Hino Total Support Contest buru pengoperasi lori terbaik negara untuk 2023

HINO Motor Sales (Malaysia) Sdn Bhd baru-baru ini menganjurkan Hino Total Support (TS) Contest. Acara tahunan edisi kesembilan itu diadakan di ibu pejabat Hino di Petaling Jaya, melibatkan 95 peserta dari 15 syarikat pengedar Hino bertauliah seluruh negara.

Hino Total Support Contest 2023 memfokuskan kepada dua nilai utama iaitu memaksimakan uptime kenderaan dan meminimakan kos jangka hayat.

Sepanjang peraduan, peserta diuji melalui aspek-aspek seperti Sales, Service, Spare Parts, Customer Success Operation (SCO), dan Best In Town, iaitu satu kategori baharu tahun ini.

Pemenang hadiah utama membawa pulang Challenge Trophy, wang tunai RM3,000, dan tiket pelancongan ke Thailand untuk enam peserta. Pemenang di tempat kedua dan ketiga pula masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000 dan RM1,000.

Juara bagi setiap kategori pula (Sales, Service, Spare Parts, dan CSO) menerima wang tunai RM1,000 dan tiket ke Thailand pada 2024. Pemenang tempat kedua dan ketiga setiap kategori pula membawa pulang wang tunai RM500 dan RM200 setiap seorang.

Hino TS Contest bukan sahaja mencari mereka yang berkemahiran dalam industri, malah turut menjadi platform menghargai dan mengiktiraf para pengedar.

Hino serah bas elektrik Poncho pertama untuk MARA

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) baru-baru ini telah menerima dua unit bas elektrik pertama mereka iaitu Hino Poncho. Bas-bas ini akan menjalani ujian di laluan sekitar Pulau Langkawi selama dua tahun, selari dengan Sustainable Development Goals (SDG) dalam pengangkutan di Malaysia.

Pengerusi MARA, Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, berkata projek perintis ini bukan sahaja menggalakkan pengangkutan lestari tetapi juga mengurangkan pelepasan karbon di pulau peranginan itu.

Inisiatif ini juga merupakan komitmen berterusan antara kedua belah pihak selepas perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani pada Mac lepas.

Bas Hino Poncho dijadualkan beroperasi pada September tahun ini bagi melihat kesesuaiannya dengan cuaca dan persekitaran jalan raya Malaysia.

Bas ini mampu memuatkan 11 tempat duduk sehingga 32 penumpang, dan dengan saiznya yang kecil dan rendah, membuatkannya mesra pengguna kerana lebih mudah untuk naik dan turun darinya.

Pada hari yang sama, MARA juga menganjurkan MARA Brew’ 23 Program untuk memperkenalkan dan mempromosi pengusaha kopi dalam industri makanan.

Sebanyak 10 vendor kopi menyertai program yang dijalankan selama empat hari itu bermula 22 hingga 25 Jun 2023.

HINO 200 Series dilancarkan di Malaysia – trak paling rendah, kecil dalam segmen

HINO Motors Sales Malaysia (HMSM) secara rasminya melancarkan model kenderaan komersial ringan (LCV) baharu iaitu HINO 200 Series ke pasaran tempatan.

200 Series buat masa ini ditawarkan dalam satu varian sahaja. Ia dikuasakan oleh enjin Toyota 1GD-FTV 2.8-liter turbodiesel yang menjana 144 PS pada 3,400 rpm dan 300 Nm dari 1,200 hingga 3,200 rpm.

Ini menjadikan ia model Hino pertama dalam pasaran Malaysia yang didatangkan dengan enjin turbo intercooler bertaraf Euro 4 yang serasi dengan diesel B20.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan. Ketika ditanya, wakil HMSM berkata pihaknya akan mempertimbangkan untuk menawarkan versi automatik pada masa hadapan.

Menurut syarikat itu lagi, 200 Series juga menghasilkan gegaran yang rendah menerusi penggunaan suspensi bebas pada bahagian hadapan. Ini memberikan pemanduan yang lebih selesa dan sentuhan tayar yang lebih baik terutamanya di atas permukaan jalan yang tidak rata.

Tarikan utama model ini adalah kabin dan dek rendah yang memudahkan pelanggan untuk memuatkan atau memunggah kargo. Ketinggian kabin yang tidak melebihi 2 meter pula membolehkan trak ini dipandu ke kawasan rendah seperti ruang parkir bawah tanah. Ia juga boleh dicondongkan bagi memudahkan kerja servis dan penyelenggaraan.

200 Series boleh dipasangkan dengan tiga jenis badan iaitu kargo (besi atau kayu), ‘curtain sider’ dan kotak. Panjang badan yang boleh dipasang adalah sehingga 10.5 kaki atau 3.2 meter. Radius pusingan model ini adalah 4.7 meter, 0.8 meter lebih kecil berbanding Hino 300 Series.

Dari segi keselamatan, ia dilengkapi dengan ABS, Vehicle Stability Control (VSC) dan Traction Control. Turut disertakan adalah tali pinggang keledar dengan Emergency Locking Retractor.

Harga jualan Hino 200 Series (casis sahaja) bermula dari RM88,900 selepas diskaun. Ia didatangkan dengan waranti selama lima tahun/300,000 km, serta pakej penyelenggaran percuma sebanyak tiga kali.

Pusat 3S Hino dibuka di Balakong dengan enam ruang servis dan peralatan terkini

HINO Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan pusat 3S (Sales, Service dan Spare Parts) terbaharu mereka, dioperasikan oleh Soon Seng Truck & Parts Sdn Bhd (SSTP), di Balakong. Ia terletak di lokasi strategik untuk kemudahan akses penduduk setempat dan kawasan sekitar.

Pusat 3S itu telah menerima pelaburan sebanyak RM1 juta oleh SSTP, mempunyai keluasan 20,000 kaki persegi dan mendapat kemudahan terkini oleh Hino.

Fasiliti ini dilengkapi enam tempat servis termasuklah dua tempat servis eskpres yang menjanjikan waktu penyelenggaran 45 minit bagi mereka yang membuat temu janji. Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati kemudahan lounge, WiFi, dan makanan serta minuman percuma.

Selain penyelenggaraan, SSTP juga menawarkan servis-servis seperti pembaharuan cukai jalan, insurans, serta servis tunda 24 jam.

Rakan niaga jangka masa panjang dengan Hino

SSTP telah bekerjasama dengan jenama Hino lebih 40 tahun, sejak 1978, bermula dengan pengedar alat ganti di Seremban. Pada 2008, SSTP dinaik taraf kepada 3S sebelum kemudiannya menukar lokasi ke Nilai pada 2014.

Pengarah Urusan Hino, Atsushi Uchiyama berkata semasa pelancaran 3S baharu itu: “Kami melantik SSTP Balakong sebagai pusat 3S sah Hino untuk menawarkan pusat sehenti bawah satu bumbung untuk pelanggan kami.”

“Kami percaya pusat 3S ini mudah untuk pelanggan membuat pertanyaan mengenai model-model Hino terkini, kerja-kerja badan, servis selepas jualan, serta bekalan alat ganti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SSTP, Chan Swe Wah berkata, “Dalam industri kenderaan komersial, hubungan dengan pelanggan menjadi keutamaan kami dan kami akan membina hubungan berpanjangan terutamanya dalam sokongan alat ganti.”

“Kawasan Balakong juga kini semakin membangun dan kami melihat perniagaan-perniagaan bercambah, dan banyak syarikat bergantung kepada pengangkutan dan logistik.”

“Dengan pembukaan pusat 3S baharu ini, kami percaya ia akan memberi manfaat kepada kebanyakan syarikat pengangkutan dan logistik,” katanya.

Pusat 3S baharu ini beralamat di No.7, Jalan Taming Jaya, Taman Taming Jaya, 43300 Seri Kembangan, Selangor.

Ia dibuka pada Isnin hingga Jumaat, dari 8:30 pagi hingga 5:30 petang. Untuk Sabtu pula, ia beroperasi dari 8:30 pagi hingga 4:30 petang.

Hino dan MARA bekerjasama hasilkan tenaga kerja mahir MRO kenderaan komersial

Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd (Hino) telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang bertujuan meningkatkan pembangunan dari segi keusahawanan, pendidikan dan pelaburan dalam industri automotif.

Perjanjian ditandatangani oleh Pengarah Urusan Hino, Atsushi Uchiyama dan Ketua Pengarah MARA, Dato Azhar Abdul Manaf.

Perkongsian strategik antara Hino dan MARA ini bertujuan untuk membangunkan program tenaga kerja mahir terutamanya dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO) kenderaan komersial.

Selain itu, kerjasama ini dapat meningkatkan pertumbuhan industri automotif dan menggalakkan perkongsian pengetahuan serta teknologi.

Menurut Datuk Seri Panglima Hajah Azizah, kolaborasi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada MARA dan HINO, malah ianya akan meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam industri automotif terutamanya bidang MRO di samping menghasilkan tenaga kerja berkemahiran untuk masa hadapan.

Atsushi Uchiyama pula berkata, “MARA merupakan pelanggan setia kami sejak tertubuhnya HINO di Malaysia pada tahun 1977 lagi.

“Di HINO, kami mengalu-alukan kolaborasi sebegini dalam membuka peluang serta potensi baru industri automotif di Malaysia terutamanya di kawasan pedalaman,” tambahnya lagi.

Hadir sama untuk menyaksikan majlis tandatangan MoU ialah Pengerusi MARA Datuk Seri Panglima Hajah Azizah dan Pengarah HINO, Ahmad Yasmin Yahya.

Gagah ‘membelah’ jalan raya bersama Hino 700 Series

Sering kelihatan di atas jalan raya, produk keluaran Hino tidak dinafikan mempunyai kualiti mengagumkan dengan kos penggunaan yang menjimatkan.

EnGear diberi kesempatan melawat Hino Total Support Customer Centre yang terletak di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan bagi merasai pengalaman memandu jentera keluaran syarikat ini.

Apa yang menarik di sana? Teruskan membaca!

Hino 700 Series

Peluang melawat Hino Total Support Customer Centre adalah antara pengalaman berharga sepanjang kami melakukan review pelbagai jenis kenderaan. Apa tidaknya, kami diberi peluang memandu uji salah sebuah produk terbaik keluaran Hino iaitu model 700 Series.

Pengalaman memandu uji Hino 700 Series membuatkan kami merasakan bahawa setiap pemandu layak untuk memandu jentera berat. Memiliki sistem canggih dengan kapasiti enjin yang ‘power’, jentera ini juga amat mudah dikendalikan memandangkan ia dilengkapi kamera keselamatan menyeluruh.

Ini terbukti apabila sistem kamera yang dipasang pada Hino 700 Series mampu memberikan penglihatan menyeluruh kepada pemandu ketika membelok sekaligus dapat mencegah kemalangan.

Berikut antara spesifikasi terdapat pada Hino 700 Series:-

  • Aerodynamic
  • Antilock-Braking-System (ABS)
  • Door Impact Beams
  • Energy Absorbing Steering Wheel & Column
  • High Functionality Seats

 

Hino 700 Series menjanjikan pemanduan yang selesa dengan sistem keselamatan canggih dan selamat. — Foto ihsan Hino

 

Nak tahu lebih lanjut pengalaman team EnGear memandu uji Hino 700 Series? Saksikan video yang kami sediakan ini!