fbpx

MCVE 2022: Scania pamer trak dan bas generasi baharu dengan ADAS, Euro 5, B20 hingga B100

scania mcve 2022 02

Pada ekspo Malaysia Commercial Vehicle Exhibition (MCVE) 2022 yang sedang berlangsung di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Scania telah mendedahkan beberapa kerjasama strategik dalam membangunkan trak generasi terbaharunya.

Trak generasi terbaharu ini lengkap dengan ciri-ciri Advanced Driver Assistance System (ADAS) dan juga mematuhi piawaian Euro 5. Dalam masa sama, Scania turut mendedahkan penyelesaian ke arah pengangkutan lestari.

Scania P410A6x2NA milik Chemtrax, lengkap dengan ADAS.

Model P410A6x2NA milik Chemtrax Sdn Bhd merupakan pelanggan Scania pertama menerima trak yang mempunyai teknologi ADAS. Teknologi ini mempunyai fungsi Lane Departure Warning (LDW), Automatic Emergency Braking (AEB) dan juga beg udara tirai di bahagian sisi.

LDW berupaya memberi amaran kepada pemandu jika kenderaan telah terkeluar melepasi lorong pemanduan tanpa mengaktifkan signal. Sistem ini dapat mengesan garisan pada permukaan jalan secara automatik.

AEB pula merupakan sistem yang menggunakan kamera dan radar bagi memantau serta menilai situasi trafik di hadapan. Sistem ini direka untuk mengelakkan perlanggaran dengan kenderaan di hadapan melalui pembrekan secara automatik.

Penggunaan ADAS dalam kenderaan komersial dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya serta memastikan keselamatan buat pengguna jalan raya lain.

Scania model R620A6x4NZ yang mematuhi piawaian Euro 5.

Selain itu, Scania juga telah bekerjasama dengan Xin Hwa Holdings Berhad dalam membangunkan trak generasi baharunya yang mematuhi piawaian Euro 5. Trak model R620A6x4NZ dibina dengan sistem Selective Catalytic Reduction (SCR) bagi mengurangkan pelepasan emisi yang menyumbang kepada penghasilan asap dan jerebu.

Di samping itu juga, Scania telah bekerjasama dengan Billion Stars Express Sdn Bhd dalam menghasilkan bas menggunakan biodiesel Fatty Acid Methyl Esters (FAME) bergred B20 hingga B100. Ianya mesra alam serta mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sekaligus mengurangkan kesan perubahan iklim.

Bas Scania model K360IB4x2 milik Billion Stars Express yang dikuasakan dengan bahan api biodiesel.

Scania komited untuk mencapai matlamat yang ditetapkan bagi mengehadkan aktiviti yang menyumbang kepada pemanasan global.

Menjelang 2025, Scania akan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida daripada operasinya sendiri sebanyak 50 peratus.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved