MODENAS Versys 650 SE & Kawasaki Z900RS SE rasmi di Malaysia, harga dari RM44k
Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) mengumumkan kehadiran dua buah model motosikal untuk pasaran tempatan, iaitu Modenas Versys 650 SE dan Kawasaki Z900RS SE.
Dimulakan dengan Modenas Versys 650 SE, jentera touring ini dikuasakan oleh enjin kembar selari 649 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 67 PS @ 8,500 rpm dan daya kilas 61 Nm @ 7,000 rpm.
Sistem gantungan terdiri daripada fork hadapan jenis teleskopik terbalik 41 mm boleh laras (julat gerak 150 mm), diikuti penyerap hentak tunggal lengkap dengan larasan pra-bebanan (julat gerak 145 mm).
Aspek pemberhentian Versys 650 SE ini menggunakan angkup hadapan dua omboh dan rotor terapung berkembar 300 mm, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor tunggal bersaiz 220 mm di belakang.
Aspek tunggangan turut dibantu dengan ciri indikasi tunggangan ekonomikal, injap pendikit berkembar serta kawalan cengkaman (KTRC).
Tersedia dalam unit terhad, Modenas Versys 650 SE ini turut dilengkapi dengan sistem kotak storan pannier jenis quick release berkapasiti 65 liter yang menggunakan sistem kunci yang sama dengan sistem pencucuhan motosikal.
Harga jualan bermula dari RM43,600 untuk warna Metallic Spark Black, atau RM44,200 untuk warna Candy Lime Green/Metallic Flat Spark Black.
Mereka yang mahukan imej retro klasik boleh mendapatkan Kawasaki Z900RS SE dengan harga jualan RM73,300.
Z900 RS SE dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 948 cc dengan hamburan kuasa 110 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 98.5 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear enam nisbah kelajuan.
Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik 41 mm dengan fungsi larasan pra-bebanan, diikuti penyerap hentak gas Öhlins S46, juga dengan larasan pra-bebanan tersedia.
Sistem brek Z900RS SE menggunakan angkup monobloc M4.32 yang mencengkam rotor berkembar Brembo bersaiz 300 mm, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor tunggal 250 mm di belakang.
Ciri lain termasuklah rim 17 inci, tangki bahan api sebesar 14 liter, tinggi pelana sekitar 835 mm, indikasi tunggangan ekonomikal, injap pendikit berkembar serta kawalan cengkaman (KTRC).
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.