4,303 tempahan dalam 9 hari, Perodua Myvi facelift 2022 akan terus kekalkan takhta King?

PERODUA mencatatkan 4,303 tempahan untuk Myvi baharu (setakat 18 November 2021) hanya dalam masa sembilan hari selepas tempahan dibuka.

Menurut Perodua, Myvi facelift 2022 itu menelan belanja RM50 juta untuk dibangunkan. Ia menampilkan rekaan yang diperbaharui, perubahan teknikal pada transmisi, dan panambahan ciri keselamatan terkini.

Hasilnya, Perodua Myvi facelfit 2022 ini lebih canggih, lebih praktikal, mempunyai prestasi pecutan lebih baik, tetapi pada masa yang sama lebih menjimatkan bahan api.

Perkara ini banyak disumbangkan oleh transmisi D-CVT baharu, yang sama digunakan pada Ativa. Ini kali pertama Myvi menggunakan kotak gear CVT, manakala kotak gear manual tidak lagi ditawarkan.

D-CVT di sini bermaksud Dual Mode CVT, kerana ia mempunyai dua cara menyampaikan kuasa. Tidak seperti CVT konvensional dengan tali sawat (belt) atau rantai (chain), D-CVT ini menggunakan kombinasi rantai besi dan set planetary gear.

Dalam satu mod, ia akan menghantar kuasa menggunakan sistem CVT seperti biasa. Tetapi dalam satu mod lagi, ia membolehkan kuasa dihantar melalui gear fizikal.

Set planetary gear ini digunakan untuk ‘membantu’ memberikan rasa lebih telus kepada CVT. Ini juga secara teori pasti mengurangkan rasa ‘lemau’ CVT konvensional, terutamanya dalam halaju tinggi atau mula memecut.

Perodua Myvi 2022 ditawarkan dalam lima varian dengan harga jualan bermula RM45,700 untuk 1.3 G hingga RM58,800 untuk 1.5 AV.

Dari segi keselamatan, Myvi baharu menampilkan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA), yang direka dengan mengambilkira keselamatan pemandu dan pejalan kaki.

Untuk maklumat lebih terperinci mengenai spesifikasi Myvi facelift 2022, anda boleh baca laporan pelancaran di sini.

Perodua Myvi facelift 2022 rasmi dilancar, dari RM46k, PSDA, transmisi D-CVT baharu

SELEPAS banyak gambar dan video teaser di media sosial, Perodua Myvi 2022 akhirnya rasmi dilancarkan sebentar tadi.

King kereta di Malaysia itu ditawarkan dalam lima varian dengan harga seperti berikut:

Myvi 1.5 AV: RM58,800
Myvi 1.5 H: RM53,900
Myvi 1.5 X: RM49,900
Myvi 1.5 G: RM47,700
Myvi 1.3 G: RM45,700

Semua harga adalah tanpa insurans dan termasuk dengan jaminan 5-tahun atau 100,000km.

Anda mungkin telah melihat gambar-gambar Perodua Myvi facelift yang tersebar sebelum ini, tetapi mari kita lihatkan beberapa perkara penting yang mengenai kenderaan kompak kegemaran rakyat Malaysia ini.

Pertamanya, walaupun ia dipanggil facelift, namun Myvi 2022 membawakan beberapa pembaharuan teknikal dan spesifikasi yang agak signifikan.

Dari segi reka bentuk, Perodua Myvi 2022 menerima lampu LED depan dengan bentuk baharu, dan DRL (lampu nyalaan siang) LED menegak di hujung bampar. Lip depan berwarna hitam pada varian AV kini berwarna perak, hampir kelihatan seperti SUV.

Bampar belakang juga menerima rekaan baharu dengan ruang udara menegak menyamai rekaan DRL depan. Tiada perubahan pada lampu belakang dan rekaan rim 15-inci.

Bahagian dalam lebih banyak pembaharuan. Untuk varian AV, ia didatangkan dengan tema merah-hitam pada tempat duduk kulit, dan kemasan pada papan pemuka. Terdapat garisan-garisan merah di beberapa bahagian.

Roda stereng juga baharu, diambil dari Ativa, serta tombol gear. Pada stereng, terdapat butang pelbagai fungsi untuk kawalan unit infotainmen dan Adaptive Cruise Control.

Semua varian juga (kecuali varian asas) mendapat butang PWR untuk lebih kuasa, sama seperti Ativa.

Di tombol gear juga, memandangkan ia kini mendapat unit dari Ativa, bacaan gear sudah lain. Jika dulu P-R-N-D-3-2, kini Myvi facelift 2022 menggunakan susunan P-R-N-D-S-B. Apa pula S dan B itu?

Baik, S untuk talaan gear sporti untuk lebih kuasa kerana ia akan ‘memegang’ gear rendah lebih lama. Sementara B pula ialah untuk brek enjin, dimana ketika menuruni bukit, gear akan bertindak memberi kesan khas dan mengurangkan ‘wear and tear’ pada sistem brek.

Terdapat dua pilihan enjin untuk Myvi iaitu 1.5-liter (102hp dan 137Nm) dan 1.3-liter (94hp dan 121Nm).

Menariknya, Myvi facelift 2022 ini dilengkapi kotak gear baharu D-CVT iaitu yang sama pada Ativa. Ini merupakan antara pembaharuan terbesar pada Myvi kali ini yang bukan sahaja memberikan pecutan lebih baik, malah penjimatan bahan api lebih baik (22.2km/L berbanding 21.1km/L sebelum ini).

Satu lagi penambahan besar adalah dari segi keselamatan dimana kesemua varian kecuali 1.3 G dilengkapi dengan Perodua Smart Drive Assist (PSDA).

Pakej keselamatan termaju ini merangkumi Advanced Safety Assist (ASA) 3.0, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Keep Assist (LKS), Blind Spot Monitoring System (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA).

Ini bermakna Myvi facelift 2022 kini termasuk dalam kategori Autonomi Tahap 2!

Perodua Myvi 2022 boleh didapat dengan pilihan warna seperti berikut: Cranberry Red (warna baharu AV sahaja), Ivory White, Glittering Silver, Lava Red, Granite Grey dan Electric Blue.

Apa pendapat anda setakat ini dengan Perodua Myvi facelift? Akan terus menjadi King di Malaysia?

Perodua buat kajian pasaran, bakal perkenal Ativa hybrid?

SYARIKAT Perodua mengesahkan sedang menguji kenderaan jenis Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid sebagai sebahagian daripada rancangan kajian pasaran di negara ini.

Presiden merangkap CEO Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, unit ujian Daihatsu Rocky Hybrid itu akan dinilai dan sebarang perincian lanjut bakal diumumkan kelak.

Katanya, ujian itu penting bagi mendapatkan maklum balas daripada para pelanggan termasuk pihak berkepentingan lain.

“Perodua menjalankan kajian pasaran serta meninjau sejauh mana penerimaan (hybrid) di Malaysia.

“Ia termasuk takat harga yang boleh diterima serta melihat sama ada model hybrid kami mampu menepati peraturan dan keperluan badan kawal selia yang ada,” katanya.

Zainal berkata demikian pada ketika majlis memperkenalkan model Perodua Myvi 2022, semalam.

Sebelum ini, sebuah model Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid kelihatan di jalan raya sekitar Kuala Lumpur lalu tular di media sosial.

Daihatsu Rocky e-Smart Hybrid dikuasakan oleh hybrid mempunyai persamaan dengan sistem terdapat pada e-Power Nissan.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) ini mempunyai kuasa 106 PS pada 170 Nm dengan enjin WA-VEX 1.2 liter kitaran Atkinson tiga-silinder.

Bagi enjin petrolnya pula, ia menghasilkan 82 PS pada 5,600 rpm dan 105 Nm tork dari 3,200 hingga 5,200 rpm.

Daihatsu memaklumkan antara kelebihan lain terdapat pada sistem ini adalah bateri lithium-ion yang bersaiz kecil selain menjimatkan kos.

Perodua ‘belanja’ imej baru Myvi 2022, stereng macam Ativa, ada Adaptive Cruise Control!

KITA sedang menghitung hari untuk pelancaran Myvi facelift 2022, dan Perodua telah menyiarkan gambar teaser terbaharu untuk model paling laris di Malaysia itu.

Dalam satu siaran di laman Facebook Perodua, imej itu menunjukkan paparan kluster instrumen rekaan baharu, dan stereng baharu yang menarik! Kenapa?

Stereng ini sama seperti pada model Ativa, dengan beberapa butang pelbagai fungsi termasuklah PWR (Power). Butang-butang ini mempunyai ciri canggih yang tidak pernah dilihat pada harga bawah RM60,000 sebelum ini.

Ini termasuklah Adaptive Cruise Control dan Lane Keep Control, yang bermaksud varian tertinggi AV akan menerima Perodua Smart Drive Assist (PSDA) dengan kebolehan pemanduan autonomi Level 2!

Terdapat empat butang di bahagian kiri mungkin untuk mengawal paparan multi-info serta fungsi arahan suara.

Imej teaser sebelum ini pula menunjukkan skrin tengah jenis sesentuh serta kemasan merah pada corong pendingin hawa.

Ciri-ciri ini mungkin antara sebab kenapa harga Myvi 1.5 AV meningkat kira-kira RM6,000 dari model sekarang. Perodua juga berkata PSDA akan turut ditawarkan pada varian asas 1.3 G.

Perodua Myvi facelift 2022 akan ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu 1.3-liter 1NR-VE dengan 94hp/121Nm dan 1.5-liter 2NR-VE yang berkuasa 102hp/136Nm.

Semua varian akan dipadankan dengan transmisi automatik (tiada lagi manual) dan berkemungkinan besar mendapat unit D-CVT dari Ativa. Ini bermakna Myvi akan menjadi model kedua Perodua dengan transmisi jenis itu.

Selain dari naik taraf ciri keselamatan dan mekanikal, Myvi juga akan menerima pembaharuan dari segi rekaan, berdasarkan imej-imej yang tersiar sebelum ini.

Tempahan telah dibuka dengan harga permulaan RM45,700 untuk 1.3 G hingga RM58,800 untuk 1.5 AV. Pasti ramai yang tak sabar menunggu Myvi facelift baharu ini, kan?

Perodua Myvi facelift 2022 dibuka untuk tempahan! Dari RM46k, lebih jimat minyak, 5 pilihan varian

IA semakin hampir, Perodua Myvi facelift 2022 kini dibuka untuk tempahan! Perodua hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa hatchback popular kegemaran rakyat Malaysia itu sudah boleh ditempah, berserta beberapa perincian.

Ia akan hadir dalam lima varian dan dua pilihan enjin, iaitu: 1.5 AV, 1.5 H, 1.5 X, dan dua varian 1.3 G. Kesemua varian hanya akan ditawarkan dengan pilihan automatik, tiada lagi manual.

Walaubagaiamanpun, Perodua tidak memperincikan jenis kotak automatik walaupun maklumat kami sebelum ini mengatakan Myvi D51A itu akan mendapat unit D-CVT sama seperti Ativa.

Turut dimaklumkan bahawa Myvi 2022 ini mempunyai kecekapan bahan api lebih baik. “Kami juga telah meningkatkan kecekapan bahan api bagi Myvi baharu ini kepada 22.2km/ liter (diuji pada varian 1.3L) berbanding 21.1km/liter sebelum ini,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal.

Varian AV, H dan X serta salah satu varian G akan mempunyai sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA) yang terkini, direka dengan mengutamakan keselamatan pemandu dan pejalan kaki.

Myvi facelift 2022 ini juga turut memperkenalkan warna baharu iaitu Cranberry Red, yang hanya tersedia untuk varian AV.

Warna lain adalah Ivory White, Glittering Silver, Lava Red (tidak tersedia untuk AV), Granite Grey dan Electric Blue.

Julat harga bagi Myvi 2022 ini ialah dari RM45,700 hingga RM58,800 (untuk Semenanjung Malaysia dan tanpa insurans) dan akan turut serta dengan jaminan 5-tahun.

Nantikan perkembangan lanjut mengenai Perodua Myvi facelift 2022 di sini sehingga pelancarannya nanti.

Untuk tempahan, terus ke pautan sini atau lawati mana-mana wakil jualan sah Perodua seluruh negara.

Perodua pecah rekod jualan, tercatat dalam Malaysia Book of Records!

PERODUA mendaftarkan 27,858 kenderaan pada Oktober 2021, memecahkan rekod terdahulu dicatatkan tepat pada 12 bulan sebelumnya dengan 26,848 kenderaan dijual pada Oktober 2020.

Rekod ini turut disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai rekod tertinggi kenderaan terjual dalam sebulan.

Rekod baharu ini tercatat dengan peningkatan pengeluaran dan penghantaran kenderaan yang pantas kepada para pelanggan. Ini kerana pengeluar kereta kompak tersebut mensasarkan untuk menghantar sebanyak mungkin kenderaan pada suku keempat 2021.

“Pencapaian ini adalah komitmen kami terhadap para pelanggan kami dan ianya mewakili peningkatan sebanyak 90.67 peratus daripada 14,160 unit yang dijual pada September 2021, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata.

“Kami kini sedang berusaha untuk meningkatkan lagi pengeluaran terutamanya untuk tahun ini,” tambahnya.

KUALA LUMPUR, 8 Jan — Perodua Bezza model baharu iaitu Perodua Bezza 2020 yang dilancarkan secara rasminya hari ini.
–fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada 27,858 kenderaan Perodua yang didaftarkan, 8,761unit adalah Myvi, 5,973 unit Axia, 5,257 unit Bezza, 3,973 unit Ativa, 2,553 unit Alza dan 1,341 unit Aruz.

Dari segi pengeluaran, beliau berkata Oktober 2021 juga menyaksikan jumlah kenderaan tertinggi yang pernah dikeluarkan dengan catatan sebanyak 29,803 unit dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata pencapaian 29,803 unit itu adalah di luar kapasiti pengeluaran semasa Perodua, namun kakitangannya mampu meningkatkan produktiviti mereka dengan tahap kualiti yang sama walaupun tanpa kakitangan, peralatan atau jentera baharu.

Dato’ Zainal berkata lanjutan Pengecualian Jualan Cukai yang diumumkan baru-baru ini amatlah dialu-alukan kerana ia membolehkan ekosistem automotif mempunyai lebih banyak ruang untuk pulih ekoran penutupan baru-baru ini serta mengejar permintaan.

“Lanjutan Pengecualian Jualan Cukai juga akan memberi manfaat kepada semua, daripada pengguna kepada pengeluar komponen asli serta para pembekal yang juga turut terjejas akibat kekurangan bekalan semikonduktor di peringkat global,” tambahnya.

Setakat tahun ini, Perodua mencatatkan 146,951 unit dari Januari hingga Oktober tahun ini, iaitu 14.5 peratus di bawah 171,861 yang didaftarkan pada tempoh yang sama 2020.

“Kami berterima kasih kepada Malaysian Book of Records kerana mengiktiraf pencapaian kami tahun lepas dan kami akan terus membina pengiktirafan tersebut dengan menghasilkan dan mendaftar sebanyak mungkin kenderaan pada masa akan datang dan dengan berbuat demikian, ianya membuktikan komitmen kami kepada para pelanggan kami,” Dato’ Zainal berkata.

Jualan meningkat, Perodua mohon pelanggan sabar tunggu kenderaan dibeli

PERODUA mencatatkan jualan memberansangkan pada bulan lalu.

Menurut kenyataan Perodua, syarikat itu telah melakukan penghantaran lebih 14,160 unit kenderaan pada September.

Jumlah itu meningkat 102 peratus daripada 6,988 unit terjual pada bulan Ogos.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad. – Foto ihsan Perodua

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua berkata, syarikat itu bagaimanapun akan terus berusaha untuk mencatatkan peningkatan jualan.

“Rangkaian bekalan automotif telah menunjukkan peningkatan. Bagaimanpun, ia masih belum mencapai potensi penuh.

“Perodua akan terus berusaha dengan para pembekal dan pengedar untuk meningkatkan produktiviti dan keselamatan,” kata Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Setakat ini, Perodua telah menjual 119,093 kenderaan dengan berbaki tempoh dua bulan sebelum memasuki tahun 2022.

Namun, jumlah itu sedikit menurun berbanding 145,012 kenderaan terjual pada tahun 2020.

Model Perodua Aruz merupakan antara kenderaan utiliti sukan (SUV) yang mendapat permintaan tinggi di Malaysia. – Foto ihsan Facebook/Perodua Aruz

Terdahulu, Zainal meminta para pelanggan bersabar menunggu kenderaan yang ditempah.

Jelasnya, Perodua kini sedang meningkatkan produktiviti selain terus memastikan kualiti produk dihasilkan pada tahap terbaik.

“Terima kasih kepada para pelanggan yang terus bersabar kerana kami kini sedang meningkatkan pengeluaran kami.

“Kami juga memohon maaf di atas kesukaran dihadapi disebabkan oleh kelewatan penghantaran.

“Kami akan membantu para pelanggan untuk memastikan kenderaan mereka dihantar secepat mungkin,” katanya lagi.

Perodua Kancil bawa durian terbakar, tiga sekeluarga nyaris maut

SEBUAH Perodua Kancil yang membawa muatan buah durian musnah dalam kebakaran di Jalan Changkat Lada-Pasir Salak semalam.

Tiga sekeluarga yang menaiki kereta tersebut bagaimanapun dapat keluar menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Gambar: Facebook

Difahamkan, Kancil yang dipandu lelaki berusia 30-an bersama anak lelaki dan ibunya itu dalam perjalanan dari kebun berhampiran menuju ke rumah mereka di Felcra Changkat Lada.

Gambar: Facebook

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampong Gajah, Qyairul Eqwan Suib berkata, maklumat kejadian itu diperoleh pihaknya pada pukul 7:50 pagi.

Menurut Qyairul, kebakaran melibatkan sebuah kereta di mana tiga sekeluarga sempat menyelamatkan diri.

“Kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kereta dinaiki mereka musnah terbakar 80 peratus bersama durian yang dibawa.

“Operasi pemadaman segera dijalankan dan operasi tamat pada pukul 9 pagi. Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.

Aruz masuk pasaran Singapura, dijual pada harga S$92,999

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) secara rasmi melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) Aruz di Singapura, hari ini.

Memetik kenyataan dikeluarkan, Aruz dijual pada harga S$92,999 atau bersamaan RM286,409.

Harga tersebut termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan sijil hak memiliki kenderaan (COE).

Untuk rekod, Aruz merupakan kenderaan tujuh tempat duduk pertama ditawarkan Perodua di Singapura.

Menjadi kenderaan SUV terlaris di Malaysia, sebanyak 58,000 unit Aruz telah terjual sejak ia diperkenalkan di pasaran tempatan pada 2019.

Singapura merupakan antara beberapa negara yang menerima eksport kenderaan Perodua selain Brunei, Sri Lanka, Mauritius, Seychelles, Fiji dan Indonesia.

 

Ativa terima permintaan tinggi, Perodua catat peningkatan jualan 29 peratus

PERODUA Ativa menjadi kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris di negara ini sejak dilancarkan awal bulan lalu.

Dibuka untuk tempahan pada 19 Februari, terdapat lebih 14,574 tempahan diterima bagi model Perodua Ativa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya akan terus berusaha memenuhi permintaan tinggi bagi model SUV Ativa walau terpaksa berdepan rintangan tertentu termasuk kekurangan bekalan komponen.

“Buat masa ini, tentangan terbesar adalah kekurangan cip semikonduktor yang memberi kesan berbeza pada pembuat kenderaan pada skala global.

“Kami bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk mencari bekalan alternatif dan pada masa yang sama memantau keadaan setiap hari untuk memastikan operasi pengeluaran kami berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Perodua berjaya mencatatkan peningkatan 29 peratus jualan bagi suku pertama tahun ini.

Jumlah itu bersamaan dengan 57,911 kenderaan berbanding 44,977 dalam tempoh sama tahun lalu.

Perodua menyasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit tahun ini berbanding 220,968 pada 2020.

Mengembara bersama Perodua Kembara!

Mempunyai ‘kembar’ dikenali sebagai Daihatsu Terios di Jepun, Perodua Kembara didatangkan dengan enjin 1.3-liter 4-selinder SOHC 16v yang mampu menghasilkan 83hp kuasa maksima dan 105Nm tork.

Bagaimana pun, ia kemudian digantikan dengan enjin DVVT DOHC 16v yang menaikkan angka kuasanya kepada 86hp dan 120Nm.

Versi DVVT agak menjimatkan dan lebih berkuasa berbanding model pertama. Tampil sebagai model Perodua paling mahal pada suatu ketika, ia turut dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api dan bukan karburator.

Ia mempunyai pilihan automatik 4-kelajuan dan manual 5-kelajuan. Kotak gear manual sememangnya lebih menjimatkan. Enjinnya juga cukup responsif tetapi sedikit bising sewaktu memecut.

Perodua Kembara amat popular suatu ketika dahulu bagi penggemar kenderaan pacuan empat roda (4×4). – Foto ihsan Facebook/Perodua Kembara Club Malaysia

 

Perodua Kembara juga cukup stabil kerana ia menggunakan chesis monocoque dan bukannya ladder frame seperti kebanyakan pacuan empat roda lain.

Ia juga menggunakan sistem pacuan empat roda sepenuh masa dengan differential tengah yang boleh dikunci dengan menggunakan suis pada papan pemuka untuk lebih cengkaman. Namun, Perodua Kembara tidak mempunyai fungsi gear ratio rendah jadi ia hanya sesuai untuk aktiviti offroad ringan sahaja.

Kelebihan Perodua Kembara ialah ia mempunyai jarak ground clearance yang tinggi iaitu 19.5cm, membolehkannya meredah banjir dengan santai dan meredah laluan estet tanpa sebarang masalah.

Lasak! Perodua Kembara sesuai digunakan di semua jenis permukaan jalan. – Foto ihsan Facebook/Perodua Kembara Club Malaysia

 

Selain itu, Perodua Kembara  mempunyai kelebihan apabila turut berada dalam kumpulan ‘kei-car’ dan berkongsi banyak alat ganti dengan Daihatsu Terios.

Malah ada pemilik yang sudah menukar enjin kepada enjin K3-VET yang berkuasa turbo. Kebanyakan kedai half-cut juga mempunyai pelbagai alat ganti untuk Perodua Kembara.

Walaupun melangkah ke tahun 2021, tidak mustahil Perodua Kembara masih mempunyai peminatnya tersendiri!