Modenas Kriss 125 Fi dilancarkan ke pasaran – RM5,620


Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) memulakan tahun baru dengan melancarkan Kriss 125 Fi ke pasaran tempatan.
Kapcai itu dijual pada harga RM5,620 tidak termasuk insurans dan cukai jalan, dan boleh di dalam dua warna iaitu Glacier Emerald Green dan Graphite Grey.
‘Nadi’ Kriss 125 Fi adalah enjin satu silinder, empat lejang, dua injap SOHC bersesaran 124 cc yang mampu menjana 8.4 hp pada 8,000 rpm dan 8.5 Nm pada 6,000 rpm.
Menurut Modenas, enjin sejukan udara tersebut menampilkan nisbah mampatan 9.3:1, sistem suntikan bahan api dan boleh dihidupkan secara elektrik atau kick start.
Ia dipadankan dengan transmisi empat kelajuan dan mendapat bekalan bahan api daripada tangki berkapasiti 4.2 liter.
Selain itu, Kriss 125 Fi didatangkan dengan fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar, manakala rim pula berukuran 17 inci yang dibalut tayar bersaiz 70/90 di depan dan 80/90 di belakang.
Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik tunggal berukuran 220 mm yang diapit oleh angkup dua piston untuk bahagian depan, dan dram untuk bahagian belakang.
“Kriss 125 Fi adalah lebih dari sekadar model baru—ia mewakili hasrat Modenas untuk menyediakan solusi mobiliti yang boleh dipercayai, berpatutan, dan efisien yang disesuaikan untuk penunggang dan jalan raya Malaysia. Memasuki segmen ini melambangkan komitmen kami terhadap inovasi dan kepuasan pelanggan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.