MODENAS Elit 150S 2026 dikemas kini, harga dari RM7,877

Selain Model Z15GT yang dikemas kini, MODENAS turut mengumumkan tiga penambahbaikan bagi skuter Elit 150S.

Antara penambahbaikan yang dibuat termasuklah:

  • Spring penutup tangki bahan api yang direka semula
  • Penyingkiran soket terdedah yang tidak digunakan pada bahagian depan
  • ECU yang ditala semula bagi mengoptimumkan pemasaan suntikan pada kelajuan tinggi dan meningkatkan cut-off RPM

Elit 150S turut mendapat tiga warna baharu: Amazon Green, Glorious Black dan Nardo Grey.

Harga jualan MODENAS Elit 150S bermula dari RM7,877.

MODENAS Z15GT 2026 dapat 7 penambahbaikan & 2 warna baharu, harga dari RM8,288

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd mengumumkan penawaran dua warna baharu untuk moped MODENAS Z15GT 2026.

Dua warna baharu itu ialah Lime Green dan Amazon Green.

Selain warna baharu, Z15GT turut hadir dengan tujuh penambahbaikan termasuklah:

  • Sistem saliran dulang limpahan yang dipertingkatkan
  • Bahan pengedap tambahan pada suis tombol pencucuhan
  • Rekaan bolt & kolar penutup penyuntik yang disemak semula
  • Garis penunjuk aras rendah untuk tuas brek hadapan
  • Klip penutup sisi yang diperkukuh
  • Penambahan penutup soket bagi melindungi abah-abah wayar daripada pendedahan air
  • Perlindungan titik kimpalan bagi komponen suis kiri & kanan

Harga jualan MODENAS Z15GT bermula dari RM8,288.

MODENAS lanjut Program Z15GT Care hingga 31 Oktober

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) mengumumkan lanjutan Program Z15GT Care sehingga 31 Oktober 2026.

Lanjutan selama dua bulan ini dilihat memberi lebih kebebasan kepada pemilik Modenas Z15GT untuk mendapatkan pemeriksaan percuma dan bantuan selepas jualan.

Menurut MODENAS, program ini tersedia di 94 lokasi di seluruh negara, merangkumi:

  • 84 pengedar sah terpilih
  • lima pusat servis MODENAS
  • lima pusat Service Plus

Skop program yang dilanjutkan ini kekal sama, di mana pemilik Z15GT terus menikmati:

  • Pemeriksaan motosikal dan diagnosis percuma oleh juruteknik terlatih
  • Bantuan teknikal, pembaikan dan tuntutan waranti untuk kes yang layak
  • Akses kepada komponen gantian dan alat ganti berkaitan, tertakluk kepada pengesahan teknikal dan ketersediaan

Servis rutin dan item penyelenggaraan di luar skop program masih tertakluk kepada caj perkhidmatan biasa.

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS berkata, “Kami menghargai kerjasama dan maklum balas daripada pemilik Z15GT serta pengedar sah sepanjang program ini.

“Dapatan yang dikumpul membantu usaha berterusan kami dalam memperkukuh kualiti produk, penyampaian servisdan pengalaman pemilikan keseluruhan,” ujarnya lagi.

Pemilik Z15GT yang masih belum menyertai program ini digalakkan untuk menghubungi pengedar sah terdekat.

Mereka perlu membawa dokumen pendaftaran motosikal serta dokumen waranti atau servis berkaitan bagi melancarkan proses penilaian.

Kymco Xciting VS 400 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia, harga dari RM27,988

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) secara rasmi melancarkan skuter terbaharu Kymco Xciting VS 400 2026 untuk pasaran tempatan.

Terdapat dua warna ditawarkan, iaitu Flat Black dan Cerulean Blue, dengan harga jualan bermula dari RM27,988.

Spesifikasi

Skuter maxi sport touring ini dipacu oleh enjin silinder tunggal 400 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 33.4 hp @ 7,250 rpm dan daya kilas 37.5 Nm @ 5,750 rpm.

Transmisi pula adalah jenis automatik CVT.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, dibantu dengan penyerap hentak berkembar di belakang dengan larasan pra-beban sebanyak 5-tahap.

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:

  • lampu utama LED
  • skrin penghadang angin larasan 5-tahap
  • sistem operasi tanpa kunci
  • ruang storan bawah pelana 29 liter
  • tinggi pelana 805 mm
  • tangki bahan api 12.5 liter
  • skrin paparan digital LED

Ciri keselamatan pula terdiri daripada ABS dua-saluran dan sistem kawalan cengkaman.

MODENAS Brusky 125 2026 rasmi dilancarkan di Indonesia, harga RM6 ribu

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) baru-baru ini melancarkan skuter MODENAS Brusky 125 untuk pasaran Indonesia.

Skuter 125 cc itu ditawarkan sebagai unit import sepenuhnya (CBU) dari Malaysia dan diedarkan oleh PT Kawasaki Motor Indonesia (PT KMI).

MODENAS Brusky 125 dijual pada harga Rp 26,500,000 (RM6,027).

Spesifikasi

Kembar kepada Karisma 125 ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 125 cc sejukan udara yang menghasilkan kuasa 9.4 hp dan 10 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi CVT dan pacuan tali sawat.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang.

Brek pula menggunakan gandingan cakera dan gelendong di belakang.

Antara ciri lain yang ada pada skuter ini termasuklah:

  • rim 14 inci
  • lampu LED
  • panel meter semi-digital
  • tinggi pelana 770 mm
  • tangki bahan api 5.1 liter

MODENAS lancar 3 model baharu: Modenas Z650 S, Kawasaki Z1100 SE & Kawasaki Ninja ZX-10R

Bertempat di Malaysia Bike Show 2026, pihak MODENAS berkesempatan melancarkan tiga model baharu untuk pasaran Malaysia.

Model yang dimaksudkan ialah:

  • Modenas Z650 S – RM35,600
  • Kawasaki Z1100 SE – RM69,900
  • Kawasaki Ninja ZX-10R – RM114,600

Modenas Z650 S

Modenas Z650 S diperkenalkan sebagai jentera jalanan kategori pertengahan (middleweight).

Ia dipacu enjin parallel-twin 649 cc yang mampu menjana 68 PS @ 8,000 rpm dan 64 Nm @ 6,700 rpm, dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan.

Antara ciri yang dimuatkan:

  • tetapan suspensi fork teleskopik 41 mm/Horizontal Back-link
  • tinggi pelana 805 mm
  • tangki bahan api 15 liter
  • Kawasaki Quickshifter (KQS)
  • Kawasaki Traction Control (KTRC)
  • skrin paparan TFT berwarna penuh
  • warna Metallic Matte Graphenesteel Gray/Metallic Flat Spark Black

Kawasaki Z1100 SE

Ini merupakan penambahan terbaharu Kawasaki Malaysia dalam segmen naked premium di Malaysia.

Kawasaki Z1100 SE ini dikuasakan oleh enjin 4-silinder 1,099 cc menghasilkan kuasa 136 PS @ 9,000 rpm dan 113 Nm @ 7,600 rpm.

Jentera ini hadir dengan kelengkapan seperti:

  • tetapan suspensi SFF-BP/Horizontal Back-Link
  • tinggi pelana 815 mm
  • tangki bahan api 17 liter
  • Kawasaki Cornering Management Function (KCMF)
  • KTRC & KQS
  • Kawalan Jelajah Elektronik
  • skrin paparan TFT 5-inci
  • warna Metallic Matte Graphenesteel Gray/Metallic Matte Carbon Gray

Kawasaki Ninja ZX-10R

Kategori supersport diserikan dengan kehadiran model Ninja ZX-10R.

Jentera ini dipacu enjin 4-silinder 998 cc menghasilkan kuasa 196 PS @ 13,000 rpm dan daya kilas 110 Nm @ 11,400 Nm.

Antara ciri yang dimuatkan:

  • tetapan suspensi BFF 43 mm/Horizontal Back-link
  • kawalan redaman stereng Ohlins
  • tinggi pelana 825 mm
  • tangki bahan api 17 liter
  • KCMF, KTRC, KQS
  • skrin paparan TFT 5-inci
  • warna Lime Green/Blue 24

MODENAS Z15GT 2025 rasmi dilancarkan – harga RM8,288

MODENAS hari ini secara rasmi melancarkan model supermoped yang ditunggu-tunggu ramai – MODENAS Z15GT 2025 untuk pasaran Malaysia.

Ia mendapat enjin silinder tunggal sejukan cecair 149.5 cc yang mampu menjana kuasa 16.8 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 13.5 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi enam-kelajuan.

Z15GT membawakan ukuran sepanjang 1,980 mm, lebar 670 mm, tinggi 1,100 mm dengan jarak antara roda 1,315 mm dan berat sekitar 128 kg.

Kapasiti tangki bahan api pula sebesar 5.7 liter, sementara tinggi pelana pula 780 mm.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, sementara brek pula menggunakan tetapan cakera depan dan belakang.

Cuma sayang sekali, ia hanya hadir dengan bantuan ABS saluran tunggal.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah:

  • sistem pencahayaan LED depan dan belakang termasuk DRL dan lampu membelok
  • lampu kecemasan
  • sistem kunci pintar
  • panel meter instrumen LCD
  • soket pengecasan jenis USB Type-A

Untuk info, MODENAS Z15GT menampilkan DNA Kawasaki dalam rekaannya, terutama elemen Sugomi daripada model Z yang boleh dilihat pada lampu depan serta lampu belakang.

Selain itu, motif ikan arowana juga turut mempengaruhi rekaan Z15GT yang agresif dan aerodinamik, dan dalam masa yang sama mempunyai personaliti yang tersendiri.

Terdapat tiga warna pilihan iaitu Graphite Grey, Nardo Grey dan juga Rosso Red.

Untuk pasaran Malaysia, MODENAS Z15GT 2025 dijual pada harga bermula dari RM8,288.

Modenas Elit 150S 2025 rasmi di Malaysia – harga dari RM7,877

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) mengumumkan ketibaan model skuter 150 cc, iaitu Modenas Elit 150S bersempena sambutan ulang tahun yang ke-30.

Skuter tersebut dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 14 hp @ 8,250 rpm dan daya kilas 13.5 Nm @ 6,750 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi V-belt automatik.

Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan, diikuti tetapan penyerap hentak berkembar di belakang.

Antara ciri yang wujud pada skuter ini termasuklah lampu utama berkembar, lampu nyalaan siang DRL, sistem kekunci pintar, skrin LCD, ruang storan bawah pelana sebesar 23 liter dan rim sebesar 13 inci.

Modenas Elit 150S menawarkan tangki bahan api sebesar 12 liter yang menawarkan jarak tunggangan sehingga 480 km, berat sekitar 137 kg dan tinggi pelana 770 mm.

Terdapat dua warna pilihan iaitu Riviera Blue dan Quantum Grey. Harga jualan bermula dari RM7,877.

MODENAS lancar skuter elektrik MEV-1, MEV-2 – harga dari RM9,878

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, MODENAS melancarkan dua buah model skuter berkuasa elektrik untuk pasaran tempatan, iaitu MEV-1 dan juga MEV-2.

Modenas MEV-1 sebelum ini sudah digunakan oleh Pos Malaysia untuk tujuan penghantaran barang, dan kini sudah boleh dibeli oleh orang awam.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik 6.6 hp, berkeupayaan untuk mencapai kelajuan maksimum 85 km/j.

Skuter MEV-1 ini menggunakan bateri ATL Lithium yang mampu menawarkan jarak tunggangan sehingga 135 km untuk sekali cas penuh.

Antara ciri lain termasuklah pengecas on-board, suspensi hadapan teleskopik, serta brek cakera hidraulik dengan CBS.

Terdapat dua varian, iaitu MEV-1 Pro yang hadir dengan pelana tunggal, serta MEV-1 Pro SX yang dilengkapi dengan pelana untuk pembonceng.

Harga jualan bermula dari RM13,470 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

MEV-2 pula dijana dengan motor elektrik berkuasa 6.8 hp dengan halaju maksimum dihadkan kepada 80 km/j sahaja.

Pek bateri ALT Lithium 74V30Ah pula menawarkan jarak tunggangan sejauh 107 km.

MEV-2 turut dilengkapi dengan pengecas on-board, suspensi hadapan jenis teleskopik, brek cakera hidraulik dengan CBS, serta sistem lampu LED.

Harga jualan bermula dari RM9,878.

 

MEV-1 PRO/PRO SX

MEV-2

Modenas Elegan 250 EX facelift – harga jualan RM17,780

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) memperkenalkan skuter 250 cc, iaitu Elegan 250 EX versi facelift, menampilkan warna baharu dan ciri yang ditambah baik.

Ia ditawarkan pada harga RM17,780, sedikit mahal berbanding penawaran Elegan 250 EX pada dua tahun lepas (RM16,997).

Untuk kemas kini terbaharu ini, Elegan 250 EX facelift mendapat ciri berikut:
• skrin penghadang angin lebih sporti
• lampu membelok hadapan LED
• dua warna baharu iaitu Deep Blue dan Plain Grey
• logo MODENAS baharu

Skuter ini masih lagi mengekalkan enjin silinder tunggal 250 cc dengan kuasa 22.4 hp @ 7,000 rpm dan daya kilas 22.4 Nm @ 6,500 rpm.

Selain itu, ciri lain termasuklah tangki bahan api 14 liter, sistem brek cakera depan dan belakang, sistem ABS, suspensi fork teleskopik hadapan dan penyerap hentak berkembar di belakang.

Modenas tawar diskaun istimewa menerusi kempen ‘Mai Servis Motor Sambut Raya’

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), anak syarikat DRB-Hicom, telah mengumumkan pelancaran kempen ‘Mai Servis Motor Sambut Raya’ yang berlangsung dari 14 hingga 28 Mac 2025.

Inisiatif yang tersedia di semua pusat servis Modenas di seluruh negara ini dijalankan bagi memastikan motosikal pelanggan berada dalam keadaan optimum menjelang musim perayaan yang bakal tiba.

Antara manfaat eksklusif yang ditawarkan menerusi kempen ini termasuk:

  • caj upah kerja percuma untuk servis motosikal biasa
  • diskaun istimewa untuk servis dan penyelenggaraan motosikal
  • diskaun tambahan eksklusif untuk ahli E-Keahlian Modenas
  • konsultasi percuma dari mekanik bertauliah Modenas mengenai penjagaan dan penyelenggaraan motosikal

Pelanggan boleh mengunjungi mana-mana pusat servis Modenas sepanjang tempoh kempen dari Isnin hingga Jumaat (8:30 pagi – 4:30 petang) dan Sabtu (8:30 pagi – 1:00 petang) untuk menikmati tawaran ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan dalam satu kenyataan menekankan komitmen syarikat terhadap keselamatan jalan raya dan kesejahteraan komuniti.

“Melalui kempen ini, kami ingin memberi kembali kepada komuniti dengan memastikan motosikal mereka diselenggara dengan baik, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan atau kemalangan.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami terhadap tanggungjawab sosial korporat yang berterusan, menjadikan mobiliti yang selamat dan boleh dipercayai dapat diakses oleh semua,” katanya.

Modenas Ninja 500 kini dilancarkan di Malaysia – versi standard dan SE, harga dari RM28k

Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), anak syarikat DRB-Hicom, telah melancarkan Modenas Ninja 500 untuk pasaran Malaysia.

Motosikal sport saiz pertengahan itu boleh didapati dua versi iaitu standard dan Special Edition (SE). Versi standard dijual pada harga RM28,100 dan boleh didapati dalam warna hitam sahaja.

Sementara itu, Ninja 500 SE yang berharga RM30,100 ditawarkan dalam dua warna iaitu Lime Green dan hitam/merah.

Tidak kira sama ada dalam versi standard atau SE, Ninja 500 dikuasakan oleh enjin 500 cc dua silinder selari yang menjana 44.8 hp pada 9,000 rpm dan 42.6 Nm pada 6,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan.

Ninja 500 mempunyai ukuran panjang 1,995 mm, lebar 730 mm dan tapak roda 1,375 mm. Ketinggian pelana mencecah 785 mm, manakala kapasiti tangki pula adalah 14 liters, memberikan motosikal ini berat keseluruhan 171 kg.

Sistem suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik 41 mm pada bahagian depan dan penyerap hentak dengan pelarasan pra-muatan pada bahagian belakang.

Untuk brek, Ninja 500 menggunakan cakera tunggal 310 mm bersama angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang. Turut disertakan adalah ABS dwi saluran.

Selain pilihan warna berbeza, Ninja 500 SE juga didatangkan dengan beberapa ciri tambahan iaitu port USB Type-C, sistem tanpa kunci KIPASS (Kawasaki Intelligent Proximity Activation Start System) dan paparan TFT berwarna penuh.

Modenas Kriss 125 Fi dilancarkan ke pasaran – RM5,620

Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) memulakan tahun baru dengan melancarkan Kriss 125 Fi ke pasaran tempatan.

Kapcai itu dijual pada harga RM5,620 tidak termasuk insurans dan cukai jalan, dan boleh di dalam dua warna iaitu Glacier Emerald Green dan Graphite Grey.

‘Nadi’ Kriss 125 Fi adalah enjin satu silinder, empat lejang, dua injap SOHC bersesaran 124 cc yang mampu menjana 8.4 hp pada 8,000 rpm dan 8.5 Nm pada 6,000 rpm.

Menurut Modenas, enjin sejukan udara tersebut menampilkan nisbah mampatan 9.3:1, sistem suntikan bahan api dan boleh dihidupkan secara elektrik atau kick start.

Ia dipadankan dengan transmisi empat kelajuan dan mendapat bekalan bahan api daripada tangki berkapasiti 4.2 liter.

Selain itu, Kriss 125 Fi didatangkan dengan fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar, manakala rim pula berukuran 17 inci yang dibalut tayar bersaiz 70/90 di depan dan 80/90 di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik tunggal berukuran 220 mm yang diapit oleh angkup dua piston untuk bahagian depan, dan dram untuk bahagian belakang.

“Kriss 125 Fi adalah lebih dari sekadar model baru—ia mewakili hasrat Modenas untuk menyediakan solusi mobiliti yang boleh dipercayai, berpatutan, dan efisien yang disesuaikan untuk penunggang dan jalan raya Malaysia. Memasuki segmen ini melambangkan komitmen kami terhadap inovasi dan kepuasan pelanggan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan.

MODENAS lancar kempen tukar kapcai dengan Ninja ZX-25R

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) melancarkan promosi terbaharu yang menawarkan ganjaran tambahan bernilai RM888 khusus untuk pemilik kapcai yang mahu membeli sportsbike ZX-25R.

Kempen “Next Level Trade-In: Unlock RM888 Extra” itu hanya sah bermula sehingga hujung tahun ini (31 Disember 2024).

Menerusi kempen terbaharu ini, MODENAS akan menambah RM888 ke atas nilai tukar-beli motosikal underbone bersesaran 110cc-200cc) tanpa mengira jenama, dan hanya sah untuk pembelian model ZX-25R SE dan ZX-25RR sahaja.

Para pelanggan perlu melengkapkan proses trade-in motosikal lama dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Motosikal jenis skuter tidak layak untuk menyertai tawaran trade-in terbaharu ini.

Sebagai info, Modenas Ninja ZX-25R dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 249 cc yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 51 hp dan 22.9 Nm, dipadankan dengan transmisi enam nisbah kelajuan.

Varian RR pula lebih istimewa kerana ia didatangkan dengan fork hadapan jenis terbalik 37 mm SFF-BP, serta penyerap hentak Showa BFRC lite dengan larasan pra-bebanan.

5 fakta yang perlu anda tahu pasal skuter elektrik MODENAS

Baru-baru ini kami telah dijemput ke kilang MODENAS yang terletak di Gurun, Kedah untuk menghadiri acara penyerahan skuter elektrik MEV-1 Pro kepada Pos Malaysia.

Ia merupakan serahan kedua yang dibuat oleh MODENAS dengan jumlah sebanyak 1,092 unit selepas serahan kumpulan pertama dibuat kira-kira setahun yang lalu.

Berikut kami kongsikan beberapa lagi fakta menarik yang anda perlu tahu pasal MODENAS MEV-1:

 

1. Maksud MEV-1

Modenas.
Electric Vehicle.
Number 1.

Untuk model lain yang akan diperkenalkan kelak, MODENAS akan menggunakan nama MEV-2, MEV-3 dan seterusnya.

 

2. Kerjasama dengan VMoto

Untuk makluman, MODENAS MEV-1 merupakan ‘kembar’ kepada model skuter elektrik VMoto VS1.

MODENAS bekerjasama dengan VMoto untuk membangunkan MEV-1 untuk manfaat perolehan teknologi dalam tempoh masa yang lebih singkat.

Jenama VMoto dipilih disebabkan oleh faktor ketahanan, kecekapan dan kualiti yang lebih baik berbanding beberapa model pesaing yang telah dinilai sebelum ini.

CEO MODENAS, Roslan Roskan turut menambah, pemilihan model yang lebih berkualiti adalah penting supaya rakyat Malaysia yang mungkin akan membeli skuter elektrik pada tahun hadapan lebih berpuas hati dengan setiap nilai ringgit yang dibelanjakan.

Untuk info, VMoto merupakan jenama rasmi pembekal skuter elektrik kepada pasukan Ducati MotoGP.

Bukan calang-calang jenama ya!

 

3. Naik taraf ambil masa setahun, ujian ketahanan 10,000 km

Berbanding MEV-1 yang telah digunakan selama setahun, MEV-1 Pro merupakan versi yang telah ditambah baik mengambil kira data penggunaan dan keperluan spesifik Pos Malaysia.

Menurut MODENAS, antara penambahbaikan yang dibuat termasuklah penambahan butang brek parkir manual, pendakap rak yang lebih tahan lasak, dan penggunaan motor elektrik yang lebih berkuasa.

Disebabkan itu, MEV-1 Pro kini berupaya menghasilkan kuasa 5.8 hp, boleh menampung beban sehingga 250 kg, serta mampu mendaki cerun curam 19 darjah.

Ia juga lebih tahan panas terima kasih kepada perubahan yang dibuat pada unit kawalan kenderaan dan sistem bateri, sesuai untuk tugas-tugas Pos Malaysia yang lebih ekstrem.

 

4. Masalah jarak tak cukup?

Berbanding motosikal moped biasa, kebanyakan skuter elektrik mempunyai satu masalah umum – jarak tunggangan yang kurang mencukupi untuk operasi harian.

Namun, ia bukan satu masalah besar buat abang-abang posmen kita.

Menurut Pos Malaysia, secara purata sebuah skuter elektrik MEV-1 bergerak sejauh 40 km setiap hari untuk membuat penghantaran barang.

Bermakna, jarak gerak standard yang ditawarkan oleh MEV-1 adalah sudah lebih daripada memadai untuk merangkumi operasi harian Pos Malaysia.

Namun pada masa depan, Pos Malaysia tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan opsyen mendirikan stesen penukaran bateri yang lebih praktikal untuk menampung keperluan yang semakin bertambah.

 

5. Berminat? Tunggu tahun depan

Buat masa ini, MEV-1 dan MEV-1 Pro hanya dikhususkan untuk kegunaan armada elektrik syarikat seperti Pos Malaysia.

Namun, MODENAS menjanjikan skuter elektrik yang boleh dibeli orang ramai akan ditawarkan menjelang suku pertama 2025 (Q1 2025), dengan spesifikasi  dan harga yang lebih mesra pengguna.

Untuk permulaan, ia akan dijual dalam versi CBU dengan harga jualan anggaran belasan ribu ringgit, atau mungkin bawah RM10 ribu ringgit dalam versi pemasangan tempatan (CKD).

 

Spesifikasi MODENAS MEV-1 Pro


Kuasa: 5.8 hp
Daya kilas: 165 Nm
Pek bateri: 5.4 kWh
Jarak gerak: 95 km
Dimensi: 2,094 x 727 x 1,141 mm
Jarak roda: 1,366 mm
Jarak lega bumi: 154 mm
Tinggi pelana: 760 mm
Suspensi: Fork teleskopik hadapan, penyerap hentak tunggal belakang
Saiz tayar: 100/80-16 depan, 110/80-14 belakang
Brek: Rotor 240 mm depan, 180 mm belakang

 

MODENAS MEV-1 Pro


MODENAS MEV-1 Pro SX

MODENAS serah 1,092 skuter elektrik MEV-1 Pro kepada Pos Malaysia

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyerahkan kumpulan kedua skuter elektrik Modenas MEV-1 PRO sebanyak 1,092 unit kepada Pos Malaysia sebagai sokongan kepada komitmen untuk mencapai elektrifikasi penuh menjelang 2030.

Kesemua skuter elektrik ini akan dihantar secara berperingkat menyertai armada EV Pos Malaysia sedia ada  yang terdiri daripada 220 unit motosikal elektrik (termasuk 140 unit MEV-1 yang telah diserahkan sebelum ini) dan 143 van elektrik.

Modenas MEV-1 PRO telah direka untuk memenuhi keperluan spesifik dan tuntutan operasi perkhidmatan logistik dan penghantaran, menyokong kapasiti beban sehingga 250 kg, kuasa maksimum 4.3 kW (5.8 hp) serta keupayaan untuk mendaki cerun sehingga 19 darjah.

Syarikat MODENAS akan menyediakan khidmat penyelenggaraan dan servis yang menyeluruh untuk MEV-1 PRO menerusi rangkaian pusat servisnya di seluruh negara.

Difahamkan, skuter elektrik MODENAS MEV-1 juga akan ditawarkan kepada pengguna umum dengan versi yang lebih mampu milik diperkenalkan bermula suku pertama 2025 (Q1 2025).

 

MODENAS lancar cruiser Eliminator 500, dari RM30,100

Bersempena dengan penganjuran MotoGP Malaysia, MODENAS turut sama melancarkan model motosikal cruiser terbaharu Modenas Eliminator 500 2025 dengan harga jualan bermula dari RM30,100 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).

Ia merupakan model terbaharu yang dijenamakan semula daripada Kawasaki, selaras dengan pendekatan yang dibuat untuk model motosikal bawah 750 cc terdahulu.

Modenas Eliminator dikuasakan oleh enjin kembar selari 451 cc yang mampu menghasilkan 44.7 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 43 Nm @ 6,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi manual enam-kelajuan yang dipadankan dengan klac assist-slipper.

Modenas Eliminator dilengkapi dengan fork teleskopik hadapan 41 mm diikuti dengan penyerap hentak berkembar yang datang dengan larasan pra-beban, masing-masing menawarkan jarak gerak 120 mm dan 90 mm.

Sementara aspek pemberhentian pula menggunakan khidmat brek cakera berkembar 310 mm dengan angkup dua-omboh di depan, diikuti brek cakera tunggal dan angkup omboh tunggal di belakang. Tidak ketinggalan, ia juga hadir dengan sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran.

Eliminator 500 ini menggunakan rim bersaiz 18 inci dengan balutan tayar 130/70 di depan, serta rim aloi 16 inci dengan balutan tayar 150/80 di belakang.

Ciri lain termasuklah lampu LED depan dan belakang, skrin kluster LCD dengan sokongan aplikasi Rideology, kapasiti tangki bahan api  sebesar 13 liter dan tinggi pelana 735 mm.

 

MODENAS Versys 650 SE & Kawasaki Z900RS SE rasmi di Malaysia, harga dari RM44k

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) mengumumkan kehadiran dua buah model motosikal untuk pasaran tempatan, iaitu Modenas Versys 650 SE dan Kawasaki Z900RS SE.

Dimulakan dengan Modenas Versys 650 SE, jentera touring ini dikuasakan oleh enjin kembar selari 649 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 67 PS @ 8,500 rpm dan daya kilas 61 Nm @ 7,000 rpm.

Sistem gantungan terdiri daripada fork hadapan jenis teleskopik terbalik 41 mm boleh laras (julat gerak 150 mm), diikuti penyerap hentak tunggal lengkap dengan larasan pra-bebanan (julat gerak 145 mm).

Aspek pemberhentian Versys 650 SE ini menggunakan angkup hadapan dua omboh dan rotor terapung berkembar 300 mm, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor tunggal bersaiz 220 mm di belakang.

Aspek tunggangan turut dibantu dengan ciri indikasi tunggangan ekonomikal, injap pendikit berkembar serta kawalan cengkaman (KTRC).

Tersedia dalam unit terhad, Modenas Versys 650 SE ini turut dilengkapi dengan sistem kotak storan pannier jenis quick release berkapasiti 65 liter yang menggunakan sistem kunci yang sama dengan sistem pencucuhan motosikal.

Harga jualan bermula dari RM43,600 untuk warna Metallic Spark Black, atau RM44,200 untuk warna Candy Lime Green/Metallic Flat Spark Black.

Mereka yang mahukan imej retro klasik boleh mendapatkan Kawasaki Z900RS SE dengan harga jualan RM73,300.

Z900 RS SE dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 948 cc dengan hamburan kuasa 110 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 98.5 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear enam nisbah kelajuan.

Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik 41 mm dengan fungsi larasan pra-bebanan, diikuti penyerap hentak gas Öhlins S46, juga dengan larasan pra-bebanan tersedia.

Sistem brek Z900RS SE menggunakan angkup monobloc M4.32 yang mencengkam rotor berkembar Brembo bersaiz 300 mm, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor tunggal 250 mm di belakang.

Ciri lain termasuklah rim 17 inci, tangki bahan api sebesar 14 liter, tinggi pelana sekitar 835 mm, indikasi tunggangan ekonomikal, injap pendikit berkembar serta kawalan cengkaman (KTRC).

Modenas, IFS Capital lancar Program Pembiayaan Rantaian Bekalan

Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) dan IFS Capital Malaysia Sdn. Bhd. telah menjalinkan kerjasama strategik untuk menyediakan fleksibiliti kewangan kepada vendor Modenas melalui Program Pembiayaan Rantaian Bekalan.

Kerjasama yang dikenali sebagai ‘SupplyLink Accord’ itu akan menyaksikan vendor akan menikmati beberapa ciri program pembiayaan berkenaan seperti berikut:

  • Pilihan Pembayaran Awal: Vendor dan pembekal mendapat akses kepada dana lebih awal daripada kitaran pembayaran tradisional.
  • Proses Diperkemas: Kelulusan invois dipermudahkan dan prosedur pembayaran digital untuk transaksi yang lebih pantas.
  • Fleksibiliti Kewangan yang Dipertingkat: Sokongan aliran tunai segera untuk pengurusan modal kerja yang berkesan
  • Akses Mudah: Portal dalam talian tersedia 24 jam, 7 hari seminggu.
  • Transaksi Digital: Proses secara digital yang lebih kemas.
  • Tiada Akaun Bank Baru Diperlukan: Tidak memerlukan akaun tambahan.
  • Kos Telus: Tiada bayaran atau yuran tersembunyi.

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas berkata, “Pilihan pembayaran awal akan memastikan rantaian bekalan kami beroperasi dengan cekap dan dapat memenuhi keperluan.

“Selain itu, ia juga membantu perniagaan kecil tempatan untuk menguruskan aliran tunai mereka, dan ini pasti akan menyumbang kepada keseluruhan komitmen kami di Modenas terhadap pertumbuhan ekonomi.”

“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Modenas untuk memperkenalkan penyelesaian pembiayaan inovatif ini,” kata Ab. Razak Khalil, Ketua Pegawai Eksekutif IFS Capital.

“Program kami direka untuk mewujudkan rantaian bekalan yang lebih tangkas dan responsif, memacu pertumbuhan dan kemampanan untuk semua pihak yang terlibat.”

Dengan meningkatkan fleksibiliti kewangan, Program Pembiayaan Rantaian Bekalan dapat mengukuhkan lagi rantaian bekalan serta memupuk daya tahan perniagaan.

Program ini menetapkan penanda aras baharu dalam industri, sejajar dengan trend penyelesaian kewangan yang semakin berkembang yang menyokong keperluan perniagaan dinamik di seluruh Malaysia dan juga di rantau ASEAN.

Modenas kini tampil dengan logo, identiti jenama baharu

Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas), anak syarikat DBR-Hicom Berhad telah melancarkan logo dan identiti jenama baharunya.

Modenas berkata, identiti jenama baharu itu melambangkan tumpuan syarikat kepada pengembangan global, teknologi baharu, dan penyelesaian yang lebih bersih.

Logo baharu Modenas menampilkan simbol ikonik ‘M’ dalam gaya yang lebih moden, dikelilingi bulatan yang menggambarkan ketepatan dan identiti baharu.

Kekal dengan warna biru dan putihnya, logo yang dikemas kini memperkenalkan varian kelabu dan platinum Modenas.

Sementara itu, pengenalan Elemen “Road Star” yang baharu juga mencerminkan arah baharu jenama ini yang menekankan kepimpinan industri, keupayaan menyesuaikan diri, dan komitmen untuk pertumbuhan.

Bercakap mengenai usaha penjenamaan semula ini, Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas berkata,”Industri mobiliti kini sedang berkembang pesat, didorong oleh keperluan mendesak untuk peralihan tenaga dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kelestarian alam sekitar.”

“Dengan ini, visi baharu kami akan membawa keseronokan yang menghubungkan orang dan komuniti, dengan menyediakan nilai, teknologi, dan produk lestari di peringkat global,” tambahnya.

Sempena penjenamaan semula dan pencapaiannya, Modenas turut memperkenalkan varian baharu Kriss 110 dengan teknologi suntikan bahan api yang mematuhi piawaian pelepasan Euro 4 yang ketat.

Harga jualan Kriss 110 baharu itu bermula dari RM4,599 bagi varian brek dram, dan RM4,998 bagi varian brek cakera.