MODENAS lancar cruiser Eliminator 500, dari RM30,100
Bersempena dengan penganjuran MotoGP Malaysia, MODENAS turut sama melancarkan model motosikal cruiser terbaharu Modenas Eliminator 500 2025 dengan harga jualan bermula dari RM30,100 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan).
Ia merupakan model terbaharu yang dijenamakan semula daripada Kawasaki, selaras dengan pendekatan yang dibuat untuk model motosikal bawah 750 cc terdahulu.
Modenas Eliminator dikuasakan oleh enjin kembar selari 451 cc yang mampu menghasilkan 44.7 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 43 Nm @ 6,000 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi manual enam-kelajuan yang dipadankan dengan klac assist-slipper.
Modenas Eliminator dilengkapi dengan fork teleskopik hadapan 41 mm diikuti dengan penyerap hentak berkembar yang datang dengan larasan pra-beban, masing-masing menawarkan jarak gerak 120 mm dan 90 mm.
Sementara aspek pemberhentian pula menggunakan khidmat brek cakera berkembar 310 mm dengan angkup dua-omboh di depan, diikuti brek cakera tunggal dan angkup omboh tunggal di belakang. Tidak ketinggalan, ia juga hadir dengan sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran.
Eliminator 500 ini menggunakan rim bersaiz 18 inci dengan balutan tayar 130/70 di depan, serta rim aloi 16 inci dengan balutan tayar 150/80 di belakang.
Ciri lain termasuklah lampu LED depan dan belakang, skrin kluster LCD dengan sokongan aplikasi Rideology, kapasiti tangki bahan api sebesar 13 liter dan tinggi pelana 735 mm.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.