E-Mutiara beli 20 unit koc dua tingkat Scania yang terpanjang di Malaysia

KONSORTIUM E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) memperluaskan lagi perkhidmatannya dengan pembelian 20 unit koc dua tingkat Scania K410EB6X2 yang terpanjang di Malaysia dengan ukuran 13.5 meter.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Heba Eltarifi, Pengarah Urusan Scania Asia Tenggara dengan menyerahkan koc-koc tersebut kepada Che Ibrahim Che Ismail, Pengerusi Eksekutif E-Mutiara.

Ia disaksikan oleh Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan dan Robert Lejon, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Sweden.

Dengan penambahan terbaru ini, E-Mutiara akan melancarkan perkhidmatan koc ekspres mewah pertama mereka di negara ini serta membuka lembaran baru kerjasama strategik dengan Scania.

Koc jenis double-deck ini menawarkan 10 peratus peningkatan kapasiti jika dibandingkan dengan koc-koc mewah lain di Malaysia, membolehkan syarikat meningkatkan ekonomi operasi.

Koc-koc milik E-Mutiara ini mempunyai tempat duduk dalam konfigurasi 2+1 dan boleh memuatkan maksimum 51 penumpang pada satu-satu masa.

Selain itu, ia menggunakan trenkuasa cekap tenaga dengan ciri Opticruise dalam mod Eco, serta perkhidmatan pengurusan fleet yang dikatakan mampu meningkatkan kecekapan bahan api sehingga 15 peratus.

Sistem suspensi udara pada bahagian depan dan belakang memberikan keselesaan kepada penumpang, manakala ciri-ciri EBS dengan ABS, Traction Control, serta Retarder sebagai brek tambahan mampu meningkatkan ciri keselamatan.

Turut disertakan adalah ciri Hill Hold yang membantu koc kekal pegun pada permukaan curam, Speed Limiter untuk mengehadkan kelajuan, kamera 360 darjah yang menghapuskan titik buta serta sistem penggera kebakaran. Apa yang menarik, ia juga menyediakan kemudahan tandas di tingkat bawah.

“Koc Scania yang selamat dan selesa, cekap bahan api dan mesra alam sekitar sentiasa menjadi kelebihan buat E-Mutiara dalam mendapatkan keuntungan dan kemampanan yang lebih baik. Kini dengan koc yang lebih panjang, kami berupaya meningkatkan kapasiti serta keselesaan pelanggan,” kata Che Ibrahim.

Scania serah 16 unit trak G410 baharu kepada Kontena Nasional

SCANIA menyerahkan 16 unit trak G410A6x2NZ baharu kepada Kontena Nasional (KN), sebahagian dari 46 unit prime mover yang dijangkan diserahkan tahun ini.

Trak-trak itu dijangkan menambah baik ketahanan, kecekapan bahan api, pelepasan karbon, dan menambah kekerapan beban bagi pihak KN.

Penyerahan itu dibuat oleh Pengarah Urusan Scania Southeast Asia, Heba El Tarifi kepada CEO KN, Nik Muzani Nik Abdul Aziz di ibupejabat di Petaling Jaya.

KN dan Scania telah bekerjasama lebih 50 tahun dengan penyerahan lebih 400 buah trak.

KN yang mula ditubuhkan pada 1971 merupakan antara syarikat logistik utama di Malaysia dengan pelbagai perkhidmatan seperti membawa barangan berat, pergudangan, perkapalan, pengangkutan, dan pengagihan.

Syarikat ini juga mempunyai cawangan di Port Klang, Johor, Pulau Pinang, dan Kuantan yang meliputi jaringan logisitik seluruh semenanjung Malaysia.

Trak Scania G410 direka dengan penggunaan bahan api untuk pelepasan karbon yang rendah dengan enjin dan aerodinamik maju. Ia juga menawarkan ciri keselamatan seperti Electronic Braking System, selain pilihan pemanduan dan rehat yang selesa.

G410 juga menampilkan Economy Mode dan Fleet Management System Control 10 yang menilai kemahiran pemandu, seterusnya memberikan lebih penjimatan bahan api bagi merendahkan lagi kos operasi keseluruhan.

Enam unit Scania NTG XT baharu untuk Bills Logistics

SCANIA menyerahkan enam unit G460A6X4NZ Scania New Truck Generation (NTG) XT kepada Bills Logistic Solution Sdn Bhd (Bills Logistic).

Ia turut hadir dengan pakej Kontrak Repair dan Maintenance serta Sewa Beli dan Insurans Perkhidmatan Kewangan.

Daripada enam Scania NTG XT yang diserahkan adalah dua unit yang berada di Pajakan Operasi atau Operating Lease (OL), salah satu daripada penyelesaian yang terbaru sebagai sebahagian daripada perkhidmatan Scania Total Solutions.

Baki empat unit disokong oleh Sewa Beli Scania Credit Malaysia yang memberikan Bills Logistic penyelesaian logistik yang komprehensif tanpa sebarang kebimbangan.

Bills Logistic akan dapat menumpukan perhatian pada perniagaannya dengan menggunakan sepenuhnya NTG XT dengan masa henti yang dirancang memberikan masa operasi maksimum disebabkan penjadualan yang tepat untuk pembaikan dan penyelenggaraan dengan alat ganti yang tersedia menghapuskan gangguan dalam operasi hariannya.

NTG XT juga dicipta dan direka bentuk untuk memberikan Bills Logistic kecekapan bahan api yang lebih baik dan pelepasan CO2 yang lebih rendah kerana ia dilengkapi dengan rangkaian kuasa termaju dan penyelesaian aerodinamik yang memberikan tiga peratus penjimatan bahan api yang lebih baik.

Mod Ekonomi yang telah ditetapkan secara lalai, dalam NTG XT Bills Logistic yang disertakan dengan Opticruise, menjimatkan lebih banyak bahan api.

Scania NTG XT boleh disesuaikan untuk menahan persekitaran yang mencabar, menjamin masa beroperasi dan meningkatkan produktiviti, agar Bills Logistic menjalankan operasi yang menguntungkan.

Trak ini dilengkapi dengan bampar keluli untuk perlindungan komponen depan, pelindung lampu depan, lampu kabus bersepadu, pin tunda yang mudah diakses dengan kapasiti 40 tan, dan cermin diperkukuh tahan calar.

Sistem keselamatan pada NTG XT termasuklah Electronic Braking System (EBS) dan Anti-Lock Braking System (ABS).

SuperNice Express terima 2 koc Scania dengan ADAS

SuperNice Express (SuperNice), jenama di bawah Kumpulan Unimax baru-baru ini menerima koc Scania yang dilengkapi dengant Advanced Driver Assistance System (ADAS).

Roy Chew, Pengerusi Kumpulan Unimax menerima kunci kepada dua unit koc Scania K360IB4x2 dengan ADAS daripada Heba El Tarifi, Pengarah Urusan, Scania Asia Tenggara.

Majlis menandatangani MoU turut diadakan untuk tempahan 10 unit lagi, terdiri daripada enam koc dua dek dan empat koc satu dek dengan ADAS.

Majlis penyerahan disaksikan oleh Profesor Dr Wong Shaw Voon, Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Robert Lejon, Timbalan Ketua Misi, Kedutaan Sweden, Joshua Tan, Pengarah Urusan Kumpulan Unimax, K.C. Voo, Pengurus Perniagaan Negara Shell Commercial Fuels dan Loo Kian Keong, Pengarah Terus Maju Service Sdn Bhd.

Heba El Tarifi, Pengarah Urusan, Scania Asia Tenggara

“Ciri-ciri ADAS akan memberikan yang terbaik daripada koc Scania dari segi keselamatan dan keselesaan untuk penumpang dan pemandu, di samping faedah kecekapan bahan api yang sudah terkenal untuk operasi bas ekspres dan pengurangan pelepasan CO2. Oleh itu, keuntungan akan dicapai untuk perniagaan saya,” kata Roy Chew.

Ciri-ciri Keselamatan ADAS standard termasuk Electronic Braking System (EBS), Anti-Lock Braking System (ABS) dan Retarder. Turut disertakan adalah ciri-ciri seperti Electronic Stability Programme (ESP), Lane Departure Warning (LDW) dan Advanced Emergency Braking (AEB) baharu.

AEB merupakan sistem yang menggunakan kamera dan radar untuk mengelakkan perlanggaran dengan kenderaan di hadapan melalui brek automatik. Ciri  berteknologi maju ini adalah yang pertama digunakan dalam koc di Malaysia dan akan mengangkat SuperNice ke platform keselamatan tertinggi.

“Scania dengan teknologi ADAS adalah salah satu daripada banyak aspek memerlukan industri pengangkutan terus bergerak ke hadapan untuk mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia. Saya percaya pendirian SuperNice ini akan menggalakkan pengusaha bas ekspres lain untuk turut bersama dalam usaha ini,” kata Profesor Dr Wong.

Koc Scania ini juga termasuk kontrak pembaikan dan penyelenggaraan bagi memastikan bahawa masa beroperasi maksimum tercapai dan ADAS diselenggara oleh Scania untuk memastikan standard keselamatan tertinggi secara konsisten.

Sementara itu, perjanjian sewa beli Scania daripada Scania Credit Malaysia menyokong SuperNice dengan kos yang boleh diramal sepanjang keseluruhan kitaran hayat koc. Fleet Management System Control 10 pula membantu SuperNice mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan CO 2 melalui analisis data.

Scania serah dua unit bas K 360 IB 4×2 untuk Felda dan MRSM

SCANIA baru-baru ini telah menyerahkan dua unit bas K 360 IB 4×2, masing-masing satu unit untuk Asrama Semai Bakti Federal Land Development Authority (FELDA) Kuala Lumpur dan Maktab Rendah Sains MARA, Trolak, Perak.

Penyerahan ini dibuat bagi menampung pergerakan pelajar-pelajar yang semakin bertambah di kedua-dua institut.

Bas-bas ini didatangkan dengan jaminan lanjutan tiga tahun dan pakej penyelenggaraan lima tahun. Ia juga dipasang Fleet Management System (FMS) Control 10 yang mampu mengawal pencemaran selain menjimatkan penggunaan bahan api.

FELDA menandatangani kontrak penyelenggaraan lima tahun bagi memanfaatkan prosedur proaktif oleh Scania untuk mengelakkan masalah-masalah yang tidak diingini dari berlaku.

Masa operasi dijangka dapat ditingkatkan dan kos dikurangkan, penting untuk menjamin kelancaran pergerakan pelajar asrama.

Selain itu, bas-bas ini juga dilengkapi dengan Advanced Driver Assistance System (ADAS) Scania yang merangkumi brek ABS, EBD, retarder, traction control, hill hold, dan tiga pengesan kebakaran.

Menurut Scania juga, bas-bas ini bertaraf FAME (Fatty Acid Methyl Esters) dimana ia boleh menggunakan bahan api biodiesel B20 sehingga B100, juga menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon.

“Sebagai perintis kepada Sustainable Transport Solutions, Scania berbesar hati menjadi sebahagia dari usaha FELDA dengan dua bas ini,” kata Heba El Tarifi, pengarah urusan Scania Southeast Asia.

“Kami berharap kita dapat bersama-sama membekalkan kenderaan Scania yang lebih mesra alam, mengurangkan lagi pelepasan karbon oleh FELDA, mencipta dunia mobiliti yang lebih baik untuk perniagaan, masyarakat, alam sekitar dan generasi akan datang,” tambahnya.

MCVE 2022: Scania pamer trak dan bas generasi baharu dengan ADAS, Euro 5, B20 hingga B100

Pada ekspo Malaysia Commercial Vehicle Exhibition (MCVE) 2022 yang sedang berlangsung di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Scania telah mendedahkan beberapa kerjasama strategik dalam membangunkan trak generasi terbaharunya.

Trak generasi terbaharu ini lengkap dengan ciri-ciri Advanced Driver Assistance System (ADAS) dan juga mematuhi piawaian Euro 5. Dalam masa sama, Scania turut mendedahkan penyelesaian ke arah pengangkutan lestari.

Scania P410A6x2NA milik Chemtrax, lengkap dengan ADAS.

Model P410A6x2NA milik Chemtrax Sdn Bhd merupakan pelanggan Scania pertama menerima trak yang mempunyai teknologi ADAS. Teknologi ini mempunyai fungsi Lane Departure Warning (LDW), Automatic Emergency Braking (AEB) dan juga beg udara tirai di bahagian sisi.

LDW berupaya memberi amaran kepada pemandu jika kenderaan telah terkeluar melepasi lorong pemanduan tanpa mengaktifkan signal. Sistem ini dapat mengesan garisan pada permukaan jalan secara automatik.

AEB pula merupakan sistem yang menggunakan kamera dan radar bagi memantau serta menilai situasi trafik di hadapan. Sistem ini direka untuk mengelakkan perlanggaran dengan kenderaan di hadapan melalui pembrekan secara automatik.

Penggunaan ADAS dalam kenderaan komersial dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya serta memastikan keselamatan buat pengguna jalan raya lain.

Scania model R620A6x4NZ yang mematuhi piawaian Euro 5.

Selain itu, Scania juga telah bekerjasama dengan Xin Hwa Holdings Berhad dalam membangunkan trak generasi baharunya yang mematuhi piawaian Euro 5. Trak model R620A6x4NZ dibina dengan sistem Selective Catalytic Reduction (SCR) bagi mengurangkan pelepasan emisi yang menyumbang kepada penghasilan asap dan jerebu.

Di samping itu juga, Scania telah bekerjasama dengan Billion Stars Express Sdn Bhd dalam menghasilkan bas menggunakan biodiesel Fatty Acid Methyl Esters (FAME) bergred B20 hingga B100. Ianya mesra alam serta mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sekaligus mengurangkan kesan perubahan iklim.

Bas Scania model K360IB4x2 milik Billion Stars Express yang dikuasakan dengan bahan api biodiesel.

Scania komited untuk mencapai matlamat yang ditetapkan bagi mengehadkan aktiviti yang menyumbang kepada pemanasan global.

Menjelang 2025, Scania akan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida daripada operasinya sendiri sebanyak 50 peratus.