fbpx

HINO 200 Series dilancarkan di Malaysia – trak paling rendah, kecil dalam segmen

Hino 200 Series 02

HINO Motors Sales Malaysia (HMSM) secara rasminya melancarkan model kenderaan komersial ringan (LCV) baharu iaitu HINO 200 Series ke pasaran tempatan.

200 Series buat masa ini ditawarkan dalam satu varian sahaja. Ia dikuasakan oleh enjin Toyota 1GD-FTV 2.8-liter turbodiesel yang menjana 144 PS pada 3,400 rpm dan 300 Nm dari 1,200 hingga 3,200 rpm.

Ini menjadikan ia model Hino pertama dalam pasaran Malaysia yang didatangkan dengan enjin turbo intercooler bertaraf Euro 4 yang serasi dengan diesel B20.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan. Ketika ditanya, wakil HMSM berkata pihaknya akan mempertimbangkan untuk menawarkan versi automatik pada masa hadapan.

Menurut syarikat itu lagi, 200 Series juga menghasilkan gegaran yang rendah menerusi penggunaan suspensi bebas pada bahagian hadapan. Ini memberikan pemanduan yang lebih selesa dan sentuhan tayar yang lebih baik terutamanya di atas permukaan jalan yang tidak rata.

Tarikan utama model ini adalah kabin dan dek rendah yang memudahkan pelanggan untuk memuatkan atau memunggah kargo. Ketinggian kabin yang tidak melebihi 2 meter pula membolehkan trak ini dipandu ke kawasan rendah seperti ruang parkir bawah tanah. Ia juga boleh dicondongkan bagi memudahkan kerja servis dan penyelenggaraan.

200 Series boleh dipasangkan dengan tiga jenis badan iaitu kargo (besi atau kayu), ‘curtain sider’ dan kotak. Panjang badan yang boleh dipasang adalah sehingga 10.5 kaki atau 3.2 meter. Radius pusingan model ini adalah 4.7 meter, 0.8 meter lebih kecil berbanding Hino 300 Series.

Dari segi keselamatan, ia dilengkapi dengan ABS, Vehicle Stability Control (VSC) dan Traction Control. Turut disertakan adalah tali pinggang keledar dengan Emergency Locking Retractor.

Harga jualan Hino 200 Series (casis sahaja) bermula dari RM88,900 selepas diskaun. Ia didatangkan dengan waranti selama lima tahun/300,000 km, serta pakej penyelenggaran percuma sebanyak tiga kali.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved