi 4 minit, bateri boleh dicas sehingga 97% SoC.

Berdasarkan demonstrasi yang ditunjukkan, sistem ini boleh mengecas bateri Denza Z9 GT sehingga 97% SoC dalam masa 10 minit 22 saat, beza dalam seminit berbanding sasaran awal.

Namun begitu, angka tersebut tidak jauh beza dengan tempoh masa yang diperlukan untuk pengisian bahan api (termasuk membeli sedikit jajan) di stesen minyak.

Menurut BYD Malaysia, sistem Flash Charging ini bakal diperkenalkan kelak secara berperingkat.

Paling penting, ia tidak terhad untuk pemilik BYD dan Denza sahaja, sebaliknya kemudahan ini terbuka untuk semua pemilik EV tanpa mengira jenama.

Kesimpulan

Biarpun tempoh masa yang diberikan agak singkat, kami berpendapat Z9 GT mampu menjadi sebuah produk yang dapat menarik tumpuan kelak.

Ia ada pakej rupa yang elegan, kuasa mengalahkan supercar, keupayaan di luar jangkaan dan ciri-ciri praktikaliti dan premium yang sukar didapati pada model-model pesaing.

Satu persoalan, berapa pula harga jualan Z9 GT yang bakal ditawarkan oleh Denza Malaysia nanti?

Toyota Vios HEV GR Sport: seronok berganda-ganda – pandu uji

Yang ditunggu-tunggu telah pun tiba di pasaran Malaysia, iaitu sedan hibrid Toyota Vios HEV GR Sport.

Ia dilancarkan secara rasmi oleh pihak UMW Toyota Motor awal tahun yang lalu, dengan tanda harga RM109,900 untuk versi hibrid GR Sport.

Beza cuma RM6,000 berbanding model 1.5 HEV standard, atau RM13,000 lebih mahal berbanding Vios versi petrol.

Tidak seperti penawaran Vios GR Sport yang terdahulu, ia kini hadir dengan satu resepi yang cukup penting – nadi hibrid.

Hibrid biasanya berkait rapat dengan penjimatan bahan api, jadi apa pula manfaatnya pada Vios HEV GR Sport?

Beza Vios HEV dengan versi standard

Vios standard dilengkapi dengan enjin 1.5L 2NR-VE yang mampu menjana kuasa 106 PS @ 6,000 rpm dan 138 Nm @ 4,200 rpm.

Vios hibrid pula mendapat tetapan sistem hibrid generasi keempat, terdiri daripada:

  • enjin 1.5L 2NR-VEX kitaran Atkinson, 91 PS @ 5,500 rpm, 121 Nm @ 4,000 rpm
  • motor elektrik 80 PS/141 Nm
  • pek bateri lithium-ion 4.3 Ahr
  • transmisi e-CVT

Kuasa keseluruhan pula sekitar 111 PS yang hanya memacu roda depan.

Cukup?

Atas kertas, peningkatan kuasa itu tidaklah begitu ketara.

Namun dengan bantuan motor elektrik, pecutan permulaan sedan ini dirasakan lebih bertenaga berbanding versi petrol.

Manfaatnya? Daripada susur keluar lebuh raya anda boleh memecut lebih pantas untuk menyelit masuk ke dalam aliran trafik utama.

Tidak dinafikan, masih wujud deruman enjin saat pedal ditekan rapat ke lantai, namun kabin mulai beransur-ansur senyap apabila kelajuan yang diinginkan dicapai.

Aspek pemanduan lebih seronok

Bukan sekadar peningkatan kuasa yang membuatkan sedan ini terasa lebih mengujakan.

Ia juga hadir dengan pakej talaan sistem stereng EPS yang lebih responsif, dan sedikit berat berbanding model standard.

Ini menjadikan kawalan rasa lebih stabil terutama ketika memandu lebih laju.

Sistem brek turut ditala supaya titik brek masuk lebih awal – bermakna anda tidak perlu untuk menekan brek sambil berdiri dan berdoa supaya kereta ini berhenti dengan sempurna.

Yang paling dihargai ialah talaan suspensi GR Sport.

Berbanding Vios sedia ada yang memang cukup enak dipandu, resepi sistem gantungan yang lebih sporti membuatkan dua ibu jari naik ke atas secara automatik.

Sama seperti mana-mana model GR Sport yang telah diuji penulis sebelum ini, tetapan suspensi pada Vios ini sememangnya seimbang dari segi pemanduan sporti dan keselesaan yang tersendiri.

Tidak cukup dengan itu, Vios HEV GR Sport turut hadir dengan balutan getah Continental PremiumContact C yang lebih mencengkam.

Ibarat hidangan tengah hari yang sudah sedia enak diserikan dengan kehadiran sambal tempoyak dan ulam-ulaman yang mampu menaikkan lagi selera makan.

Hasil keharmonian sistem tersebut bekerja, kita dapat menikmati pakej pemanduan yang lebih seronok tanpa perlu berbelanja besar.

Tidak semua keseronokan itu perlu didorong oleh kuasa kuda semata-mata.

Ada kalanya, tetapan yang ringkas dan harmoni sebegini yang mampu buatkan kita tersenyum.

Sukar untuk penulis gambarkan dengan lebih lanjut keseronokan berganda-ganda yang ditawarkan pada Vios HEV GR Sport menerusi perkataan kali ini, anda perlu rasa dan mendalaminya sendiri.

Hibrid tapi perangai macam EV

Satu kelebihan yang nyata wujud pada model ini ialah keupayaannya untuk memandu dalam mod sifar emisi.

Biarpun tanpa kehadiran pek bateri bersaiz lebih besar, sistem hibrid generasi keempat Toyota ini boleh membenarkan ia dipandu tanpa setitik petrol bergantung kepada keadaan.

Fungsi ini amat berguna terutama ketika memandu di kawasan urban, atau sedang mencari ruang parkir yang kosong di pusat membeli belah.

Yang amat penulis suka ialah bacaan peratusan nisbah pemanduan sifar emisi yang akan dipaparkan setiap kali sistem kenderaan dimatikan.

Dengan cara ini, ia akan membuatkan pemandu lebih bersemangat untuk memandu dengan lebih cermat.

Gegaran enjin juga dirasakan sangat minimum terutama ketika peralihan antara mod kuasa dan juga mod EV.

Kelengkapan kabin

Untuk ruang kabin, Vios HEV GR Sport hadir dengan kelengkapan seperti:

  • tempat duduk balutan kulit/fabrik
  • skrin Display Audio 10.1 inci yang lebih besar
  • butang EV Mode
  • sistem pencahayaan ambien 64 warna yang diperbaharui
  • paparan spesifik hibrid untuk skrin kluster digital

Berdasarkan pengalaman, penulis mendapati skrin paparan serba baharu ini menawarkan fungsi yang stabil, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Cuma, saiznya yang agak besar (dan tinggi) itu boleh mengganggu medan penglihatan pemandu yang mahukan posisi duduk yang lebih rendah.

Kereta sporti, takkanlah nak duduk macam dalam SUV pula, kan?

Kerusi balutan fabrik/kulit itu memang selesa untuk digunakan terutama untuk perjalanan jauh dan boleh memegang erat pemandu sewaktu pemanduan berprestasi dibuat.

Gugusan butang fungsi yang wujud pada roda stereng dan konsol tengah amat mudah untuk digunakan.

Cuma, sistem kamera 360 darjah itu dirasakan agak ketinggalan zaman disebabkan resolusinya yang tidak HD untuk tahun 2026.

Praktikaliti

Disebabkan oleh bateri 12V yang telah dialihkan ke belakang, ia menyebabkan ruang kargo Vios HEV GR Sport menjadi sebesar 460 liter sahaja.

Cukup besar untuk memuatkan barangan keperluan harian, itu pun jika tiada keperluan untuk memunggah barangan yang lebih panjang dimensinya.

Ini kerana tempat duduk baris kedua masih lagi tidak boleh dilipat macam model sedan lain.

Berita baik, Vios HEV GR Sport kini sudah didatangkan dengan tayar simpanan saiz penuh di bahagian belakang.

Satu ciri yang amat-amat dihargai oleh kebanyakan pemandu di Malaysia.

Ciri keselamatan

Secara standard, Vios HEV GR Sport hadir dengan ciri seperti enam beg udara, serta kelengkapan Toyota Safety Sense:

  • Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKC)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Amaran Pergerakan Hadapan (FDA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)

Kesimpulan

Toyota Vios HEV GR Sport bukanlah sekadar sebuah Vios yang ditampal dengan logo emblem GR semata-mata.

Berbanding model pesaing, ia menawarkan pemanduan yang lebih meyakinkan, sistem hibrid yang terbukti kecekapannya, serta keseimbangan antara pemanduan sporti dan keselesaan.

Sesuai untuk mereka yang mahukan sedan harian yang disuntik dengan sedikit karakter tambahan untuk membuatkan hidup lebih teruja.

Hidup ini terlalu singkat untuk menikmati perkara (baca: kereta) yang membosankan, jadi sedan ‘terpaling sporti’ ini memang sesuai untuk dipertimbangkan.

Leapmotor B10 kekal minimalis namun lebih matang – pandu uji ringkas

Leapmotor B10 merupakan pendatang baharu bagi mencabar SUV elektrik di bawah julat harga RM120,000 di Malaysia.

Dilancarkan secara rasmi pada hujung tahun lepas, model kedua Leapmotor Malaysia ini dilihat hadir pada masa yang tepat.

Pertama, ia mampu menjadi alternatif yang lebih masuk akal berbanding abangnya C10.

Kedua, di sebalik rupa bentuk ringkas itu tersembunyi kelebihan yang sukar untuk ditandingi oleh pesaingnya.

Terima kasih kepada pihak Stellantis Malaysia, kerana sepanjang tempoh pemanduan singkat kali ini penulis berjaya menemukan beberapa perkara positif pada model baharu B10 ini.

Luaran

Sama seperti C10, Leapmotor B10 membawakan reka bentuk yang sama minimalis menyumbang kepada angka pekali seretan serendah 0.265 Cd.

Elemen rekaan Wing Star menjadi identiti utama B10 terutama pada bahagian lampu depan dan belakang yang nipis.

Sayang sekali, B10 masih lagi mengekalkan rekaan pemegang pintu perlu ditolak keluar secara manual.

Mujur juga butang suis pintu tailgate direka untuk memudahkan urusan memunggah masuk barangan.

Keempat-empat sudut dipadankan dengan rim aloi saiz 18 inci yang dibaluti getah Linglong Sport Master yang mampu membuatkan pemandu tersenyum di selekoh.

Terdapat sehingga lima warna pilihan disediakan termasuklah Starry Night Blue yang diinspirasikan daripada karya Van Gogh, Dawn Purple dan Tundra Grey.

Kabin

Untuk pemandu disediakan skrin LCD 8.8 inci yang dipasang terus atas kolum stereng.

Bermakna, posisinya akan berubah mengikut larasan (tilt & teleskopik) yang ditetapkan oleh pemandu.

Segala kawalan fungsi yang penting (termasuklah larasan cermin sisi) masih lagi ditanam dalam skrin tengah sebesar 14.6 inci.

Apa yang pasti, pemilik B10 sudah boleh menggunakan fungsi sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Praktikaliti

Berbanding model C10 yang nampak lebih ringkas dan premium, kabin B10 pula lebih bersifat utilitarian.

Apa yang penulis gemar pada B10 ini ialah:

  • corong pendingin hawa yang lebih mudah untuk dilaras
  • konsol tengah terapung yang menyediakan ruang besar untuk beg
  • pemegang cawan yang boleh dilipat bila tidak digunakan
  • ruang storan konsol tengah yang agak dalam
  • glovebox 8.5 liter yang boleh memuatkan laptop 14 inci

Dengan balutan upholsteri Oeko-Tex Standard 100 yang diperbuat daripada bahan arang buluh, Leapmotor B10 juga amat sesuai untuk keluarga yang ada anak kecil.

Ruang kargo adalah sebesar 430 liter dan boleh mencecah sehingga 1,700 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Dengan ruang yang versatil, hampir 88 peratus ruang kabin B10 boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk pelbagai aktiviti yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Pemanduan

Secara standard, Leapmotor B10 ini dilengkapi dengan:

  • tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan multi-link di belakang
  • motor elektrik pacuan roda belakang 218 hp & 240 Nm
  • nisbah agihan berat badan 50:50

Kedengaran macam ciri yang ada pada kereta sports, kan?

Usah biarkan harapan anda setinggi gunung kerana Leapmotor B10 tidak direka untuk pemanduan yang beremosi walaupun hadir dengan talaan tersendiri oleh Stellantis.

Namun, talaan suspensi B10 ini dirasakan lebih dekat dengan jiwa berbanding pakej yang wujud pada C10.

Tetapan suspensi B10 lebih ke arah keselesaan namun dengan kadar olengan badan lebih terkawal dan tidak terlalu melantun-lantun.

Respons stereng juga tepat, lebih mudah untuk dijangka, dan tidak memerlukan banyak pembetulan.

Lagi satu, usah pandang rendah pada B10 walaupun dilengkapi dengan tayar buatan Linglong.

Ini kerana getah Linglong Sport Master ini terbukti prestasinya dalam menawarkan pemanduan yang senyap, laluan berliku dan ketika menempuh cuaca basah.

Seperkara yang penulis amat hargai pada B10 ialah respons pedal brek yang dirasakan lebih hidup dan mudah untuk dijangka titik gigitnya.

Terdapat tiga tetapan respons pendikit disediakan, namun kebanyakan masa penulis lebih gemar menggunakan mod Comfort sebagai tetapan lalai.

Ini kerana tetapan Standard dirasakan sedikit lincah, dan boleh jadi membuatkan penumpang rasa tidak selesa. Belum masuk mod Sport lagi.

Bateri dan pengecasan

Varian yang kami pandu uji ini merupakan varian Design yang dilengkapi pek bateri 67.1 kWh.

Untuk sekali cas penuh, B10 Design boleh mencapai jarak pandu sejauh 434 km (data WLTP) – cukup untuk pemanduan dalam bandar.

Untuk pemanduan rentas negeri, lain pula ceritanya.

Berdasarkan pengalaman dari Damansara ke Pulau Pinang tempoh hari, kami perlu mengecas SUV ini sekurang-kurangnya sekali untuk memastikan ia mempunyai tenaga yang mencukupi.

Disinilah munculnya satu lagi kelebihan B10, iaitu keupayaan pengecasan pantas DC sehingga 168 kW.

Ini membolehkan bateri dicas dari 30-80 peratus dalam masa bawah setengah jam sahaja menggunakan pengecas berkelajuan tinggi.

Bermakna, tempoh masa menunggu yang lebih singkat. Itu pun jika anda bernasib baik.

Keselamatan

Secara standard, Leapmotor B10 hadir dengan 7 beg udara, 12 penderia berketepatan tinggi dan sehingga 17 ciri ADAS yang membolehkan pemanduan autonomi Tahap 2.

Ciri di atas membuatkan Leapmotor B10 sesuai untuk mereka yang mahu mula belajar memandu.

Namun untuk mereka yang sudah ada keyakinan, ciri bantuan keselamatan ini akan membuatkan anda rasa lebih penat berbanding biasa.

Seperti contoh, sistem pengekalan lorong (LKA) boleh dimatikan, namun dalam keadaan tertentu ia akan diaktifkan semula secara automatik.

Anda boleh mengambil masa beberapa minit untuk mematikan fungsi yang tidak diinginkan sebelum memandu, namun tiada jaminan ia akan kekal nyahaktif sepanjang masa.

Satu lagi perkara yang sukar diterima ialah penggunaan kad NFC bagi menggantikan fob kunci yang biasa kita guna.

Lebih menyukarkan apabila penderia NFC tersebut hanya dipasang pada cermin sisi sebelah pemandu.

Dari sudut keselamatan, mungkin sekali berguna namun ia bakal membuatkan lelaki sejati rasa jengkel kerana tidak dapat membuka pintu sebelah penumpang untuk memudahkan isteri masuk.

Kesimpulan

Dengan harga jualan RM118,800, Leapmotor B10 mampu menjadi satu alternatif yang berbaloi kepada SUV elektrik segmen C lain seperti Proton e.MAS 7 dan BYD Atto 3.

Bagi kami, ia menawarkan pakej pemanduan yang boleh membuatkan pemandu tersenyum, aspek keselesaan yang masih diutamakan, dan paling penting prestasi pengecasan yang lebih pantas berbanding model pesaing.

Tidak ketinggalan, aspek praktikaliti yang boleh dimanfaatkan oleh seisi keluarga setiap hari.

Chery Tiggo Cross, mahu pilih hibrid atau turbo? – pandu uji

SUV paling kecil Chery Malaysia pada ketika ini, Chery Tiggo Cross ternyata memiliki kelebihan yang tersendiri.

Satu, ia hadir dengan pakej harga yang kompetitif, cuma bawah RM100,000 sahaja.

Dua, Tiggo Cross versi Turbo dan Hybrid menampilkan pendekatan dan teknologi yang berbeza walaupun berkongsi rupa yang hampir sama.

Paling penting, walaupun dalam julat harga tersebut ia tidak terasa seperti sebuah SUV bajet – menjadikannya menarik untuk diuji dan seterusnya dimiliki dan dinikmati.

Chery Tiggo Cross: Enjin Turbo atau Hybrid?

Untuk pasaran Malaysia, Tiggo Cross hadir dengan dua pilihan trenkuasa.

Mereka yang mahukan prestasi bertenaga boleh memilih varian enjin petrol 1.5 liter turbo menghasilkan 147 PS dan 210 Nm, sistem pacuan roda depan dan transmisi DCT 6-kelajuan.

Varian hibrid pula mendapat tetapan berikut:

  • enjin 1.5 liter NA kitaran Atkinson 102 PS/125 Nm
  • dua motor elektrik 204 PS/310 Nm
  • transmisi Direct Hybrid (DHT)
  • pek bateri LFP 1.8 kWh

Chery mendakwa kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 6.3 liter/100 km untuk versi Turbo dan 5.4 liter/100 km untuk versi Hybrid.

Penampilan luaran Chery Tiggo Cross

Dalam banyak-banyak SUV subkompak di pasaran, Chery Tiggo Cross menawarkan penampilan yang ‘selamat’.

Tidak terlalu agresif, dan dalam masa yang sama masih lagi boleh dikenali ramai dan dibezakan daripada SUV buatan China yang lain.

Antara kedua-dua varian, tidak banyak perbezaan melainkan:

  • rim 18 inci (Turbo) vs rim aerodinamik 17 inci (Hybrid)
  • emblem Hybrid

Ruang kabin

Susun atur papan pemuka juga adalah hampir sama untuk kedua-dua varian Tiggo Cross.

Terdapat skrin berkembar 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, dan slot pengecas tanpa wayar 15W.

Cuma kadang kala, sistem infohibur bagi kedua-dua varian ini tidak begitu stabil.

Keadaan ini membuatkan pemanduan sedikit kelam kabut terutama ketika sedang bergantung pada sistem navigasi.

Tempat duduk hadapan yang sporti menawarkan sokongan dan keselesaan yang diperlukan terutama untuk perjalanan jauh.

Penumpang belakang mungkin perlu bersabar kerana berkongsi corong pendingin hawa tunggal.

Butang kawalan fizikal masih wujud!

Dalam Tiggo Cross ini butang kawalan fizikal masih lagi disediakan untuk memudahkan pemandu mengubah tetapan yang diperlukan.

‘Skrin ketiga’ untuk kawalan iklim di bahagian konsol tengah memberikan imej yang premium untuk sebuah SUV subkompak.

Yang sebenarnya ia hanyalah sekadar panel LCD dengan fungsi sentuhan yang minimum.

Namun, dengan adanya ciri ini pemandu tidak lagi perlu terpinga-pinga untuk mengubah tetapan (kelajuan kipas, suhu) yang biasa ditanam dalam skrin infohibur.

Untuk model Hybrid, ruang konsol tengah dilihat seakan kosong tanpa kehadiran butang brek parkir elektronik dan auto hold yang wujud pada varian Turbo.

Tuil penukaran gear elektronik menawarkan saiz yang sedap dipegang dan mudah untuk dioperasikan.

Cuma kemasan hitam berkilat boleh jadi mengganggu tumpuan pemandu terutama ketika sedang mengembara di bawah panas terik mentari.

Ruang kargo

Tiggo Cross Turbo menawarkan ruang barangan sebesar 380 liter, cukup besar untuk memuatkan barangan keperluan.

Disebabkan kehadiran pek bateri LFP pada ruang kargo varian Hybrid, anda hanya boleh memuatkan barangan sehingga 350 liter sahaja.

Pengalaman pemanduan Tiggo Cross Turbo

Tiggo Cross Turbo boleh dijadikan sebagai pilihan pertama terutama untuk mereka yang mahukan tetapan lebih ringkas tanpa bantuan sistem hibrid.

Atas kertas, ia mempunyai kuasa yang memadai dan padanan transmisi yang sesuai untuk menggerakkan SUV seberat hampir 1.5 tan ini.

Tidak sukar untuk mencapai kelajuan yang diinginkan atas lebuh raya, namun anda perlu berdepan dengan sedikit drama saat SUV ini mula bergerak dari pegun.

Biarpun dengan penampilan agresif, Tiggo Cross Turbo bukanlah sebuah SUV yang sporti sejak azali.

Suspensinya ditala untuk cenderung ke arah keselesaan, dan bukanlah direka untuk melekat macam gam bila di selekoh – sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah SUV urban.

Apa yang penulis gemar ialah tahap NVH yang membuatkan SUV ini terasa mahal di mana bunyi bising angin dan tayar berjaya ditapis dengan baik.

Tiggo Cross Hybrid memang jimat!

Berbeza dengan varian Turbo, Tiggo Cross Hybrid menawarkan pecutan permulaan yang lebih lancar terima kasih kepada bantuan motor elektrik dan transmisi e-CVT.

Kebanyakan masa (dan pada kelajuan yang rendah), Tiggo Cross Hybrid akan bergantung pada pacuan elektrik.

Anda juga mungkin tidak akan perasan bila enjin petrol tersebut beroperasi, tiada gegaran yang ketara disalurkan daripada ruang tersebut ke dalam kabin.

Varian Hybrid sememangnya direka untuk mereka yang mahukan penjimatan bahan api yang sangat baik.

Berdasarkan pengalaman peribadi, sukar untuk penulis menghabiskan setangki penuh petrol (51 liter) dalam tempoh masa yang ditetapkan disebabkan sistem yang agak cekap.

Penulis cuma berharap satu hari nanti Chery akan menambah menu peratusan pemanduan dalam mod sifar emisi setiap kali setelah selesai memandu.

Ini akan memberikan lebih motivasi kepada pemilik untuk memandu Tiggo Cross Hybrid dengan lebih kerap tanpa perlu berfikir tentang baki Budi95 setiap bulan.

Ciri keselamatan

Secara standard, Tiggo Cross dilengkapi dengan enam beg udara, serta ciri ADAS merangkumi fungsi berikut:

  • amaran keluar lorong (LDW)
  • sistem pemantauan titik buta (BSM)
  • amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
  • bantuan suluhan tinggi
  • pengelakan keluar lorong (LDP)
  • kawalan jelajah adaptif (ACC)
  • amaran pelanggaran hadapan (FCW)
  • brek kecemasan autonomi (AEB)

Tiggo Cross Hybrid pula mendapat tujuh beg udara, serta tambahan fungsi ADAS seperti:

  • amaran bukaan pintu (DOW)
  • amaran pelanggaran belakang (RCW)
  • sistem brek lintasan trafik belakang
  • bantuan penukaran lorong (LCA)
  • pengekalan lorong kecemasan (ELK)
  • sistem brek berbilang pelanggaran (MCB)
  • bantuan kesesakan trafik (TJA)

Kesimpulan

Untuk siapa Chery Tiggo Cross ini?

Senang cerita:

  • Turbo – untuk mereka yang mahukan tetapan trenkuasa yang lebih ringkas
  • Hybrid – untuk mereka yang pentingkan penjimatan dan pemanduan mesra alam.

Tiggo Cross turut menawarkan kelebihan dari segi aspek NVH yang lebih baik dan kualiti binaan yang mengkagumkan untuk sebuah SUV subkompak.

Yang patut diberikan perhatian sudah pasti Tiggo Cross Hybrid.

Dengan harga jualan RM99,800, ia merupakan SUV hibrid yang paling murah di Malaysia dan duduk di dalam posisi yang unik di tengah-tengah kebanjiran model SUV sedia ada.

 

Chery Tiggo Cross Turbo (RM88,800)

Chery Tiggo Cross Hybrid (RM99,800)

Honda CR-V 1.5V AWD pilihan tepat untuk kehidupan pasca kerjaya – pandu uji

Biarpun pasaran tempatan sudah dibanjiri dengan bermacam-macam pilihan SUV yang lebih canggih-manggih, Honda CR-V tetap mempunyai peminat yang tersendiri.

Salah satu sebab mungkin sekali disumbangkan oleh logo H yang terpampang besar di depan.

Setelah kami diberi peluang memandu uji SUV ini, ada beberapa perkara yang membuatkan CR-V ini tampil lebih menyerlah.

Untuk mereka yang mahu menikmati kehidupan pasca kerjaya, ini mungkin sekali satu pilihan yang tepat.

Penampilan CR-V 1.5V AWD lebih garang

Berbanding CR-V terdahulu yang nampak seakan sebuah pau, CR-V generasi keenam ini tampil lebih tajam dan garang.

Rekaan lampu juga diberikan nafas baharu yang lebih moden, terutama pada bahagian belakang yang mirip kepada SUV buatan Sweden.

Disebabkan tiang A yang dialihkan ke belakang, ia menjadikan rekaan hud enjin CR-V ini lebih panjang.

Selain itu, jurutera Honda telah merendahkan posisi bagi tapak tiang A dan garis bahu, menjadikan perkadaran badan SUV ini lebih seimbang.

Hasilnya, CR-V baharu ini nampak lebih kecil, namun ukuran dimensi menunjukkan CR-V ini sebenarnya lebih besar berbanding model terdahulu.

Kabin yang lebih luas dan lapang

Selain penambahan dimensi panjang, jarak antara roda juga turut bertambah sebanyak 40 mm kepada 2,700 mm.

Ini menyumbang kepada ruang kabin yang lebih lapang, memberikan keselesaan kepada penumpang baris kedua.

Pendekatan “Machine Minimum, Man Maximum” turut diterapkan pada ruang kabin.

Berbeza dengan model terdahulu, CR-V mengguna pakai rekaan papan pemuka yang hampir sama dengan Civic generasi ke-11.

Walapun dengan rekaan yang lebih ringkas, ia tetap memberikan pengalaman yang elegan dan mewah.

Setiap butang fungsi rasa ketat, malah penukaran operasi PRND juga dirasakan kemas setiap kali pemanduan dibuat.

Kemasan kayu pada beberapa tempat juga dilihat bertepatan dengan tema kenderaan pasca kerjaya yang kerap dicari kebanyakan orang.

CR-V SUV mesra pengguna

CR-V tidaklah didatangkan dengan tetapan skrin sebesar alam dengan bermacam-macam menu disumbatkan ke dalam.

Sebaliknya, ia hanya dilengkapi dengan skrin infohibur sebesar 10 inci, diikuti dengan meter hibrid analog dan digital bersaiz 9-inci untuk pemandu.

Paparan menu pada kedua-dua skrin memang jelas, besar dan mudah untuk dioperasikan.

Dengan adanya sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, anda tidak lagi memerlukan pemegang peranti pintar untuk dipasangkan pada corong pendingin hawa.

Memang tak boleh pun disebabkan oleh pemasangan jeriji sarang lebah standard kilang.

Walaupun tanpa kehadiran sistem audio Bose 12 pembesar suara, sistem audio standard pada varian ini menawarkan lantunan irama dan bunyi yang cukup sedap di telinga menemani sepanjang perjalanan.

Tempat duduk yang dibekalkan sememangnya cukup selesa, lengkap dengan fungsi memori.

Cuma bahan kulit yang digunakan akan membuatkan punggung anda tidak selesa terutama selepas beberapa ketika.

Praktikaliti nombor satu

Aspek praktikaliti membuatkan CR-V ini sangat sesuai untuk seisi keluarga.

Ruang kargo memang luas, sekitar 589 liter dan boleh mencapai sehingga 1,072 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Selain itu, CR-V menawarkan bukaan pintu baris kedua hampir 90 darjah, ini memudahkan urusan penumpang untuk keluar dan masuk tanpa rasa sempit.

Atau urusan memasang kerusi kanak-kanak.

Rekaan lantai untuk penumpang baris kedua juga hampir rata untuk sebuah SUV yang ada sistem pacuan semua roda (AWD).

Apa yang penulis amat suka pada CR-V ini ialah sudut pandang keluar yang agak luas, ditambah dengan posisi cermin sisi yang sedikit ke belakang untuk mengurangkan kesan titik buta.

Enjin turbo menyerlah!

Honda CR-V 1.5V AWD ini merupakan pilihan yang ideal untuk mereka yang mahukan sebuah nadi penggerak yang ringkas.

Enjin 1.5 liter turbo dengan hamburan kuasa 190 hp dan 243 Nm itu dipadankan dengan transmisi CVT dan sistem AWD – satu gandingan yang mantap tanpa perlu dakwa-dakwi lagi.

Pecutan permulaan dirasakan lancar, dan boleh dikerah tanpa rasa malas apabila pemandu memerlukan kuasa ekstra terutama ketika memotong kereta di hadapan.

Apa yang membuatkan gandingan ini cukup bagus ialah prestasi ketika meluncur pada kelajuan malar – kabin terasa senyap tanpa bising ketara.

Sistem pacuan semua roda (AWD) memberikan lebih keyakinan kepada pemandu ketika meluncur atas garis lurus lebuh raya, dan lebih cengkaman di kawasan berselekoh.

Berdasarkan pemanduan, penulis berjaya mencatatkan tahap penggunaan bahan api sekitar 7.9 liter untuk setiap 100 km.

Kawalan kenderaan – itu lebih penting

Menambahkan lagi perisa kesedapan pemanduan CR-V ini ialah bagaimana sistem pengendalian bekerja sepanjang perjalanan.

Ia bukanlah sebuah SUV yang sporti dihasilkan standard daripada kilang.

Suspensi juga bukanlah jenis keras, lebih cenderung ke arah keselesaan.

Namun anda boleh rasa keharmonian sistem stereng yang tepat dan jitu, respons pendikit dan brek yang cekap, dan talaan suspensi yang selesa membuatkan bibir sentiasa mengukir senyuman.

Kualiti jalan yang tidak sempurna? Bukan satu masalah bila duduk dalam CR-V ini.

Semasa musim perayaan, penulis sengaja mengelak daripada menggunakan kemudahan lebuh raya untuk menilai sejauh mana kecekapan sistem suspensi CR-V ini bekerja.

Sejujurnya, ia jauh lebih baik jika dibandingkan dengan model terdahulu.

Aspek keselamatan boleh ditambah baik

Secara standard, Honda CR-V didatangkan dengan ciri seperti:

  • lapan beg udara
  • kamera 360-darjah
  • sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
  • Honda LaneWatch
  • kelengkapan Honda Sensing (FCW, AEB, ACC, LSF, dll)

Sejujurnya, penulis rasa agak ralat untuk sebuah SUV berharga sekitar RM180 ribu namun tidak dilengkapi dengan ciri sistem pemantauan titik buta kiri dan kanan.

Sistem Honda LaneWatch memang membantu, namun dengan operasi yang terhad pada sebelah kiri dan kualiti sistem kamera membataskan manfaat yang ada.

Mujur kemas kini terbaharu Honda CR-V 2026, Honda Malaysia sudi menggantikan sistem LaneWatch itu dengan sistem informasi titik buta (BSI) dan sistem pemantauan trafik silang belakang (CTM).

Kesimpulan

Honda CR-V 1.5V AWD merupakan satu pilihan yang tepat untuk mereka yang mahu sebuah SUV yang besar, selesa dan praktikal.

Biarpun pasaran sudah dipenuhi dengan bermacam pilihan yang ada, ia bukanlah satu penghalang bagi CR-V untuk terus menyerlah di mana saja anda pergi.

Bukti dengan penawaran pakej yang tepat, ia masih lagi mampu menjadi pilihan utama di kalangan pengguna.

Lima perkara buat kami terpikat dengan Mitsubishi Xforce 2026 – pandu uji ringkas

Mitsubishi Xforce 2026 tiba pada saat pasaran SUV subkompak (segmen B) Malaysia semakin padat dan sengit persaingannya.

Berdasarkan sesi pandu uji ringkas pertama ini, jelas model baharu ini bukan sekadar cuba menumpang gelombang populariti SUV semata-mata.

Persoalannya, sejauh mana Xforce dapat menonjolkan diri dalam pasaran yang dibanjiri dengan bermacam pilihan dari pengeluar tempatan, China dan juga Jepun?

Berikut merupakan lima perkara yang buatkan kami terpikat dengan pakej terbaharu daripada Mitsubishi Motors Malaysia ini.

 

Rupa paras tersendiri

Mitsubishi Xforce diberikan pendekatan Dynamic Shield yang jauh lebih moden.

Dengan ciri seperti lampu utama yang besar dan tajam serta padanan rim 18 inci, tidak menghairankan apabila SUV ini nampak lebih menyerlah dan menonjol bila dipandu atas jalan raya.

Mujur juga Mitsubishi tidak terikut-ikut dengan trend bar lampu LED melintang seperti kebanyakan pengeluar.

Rekaan yang ditampilkan pada luaran Xforce ini turut menyumbang kepada aspek aerodinamik yang jauh lebih baik berbanding model pesaing.

Bila kali terakhir anda melihat sebuah kereta Mitsubishi yang hensem bergaya macam Xforce ini?

 

Ruang kabin moden

Pada pendapat penulis, susun atur ruang kokpit Mitsubishi Xforce merupakan antara yang paling kemas untuk sebuah SUV segmen B.

Paparan menu mudah untuk dibaca, dan skrin kluster digital pula sengaja diposisikan lebih dalam supaya rasa lebih natural.

Tidaklah terasa macam memandang dua keping iPad yang bertenggek atas papan pemuka.

Yang paling penulis suka? Ada paparan skor pemanduan gaya Pajero dan meter kapal terbang disediakan pada skrin tengah.

Butang kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa dan penukaran mod pemanduan direka besar dan mudah untuk dicapai pemandu.

Selain itu, Xforce turut menawarkan tempat duduk yang cukup selesa di baris depan dan belakang, biarpun hanya dilengkapi dengan larasan manual.

Ruang kargo cukup besar, sekitar 410 liter untuk memuatkan barangan keperluan harian.

Poin seterusnya akan meletakkan Xforce sebagai salah satu SUV unik dalam segmennya.

 

Sistem audio Yamaha

Unik dalam segmennya disebabkan oleh sistem audio yang dibangunkan secara khusus oleh Yamaha!

Terdapat sehingga lapan pembesar suara dipasang pada ruang kabin Xforce merangkumi komponen berikut:

  • 25mm tweeter × 2 pada tiang A
  • 160mm woofer × 2
  • 160mm/25mm co-axial × 2 untuk penumpang baris kedua

Berdasarkan pengalaman ringkas tempoh hari, penulis mengakui kualiti dan lontaran bunyi yang dihasilkan daripada sistem audio Yamaha ini lebih dekat di hati berbanding model pesaing.

Terasa macam sedang pandu kenderaan yang jauh lebih mahal harganya.

 

Dinamik pemanduan inspirasi Evo

SUV ini dibina dengan meletakkan penggunaan harian di Asia Tenggara sebagai matlamat utama.

Biarpun menggunakan platform Xpander, Xforce diberikan struktur casis yang lebih tegar diikuti talaan suspensi yang lebih sesuai dengan keadaan jalan di sini.

Tidak menghairankan apabila Xforce mampu menawarkan dinamik pengendalian yang lebih baik berbanding Xpander.

Mungkin juga lebih baik berbanding kebanyakan pesaing di pasaran.

Rahsianya? Xforce mendapat sentuhan daripada Masahiro Tamura, Ketua Jurutera Produk MMC yang merangkap bekas jurutera jentera berprestasi tinggi Mitsubishi Lancer Evolution!

Buktinya ialah kehadiran ciri Active Yaw Control (AYC) untuk memastikan pengendalian SUV ini lebih meyakinkan atas jalan raya.

Kurang olengan badan dirasakan, malah maklum balas sistem stereng juga lebih tepat dan meyakinkan walaupun ada kalanya SUV ini dipandu sedikit agresif di kawasan berselekoh.

Enjin MIVEC 1.5 liter 4A91 berkuasa 103 hp dan 141 Nm itu dipadankan dengan transmisi CVT untuk menawarkan pemanduan permulaan yang lebih lancar.

Respons pendikit yang ringan, ditambah pula dengan sistem brek yang meyakinkan untuk memastikan SUV ini berhenti dengan baik.

Cuma ia mungkin tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai kaki kanan terlebih berat, disebabkan respons enjin yang tidak memberangsangkan ketika kuasa ekstra diperlukan.

Pendapat kami, Mitsubishi Xforce ini lebih sesuai dipandu santai sesuai dengan sifatnya sebagai SUV urban. Laju-laju nak pergi mana?

 

Mod pemanduan sesuai dengan keadaan cuaca ASEAN

Mitsubishi Xforce dilengkapi dengan beberapa mod pemanduan termasuklah Normal, Gravel, Mud dan juga Wet.

Tidak terhad kepada sekadar talaan output kuasa, mod pemanduan Xforce melaraskan tetapan respons pendikit, kawalan cengkaman, pengendalian serta ciri Active Yaw Control bergantung kepada situasi.

Mod pemanduan yang paling berguna untuk keadaan cuaca sekarang sudah semestinya mod Wet.

Kami diberikan peluang untuk menilai kecekapan mod ini di atas jalan yang sengaja dibasahkan untuk mensimulasi keadaan basah bila hujan.

Dalam keadaan biasa, SUV akan membuang keluar ketika kelajuan ditingkatkan.

Namun pengendalian menjadi lebih mudah dikawal apabila mod Wet diaktifkan dan Xforce dirasakan lebih melekat di atas jalan yang licin.

Menurut Mitsubishi, mod Wet ini merupakan mod baharu yang dibangunkan khusus untuk pelanggan ASEAN di kawasan yang mempunyai kadar kekerapan hujan yang tinggi.

 

Kesimpulan

Mitsubishi Xforce merupakan satu produk menarik yang ditawarkan MMM untuk pasaran tempatan.

Reka bentuk yang lebih matang, kabin yang jauh lebih moden, serta talaan pemanduan yang disesuaikan untuk jalan Asia Tenggara, ia memberi gambaran awal bahawa Mitsubishi benar‑benar mahu kembali menjadi pilihan utama dalam kelas ini.

Mitsubishi Xforce 2026 bakal dilancarkan tidak lama lagi, dan bagi kami harga jualan anggaran dari RM110,000 bukanlah satu masalah besar untuk para peminat tegar Mitsubishi.

 

Perodua Traz 2026: SUV urban yang ideal – pandu uji

Katakanlah (baca: kecam) apa jua yang anda mahu tentang Perodua Traz, tapi ini adalah SUV Perodua yang paling hensem pernah dihasilkan.

Walaupun tiba agak lewat di pasaran, kembar kepada Toyota Yaris Cross ini masih cuba untuk mengekalkan DNA Perodua yang dikenali ramai.

Ia ada pakej ruang yang selesa, praktikal, dan dalam masa yang sama hadir dengan teknologi moden.

Kami berkesempatan untuk memandu uji SUV ini selama beberapa hari, dan berikut merupakan penemuan kami:

 

Rupa Traz yang ganazz

Tidak dinafikan, Perodua Traz banyak berkongsi komponen dengan kembarnya Toyota Yaris Cross.

Almaklumlah, platform pun sama, guna DNGA-B macam Toyota Vios, Toyota Velos dan Perodua Alza.

Cuma, penampilannya boleh dibezakan dengan rekaan jeriji, serta rekaan rim 17 inci yang lebih agresif.

Penulis menggemari rupa paras luaran Traz yang tampak berkotak dan bersegi, terutama bila diperhatikan pada bahagian belakang.

Seakan sebuah SUV Lexus yang diberikan lencana Perodua.

Mahukan yang lebih menonjol, pilih sahaja kit badan GearUp.

 

Dimensi

Secara asasnya, Traz membawakan ukuran dimensi yang jauh lebih besar berbanding Ativa.

Dengan panjang sekitar 4,310 mm dan jarak antara roda 2,620 mm, Traz menawarkan ruang kabin yang besar dan selesa.

Jarak kelegaan tanah pula setinggi 210 mm, cukup memadai untuk digunakan di atas jalan raya Malaysia.

Antara kelebihan utama Traz ialah ruang kargo yang cukup besar, sekitar 471 liter.

Rebahkan sahaja tempat duduk baris kedua, dan anda akan disediakan ruang barang yang lebih besar dengan lantai hampir rata.

Radius putaran sekecil 5.2 meter pula memberikan kelebihan yang tersendiri terutama ketika memandu dalam kawasan urban yang sempit.

 

Kabin moden

Melengkapi imej sporti Traz ialah susun atur papan pemuka berorientasikan pemandu.

Sejujurnya, kehadiran ciri olskool seperti meter analog merupakan satu perkara yang amat dihargai oleh penulis.

Ringkas, mudah untuk dibaca.

Terdapat skrin paparan TFT sekecil 4.2 inci, itu pun sudah cukup untuk memaparkan info tambahan yang diperlukan.

Butang kawalan juga besar dan mudah untuk dicapai.

Jadi, penulis tidak berdepan masalah langsung untuk mencapai butang kawalan dan mengaktifkan ciri yang diinginkan semasa memandu.

Kualiti alunan bunyi yang dilontarkan oleh sistem audio Traz juga tidak mengecewakan untuk telinga seorang yang bukan audiophile.

Ada sokongan Apple CarPlay dan Android Auto pada skrin 9 inci untuk memudahkan urusan harian yang memerlukan bantuan sistem navigasi.

Cuma, apa yang perlu Perodua buat ialah kurangkan penggunaan aksen merah pada papan pemuka, kerana ia dilihat agak keterlaluan pada pandangan mata.

 

Pemanduan tidak sporti yang disangka

“Tekan, tekan, pergi” bukanlah moto Traz jika dibandingkan dengan Ativa yang hadir dengan enjin turbo.

Traz berkongsi enjin 1.5 liter (2NR-VE) yang sama wujud pada Perodua Myvi dan Toyota Vios.

Jadi, usah harapkan pecutan sepantas kilat di persimpangan lampu isyarat saat lampu merah bertukar hijau.

Dengan padanan transmisi D-CVT, Traz direka untuk pemanduan yang lebih santai, dan lebih mengutamakan keselesaan.

Mahukan pecutan yang lebih bertenaga, tukar saja kepada mod Power.

Biarpun hadir tanpa enjin turbo, penulis lebih gemar aspek pemanduan Traz yang rasa lebih stabil berbanding Ativa.

Prestasi brek juga meyakinkan, namun ia tidak diseimbangkan dengan talaan stereng yang lebih tajam.

Pengendaliannya terasa sedikit kaku dan tidak responsif seperti yang diharapkan, terutama pada kelajuan lebuh raya yang lebih tinggi.

Namun ia bukanlah satu masalah besar bagi kebanyakan demografik pengguna Traz.

Disebabkan casis yang lebih stabil, Traz juga sebenarnya seronok dipandu di laluan yang berliku walaupun sekadar dibantu dengan tayar standard Proxes CR1.

Kurang olengan casis dirasakan, dan pada kelajuan yang dibenarkan Traz ini boleh dipandu melekat sepanjang selekoh.

 

Keselesaan

Seperkara yang harus dipuji ialah tempat duduk Traz yang cukup besar dan selesa untuk penumpang dewasa, baik baris depan mahupun belakang.

Tidak seperti Ativa di mana pemandu perlu duduk menegak, posisi pemanduan Traz dirasakan lebih natural.

Sejujurnya, ini antara tempat duduk Perodua yang paling sedap pernah dihasilkan setakat ini.

Dengan sokongan kusyen untuk bahagian peha yang lebih panjang, ia membantu mengurangkan keletihan terutama ketika perjalanan jauh.

Larasan manual? Tidak menjadi masalah.

Setidak-tidaknya, ia mengurangkan kebergantungan diri terhadap perkakasan elektronik dalam SUV ini.

Aspek NVH juga cukup baik di mana penulis dapat merasakan suasana kabin kekal senyap.

Cuma sekali sekala tumpuan sedikit terganggu akibat bunyi bising enjin yang dikerah secara paksa.

Talaan suspensi juga dirasakan agak baik untuk sebuah Perodua, sesuai untuk kebanyakan permukaan jalan raya di Malaysia.

Ia mampu menyerap ketidakrataan jalan, menapis dan mengurangkan gegaran bagi memastikan kabin kekal selesa. Terasa macam kereta rali pula sekali sekala.

 

Keselamatan

Dengan ciri ADAS, kamera 360 darjah, dashcam dan penarafan lima bintang ASEAN NCAP, Traz boleh jadi satu model yang patut dipertimbangkan.

Disebalik senarai yang dibekalkan, satu sahaja kekurangan yang ada pada Traz: tiada fungsi kawalan jelajah adaptif (ACC).

Ketiadaan ciri tersebut membuatkan roda stereng Traz terasa kosong, boleh membuatkan ramai pembeli prospek berbelah bagi.

Namun, cuba bilang dengan jari berapa kali anda perlukan (dan aktifkan) ciri tersebut setiap kali memandu.

Kebanyakan masa dihabiskan dalam kesesakan trafik, balik kampung pun sekali-sekala, kan?

 

Kesimpulan

Terdapat banyak pilihan SUV segmen B yang ada dipasaran pada ketika ini.

Dalam julat harga sekitar RM100,000 ada SUV yang terlebih kuasa, terlebih canggih, dan terlampau jimat minyak.

Ciri sebegini memang mengujakan majoriti demografik pembeli masa kini terutama golongan muda.

Namun, usah lupakan kelompok pengguna yang masih mendambakan kereta moden dengan ciri teknologi yang lebih ringkas, tahan lasak, mudah dipercayai dan lebih penting kos pemilikan yang lebih murah.

Jadi, Perodua Traz merupakan jawapan yang ideal sekiranya anda berada di persimpangan dilema untuk memilih SUV yang sesuai digunakan setiap hari.

 

Spesifikasi Perodua Traz 2026

  • Enjin 1.5 liter 2NR-VE
  • Kuasa  105 PS @ 6,000 rpm, daya kilas 138 Nm @ 4,200 rpm
  • Transmisi D-CVT
  • Pacuan roda depan
  • Suspensi topang MacPherson/torsion beam
  • Rim 17 inci

Proton Saga 2026: Sedan aras mula dengan nilai hebat – pandu uji

Diperkenalkan pada tahun 1985, Proton Saga kekal menjadi salah satu model terpenting bagi landskap automotif tempatan.

Saga bukanlah sekadar sebuah mod pengangkutan dari titik A ke titik B, akan tetapi satu keperluan bagi mereka yang mahukan kereta yang selesa, canggih dan juga selamat.

Model facelift ketiga (MC3) yang dilancarkan tahun lepas hadir dengan pakej yang cukup kuat untuk memalukan pesaingnya.

Ini terbukti apabila jualan Saga berjaya mengatasi Perodua Bezza sepanjang bulan Januari 2026!

Kami berkesempatan untuk memandu uji Saga, dan berikut merupakan pendapat kami tentang sedan baharu Proton ini.

 

Reka bentuk Saga lebih premium

Sedan aras mula ini sudah pun melalui tiga fasa rekaan:

  • Rekaan berkotak Mitsubishi (1985)
  • Rekaan Proton asli (2008)
  • Rekaan Geely (2025)

Memang tidak dinafikan, Saga baharu menawarkan imej yang lebih canggih, ditambah pula dengan muka hadapan yang selaras dengan model X Proton lain (X70 & X90).

Kalau dulu lampu DRL datang dalam pakej berasingan, Saga baharu ini datang dengan lampu DRL terbina dalam unit lampu utama.

Saga juga hadir dengan lampu projektor LED yang cukup terang untuk pemanduan waktu malam.

Imej Saga juga kini bertambah premium dengan kehadiran lampu belakang LED melintang penuh, selari dengan trend rekaan kereta semasa.

Sayang sekali, bahagian sisi sedan ini merupakan satu petunjuk Saga masih lagi kekal dengan platform sedia ada.

Kepada pemilik Saga baharu, anda seharusnya berterima kasih kepada Proton Savvy.

 

Kabin lebih canggih dan premium

Disebabkan dimensi asal yang tidak berubah banyak, ruang kabin Saga ini tidak dirasakan lebih luas berbanding model terdahulu.

Susun atur papan pemuka juga telah diberikan nafas baharu.

Varian Premium yang kami pandu uji ini hadir dengan skrin kluster digital 7 inci, diikuti skrin infohibur 9 inci di bahagian tengah.

Butang fizikal untuk kawalan iklim masih lagi dikekalkan, cuma dengan rekaan yang lebih ringkas, tombol dan butang pula dikecilkan saiznya.

Tidak dinafikan, Saga baharu ini menawarkan pengalaman yang rasa lebih mahal untuk sebuah sedan aras mula.

Tombol kawalan iklim tadi tidak terasa murah bila diputar, begitu juga halnya bila tuil lampu isyarat membelok dan penyeka kaca digunakan sepanjang pemanduan.

Sistem pendingin hawa juga memang cemerlang, itu adalah identiti kereta Proton sejak sekian lama.

Seperkara lagi, Saga kini sudah menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto. Tanpa wayar!

Sistem audio juga menawarkan kualiti yang sedap sebagai peneman di dalam kabin yang senyap sepanjang perjalanan.

 

Pemanduan

Salah satu perkara yang membuatkan Saga baharu ini lebih menyerlah ialah enjin baharu 1.5 liter i-GT yang digunakan.

Enjin 1,499 cc ini berupaya menjana kuasa setinggi 120 PS @ 6,100 rpm dan 150 Nm @ 4,000 rpm, jauh lebih bertenaga berbanding enjin Campro 94 hp/120 Nm.

Jimat minyak? Sudah pasti.

Untuk setangki penuh Saga ini boleh bergerak sejauh lebih 500 km pun sudah lebih daripada memadai.

Kadar penggunaan bahan api dicatatkan sekitar 6.5 liter untuk setiap 100 km.

Aspek ride & handling juga telah ditambah baik, menjadikan pemanduan Saga ini lebih mengujakan terutama bila berdepan dengan seksyen jalan yang berliku.

Talaan suspensi topang MacPherson dan torsion beam pada Saga ini juga lebih dekat dengan jiwa, pemanduan rasa sporti dan dalam masa yang sama aspek keselesaan tetap menjadi keutamaan.

Segala kekasaran dan gegaran berjaya ditapis dengan baik, menjadikan pemanduan Saga ini terasa mahal bila duduk di dalam walaupun jalan di luar menyerupai permukaan bulan.

Bunyi enjin juga tidak lagi mengaum macam zaman Campro dulu-dulu.

Enjin i-GT aspirasi semula jadi itu hanya menghasilkan bunyi dengungan frekuensi rendah yang langsung tidak mengganggu tumpuan pemandu ketika pedal pendikit ditekan rapat.

 

Saga bukanlah kereta sempurna

Di sebalik beberapa penemuan positif itu tadi, Saga bukanlah satu kereta yang sempurna.

Ada beberapa perkara yang perlu diberikan tumpuan supaya Saga ini menjadi lebih sempurna:

Satu, respons transmisi CVT yang cukup menyeksa jiwa terutama pada julat rpm yang rendah.

Pada kelajuan normal, tidak menjadi masalah, cuma Saga ini akan membuatkan anda sakit hati bila memasuki jalan yang ada banyak persimpangan lampu isyarat.

Atau Shah Alam Darul Bulatan.

Sukar untuk mendapatkan pola pemanduan yang lancar di dalam Saga disebabkan hal ini.

Sebagai seorang yang sudah terbiasa dengan kereta manual, penulis berharap Saga satu hari nanti dilengkapi dengan transmisi enam kelajuan.

Kedua, titik gigit pedal brek dirasakan terlalu jauh ke depan.

Bukanlah nak kata sistem brek Saga ini teruk pun sebab ia masih mampu menghentikan pergerakan kereta dengan baik.

Jadi, jika anda merancang untuk memandu laju Saga ini, sila pastikan kaki sentiasa bersedia untuk berdepan dengan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ketiga, tayar.

Tayar standard Atlas yang dibekalkan itu tidaklah teruk pun, atas jalan basah juga masih lagi ok, cuma ada lagi pilihan yang lebih baik dalam pasaran.

Sekiranya anda berminat jugak dengan Saga, pastikan ada bajet yang mencukupi untuk tukar tayar jika anda mahukan pemanduan Saga yang lebih meyakinkan.

 

Kekurangan kabin Saga yang boleh ditambah baik

Untuk ruang kabin pula, ada beberapa penambahbaikan yang boleh dibuat.

Satu, kadar kecerahan skrin kluster boleh direndahkan lagi supaya tidak terlalu silau pada waktu malam sampai kereta sebelah boleh perasan.

Dua, walaupun Saga sudah ada sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem operasi Altas itu tidak begitu stabil.

Kadang kala, sistem akan ‘restart’ sendiri secara tiba-tiba dan keadaan ini menyukarkan terutama ketika pemandu sedang bergantung kepada sistem navigasi pemetaan.

Ketiga, ada penyelesaian untuk masalah Apple CarPlay/Android Auto yang terputus secara tiba-tiba, iaitu penggunaan wayar USB.

Cuma, kedudukan port USB yang terlalu rapat dengan kepala lutut menyebabkan pemanduan menjadi tidak selesa, dah la Saga langsung tiada tempat rehat kaki kiri.

Keempat, posisi pemanduan Saga baharu ini dirasakan agak tinggi, walaupun sudah dilaraskan pada kedudukan yang paling rendah.

Ini menjadikan pandangan mata sudah hampir menyamai kedudukan cermin pandang belakang.

Keadaan ini amat menyukarkan pemandu terutama ketika menaiki atau menuruni kawasan parkir bertingkat.

Mungkin juga ini merupakan satu sesi pra-rasa untuk Saga Cross yang bakal dilancarkan tidak lama lagi. Mungkin.

 

Keselamatan mengatasi Iriz, Persona

Setelah sekian lama menanti, Proton akhirnya menyumbat segala keperluan keselamatan yang diperlukan untuk sebuah kereta aras mula.

Enam beg udara didatangkan standard untuk varian Premium, diikuti dengan ciri keselamatan termaju seperti:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB)

Akhir sekali, Saga hadir dengan ciri Pemantauan Titik Buta (BSM). Satu penambahan yang amat-amat dihargai.

Iriz dan Persona pun tak dapat ciri ini tau!

Saga juga turut mendapat ciri penderia parkir depan dan belakang yang agak sensitif, dan mengganggu terutama ketika dalam kesesakan trafik.

Tidak dilupakan, amaran had kelajuan sekiranya sistem mendapati Saga ini dipandu melebih had yang dibenarkan.

Seperkara yang penulis mahu puji pada Saga ini ialah sistem amaran yang mengingatkan pemandu tentang kehadiran kanak-kanak (dan barang berharga) di belakang setiap kali enjin dimatikan.

Bunyi yang dihasilkan agak jelas dan nyaring untuk memastikan tiada seorang pun pemilik Saga menghidapi sindrom terlupa anak.

Hilang barang boleh diganti, hilang anak penyesalan menanti.

 

Kesimpulan

Melihatkan kepada pakej dan spesifikasi yang ditawarkan, Proton Saga ini bukan lagi model yang boleh anda pandang ringan.

Ia ada segalanya yang diperlukan pada sebuah sedan aras mula – kuasa, keselesaan, ruang, dan teknologi yang dapat memudahkan urusan harian.

Paling penting, harga yang mampu dimiliki kebanyakan pengguna yang mahu mencari kereta pertama.

Seperti mana Iriz yang dilancarkan pada tahun 2014, Proton Saga kini telah menetapkan satu standard baharu untuk segmen sedan aras mula.

Syabas Proton!

 

Spesifikasi ringkas Proton Saga 2026

  • Enjin 1.5 liter i-GT kitaran Atkinson
  • Kuasa 120 PS @ 6,100 rpm
  • Daya kilas 150 Nm @ 4,000 rpm
  • Transmisi CVT
  • Pacuan roda depan
  • Tetapan suspensi topang MacPherson/torsion beam
  • Rim 15 inci

 

Nissan Serena e‑Power (C28): evolusi nyata dari S‑Hybrid – pandu uji ringkas

Bak kata pepatah Melayu, “biar lambat asal selamat” (sampai).

Setelah lebih tiga tahun membuat kemunculan di peringkat global, pengedar Nissan iaitu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) akhirnya bakal melancarkan Serena e-Power secara rasmi Mac ini.

Walaupun kehadirannya boleh dikira agak lewat, namun pihak ETCM mendakwa pihaknya sudah pun menerima 400 tempahan untuk model MPV tersebut.

Sudah tentu ada beberapa perkara pada Serena ePower yang membuatkan pemilik Nissan Serena sedia ada berminat dengan model baharu ini.

Minggu lalu, pihak ETCM menjemput sekumpulan para pengamal media untuk sesi pandu uji dari Petaling Jaya menuju ke Kuantan supaya kami dapat menilai penambahbaikan yang telah dibuat.

Berikut merupakan beberapa perkara positif yang kami dapat korek daripada Serena e-Power:

 

1. e-Power lebih bertenaga

Salah satu peningkatan terbesar yang wujud pada MPV keluarga ini ialah sistem e-Power (163 PS/315 Nm) bagi menggantikan nadi S-Hybrid pada model C27.

Kalau sebelum ini Serena S‑Hybrid selalu rasa macam “boleh… tapi jangan minta lebih”, sistem e‑Power baharu ini bagi nafas yang jauh lebih yakin.

Motor elektriknya mampu menawarkan respon yang lebih spontan, lebih padu, dan lebih senyap, persis sebuah EV.

Bukan nak kata ia tiba‑tiba jadi MPV laju, tapi kali ini Serena tak lagi rasa berat bila nak memotong atau mendaki berbanding sistem S-Hybrid terdahulu.

Tekan pedal, kereta gerak dengan lancar dan tak perlukan drama. Inilah karakter yang sepatutnya ada pada MPV keluarga moden.

Serena e-Power menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 5.4 liter untuk setiap 100 km, atau jarak pemanduan sehingga 1,000 km.

 

2. Kabin senyap

Selain daripada sistem e-Power yang ternyata cekap, aspek NVH (kebisingan, gegaran & kekasaran) merupakan satu lagi perkara positif yang kami perasan.

Ruang kabin rasa lebih senyap dan selesa sehinggakan kami terlupa ini sebenarnya bukanlah sebuah MPV elektrik.

Perkara ini disumbangkan oleh beberapa perkara seperti penggunaan kaca akustik serta tirai udara pada bampar depan yang turut menjadikan pemanduan lebih stabil.

Bunyi bising angin hanya jelas kedengaran apabila MPV ini dipandu pada kelajuan yang lebih tinggi – ia bukanlah satu masalah besar kerana kebanyakan masa MPV ini akan dipandu patuh pada had laju kebangsaan yang telah ditetapkan.

Bunyi bising enjin juga tidak begitu ketara apabila sistem e-Power dikerah secara agresif, seolah-olah Nissan meletakkan enjin 1.4L NA tersebut di depan bampar.

Ia tidak mengaum, akan tetapi menghasilkan satu bunyi dengungan rendah yang langsung tidak mengganggu tumpuan pemandu.

 

3. Kurang perasaan mabuk kereta

Salah satu perkara baharu yang wujud pada Serena e-Power ialah rekaan sistem suspensi hadapan baharu untuk menjadikan pemanduan lebih stabil dan selesa.

Menurut Nissan, Serena e-Power menggunakan asas suspensi SUV untuk mengurangkan kadar olengan badan serta kawalan yang lebih baik.

Secara keseluruhan, talaan suspensi Serena e-Power lebih cenderung untuk menjadikan perjalanan lebih selesa, kurang bergoyang-goyang dan dibantu pula dengan tempat duduk Zero Gravity untuk mengurangkan kesan mabuk kereta terutama untuk penumpang belakang.

4. Juara praktikaliti

Untuk sebuah MPV kegunaan keluarga, Nissan Serena menawarkan banyak tempat untuk meletakkan barang.

Sesuai dengan perkembangan semasa di mana manusia kini banyak bergantung kepada peranti pintar, Serena menawarkan beberapa ruang khas untuk meletakkan telefon bimbit, termasuklah slot pengecasan tanpa wayar dan enam port USB.

Untuk penumpang baris kedua pula disediakan meja lipat, serta tempat duduk baris kedua yang boleh dilaras empat arah.

Selain itu, tidak kurang dari 22 tempat meletakkan cawan disediakan di seluruh kabin.

Boleh dikatakan, Serena ini MPV yang faham realiti hidup: anak ada mainan, ibu ada beg kecil, ayah ada powerbank, semua ada tempat masing‑masing.

 

5. Kekalkan elemen Serena terdahulu

Walaupun Serena e-Power menawarkan banyak penambahbaikan, identiti sebenar Serena masih lagi berjaya dikekalkan, seperti contoh susun atur tempat duduk yang menyediakan ruang berjalan dari baris pertama ke baris ketiga.

Selain itu, ia masih mempunyai bukaan pintu gelangsar kiri dan kanan yang luas, dimensi kabin yang tinggi, tingkap yang besar, serta akses keluar masuk yang mudah.

Serena turut mengekalkan ciri Dual Back Door dengan dua cara bukaan yang mampu memudahkan urusan untuk mengambil atau meletakkan barang terutama di kawasan parkir yang sempit.

Jadi, golongan bapa mithali usah khuatir kerana identiti Serena yang terdahulu masih lagi diwarisi dan dikekalkan pada Serena baharu.

 

Kesimpulan

Dengan ciri-ciri praktikaliti dan pembaharuan yang ada, Nissan Serena e-Power mampu menjadi pilihan kereta keluarga yang ideal untuk tahun 2026.

Menurut ETCM, Serena e-Power bakal dijual pada harga anggaran dari RM160,000-RM180,000.

Spesifikasi Nissan Serena e-Power (termasuk ciri keselamatan) boleh dibaca pada pautan INI.

Chery Tiggo 7 PHEV berjaya capai misi 1,200 km tanpa isi minyak – pandu uji

Chery Malaysia telah pun melancarkan model SUV plug-in hybrid terbaharunya Tiggo 7 PHEV dua bulan lepas, dengan harga jualan dari RM129,800.

Ini menjadikan Tiggo 7 PHEV sebagai salah satu pilihan yang cukup berbaloi untuk dipertimbangkan, terutama bagi mereka yang terkesan dengan pelaksanaan subsidi Budi95 dan tidak mahu menjadikan kereta elektrik (EV) sebagai kenderaan utama.

Atas kertas, Chery Tiggo 7 PHEV dibekalkan dengan enjin 1.5 liter turbo (143 PS/215 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik (204 PS/310 Nm), dengan kuasa keseluruhan 279 PS dan 365 Nm.

Dengan gandingan pek bateri 18.3 kWh (jarak gerak elektrik 90 km) dan tangki bahan api 60 liter, Tiggo 7 PHEV boleh mencapai jarak perjalanan sejauh 1,200 km.

Persoalannya sekarang: mampukah Tiggo 7 PHEV mencapai jarak perjalanan yang didakwa itu?

Baru-baru ini Chery Malaysia menganjurkan sesi pandu uji media yang dinamakan sebagai Endless Horizon Challenge.

Cabarannya mudah, buktikan Tiggo 7 PHEV mampu capai jarak pandu 1,200 km tanpa perlu membuat pengisian bahan api atau mengecas bateri.

Untuk mengelakkan sebarang penipuan, kedua-dua penutup tangki bahan api dan port pengecasan ditampal dengan pelekat, dan kami hanya perlu bergantung sepenuhnya dengan apa yang telah dibekalkan dari garis permulaan.

 

Hari Pertama: Kuala Lumpur-Kuala Terengganu

Perjalanan kami bermula di Bamboo Hills berbekalkan tangki minyak penuh 60 liter dan bateri 100 peratus.

Sementara bacaan di meter pula menunjukkan jarak perjalanan sejauh 862 km, itu pun sudah cukup untuk membuatkan mana-mana pemandu rasa berpeluh. “Boleh ke SUV ni cecah 1,200 km?”

Pemanduan meredah kesesakan trafik pagi di Kuala Lumpur bukanlah satu cabaran besar.

Ini kerana sistem Chery Super Hybrid (CSH) itu dengan pintarnya menentukan operasi yang bertepatan dengan input pendikit yang ditekan oleh kaki kanan pemandu.

Sepanjang masa, ia hanya bergantung kepada operasi motor elektrik, manakala enjin pula hanya masuk campur apabila keadaan memerlukan terutama ketika mendaki laluan bercerun di Lebuhraya KL-Karak.

Dalam mod Tandem, pemandu langsung tidak perasan bila masa enjin diaktifkan lantaran operasinya yang terlalu lancar dan tidak menyalurkan sebarang gegaran kepada penumpang dalam ruang kabin.

Masuk sahaja kawasan Pantai Timur, hujan turun dan keadaan itu memaksa kami untuk memandu pada kelajuan yang lebih perlahan – bukan satu masalah pun kerana kami memang mahu capai misi 1,200 km yang telah ditetapkan.

Ruang kabin juga dirasakan luas, di mana ruang kaki dan kepala yang cukup besar dan boleh mengurangkan rasa penat ketika membuat perjalanan jauh.

Kami tiba di Kuala Terengganu pada jam 8 lebih malam dengan jumlah jarak perjalanan keseluruhan sekitar 471 km, manakala baki jarak perjalanan pula sekitar 721 km.

Kadar penggunaan bahan api pula dicatatkan 3.5 liter untuk setiap 100 km.

 

Hari Kedua: Kuala Terengganu-Royal Belum-Pulau Pinang

Hujan yang turun sejak tengah malam menjadikan hari kedua nampaknya lebih mencabar.

Kami bermula dari Hotel Raia Kuala Terengganu dalam keadaan hujan lebat, menjadikan kelajuan purata lebih rendah berbanding semalam.

Selain itu, kami juga perlu menempuh keadaan jalan biasa yang mempunyai pelbagai jenis kualiti tar dan beberapa kawasan yang dinaiki air.

Namun, ia bukanlah satu masalah besar kerana Chery Tiggo 7 PHEV ini mempunyai keupayaan untuk meredah air sedalam 500 mm.

Cabaran yang lebih besar menanti kami di laluan Lebuhraya Timur-Barat yang biasanya sinonim dengan lori-lori besar dan haiwan liar.

Ketika menempuh jalan mendaki dan bilangan selekoh yang tidak terhingga, bacaan meter minyak dilihat turun agak pantas berbanding kebiasaan.

Namun disebabkan keadaan jalan yang masih basah, kami memandu Tiggo 7 PHEV dengan lebih berhati-hati untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

Setibanya di kawasan Rehat & Rawat Titiwangsa di Gerik, Perak, meter minyak mencatatkan jarak gerak sekitar 470 km sahaja.

Itu pun sudah cukup untuk membuatkan kami bimbang kerana masih jauh perjalanan yang perlu ditempuh.

Namun, kelebihan CSH terserlah apabila Tiggo 7 PHEV mula menurun cerun di mana sistem mengambil kesempatan untuk mengecas semula bateri menggunakan sistem janaan semula (regenerative).

Kami hanya menggunakan tetapan brek yang paling rendah untuk memastikan pemanduan yang lebih lancar.

Selepas makan tengah hari di Royal Belum, kami meneruskan perjalanan menuju ke Pulau Pinang, dan perlu mengambil jalan alternatif disebabkan terdapat laluan yang ditenggelami air sebelum sampai ke Sungai Petani.

Setelah menempuh jarak sejauh 433 km, kami tiba di Hotel Crowne Plaza dengan meter minyak mencatatkan jarak 368 km.

 

Di sepanjang laluan Timur-Barat ini, kami perasan satu perkara: Tiggo 7 PHEV menawarkan tahap pengendalian dan pemanduan yang jauh lebih baik berbanding model ICE.

Kami sempat bertanya tentang hal ini, dan pihak Chery Malaysia mengakui ada talaan khusus diberikan oleh unit R&D tempatan pada Chery Tiggo 7 PHEV untuk menjadikan pengendalian yang lebih baik serta pemanduan yang lebih selesa.

Hal ini akan kami ulas dengan lebih lanjut sekiranya diberikan peluang kelak.

 

Hari Ketiga: Pulau Pinang-Ipoh-Kuala Lumpur

Hari terakhir tiba untuk kami menyelesaikan misi 1,200 km tanpa perlu mengisi minyak dan mengecas bateri.

Dari hotel bermalam di Pulau Pinang, kami meneruskan perjalanan ke arah Ipoh dan Kuala Lumpur merentasi Lebuhraya Utara Selatan.

Selain kesesakan trafik yang biasa berlaku di kawasan Terowong Menora, hujan yang turun sepanjang perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur ‘memaksa’ kami memandu dengan lebih berhemah pada kelajuan yang sopan.

Semua ini demi memastikan Tiggo 7 PHEV ini tidak terkandas di tengah jalan.

Saat meter perjalanan memaparkan angka 1,200 km di kawasan Bestari Jaya, kami bertiga bersorak keriangan kerana berjaya mencapai misi yang telah ditetapkan oleh Chery Malaysia.

Setibanya di Bamboo Hills, Tiggo 7 PHEV ini mencatatkan jarak pemanduan keseluruhan sejauh 1,248 km dengan meter kluster memaparkan jarak gerak tersisa sekitar 93 km dan bateri yang boleh membenarkan SUV ini bergerak sejauh 16 km tanpa setitik petrol.

Kadar penggunaan bahan api secara keseluruhan pula adalah sekitar 4.5 liter per 100 km, jauh lebih rendah berbanding angka rasmi 5 liter/100 km.

Siapa sangka, kenderaan PHEV yang paling murah di Malaysia ini masih mampu menunjukkan prestasi yang setanding dengan model PHEV lain dalam pasaran yang jauh lebih mahal harganya.

Mahukan imej yang sporti? Pengendalian yang meyakinkan? Kabin yang selesa, luas dan senyap? Jimat bahan api? Chery Tiggo 7 PHEV ini dapat memenuhi apa yang anda harapkan.

BYD Seal 6 EV: Sedan elektrik ‘sporti’ mampu beli – pandu uji ringkas

Sporti.

Sekurang-kurangnya, itulah ciri yang cuba BYD ketengahkan untuk model sedan elektrik terbaharu BYD Seal 6 yang dilancarkan dua bulan lepas.

Dengan pakej harga yang berdaya saing (bermula dari RM100 ribu), BYD Seal 6 berjaya mencatatkan jualan lebih 100 unit hanya dalam tempoh minggu pertama selepas pelancaran.

Beberapa minggu yang lepas, kami dijemput oleh BYD Malaysia untuk sesi pandu uji ringkas menuju ke Janda Baik dan Genting Highlands untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan BYD Seal 6 varian Premium.

Berikut merupakan nota ringkas kami:

 

Dimensi dan bentuk

BYD Seal 6 diposisikan sebagai sebuah sedan segmen C, dengan ukuran yang jauh lebih besar berbanding model pesaing seperti Toyota Corolla dan Honda Civic.

Bentuk badan Seal 6 yang tidak begitu sporti berbanding model Seal yang lebih premium itu mengingatkan penulis pada model sedan elektrik buatan Mercedes, iaitu EQE dan EQS.

Namun, kelebihan yang nyata pada Seal 6 ialah kapasiti kargo sebesar 525 liter yang terdiri daripada ruang belakang sebesar 460 liter dan frunk 65 liter.

Selain itu, dengan jarak antara roda sepanjang 2,820 mm menjadikan kabin Seal 6 dirasakan lebih luas dan selesa ditambah pula dengan struktur lantai belakang yang rata.

 

Prestasi atas jalan

Varian Premium yang kami pandu uji ini dibekalkan dengan motor elektrik pacuan roda belakang berkuasa 215 hp dan 330 Nm.

Aspek pemanduan dibantu dengan tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan tetapan multi-link di belakang yang ditala sesuai untuk kegunaan di Malaysia.

Pecutan yang diberikan agak linear dan tiada aksi kejutan yang mampu membuatkan leher pemandu terkehel.

Dengan kawalan pendikit yang baik, Seal 6 boleh mencapai kelajuan yang diinginkan tanpa gangguan.

Talaan suspensi juga agak berkesan untuk mengurangkan gegaran dan ketidakrataan jalan daripada mengganggu kesejahteraan penumpang.

Walaupun ia hadir dengan tetapan RWD, Seal 6 tidak menunjukkan karakter yang sporti ketika dipandu sedikit agresif.

Ini kerana selain daripada talaan stereng Seal 6 tidak mengujakan penulis, sedan ini juga didatangkan dengan balutan getah pada keempat-empat sudut yang dirasakan kurang meyakinkan terutama di selekoh.

Kelebihan talaan suspensi yang disebutkan tadi itu juga lenyap tatkala Seal 6 dibawa naik ke atas Genting Highlands.

Di kebanyakan selekoh, sedan ini dirasakan agak membuai.

 

Pengalaman dalam kabin

Mungkin sedan ini kurang sesuai untuk mereka yang mahukan pemanduan berprestasi.

Tapi untuk kebanyakan lapisan pengguna, ia sudah lebih daripada memadai.

Tempat duduk balutan kulit sintetik itu cukup selesa dan memegang erat pemandu sepanjang masa, dan dimensi kusyen yang cukup menyokong bahagian bawah peha.

Tempat duduk belakang juga cukup luas dan selesa, ditambah dengan rekaan lantai yang rata. Aspek NVH juga tidak mengecewakan sepanjang perjalanan.

Susun atur papan pemuka yang minimalis itu menempatkan skrin tengah sebesar 12 inci yang tidak boleh diputar, namun menyumbatkan segala macam fungsi penting kenderaan.

Paling penting, ada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Itu perkara wajib yang patut ada pada mana-mana kereta moden.

Masih lagi terdapat beberapa butang fungsi fizikal pada konsol tengah, lengkap dengan tempat meletakkan peranti pintar dengan fungsi pengecasan tanpa wayar disertakan.

Mujur fungsi larasan cermin sisi masih lagi dikekalkan pada panel pintu.

Cuma sayang sekali, walaupun hadir dengan kelengkapan keselamatan yang canggih seperti AEB, FCW, LDW dan kamera 360 darjah, sedan ini tidak langsung mempunyai ciri pemantauan titik buta (BSM) walaupun untuk varian yang lebih tinggi.

 

Alternatif kepada sedan segmen C di luar sana?

Ya, dengan harga di bawah julat RM120 ribu BYD Seal 6 boleh jadi satu alternatif yang baik jika anda perlukan sebuah kereta sedan yang besar, selesa, moden.

Tambah pula jika anda kini terkesan kerana tidak lagi mendapat bantuan subsidi Budi95.

Apapun, tepuk dada, tanyalah selera. Seperti yang pernah kami tekankan sebelum ini, pandu uji terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

Malaysia negara pertama terima kehadiran BYD Seal 6 2025, harga dari RM100k

Lima perkara anda perlu tahu tentang Proton e.MAS 5 – pandu uji ringkas

Terus terang dan jujur kami cakap, Proton e.MAS 5 kini merupakan antara kereta kecil berkuasa elektrik yang cukup menarik untuk dipertimbangkan pada ketika ini.

Dengan harga jualan anggaran dari RM60,000 hingga RM80,000, e.MAS 5 ini sangat sesuai untuk dijadikan sebagai kereta basahan setiap hari.

Sesi pandu uji ringkas yang dibuat tempoh hari mendedahkan serba sedikit apa yang anda boleh jangkakan pada e.MAS 5.

Berikut merupakan ulasan ringkas kami:

 

1. Kereta kecil, tapi ruang besar

Ya, jika e.MAS 5 ini berada di depan mata, anda akan bersetuju bahawa dimensi EV ini sememangnya kecil. Lebih kecil berbanding BYD Dolphin.

Namun, disebabkan ia sebuah EV, e.MAS 5 menawarkan pakej ruang simpanan yang memadai, dengan frunk sebesar 70 liter, diikuti ruang kargo sebesar 375 liter (atau sehingga 1,320 liter) apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Tidak cukup? Terdapat sehingga 32 ruang storan tersedia di sekitar kabin termasuklah laci sebesar 28 liter bawah tempat duduk baris kedua dan ruang 20 liter bawah konsol tengah.

 

2. Posisi pemanduan yang cukup selesa

Saat mula masuk dan duduk di dalam kabin, penulis dapat rasa tempat duduk yang ditawarkan oleh e.MAS 5 ini cukup selesa.

Dimensi kusyen tempat duduk pemandu mampu menyokong bahagian bawah peha, menjadikan pemanduan lebih selesa dan tidak memenatkan. Tidak seperti Proton X50.

Untuk makluman, e.MAS 5 hanya diberikan tempat duduk larasan manual. Bagi penulis, tidak menjadi masalah. Kurang kebergantungan terhadap sistem elektronik.

Roda stereng pula hanya diberikan larasan atas dan bawah tanpa larasan teleskopik.

Untuk penulis, posisi pemanduan yang ditawarkan cukup selesa, namun mungkin tidak bagi mereka yang mempunyai fizikal yang besar dan tinggi.

 

3. Prestasi

Varian yang kami pandu uji merupakan e.MAS 5 Premium yang dilengkapi dengan motor elektrik 114 hp/150 Nm.

Ia bukanlah sebuah EV yang berkuasa, namun sudah memadai untuk bergerak dengan selesa dan dalam masa yang sama, lincah!

e.MAS 5 menawarkan pecutan sepantas 3.9 saat, tapi dari 0-50 km/j sahaja. Berdasarkan pengalaman ringkas, boleh dirasakan e.MAS 5 mengambil masa yang sedikit lama untuk mencapai kelajuan 100 km/j.

Apa yang kami boleh puji ialah kecekapan sistem brek yang mampu memberhentikan EV ini pada jarak 36.9 meter dari 100-0 km/j tanpa membuatkan pemandu berpeluh.

 

4. Pengendalian

Sesi seterusnya, kami diberikan ujian pengendalian slalom dan pusingan lapan.

Dengan radius putaran sekecil 4.95 meter, tetapan suspensi multi-link dan sistem pacuan roda belakang, e.MAS 5 menunjukkan karakter yang lincah dan mudah untuk dikawal.

Ia turut dibantu dengan talaan stereng yang cukup rasa, tepat dan tidak terlalu ringan.

Untuk mengubah haluan secara tiba-tiba juga tidak menjadi masalah di mana respons stereng e.MAS 5 ini cukup meyakinkan.

Penulis juga tidak perlu membuat pembetulan stereng dengan lebih kerap ketika melalui kawasan berselekoh.

 

5. Bagaimana pemanduan di lebuh raya?

Sesi seterusnya, penulis dibawa merasai pemanduan e.MAS 5 di litar berkelajuan tinggi.

Apa yang boleh penulis simpulkan, e.MAS 5 cukup stabil ketika pemanduan mencapai kelajuan tiga angka.

Lebih mengejutkan penulis apabila talaan suspensi e.MAS 5 ini dirasakan lebih baik jika dibandingkan dengan abangnya e.MAS 7 – kurang olengan badan yang ketara ketika di selekoh.

Selain itu, talaan stereng cukup meyakinkan ketika e.MAS 5 mencapai kelajuan tinggi, dan tidak banyak pembetulan yang perlu dibuat untuk memastikan EV ini kekal di laluannya.

Cuma kekurangan yang kami perasan ialah bunyi bising angin menerjah masuk pada kelajuan 110 km/j, dan anda perlu berpuas hati kerana had laju maksimum dihadkan kepada 140 km/j sahaja.

Proton e.MAS 5 bakal dilancarkan tidak lama lagi, jadi apa pendapat anda tentang EV Malaysia pertama mampu milik ini?

 

Proton X50 2025 versi facelift padam kelemahan model terdahulu – pandu uji pertama

Penulis masih teringat saat kali pertama memandu uji SUV segmen B Proton X50 beberapa tahun yang lepas – pada ketika itu musim COVID mula melanda.

Teruja dengan anjakan rekaan yang dibawakan, namun dalam masa yang sama kecewa dek beberapa kelemahan kesan daripada proses ubah lencana dan perubahan daripada format pemanduan sebelah kiri kepada sebelah kanan.

Proton juga tidak berdiam diri.

Beberapa penambahbaikan telah dibuat menerusi pengenalan model MC dan RC menjadikan kelemahan-kelemahan tersebut kian tenggelam.

Namun, dengan pengenalan model facelift besar beberapa bulan yang lepas, Proton akhirnya berjaya menawarkan sebuah SUV segmen B yang mampu menjadi pilihan yang lebih bernilai.

Namun, adakah ia jauh lebih baik dan mampu memadamkan kelemahan model terdahulu? 

Proton baru-baru ini menjemput kami untuk memandu uji X50 facelift untuk membolehkan kami merasai dan menilai apa yang terkandung di sebalik muka yang lebih garang itu.

Berikut merupakan pandangan awal kami:

 

1. Rupa

Berdasarkan komen-komen di laman media sosial, tidak kurang netizen yang melontarkan pandangan masing-masing tentang rupa bentuk agresif X50 facelift baru ini.

X50 terlebih garang? Mungkin ramai yang bersetuju. Lihat saja bampar depan, rim rekaan baru, serta sayap belakang yang agresif.

Penulis pula berpendapat ia satu perubahan yang lebih segar, memandangkan sudah beberapa tahun X50 ditawarkan tanpa perubahan yang besar.

Malah sepanjang perjalanan tadi banyak juga mata-mata yang memerhati SUV yang kami pandu ini ketika sedang meluncur atas jalan.

 

2. Enjin baharu

Ya, perubahan yang ketara dibawakan selain rupa paras ialah unit pacuan serba baharu.

Hilang sudah nadi tiga silinder sebaris, ucapkan selamat datang kepada enjin empat silinder sebaris.

Nadi 1.5 liter turbo itu kini berupaya menjana kuasa setinggi 181 PS dan 290 Nm.

Menurut Proton, enjin baharu ini dikatakan lebih jimat bahan api, dan berdasarkan pemanduan seharian yang dibuat dari Proton CEO hingga ke Ipoh, kami berjaya mencatatkan bacaan penggunaan bahan api sekitar 7.4 liter/100 km.

Setelah pemanduan sejauh lebih 250 km (pola pemanduan yang bercampur-campur), anggaran jarak yang tersisa adalah sekitar 440 km.

Yang pasti, X50 facelift ini jauh lebih jimat berbanding model X50 terdahulu.

 

3. Pemanduan Proton yang sebenar?

Perjalanan kami kali ini tidaklah tertumpu kepada pemanduan di atas lebuh raya semata-mata.

Tidak terlalu bergantung kepada Waze, kami lebih gemar melalui jalan lama untuk menilai dengan lebih teliti tahap pengendalian SUV popular ini.

Sejujurnya, apa yang ditawarkan pada X50 facelift kali ini benar-benar diluar jangkaan.

Input stereng yang jauh lebih hidup, dan tidak banyak pembetulan yang perlu dibuat oleh pemandu ketika sedang melayan selekoh.

Talaan suspensi juga rasa lebih dekat dengan apa yang penulis cuba harapkan daripada sebuah model Proton.

Selesa, tidak terlalu membuai-buai, dan pengendalian yang lebih meyakinkan.

Walaupun sesi ujian kali ini agak singkat, namun ia benar-benar membuatkan penulis kagum dengan Proton X50 facelift ini.

 

4. Kabin macam EV, tapi…

Ruang kabin X50 kali ini membawakan susun atur yang lebih mirip kepada Proton e.MAS 7.

Nampak lebih kemas dan ringkas tanpa kehadiran butang fungsi fizikal, malah tombol penukaran gear PRDN juga telah dialihkan kepada kolum stereng bagi menjadikan ruang tengah nampak luas.

Cuma, bila terlalu ringkas menyebabkan beberapa fungsi penting dialihkan ke dalam skrin infohibur.

Sejujurnya, penulis lebih harapkan fungsi seperti kawalan suhu, dan pemilihan mod pemanduan dikekalkan dalam bentuk butang fizikal yang mudah dicapai.

Ia bukanlah satu masalah besar sekiranya anda seorang yang tidak kisah langsung tentang semua itu.

Sebab segalanya boleh dikawal menerusi arahan suara dwi-bahasa, iaitu Inggeris dan Melayu!

Cuma ada kalanya, sistem akan mengambil masa yang sedikit lama untuk memahami apa yang cuba dituturkan oleh pengguna.

Tidak ketinggalan, aspek NVH yang jauh lebih baik berbanding model terdahulu. 

Masih terdapat bunyi bising angin pada kelajuan tertentu, namun tidaklah terlalu ketara.

Terdapat juga bunyi bising tayar yang wujud disebabkan oleh kualiti permukaan jalan yang berbeza mengikut daerah.

 

5. Ciri yang amat dihargai dan perkara yang boleh ditambah baik

Untuk X50 facelift, terdapat beberapa ciri baharu yang amat dihargai terutama ketika melakukan pemanduan jarak jauh, seperti:

  • Sokongan Apple CarPlay tanpa wayar
  • Corong pendingin hawa tengah yang boleh digunakan untuk sejukkan peranti pintar yang sedang dicas
  • Visor penghadang cahaya matahari
  • Tempat meletak beg pada terowong konsol tengah

Perkara yang boleh ditambah baik untuk X50 facelift:

  • Kusyen tempat duduk pemandu boleh ditambah baik terutama sokongan pada bahagian bawah peha untuk kurangkan rasa penat selepas pemanduan jarak jauh

 

Kesimpulan

Berdasarkan pemanduan ringkas dari Lembah Klang ke Ipoh, apa yang kami boleh simpulkan ialah Proton X50 2025 kali ini mampu memadamkan kelemahan yang wujud pada model terdahulu.

Penulis akui ia juga bukanlah sebuah SUV yang serba sempurna, namun penawaran kali ini dilihat jauh lebih baik dan kena pada tekak para peminat Proton.

Lebih banyak ulasan dan pendapat akan kami kongsikan pada masa akan datang.

Lima perkara anda perlu tahu tentang Lexus NX350h – pandu uji ringkas

Dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, kecoh seantero laman media sosial tentang penawaran harga RON95 di bawah program subsidi yang diumumkan oleh kerajaan Madani.

Di zaman yang tidak menentu ini, sudah pasti ada di antara golongan yang lebih berkemampuan di luar sana tidak mahu terjejas dengan kenaikan harga bahan bakar.

EV bukanlah satu pilihan yang ideal untuk sesetengah pihak. Jadi apa pilihan yang ada di pasaran? 

Lexus NX350h yang baru sahaja diperkenalkan oleh Lexus Malaysia sejak beberapa bulan lepas.

Engear TV baru-baru ini dijemput untuk merasai pemanduan singkat SUV mewah berkuasa hibrid ini menuju ke negeri pelancongan terkenal di selatan tanah air.

Kami kemudian singgah di sebuah lokasi penginapan baharu yang digelar sebagai The Lisbon Melaka untuk menikmati hidangan fusion yang ditawarkan.

Berikut merupakan ulasan ringkas kami:

 

1. Rupa luaran

Secara fizikal, tidak banyak yang berubah untuk varian hibrid berbanding varian NX250 yang digantikannya itu.

Perkakasan standard termasuklah unit lampu projektor LED, lampu belakang LED berbentuk L, serta rim bersaiz 20 inci yang dibaluti tayar 235/50.

 

2. Unit pacuan hibrid

Perubahan besar yang wujud kali ini ialah kehadiran unit pacuan hibrid.

Sistem hibrid yang terdiri daripada enjin 2.5 liter NA (A25A-FXS) dipadankan dengan dua motor elektrik, sistem pacuan semua roda E-Four dan transmisi CVT lapan nisbah kelajuan maya.

Secara keseluruhan, NX350h ini mampu menjana kuasa setinggi 243 hp dan 239 Nm dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 5.0 liter/100 km.

Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

 

3. Bagaimana pula dengan ruang kabin?

Ruang kabin NX350h juga masih kekal dengan susun atur standard NX yang dibayangi falsafah Tazuna.

Skrin tengah bersaiz 14 inci diposisikan supaya menghadap pemandu bagi memudahkan operasi penukaran menu/larasan suhu sepanjang perjalanan.

Malah, Lexus dengan baik hatinya masih lagi mengekalkan kehadiran tombol fizikal untuk penukaran mod pemanduan.

Sistem paparan keliling 360 darjah lengkap dengan pandangan ‘tembus’ lantai memudahkan pengendalian di kawasan yang sempit.

Pemandu juga ditemani dengan paparan peta Apple CarPlay tanpa wayar, serta alunan irama yang cukup mengasyikkan daripada sistem audio 10 pembesar suara yang lengkap dengan subwoofer bertenaga.

Selain penawaran warna hitam, pembeli juga boleh memilih kemasan warna merah Dark Rose seperti unit yang kami pandu ini.

Antara kemasan unik yang wujud pada panel pintu ialah tekstur 3D Cutting Black yang lebih menyerlah apabila berada di bawah sinaran mentari.

 

4. Pemanduan jimat minyak

Bagi kami, Lexus NX350h ini berada di posisi yang tepat untuk mereka yang masih ragu-ragu untuk beralih kepada EV.

Dengan sistem hibrid yang cukup cekap, perjalanan jarak jauh boleh dibuat tanpa perlu membuat singgahan ke stesen minyak secara kerap.

Berdasarkan pemanduan ringkas, kami mendapati Lexus NX350h tidak segan silu untuk menguasai laluan kanan lebuh raya pada kelajuan yang stabil untuk dikawal, dalam masa yang sama tidak juga perlahan pecutannya.

Tambah pula bila masuk mod Sport, hamburan kuasa dirasakan lebih bertenaga untuk memalukan sedan segmen B yang acah-acah laju.

Dalam keadaan pemanduan yang cukup bersemangat pergi dan balik itu, Lexus NX350h mencatatkan bacaan penggunaan bahan api sekitar 6.6 liter per 100 km. Jarak pemanduan tersisa berada pada julat 480 km.

Menariknya, SUV hibrid ini turut merekodkan kadar pemanduan sifar emisi lebih 50 peratus, sementara tolok bahan api mencatatkan penurunan sebanyak dua bar sahaja.

Mungkin dengan corak pemanduan yang lebih sopan dan santai, anda mampu mencapai bacaan jarak pemanduan elektrik yang lebih jauh.

Satu kelebihan yang ditawarkan oleh Lexus NX350h ialah suasana kabin yang rasa premium dan senyap sepanjang perjalanan.

Bunyi enjin masih lagi wujud, namun lebih bersifat deruman berbanding ngauman.

 

5. Harga

Untuk pasaran Malaysia, Lexus NX350h ini dijual pada harga bermula dari RM395,888 dan hadir pada masa yang sangat tepat.

Terjejas dengan pelaksanaan subsidi minyak? SUV hibrid ini mungkin sesuai untuk anda!

Denza D9 boleh jadi alternatif terbaik untuk ganti Alphard/Vellfire – pandu uji

Sehingga saat artikel ini ditulis, kelibat minivan elektrik jenama Denza ini sudah banyak kelihatan di atas jalan.

Malah jika anda berkunjung ke mana-mana pusat membeli belah terkemuka, EV ini tidaklah malu untuk diparkir bersebelahan dengan MPV kotak popular pilihan rakyat Malaysia – Alphard & Vellfire.

Sama besar, sama tinggi dan paling penting penampilan yang cukup mewah di atas jalan raya.

Penulis yakin ia kini mampu menjadi satu alternatif yang terbaik untuk menggantikan peranan kembar Alphard/Vellfire.

Itu pun jika anda tidak kisah sekiranya perlu menghabiskan masa (yang tidak seberapa) di stesen pengecasan.

Berikut merupakan pendapat kami setelah beberapa hari diberi peluang untuk memandu uji Denza D9 ini.

 

Penampilan

Seperti yang kami sebutkan tadi, Denza D9 kini sudah menjadi model pilihan bagi rakyat Malaysia yang mahukan sebuah pakej komuter yang besar dan selesa.

Kelebihan yang ketara ialah dimensi yang jauh lebih besar berbanding pesaingnya, jarak antara roda yang lebih panjang ditambah pula dengan pakej penampilan yang premium.

Tidak perlu garis badan yang agresif, ataupun muka yang garang.

Dengan imej serba sederhana itu Denza D9 cukup menonjol di atas jalan raya, ditambah dengan bar krom pada jeriji, rim 18 inci berbilang jejari yang elegan itu dan padanan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang memanjang ke bawah.

Bahagian belakang pula lebih ringkas, cuma grafik pada unit lampu utama itu dilihat agak sibuk.

 

Kokpit pemandu

Untuk pemandu, disediakan kelengkapan yang mampu membuatkan segala urusan yang lebih mudah dan sempurna.

Tempat duduk hadapan lengkap dengan fungsi larasan lapan tahap, sokongan tulang belakang, fungsi pengudaraan, headrest yang boleh diubah sudutnya dan paling penting kusyen yang menyokong bahagian bawah peha.

Sangat penting terutama jika anda kerap melakukan pemanduan jarak jauh.

Butang kawalan fizikal juga masih lagi wujud walaupun Denza D9 ini sebuah EV.

Di bahagian konsol tengah terdapat beberapa suis fungsi penting seperti membuka pintu gelangsar sisi, pemilihan mod pemanduan serta membuka pintu peti sejuk untuk penumpang belakang.

Tombol gear cukup besar dan rasa premium, cuma sayang sekali kedudukan butang P dan Start/Stop berada pada posisi yang salah.

Kerap kali juga penulis tertekan butang Start/Stop ketika otak berniat untuk menekan butang P.

Untuk kawalan iklim pula perlu bergantung kepada skrin tengah sebesar 15.6 inci.

Namun secara keseluruhan, penulis tidak mempunyai komen terhadap tetapan ini, apa yang penting segala fungsi mudah untuk dicapai dan diaktifkan untuk memastikan tahap keselesaan yang optimum untuk penumpang belakang.

 

Ruang untuk bos

Sebut pasal penumpang belakang, atau lebih tepat lagi bos akan menghargai segala fungsi yang disediakan pada baris kedua.

Buka saja pintu, anda akan dihidangkan dengan tempat duduk kapten berserta pakej yang sukar untuk ditemukan pada model lain:
– fungsi pemanas dan pengudaraan
– fungsi urut 10 titik
– perehat kepala dan kaki
– tetapan sifar graviti untuk posisi rehat yang lebih selesa

Segala fungsi itu tadi boleh diaktifkan menerusi skrin kawalan untuk kedua-dua tempat duduk itu tadi.

Bukan itu sahaja, bos belakang yang duduk di sebelah kiri boleh memaksimumkan ruang dengan mengaktifkan ‘boss switch’.

Untuk bekerja dari dalam kabin juga tidak menjadi masalah, kerana Denza D9 menyediakan kelengkapan seperti meja boleh lipat, serta ruang simpanan minuman sejuk dengan suhu yang boleh dilaras antara negatif 6 hingga 50 darjah Celcius.

Terima kasih kepada balutan bahan upholsteri premium Nappa yang membuatkan pengalaman perjalanan yang lebih selesa ditambah pula dengan aspek NVH yang kekal senyap sepanjang masa.

Buat pertama kalinya, penulis menghabiskan lebih banyak masa di tempat duduk baris kedua Denza D9 ini berbanding model pandu uji lain sebelum naik ke rumah semata-mata untuk menikmati fungsi-fungsi mewah tersebut.

Poin seterusnya akan menjelaskan kenapa Denza D9 ini lebih selesa.

 

Pemanduan

Walaupun dimensinya agak besar, namun penulis tidak berdepan masalah untuk mengendalikan MPV premium ini.

Sudut pandang keluar yang cukup besar, talaan stereng yang cukup rasa dan dibantu pula dengan sistem kamera keliling yang menyediakan paparan yang cukup jelas dan tajam.

Semua ini demi memastikan Denza D9 kekal premium tanpa sebarang kesan calar.

Seperti yang telah dijelaskan dalam artikel pandu uji ringkas terdahulu, Denza D9 menyediakan tetapan untuk sistem pacuan, roda stereng, sistem brek serta tetapan suspensi topang MacPherson/Multi-link.

Kelebihan yang ketara pada Denza D9 ialah tetapan suspensi boleh laras adaptif Disus-C untuk kawalan pemanduan dan keselesaan mengikut keperluan.

Kebanyakan masa, penulis lebih gemar menggunakan mod Sport untuk memastikan penumpang di belakang menikmati keselesaan yang diperlukan.

Ini kerana dalam mod Comfort tahap olengan badan MPV ini dapat dirasakan dengan lebih ketara, dan penumpang mungkin akan mengadu tidak selesa.

Mungkin lebih baik jika mod ini digunakan pada kawasan yang mempunyai kualiti turapan tar yang premium.

Biarpun hadir dengan tetapan motor elektrik berkembar, output cecah 369 hp/470 Nm dan prestasi pecutan sepantas 6.9 saat, penulis beranggapan tidak perlu untuk memandu MPV ini serupa syaitan yang terlepas kandang.

Dengan kawalan pendikit yang minima penulis dapat membawa Denza D9 ini mencapai kelajuan yang diinginkan – semua demi keselesaan penumpang VIP di belakang.

 

Sesuai untuk pemanduan jarak jauh

Denza D9 ditawarkan dalam dua varian di pasaran Malaysia.

Versi yang kami pandu uji ini merupakan versi AWD, cuma anda perlu berpuas hati dengan jarak gerak yang sederhana jauh, sekitar 480 km (data WLTP).

Jika kuasa bukan kepentingan, anda boleh saja pilih varian FWD dengan hamburan 309 hp/360 Nm yang mampu membawa anda bergerak sejauh 520 km.

Aspek pengecasan pantas juga bukanlah satu masalah, kerana Denza D9 ini boleh menyokong pengecasan DC sehingga 166 kW.

Dengan kehadiran kemudahan pengecasan pantas tersedia di sepanjang laluan utama, urusan pemanduan jarak jauh di dalam Denza D9 bukan lagi satu masalah besar, terutama ketika ditugaskan untuk membawa golongan VIP ke destinasi tujuan.

 

Harga

Satu lagi kelebihan yang menyebelahi Denza D9 ialah harga jualan yang lebih mampu beli.

Berbanding model pesaing, Denza D9 boleh didapati pada harga serendah RM259,000, atau tambah sedikit untuk varian Premium AWD berharga RM309,000.

Jadi, masih lagi berhajat untuk membeli MPV premium jenama Jepun?

 

Spesifikasi ringkas Denza D9

Nadi penggerak: dua motor elektrik
Kuasa: 369 hp, 470 Nm
Pacuan: semua roda (AWD)
Pecutan: 6.9 saat (0-100 km/j)
Bateri: LFP Blade, kapasiti 103.36 kWh
Pengecasan AC: 11 kW
Pengecasan DC: 166 kW
Jarak gerak: 580 km (data NEDC)
Suspensi: Topang MacPherson/Multi-link, sistem adaptif DiSus-C
Dimensi: 5,250 mm x 1,960 mm, 1,920 mm
Jarak antara roda: 3,110 mm
Radius putaran: 5.95 m
Kargo: 410 liter – 2,310 liter

Kia Sportage 1.6T AWD: SUV santai penuh bergaya – pandu uji

Segmen SUV di Malaysia sememangnya rancak dengan kehadiran pelbagai model dan jenama, baik dari lencana buatan tempatan mahupun jenama luar.

Boleh jadi rambang mata dibuatnya jika anda sendiri tidak tahu kriteria yang perlu dipertimbangkan.

Katakanlah anda mahukan sesuatu yang lebih menonjol daripada kebiasaan tipikal SUV yang ada di jalanan, kami boleh sarankan Kia Sportage 1.6T AWD ini sebagai pilihan yang tepat.

Ia ada segalanya yang anda perlukan untuk sebuah kenderaan kegunaan harian dan paling penting kepuasan pemanduan yang didambakan.

Beli kereta mahal-mahal tapi tak puas memandu, apa gunanya kan?

Berikut merupakan pendapat kami setelah seminggu meminjam Kia Sportage ini daripada Kia Malaysia.

 

Rekaan luar, terlebih menonjol?

 

Untuk makluman, Kia Sportage yang dipasarkan di sini merupakan versi pra-facelift yang telah pun wujud sejak 2021 lagi.

Versi facelift yang lebih garang telah pun dilancarkan di Korea Selatan pada penghujung tahun 2024, namun nak kata rekaan Sportage ini ketinggalan zaman mungkin satu kenyataan yang tidak tepat.

Ini kerana dalam versi pra-facelift sekalipun, Kia Sportage tetap menonjol bila meluncur di atas jalan raya.

Dengan grafik LED boomerang di depan dan belakang, serta garis bumbung yang rendah di belakang sekaligus memberikan imej sporti yang diperlukan pada Sportage.

Setidak-tidaknya, ia merupakan satu rekaan asli yang mampu membuatkan pemilik berpuas hati tatkala memandangnya, dan bukannya meniru mana-mana model.

Tak menoleh ke arah kereta sendiri selepas parkir? Anda mungkin dah beli kereta yang salah.

 

Dimensi

Kia Sportage versi AWD ini berukuran sepanjang 4,660 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,665 mm dan menawarkan jarak antara roda sepanjang 2,755 mm.

Sebagai sebuah SUV segmen C, Kia Sportage sedia menawarkan ruang kabin yang selesa untuk seisi keluarga.

Tiada bumbung kaca panorama bukanlah satu masalah besar, kerana ruang kepala yang disediakan dalam kabin ini cukup luas.

Penumpang belakang juga boleh melaraskan sudut sandaran kerusi belakang untuk postur duduk rehat yang lebih selesa, jadi mereka tidaklah perlu duduk dengan tegak sepanjang masa.

Bagaimana dengan ruang kargo?

Kia Sportage menawarkan ruang barangan sebesar 543 liter secara standard, dan kapasiti itu boleh mencecah sehingga 1,829 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

Pelbagai ciri yang menyenangkan

Salah satu perkara yang membuatkan penulis senang dengan Kia Sportage ini ialah susun atur papan pemuka yang mesra pemandu.

Selain skrin berkembar 12.3 inci melengkung, papan pemuka Sportage ini turut menyediakan panel kawalan berasaskan sentuhan yang lengkap dengan tombol fizikal.

Di situ, anda boleh memilih untuk menjalankan operasi larasan suhu kabin, atau mengubah kandungan media yang dimainkan menerusi lapan pembesar suara sistem audio Harman Kardon.

Bagi penulis, ini merupakan satu ciri yang memudahkan dan amat dialu-alukan.

Ini kerana kebanyakan pengeluar kini lebih gemar menyumbat segala macam butang fungsi ke dalam skrin tengah. Perlu diselongkar dan mampu mengakibatkan tumpuan pemandu lebih terganggu.

Konsol tengah juga turut menempatkan beberapa butang fungsi yang penting, mudah untuk dibaca dan dicapai.

Dial PRND shift-by-wire itu ternyata menjadikan ruang kokpit nampak lebih lapang, cuma ada ketikanya penulis rasa janggal sedikit dek penukaran gear yang tidak konvensional itu.

Paparan skrin kluster digital Sportage ini masih lagi setia menawarkan grafik meter analog dengan beberapa tema yang boleh dipilih mengikut mod pemanduan (Eco, Normal, Sport, Smart).

Usah risau, skrin infohibur turut menyediakan sokongan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto secara standard. Tak perlu nak tunggu kemas kini over-the-air (OTA) pun.

Jika anda perasan, bahagian belakang tempat sandar kepala penumpang hadapan mempunyai cangkuk yang agak besar yang sangat sesuai digunakan untuk menyangkut beg atau tudung.

Tidak ketinggalan, terdapat beberapa cangkuk teh tarik yang turut disediakan – menjadikan Kia Sportage ini lebih mesra rakyat Malaysia berbanding SUV jenama Malaysia itu sendiri yang ada di pasaran.

 

Bagaimana dengan pemanduan?

Unit yang kami pandu uji ini dilengkapi dengan enjin empat silinder sebaris 1.6 liter turbo Gamma II T-GDI menghasilkan 177 hp @ 5,500 rpm dan daya kilas 265 Nm @ 4,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda (AWD) menerusi transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan.

Seperti yang dialami oleh penulis sewaktu sesi pandu uji media tempoh hari, Kia Sportage 1.6T AWD ini ternyata menawarkan respons yang kurang bertenaga untuk julat rpm yang rendah.

Ini mendatangkan sedikit kesukaran untuk pengendalian di kawasan berkelajuan rendah seperti tempat parkir, di mana kuasa itu teragak-agak untuk dihamburkan oleh Sportage ini.

Namun bila SUV ini sudah mencapai kelajuan meluncur yang normal, ruang kabin dirasakan lebih senyap, di mana kadar gegaran dan kekasaran juga berada pada tahap yang minima.

Ini kerana tetapan sistem suspensi topang MacPherson di depan dan multi-link di belakang Sportage ini bekerja dengan baik untuk menyerap segala kekasaran yang wujud di atas jalan raya.

Ia juga mampu membuatkan SUV ini rasa melekat di kawasan berselekoh dengan olengan badan yang tidak terlalu ketara, menjadikan pemanduan Sportage ini lebih menyeronokkan.

Namun, jika ia dipandu dengan lebih agresif, segala kelebihan itu tadi akan lenyap. Jadi, anda harus tahu had dan batasan yang wujud pada Kia Sportage ini.

Penulis tidak mempunyai sebarang komen terhadap aspek pengendalian SUV ini, kerana ia menepati apa yang dijangkakan daripada sebuah kenderaan jenama Kia.

Talaan stereng yang cukup tepat dan hidup itu membuatkan penulis langsung lebih fokus melayan jalan raya yang berliku di hadapan, ia patuh pada setiap sudut yang diarahkan oleh tangan pemandu.

Ada ketikanya, sistem pembetulan stereng bekerja untuk memastikan SUV ini berada di landasan yang tepat, namun cara operasinya itu tidaklah membuatkan penulis rasa penat dan jengkel sepanjang masa.

Membezakan antara Kia Sportage 1.6T AWD dengan varian 2WD ialah kehadiran ciri kekunci pembeza dan sistem pacuan semua roda (AWD) yang menawarkan kadar cengkaman yang lebih baik untuk pemanduan off-road ringan.

Jadi, ditambah dengan jarak kelegaan tanah setinggi 181 mm, tiada sebarang masalah untuk anda pandu Kia Sportage ini meredah laluan yang tidak berturap tar untuk tujuan merehatkan minda di hujung minggu.

 

Sportage untuk ‘healing’ hujung minggu

Seperkara lagi yang membuatkan penulis suka pada Kia Sportage ini ialah tempat duduk baris kedua yang boleh dilipat rata.

Tidak perlu untuk perhabis duit untuk beli dan pasang khemah, anda boleh jadikan bahagian belakang Kia Sportage ini sebagai ‘khemah sementara’ untuk aktiviti santai di hujung minggu.

Pada bahagian ruang kargo, ada soket kuasa 12V yang boleh digunakan untuk pengecasan peranti pintar atau dijadikan sumber kuasa untuk perkakasan ringan.

Terdapat juga ciri bunyi-bunyian ‘Sound of Nature’ yang ada di dalam skrin infohibur Sportage ini sebagai peneman aktiviti.

Gembira, gembira juga. Kewajipan sebagai seorang muslim usah dilupakan.

Jadi jika anda mahu tunaikan kewajipan solat di tempat berkhemah, Kia Sportage turut mempunyai fungsi kompas arah kiblat yang boleh digunakan sebagai petunjuk.

 

Ciri keselamatan

Kia Sportage menawarkan pelbagai ciri keselamatan yang menyeluruh termasuklah enam beg udara, ABS, ESC, serta tidak ketinggalan ciri keselamatan termaju yang cukup panjang senarainya.

Apa yang penulis mahu tekankan di sini ialah sistem pemantauan titik buta (BVM) yang akan memaparkan apa yang wujud di ruang sebelah kiri dan kanan kenderaan apabila lampu membelok dihidupkan.

Sistem yang wujud pada mana-mana model Kia (termasuk Hyundai) ini ternyata lebih memudahkan kita untuk mengesan benda (kereta, penunggang motosikal) yang biasanya terhalang dalam medan titik buta.

Ada pengeluar lain yang menawarkan kamera 360 darjah yang lebih canggih, lengkap dengan sudut pandang daripada mata burung.

Namun kebanyakan masa ia lebih bersifat syok sendiri kerana ia memaparkan imej kereta yang kita dipandu, dan bukannya apa yang tersembunyi pada medan titik buta.

 

Kesimpulan

Adakah Kia Sportage 1.6T AWD ini sebuah SUV terbaik di dalam kelasnya?

Tidak dinafikan, Kia Sportage mempunyai kelebihan yang tersendiri jika dibandingkan dengan model pesaing dalam pasaran.

Ada rupa, pakej yang praktikal, ruang kabin yang cukup luas dan selesa, dan hadir dengan pakej keselamatan yang hampir menyeluruh.

Namun, jika anda boleh berkompromi dengan kelemahan yang disebutkan tadi, kami kira Kia Sportage mampu menjadi satu pembelian yang cukup berbaloi.

 

Spesifikasi Kia Sportage 1.6T AWD (RM186,899)
Enjin: Gamma II 1.6 liter turbo, empat silinder sebaris
Kuasa: 177 hp @ 5,500 rpm, 265 Nm @ 1,500-4,500 rpm
Transmisi: DCT tujuh-kelajuan
Pacuan: Semua roda (AWD)
Suspensi: Topang MacPherson/Multi-link
Kargo: 543 liter-1,829 liter

Jaecoo J8 tawar pengalaman off-road “Kelas Pertama”, betul ke? – pandu uji

Setelah lebih setahun sejak pertama kali dipertontonkan, Omoda | Jaecoo Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan model SUV kedua mereka, iaitu Jaecoo J8 pada bulan lepas.

Masih lagi dengan tema off-road, namun Jaecoo J8 membawakan imej yang lebih elegan dan mewah berbanding adiknya J7.

Malah semasa pelancaran, J8 ini disifatkan sebagai sebuah kenderaan lasak dengan pengalaman penumpang kelas pertama.

Untuk membuktikan kemampuan sebenar SUV ini di laluan yang lebih mencabar, pihak Omoda | Jaecoo Malaysia menganjurkan satu sesi pengalaman pemanduan off-road bertempat di Sepang Bay 13.

Terdapat beberapa halangan yang disediakan, dimulakan dengan seksyen Rock Crawl, Side Slope dengan curam bersudut 30 darjah, Log Run yang mensimulasikan laluan atas kayu balak, serta seksyen Water Wading.

Cuaca yang hujan sejak awal pagi menyediakan permukaan laluan yang lebih mencabar berbanding hari sebelumnya.

Biarpun hanya dilengkapi dengan tayar standard Michelin e-Premacy, tidak menjadi masalah besar bagi Jaecoo J8 ini untuk meredah cabaran yang disebutkan tadi.

Jadi, apakah rahsia yang membuatkan Jaecoo J8 ini tidak membuatkan pemandu berpeluh-peluh?

 

1. Enjin yang bertenaga

Nadi empat silinder sebaris 2.0L turbo yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 249 PS dan 385 Nm itu tidak memerlukan sela masa yang agak lama untuk bertindak.

Hanya perlukan kawalan pendikit yang konsisten, SUV ini berjaya meredah kesemua seksyen cabaran yang diberikan.

Paling penting, sukar untuk kami rasakan gelinciran tayar berlaku melihatkan kepada kecekapan sistem yang ditawarkan.

 

2. Sistem AWD dengan Torque Vectoring Control

Untuk cabaran kali ini, kami diberikan peluang memandu Jaecoo J8 versi AWD yang turut dilengkapi dengan fungsi Dynamic Torque Vectoring Control.

Menurut Jaecoo, sistem AWD ini mempunyai tetapan dua klac yang dapat mengagihkan daya kilas secara bebas, membolehkan kuasa enjin dihantar 100 peratus kepada roda belakang yang mempunyai tahap cengkaman yang lebih baik.

 

3. Suspensi adaptif CDC

Secara standard, Jaecoo J8 dilengkapi dengan tetapan suspensi topang MacPherson di hadapan, dibantu dengan tetapan multi-link di belakang.

Ia turut dibantu dengan ciri CDC, atau nama penuhnya Continuous Damping Control.

Ciri CDC ini akan melaraskan tetapan redaman suspensi sepantas 0.002 saat bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih serta keadaan jalan semasa.

Terdapat tiga tahap iaitu Soft, Medium dan Hard.

Apa yang kami perasan, ruang kabin ternyata tidak menghasilkan gegaran dan bunyi bising yang ketara akibat hentakan permukaan jalan yang tidak rata, terutama ketika meredah seksyen Rock Crawl.

Rasa macam tiada apa-apa yang berlaku di dalam kabin walaupun pada hakikatnya di luar kami melihat sendiri casis Jaecoo J8 sedang beroleng dan meloncat cuba melepasi laluan berbatu yang agak besar itu.

Pemandu masih lagi boleh mengawal kenderaan dengan tenang, yakin dan lancar, dalam masa yang sama aspek keselesaan tidak dikorbankan.

4. Senjata ampuh untuk redah banjir kilat di ibu kota

Jaecoo J8 menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 170 mm, boleh dikatakan biasa-biasa sahaja berbanding SUV off-road lain.

Namun, dengan berkeupayaan untuk meredah air pada kedalaman sehingga 450 mm, ia merupakan satu ciri yang sangat berguna untuk rakyat Malaysia sekali sekala menempuh laluan banjir kilat di ibu kota.

Atau mungkin sekali terpaksa menempuh jalan kampung pedalaman untuk menyelesaikan tugas di sana.

Atau sekali sekala jika anda mahu merehatkan minda di kawasan perkhemahan yang rata-rata jauh dari akses jalan utama, dengan permukaan jalan yang tidak begitu manis dipandang mata.

 

Kesimpulan

Anda kini tidak perlu berbelanja besar sampai RM400k-RM500k untuk menikmati pengalaman off-road yang menyeronokkan.

Cukup dengan bajet cuma bermula dari RM198,800 untuk versi AWD, anda akan dapat merasai sendiri sebuah pakej SUV urban premium yang cukup bergaya dan selesa.

Dalam masa yang sama, ia juga menawarkan keyakinan untuk menawan apa jua bentuk permukaan bumi yang perlu ditempuh.

Tidak ada pengalaman off-road? Usah risau, kerana dengan teknologi moden yang disebutkan tadi anda sebenarnya boleh mengendalikan pemanduan Jaecoo J8 ini dengan baik.

Jaecoo J8 AWD