Arkib Kategori: EV

Audi Q6 e-tron – enam fakta menarik yang anda perlu tahu

AUDI telah memperkenalkan model elektrik terbarunya iaitu Q6 e-tron, yang dibina menggunakan platform Premium Platform Electric (PPE) yang dibangunkan bersama Porsche untuk Macan.

Berikut adalah enam perkara menarik yang anda perlu tahu mengenai model ini:

Saiz dan posisi dalam pasaran

Q6 e-tron mempunyai ukuran panjang 4,771 mm, lebar 1,939 mm, tinggi 1,648 mm dan tapak roda 2,899 mm. Ini menjadikannya pesaing kepada BMW iX dan Tesla Model Y dalam segmen saiz pertengahan premium.

Menurut Audi, nisbah tapak roda panjang dengan overhang pendek memberikan model ini penampilan yang gagah serta dinamik seperti model-model siri Q yang lain, ditambah pula dengan elemen-elemen reka bentuk yang spesifik untuk model e-tron.

Prestasi & jarak pandu

Q6 e-tron akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Q6 e-tron quattro dan SQ6 e-tron, kedua-duanya mempunyai dua motor elektrik. Varian asas itu mempunyai 387 PS dan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.9 saat. Dengan 516 PS, SQ6 e-tron hanya memerlukan 4.3 saat untuk mencapai kelajuan tersebut.

Kedua-dua varian didatangkan dengan bateri berkapasiti 100 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 625 km untuk Q6 e-tron dan 598 km untuk SQ6 e-tron.

Kelebihan platform PPE

Platform PPE baharu menggunakan seni bina 800 volt yang menyokong pengecasan pantas sehingga 270 kW. Di stesen pengecas yang sesuai, bateri boleh dicas dari 1o% hingga 80% dalam hanya 21 minit. Apa yang menarik, jika stesen pengecas menggunakan teknologi 400 volt, bateri 800 volt itu akan dibahagikan kepada dua pada voltan yang sama, yang kemudiannya boleh dicas selari dengan kapasiti sehingga 135 kW.

Pengecasan AC boleh dilakukan pada kapasiti 11 kW.

Teknologi pencahayaan tercanggih

Q6 e-tron didatangkan dengan lampu Matrix LED pada bahagian hadapan yang menawarkan sehingga lapan signatur lampu digital. Di belakang pula terdapat lampu digital OLED generasi kedua yang mempunyai enam panel OLED dengan 360 segmen untuk menjana imej baharu setiap 10 milisaat menggunakan algoritma khas.

Ini membolehkan Q6 e-tron berkomunikasi dengan persekitarannya menggunakan teknologi Car-to-X untuk memberi amaran tentang kemalangan atau kerosakan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Pentas Digital menghiasi ruang dalaman

Papan pemuka Q6 e-tron didominasi oleh tiga skrin iaitu kluster instrumen digital berukuran 11.9 inci untuk pemandu, skrin sentuh 14.5 inci dan paparan penumpang hadapan 10.9 inci yang boleh digunakan untuk membantu pemandu menetapkan sistem navigasi atau mencari stesen pengecas.

Selain itu, Audi turut menawarkan paparan head-up realiti terimbuh (AR) yang akan memantulkan imej besar pada cermin hadapan untuk menunjukkan info seperti kelajuan, papan tanda jalan raya dan navigasi. Menurut Audi, imej yang dipaparkan seolah-olah terapung pada jarak 200 meter dari pandangan.

Bakal tiba di Malaysia

Menurut paultan.org, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) selaku pengedar rasmi Audi di Malaysia sebelum ini telah mengesahkan yang Q6 e-tron akan dilancarkan tahun ini.

Percaturan armada EV tidak menjadi, CEO Hertz umum letak jawatan

CEO Hertz, Stephen Scherr meletakkan jawatan baru-baru ini setelah percaturan untuk menambah armada EV yang dibuat sejak pandemik COVID tidak menjadi, menurut laporan CNN.

Tempat Stephen Scherr akan digantikan oleh CEO baharu, Gil West yang sebelum ini menyandang jawatan sebagai ketua pegawai operasi Delta Air Lines dan unit Cruise General Motors.

Hertz pada tahun 2021 melakukan pertaruhan besar dengan menandatangani pembelian sebanyak 100,000 unit EV daripada Tesla, diikuti perancangan untuk membeli 175,000 EV daripada GM dan 65,000 EV daripada Polestar.

Disebabkan Tesla mengambil langkah drastik dengan mengurangkan harga jualan demi mengekalkan momentum jualan, ia secara tidak langsung memberikan impak besar kepada nilai jual semula EV syarikat tersebut.

Keadaan menjadi buruk apabila Hertz mengumumkan kerugian bernilai $245 juta (RM1.16 bilion) sepanjang tempoh suku keempat 2023, terbesar sejak pandemik.

 

 

Pada Januari 2024, Hertz mengumumkan perancangan untuk menjual sebahagian daripada armada EV disebabkan permintaan sewaan yang kurang, kos pembaikan yang tinggi serta penurunan nilai jual semula yang ketara.

Menurut penganalisis pasaran EV, Daniel Ives dari Wedbush Securities mendakwa masalah yang melanda Hertz bukanlah sekadar melibatkan EV dan pelanggan yang tidak mahu menyewa EV, akan tetapi cara Hertz mengendalikan armada tersebut secara keseluruhannya.

“Dengan mengenakan peraturan pengecasan yang sama seperti undang-undang pengisian bahan api, ia mungkin menghalang pelanggan daripada mahu menyewa sebuah kereta elektrik.

“Tanpa membina infrastruktur pengecasan di lokasi sewaan, Hertz mungkin telah menjejaskan perniagaannya sendiri. Pelanggan tidak mahu menghabiskan masa semata-mata untuk mencari stesen pengecasan,” ujarnya lagi.

Hertz juga sebelum ini dilapor bersetuju untuk membayar $168 juta (RM796 juta) untuk menyelesaikan 364 tuntutan berkaitan laporan kecurian palsu, di mana ada sesetengah pelanggan yang telah ditahan dan ada yang turut dipenjarakan.

Isu tersebut sedikit sebanyak menjejaskan reputasi Hertz untuk bersaing secara sihat.

Isuzu D-Max BEV Concept bakal muncul di Bangkok hujung bulan ini

Isuzu bakal memeriahkan acara pameran tahunan Bangkok International Motor Show yang ke-45 tahun ini dengan kehadiran model konsep berkuasa elektrik, iaitu D-Max BEV Concept.

Sama seperti model trak pikap satu tan berkuasa diesel, D-Max BEV ini juga telah dibangun untuk memenuhi keperluan yang lebih meluas dalam segmen kenderaan penumpang dan juga komersial.

Menurut Isuzu, D-Max BEV Concept ini menampilkan sistem pacuan empat roda sepenuh masa yang terdiri daripada dua e-Axle.

 

 

Sistem gandar elektronik itu dikatakan mampu menawarkan prestasi yang cemerlang di atas laluan kasar, pecutan linear tipikal sebuah EV, dan dalam masa yang sama mampu meminimumkan gegaran dan bunyi bising.

Menggerakkan trak pikap ini ialah gandingan dua motor elektrik berkuasa 174 hp dan 325 Nm, terdiri daripada motor elektrik 53.6 hp/108 Nm untuk gandar depan, diikuti motor elektrik 121 hp/217 Nm untuk gandar belakang.

Kedua-dua motor elektrik itu memperoleh kuasa daripada pek bateri lithium-ion 66.9 kWh, dan dikatakan mampu mencapai kelajuan tertinggi ‘melebihi 130 km/j’.

 

 

Sama seperti trak D-Max diesel, D-Max BEV mempunyai keupayaan membawa muatan sekitar 1,000 kg, dan kapasiti menunda muatan maksimum seberat 3,500 kg.

Dari segi luaran, D-Max BEV Concept ini membawakan rekaan yang hampir sama dengan model facelift yang dilancarkan tahun lepas, namun dengan sedikit perbezaan seperti jeriji tertutup yang dikemaskan dengan aksen warna biru, serta bampar depan yang telah direka semula.

Menurut Isuzu, trak pikap D-Max BEV ini akan dilancarkan buat kali pertama di Eropah pada tahun 2025, diikuti pasaran Australia, Thailand dan beberapa pasaran utama dunia.

 

Isuzu D-Max 2024 (facelift)

KG Motors, Eneos jalin kerjasama bangunkan EV ultra kompak Minimum Mobility, sasar jual 2025

Jepun sangat terkenal dengan barisan kei car yang mempunyai rekaan yang comel, dimensi yang kompak, dan praktikal dalam masa yang sama.

Namun dalam tempoh setahun dari sekarang, pasaran kereta kecil Jepun akan dimeriahkan dengan kehadiran pendatang baharu, KG Motors.

 

 

Menerusi kerjasama yang terjalin dengan syarikat Eneos, KG Motors akan merealisasikan visi mobiliti mampan menerusi pengenalan model kenderaan elektrik (EV) Minimum Mobility.

Berdasarkan info daripada laman web rasmi KG Motors, Minimum Mobility merupakan sebuah EV satu tempat duduk yang memiliki dimensi sepanjang 2,450 mm, lebar 1,090 mm dan tinggi 1,500 mm – lebih kecil berbanding Smart ForTwo.

Dengan motor elektrik yang mempunyai kuasa puncak 6.7 hp dan pek bateri yang tidak diketahui kapasitinya, Minimum Mobility ini mampu bergerak sejauh 100 km untuk sekali cas penuh.

 

 

Pengecasan AC 100V pula membolehkan pek bateri tersebut dicas penuh dalam masa lima jam sahaja.

Rekaan luaran Minimum Mobility ini mengambil inspirasi daripada kamera polaroid tahun 1980-an.

Dengan hasrat untuk menjadikan masyarakat bebas karbon satu realiti, KG Motors menyasarkan untuk memulakan produksi massa dan jualan EV ultra kompak ini pada tahun 2025 sementara Eneos pula akan menggunakan kepakaran mereka untuk menawarkan perkhidmatan berkaitan mobiliti dan gaya hidup.

 

Hyundai lancar kempen recall terbesar di Korea Selatan, libatkan 170 ribu EV

Hyundai Motor Group baru-baru ini melancarkan kempen panggil semula besar-besaran melibatkan beberapa model kenderaan elektrik dari tiga jenama naungannya, berpunca daripada unit kawalan pengecasan bersepadu (ICCU).

Menurut laporan Business Korea, unit ICCU yang bermasalah itu akan mengakibatkan kenderaan hilang kuasa semasa pemanduan.

Kesemua EV yang terjejas merupakan model yang dibina berdasarkan platform E-GMP, termasuklah Hyundai Ioniq 5, Ioniq 6, Genesis GV60 EV, GV70 EV dan G80 EV, serta Kia EV6.

Difahamkan, kempen panggil semula itu terhad untuk 169,932 EV yang dijual di pasaran Korea Selatan.

 

Ia juga dikatakan merupakan kempen panggil semula terbesar melibatkan platform elektrik E-GMP sejak ia dilancarkan pada tahun 2021.

Sementara itu, agensi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) pada Jun 2023 telah membuka siasatan berasingan berhubung masalah yang sama melibatkan komponen ICCU EV Hyundai.

Laporan awal mencadangkan masalah lebihan arus boleh berlaku pada bahagian tersebut, merosakkan transistor dan menghalang bateri 12V daripada dicas.

 

 

Berdasarkan 30 aduan yang diterima, para pemilik di Amerika Syarikat mendakwa mereka mendengar satu bunyi ‘pop’ yang sangat kuat, diikuti dengan paparan mesej amaran pada papan pemuka.

Tatkala sesetengah pemilik hanya mengalami masalah pengurangan kuasa, ada pemilik yang mendakwa EV mereka hilang kuasa secara keseluruhan.

Sekiranya kempen panggil semula ini diperluaskan ke pasaran lain, angka kenderaan yang perlu dipanggil semula dijangka akan mencecah sehingga 500,000 unit.

Hyundai ST1 EV, kuda kerja futuristik, tiga varian didedahkan

Hyundai Staria diperkenalkan pada tahun 2021 sebagai pengganti kepada model pacuan roda belakang Starex.

Selain wujud dalam versi van penumpang (tiga atau empat baris tempat duduk), Hyundai Staria juga turut ditawarkan dalam versi van komersial yang dikhususkan untuk membawa muatan barangan.

Mereka yang berminat untuk menjalankan aktiviti luar boleh mendapatkan Hyundai Staria Lounge Camper, terdiri daripada dua model iaitu Camper 11 dan Camper 4 dengan empat tempat duduk eksklusif.

 

Masuk tahun 2024, Hyundai meluaskan lagi penawaran Staria dengan memperlihatkan model ST1, atau nama penuhnya “Service Type 1”.

Ia merupakan sebuah kuda kerja berkuasa elektrik sepenuh masa dan direka untuk memenuhi keperluan perniagaan kecil di Korea Selatan.

Untuk permulaan, Hyundai bakal menawarkan tiga varian, iaitu versi kargo standard, kargo sejuk serta ‘chassis cab’ yang asas untuk pemilik yang mahu memadankan binaan belakang secara retrofit.

Sesuai sangat untuk mereka yang mahu menjadikan ST1 ini sebagai projek campervan.

 

 

Reka bentuk luaran ST1 ini banyak mengingatkan kita kepada model Staria Load, dengan unit lampu asas yang diposisikan rendah, jalur lampu nyalaan siang LED, rim keluli, serta padanan lapisan perlindungan plastik pada sekeliling badan.

Sama seperti Kona EV, port pengecasan Hyundai ST1 ini terletak pada bahagian muka hadapan.

Buat masa ini, spesifikasi penuh seperti kuasa dan had muatan yang mampu ditampung oleh ST1 masih lagi tidak diketahui, dan perinciannya hanya akan didedahkan dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Selain pasaran Korea Selatan, Hyundai juga merancang untuk menjual ST1 di beberapa pasaran lain.

Hyundai Staria Premium

 

Hyundai Staria 10 tempat duduk

Hyundai Staria Load

Porsche Taycan Turbo GT didedahkan – 1,019hp dalam Attack Mode, 0-100 2.2 saat

PORSCHE Taycan varian asas sudah pantass, dengan pecutan 0-100 dalam masa 4 saat. Kemudian ada Taycan Turbo S pula dengan kemampuan mencapai 100km/j dalam 2.3 saat. Jika itu pun belum cukup pantas bagi anda, terimalah Taycan Turbo GT.

Ianya versi paling berkuasa pernah Porsche hasilkan. Ia mampu menghasilkan 777hp dan 1,339Nm tork dalam keadaan standard. Kuasa boleh dinaikkan menjadi 1,019hp dalam Attack Mode. Amacam, cukup?

Sama seperti butang push-to-pass dalam Taycan biasa, Attack Mode ini melonjakkan kuasa selama 10 saat.

Dari segi prestasi, 0-100 kini boleh dicapai dalam masa 2.2 saat. Dan jika anda pilih pakej Weissach, pecutan menjadi 2.1 saat sahaja. Kemudian dalam masa 6.6 saat, Taycan Turbo GT sudah mencapai 200km/j, dan hanya 6.4 saat diperlukan untuk versi Wiessach.

Rahsia utama kepada prestasi gila ini adalah penggunaan silikon karbida pada inverter yang menjana sehingga 900 amps kepada motor belakang, berbanding 600 amps pada model Turbo S. Dipadankan dengan motor elektrik baharu, ianya lebih ringan dan cekap berbanding sebelumnya.

Pengurangan berat juga berlaku di bahagian lain seperti gentian karbon di tiang-B, cermin sisi, dan skirt sisi.

Brek karbon-seramik dan rim 21-inci juga adalah lebih ringan, dan ini dibaluti dengan tayar Pirelli P Zero Trofeo R. Jika anda pilih versi Weissach, ia akan ‘buang’ terus tempat duduk belakang.

Ciri standard lain pada Taycan Turbo GT ini adalah suspensi Active Ride, pakej aerodinamik baharu, dan spoiler belakang dengan jahitan gentian karbon unik. Ini memberikan Taycan Turbo GT Weissach sebanyak 458 pound downforce.

Bahagian kabinnya mendapat balutan kulit Race-tex dan Sports Seats Plus adaptif dengan pelarasan 18-arah dan jahitan logo Turbo GT.

Taycan Turbo GT menjadi model Taycan paling berkemampuan di litar. Dan seperti yang boleh dijangka dari Porsche, mereka telah pun membuktikannya.

Taycan Turbo GT dengan pakej Weissach telah mencatat masa terpantas untuk kereta elektrik EV di Laguna Seca dengan masa 1:27.87.

Model prototaip pula telah mencatatkan masa 7:07.55 di Nurburgring, menjadikannya lebih pantas dari mana-mana model sedan empat-pintu di litar Green Hell itu.

Xpeng bakal masuk pasaran Thailand, Singapura dan Malaysia

PENGELUAR kenderaan elektrik (EV) dari China iaitu Xpeng merancang untuk menembusi pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) bermula separuh kedua tahun ini, lapor South China Morning Post.

Pengasas bersama dan CEO Xpeng, He Xiaopeng berkata mereka mensasarkan pasaran Hong Kong dan Asia Tenggara (Thailand, Singapura dan Malaysia) bagi mengukuhkan imejnya sebagai pengeluar EV pintar terkemuka.

“Sejajar dengan strategi go-global 2.0 Xpeng, kami telah menjalin kerjasama dengan lebih banyak pengedar di luar negara, dengan matlamat utama untuk menjadikan kereta elektrik pintar terbaik dalam kelasnya mudah diakses oleh pelanggan di seluruh dunia,” kata He.

Buat masa ini, Xpeng hanya menghasilkan kenderaan pemanduan sebelah kiri dan kebanyakannya dijual di China. Penawaran kereta RHD di luar China membolehkan Xpeng berhadapan dengan potensi penurunan jualan dalam pasaran sendiri akibat perang harga yang menjejaskan keuntungan hampir semua pengeluar EV, dari BYD kepada General Motors.

Selain Hong Kong dan Asia Tenggara, Xpeng juga merancang untuk meneroka pasaran Eropah seperti Jerman dan Perancis.

Presiden Xpeng, Brian Gu memberitahu Post tahun lalu bahawa kereta RHD pertama syarikat itu nanti adalah model SUV G6 versi dikemaskini. Model itu dikatakan akan memasuki pasaran Hong Kong lewat tahun ini.

Di China, harga jualan G6 bermula dari 209,900 yuan (RM136,790) hingga 276,900 yuan (RM180,453).

Dodge Charger Daytona EV, 670 hp, jarak gerak cecah 510 km, sistem ‘ekzos’ Fratzonic

Dodge baru sahaja melancarkan model generasi baharu kereta muscle Dodge Charger EV, di mana versi sifar emisi ini akan dijual seiring dengan versi enjin pembakaran dalaman kelak.

Dodge Charger serba baharu ini dibina menggunakan platform baharu STLA Large yang lebih segar, di mana secara standard ia dibekalkan dengan sistem pacuan semua roda, serta boleh didapati dalam bentuk badan coupe dua pintu atau sedan empat pintu.

Berikut merupakan beberapa info ringkas berkenaan Dodge Charger generasi kelapan.

 

1. Ukuran

 

Dodge Charger (baik versi dua atau empat pintu) menampilkan ukuran dimensi jarak antara roda yang sama, iaitu 3,074 mm, atau 20 mm lebih panjang berbanding Charger terdahulu.

Secara keseluruhan, Charger membawakan ukuran sepanjang 5,248 mm, lebar 2,141 mm, dan mempunyai berat sekitar 2,648 kg!

 

2. Sistem gantungan

 

Charger Daytona didatangkan dengan tetapan suspensi multi-link di depan, diikuti suspensi bebas di belakang.

Terdapat opsyen untuk melengkapkan jentera ini dengan sistem suspensi semi-aktif injap berkembar dan peredam adaptif untuk varian Scat Pack yang didatangkan dengan Track Package.

 

3. Sistem AWD standard

 

Seperti yang disebutkan di atas, Dodge Charger Daytona didatangkan dengan sistem pacuan semua roda, terima kasih kepada padanan dua motor elektrik yang dibantu dengan pek bateri berkapasiti 100.5 kWh.

Ia mampu mencapai jarak gerak sejauh 510 km, sementara versi yang lebih berkuasa pula berupaya bergerak sehingga 418 km.

Selain itu, Charger Daytona turut dilengkapi dengan pembeza gelincir terhad mekanikal pada modul pacuan elektrik (EDM) gandar belakang.

Untuk meningkatkan tahap kecekapan, EDM pada gandar depan boleh dinyahaktifkan semasa bergerak.

 

4. Kuasa sehingga 670 hp

 

Terdapat dua varian yang ditawarkan untuk permulaan.

Charger Daytona Scat Pack mampu menjana kuasa setinggi 670 hp/850 Nm, pecutan 0-96 km/j cuma sepantas 3.3 saat, terima kasih kepada kit naik taraf Dodge Direct Connection Stage 2 (+80 hp) yang dipasang terus dari kilang.

Varian R/T dengan kit Stage 1 (+40 hp) pula berkuasa 496 hp/548 Nm, dengan pecutan 0-96 km/j dalam masa 4.7 saat, sebelum mencapai kelajuan tertinggi 220 km/j.

Angka tersebut mampu dicapai dengan hanya menekan butang “PowerShot” pada roda stereng, di mana ia akan menambah boost 40 hp kepada motor elektrik dalam tempoh 15 saat, macam Abang Dom tekan butang NOS dalam Fast Furious.

Menurut Dodge, Charger baharu ini mempunyai satu nisbah gear boleh ubah, sementara tetapan gear dua kelajuan pula hanya akan ditawarkan untuk varian Banshee yang mempunyai tiga motor elektrik.

 

5. Dodge Charger EV ada sistem ekzos

 

Seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, Dodge Charger Daytona dilengkapi dengan sistem penjana bunyi Fratzonic Chambered Exhaust System untuk menjadikan kereta muscle ini bising macam model lama.

Menurut CEO Dodge Tim Kuniskis, sistem pembesar suara macam ekzos ini mampu menghasilkan rentak, irama, dan tempo yang sama pada dengan enjin V8 Hemi yang tradisional.

 

6. Ruang kargo yang besar

 

Dodge Charger Daytona menawarkan ruang barangan yang besar, bermula dari 643 liter, atau boleh dibesarkan sehingga 1,056 liter apabila tempat duduk belakang dilipat, diikuti dengan ruang frunk sebesar 42 liter.

 

7. Ruang kabin sama macam versi konsep

 

Masuk sahaja ke dalam ruang kabin, anda akan dapat melihat persamaan rekaan dan susun atur papan pemuka yang hampir sama dengan model konsep Daytona SRT EV sebelum ini.

Terdapat roda stereng rekaan atas dan bawah rata, skrin kluster digital 10.25 inci (opsyen 16 inci), skrin tengah 12.3 inci, garis papan pemuka yang mengingatkan kita pada model Charger 1968, serta tuil penukaran gear seakan pemegang pistol di konsol tengah.

Ruang itu juga boleh dikemaskan dengan pelbagai jenis bahan termasuklah fabrik, vinil, sehinggalah kepada balutan kulit Nappa.

Terdapat juga ciri pencahayaan dalaman Dodge Attitude Adjustment 64 warna yang mampu berubah mengikut kelakuan pemandu, seperti contoh membuka pintu atau menekan butang pandu mula.

 

8. Ciri keselamatan standard

 

Untuk Charger Daytona, Dodge melengkapkan kereta muscle elektrik ini dengan pelbagai ciri keselamatan termasuklah amaran pelanggaran hadapan, brek automatik, kawalan jelajah adaptif, sistem pengecaman papan tanda trafik, bantuan kekal lorong, pengesan titik buta dan pengesan pemandu mabuk.

 

9. Mahukan enjin pembakaran dalaman?

 

Untuk model generasi baharu ini, Dodge akan turut menawarkan varian enjin pembakaran dalaman yang digelar sebagai Charger Sixpack yang akan dijual sebagai model tahun 2025.

Ia akan menampilkan enjin Hurricane tetapan enam silinder sebaris 3.0 liter turbo berkembar berkuasa antara 420 hp atau 550 hp.

Sayang sekali, tiada perancangan untuk menghidupkan semula nadi V8 untuk Charger generasi baharu.

 

Dodge Charger Daytona EV 2024

 

Dodge Charger 2025

Permintaan EV menurun, Renault mahu terus hasilkan kereta berenjin pembakaran dalaman

Renault dilapor akan menyemak kembali perancangan untuk menjadi jenama kenderaan elektrik (EV) sepenuh masa tahun 2030 berikutan peralihan pengguna kepada EV yang semakin perlahan.

Bercakap kepada laman Automotive News Europe, CEO Renault Fabrice Cambolive mendedahkan jenama itu akan terus menawarkan EV dan model hibrid berenjin pembakaran dalaman untuk setiap segmen kenderaan pada masa akan datang.

“Bagi saya, persoalannya bukanlah (perancangan) 2030 – kami akan mengikut trend dengan dua penawaran paling kompetitif dalam barisan produk kami,” ujarnya lagi.

 

 

Sebelum ini, pada tahun 2022 CEO kumpulan Luca de Meo meramalkan barisan model Renault di Eropah akan terdiri daripada EV menjelang akhir dekad ini, dengan satu syarat ia akan bergantung kepada keadaan pasaran semasa.

Renault bukanlah satu-satunya pihak yang mengubah unjuran produk mereka.

Minggu lalu, Mercedes-Benz telah menarik balik ramalan bahawa EV akan menyumbang 100 peratus jualan mereka menjelang 2030, sebaliknya menekankan pembangunan teknologi ICE dan hibrid menjelang dekad berikutnya.

Hyundai Ioniq 5 2025 facelift, pek bateri lebih besar, ada wiper belakang!

Sedar atau tidak, sudah tiga tahun telah berlalu sejak Hyundai melancarkan crossover elektrik Ioniq 5 pada tahun 2021.

Untuk pasaran Korea Selatan, EV tersebut kini telah dikemaskini dengan membawakan beberapa perubahan dari segi rekaan luaran, pek bateri yang lebih besar, serta pengenalan varian baharu N Line.

Perubahan rekaan yang dimaksudkan itu tidaklah begitu ketara.

 

 

Apa yang berubah adalah unit bampar depan dan belakang yang telah disemak semula, rim aloi yang lebih aerodinamik, penambahan penyeka kaca belakang, serta spoiler belakang yang lebih besar.

Disebabkan rekaan bampar, ukuran dimensi panjang EV ini juga bertambah sebanyak 20 mm kepada 4,655 mm.

 

 

Untuk ruang kabin, susun atur papan pemuka dilihat tidak banyak berubah, melainkan dengan penambahan butang kawalan fizikal pada konsol tengah untuk fungsi seperti pemanas tempat duduk dan roda stereng, serta butang bantuan parkir.

Sementara itu, panel kawalan untuk sistem pendingin hawa juga telah direka semula untuk memudahkan operasi.

Jika anda perasan, Ioniq 5 kini dilengkapi dengan sistem kamera sisi, dimana imej daripada kamera tersebut dipaparkan menerusi dua skrin pada bahagian penghujung papan pemuka.

 

 

Ioniq 5 facelift turut mendapat pek bateri 84 kWh yang lebih besar berbanding unit 77.4 kWh pada model terdahulu, dan ia dilihat mampu memberikan impak positif terhadap jarak gerak berbanding model pra-facelift.

Sebagai info, Ioniq 5 sebelum ini mampu bergerak sehingga 507 km dengan menggunakan pek bateri 77.4 kWh (data WLTP).

Disebalik rupa luaran yang lebih malar segar, pihak jurutera Hyundai telah menala kembali aspek gantungan untuk pemanduan yang lebih lancar, selain meningkatkan tahap ketegaran komponen cowl crossbar untuk mengurangkan gegaran pada roda stereng.

Hyundai Ioniq 5 facelift juga kini lebih selamat, terima kasih kepada pengukuhan terhadap bahagian roda belakang, bawah badan, pintu dan tiang B, serta penambahan beg udara pada sisi baris kedua – menjadikan jumlah keseluruhan beg udara mencecah lapan unit!

 

 

Akhir sekali, Hyundai telah meningkatkan aspek tebatan bunyi pada motor elektrik belakang, menjadikan nilai NVH kini lebih senyap.

Sebut pasal varian baharu, Hyundai Ioniq 5 kini boleh didapati dalam trim N Line, membawakan kit badan spesifik, lencana N Line, rim aloi baharu 20 inci, rekaan roda stereng berbeza, tempat duduk sports, aksen baharu pada papan pemuka serta pedal keluli.

Hyundai turut menyebut tentang pengalaman pemanduan yang lebih dinamik, memberikan bayangkan Ioniq 5 N Line ini telah diberikan talaan khusus pada bahagian casis.

 

Mengejutkan, Apple labur RM47 bilion untuk projek EV swapandu “Titan” sebelum dibatalkan

Entah di mana silapnya, projek kereta swapandu “Titan” yang diumumkan sejak tahun 2014 kini menemukan jalan buntu apabila Apple membuat keputusan untuk membatalkannya minggu lepas.

Berdasarkan laporan terkini daripada The New York Times, Apple dikatakan telah melabur lebih $10 bilion (RM47.46 bilion) untuk sebuah projek yang tidak kesampaian.

Pada mulanya, Apple mahu menghasilkan kenderaan elektrik untuk bersaing dengan Tesla, sebelum mengalihkan tumpuan kepada Waymo dengan menghasilkan kereta pandu sendiri.

 

Untuk projek tersebut Apple telah berjaya mendapatkan jurutera daripada Porsche dan NASA, dengan jumlah kakitangan melebihi 2,000 orang.

Malah, Apple juga turut mengorak langkah seterusnya dengan mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat automotif termasuklah Hyundai/Kia pada tahun 2021 sebelum Hyundai Motor mengumumkan kerjasama antara kedua belah pihak dibatalkan.

Jika projek Titan ini masih terus berjalan, Apple berkemungkinan besar akan melancarkan model EV swapandu pertama mereka pada tahun 2028.

Pesaing rapatnya Xiaomi pada awal tahun yang lalu telah pun melancarkan model EV pertama mereka, iaitu SU7 dengan saiz menyamai Porsche Taycan dan Tesla Model S, senibina elektrik 800 voltan, dan jarak gerak sejauh 800 km.

 

Xiaomi SU7 diperkenalkan secara rasmi – 673 PS, 0-100 km/j dalam 2.78s, jarak pandu 800 km

Tesla Roadster boleh pecut 0-60 bsj bawah satu saat, Mate Rimac kata “tak mustahil, tapi…”

Siapalah Elon Musk tanpa kenyataan-kenyataan yang bombastik dan agak keterlaluan untuk sebuah model baharu yang masih lagi belum kunjung tiba.

Beberapa hari lepas, Elon Musk mendedahkan perincian prestasi yang bakal dihamburkan oleh Tesla Roadster, di mana pecutan 0-60 batu sejam (0-96 km/j) boleh dicapai dalam masa kurang satu saat.

Mungkin ramai tidak bersetuju dengan dakwaan Elon Musk, namun dalam satu hantaran di Facebook, CEO Rimac, Mate Rimac mendedahkan perkara tersebut sebenarnya tidak mustahil untuk dicapai.

 

 

Jelasnya, pecutan di bawah satu saat boleh dicapai sekiranya ia dibuat dengan bantuan pendorong (thruster) berdasarkan simulasi yang telah dibuat.

“Masalahnya ialah, anda akan melepaskan udara dalam tempoh dua hingga tiga saat, dan dalam masa yang sama anda membawa sekali beban mati seperti tangki, pemampat, injap dan sebagainya.

“Sama seperti bantuan kipas, ia mungkin akan memberikan lebih cengkaman, namun anda perlukan sekitar 30,000 Nm pada roda untuk memecut bawah satu saat, bermakna anda memerlukan unit motor, penyongsang, kotak gear, aci pemacu dan sebagainya yang lebih besar.

Rimac turut menambah, kereta tersebut perlulah ‘super ringan’, dan agak sukar untuk dicapai melihatkan kepada standard kenderaan elektrik masa kini, termasuklah kereta elektrik berprestasi tinggi.

 

 

Malah, Rimac Nevera yang mampu memecut sepantas bawah dua saat dari 0-96 km/j juga memiliki berat melebihi 2 tan.

Menariknya, pada tahun 2018 CEO Tesla pernah mencadangkan Roadster akan mempunyai sekitar 10 unit pendorong roket kecil di sekeliling kereta, bagi membolehkan pecutan 0-60 batu sejam yang lebih pantas.

Opsyen itu dinamakan sebagai SpaceX Option, selain mampu meningkatkan aspek pecutan, ia juga boleh menambah baik aspek kelajuan tertinggi, brek dan mengambil selekoh. Mungkin juga boleh menyebabkan sesebuah Roadster itu ‘terbang’.

Renault 5 E-Tech 2024, EV gaya retro moden untuk hutan urban

Renault kini sedia untuk menawan kembali pasaran supermini urban dengan melancarkan model terbaharu Renault 5 E-Tech.

Ya, tidak seperti model terdahulu, Renault 5 kini 100 peratus sebuah hatchback segmen B berkuasa elektrik, dengan penggayaan retro moden yang diinspirasikan daripada model asal.

 

 

Elemen rujukan tersebut boleh didapati menerusi rekaan lampu utama depan dan belakang, rekaan gerbang roda yang lebih menonjol, serta elemen merah yang mengingatkan kita pada model R5 Turbo.

Sama juga halnya untuk ruang kabin, di mana papan pemuka Renault 5 EV ini membawakan elemen klasik seperti kesan jahitan menegak, corong pendingin hawa berbentuk petak, serta kerangka besar untuk menempatkan meter kluster digital.

 

Secara standard, Renault 5 datang dengan skrin paparan digital sebesar tujuh atau 10 inci, manakala skrin infohibur tengah pula bersaiz 10 inci.

Renault 5 E-Tech dibina berdasarkan platform AmpR Small – atau sebelum ini dikenali dengan nama CMF-B EV – di mana ia mempunyai tetapan suspensi multilink untuk gandar belakang.

Ia membawakan dimensi sepanjang 3.92 meter, lebar 1.77 meter, tinggi 1.5 meter dengan jarak antara roda sepanjang 2.54 meter.

Biarpun bersaiz agak kecil, Renault 5 mampu memuatkan rim sebesar 18 inci, serta ruang kargo sebesar 326 liter.

 

 

Dari segi kuasa, Renault 5 boleh didapati dalam beberapa konfigurasi rangkaian kuasa elektrik.

Versi asas menggandingkan motor elektrik berkuasa 95 hp dan 215 Nm atau 120 hp dan 225 Nm dengan pek bateri 40 kWh.

Terdapat juga varian pek bateri 52.0 kWh yang digandingkan dengan motor elektrik 150 hp dan 245 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j bawah lapan saat, sebelum mencapai kelajuan tertinggi 150 km/j.

 

 

Secara asas, Renault 5 menawarkan jarak gerak sejauh 300 km, atau sehingga 400 km untuk varian pek bateri yang lebih besar.

Untuk pengecasan, kuasa maksimum AC adalah sekitar 11 kW, namun pengecasan DC pula mampu mencapai keupayaan 80 kW atau sehingga 100 kW untuk bateri yang lebih besar, di mana pengecasan 15-80 peratus boleh dicapai dalam masa setengah jam.

Renault 5 E-Tech 2024 ini bakal menjadi antara model EV yang paling mampu milik di Eropah dengan haga jualan sekitar €25,000 (RM129,000).

Ford Supervan 4.2 EV pecah rekod pusingan terpantas di litar Mount Panorama

Jentera pantas Mercedes-AMG GT3 nampaknya terpaksa memberikan laluan kepada kenderaan baharu yang paling pantas mengelilingi litar Mount Panorama – Ford Supervan 4.2 EV.

Dengan catatan 1 minit 56.3247 saat, bukan satu tapi tiga rekod yang berjaya dipecahkan oleh van elektrik tersebut, iaitu dalam kategori kenderaan komersial, kenderaan elektrik, serta kenderaan roda tertutup (closed-wheel) paling pantas.

 

 

Sebagai perbandingan, Mercedes-AMG GT3 menetapkan rekod terpantas baharu sebelum ini dengan catatan masa 1:56.605.

Van elektrik tersebut dipandu oleh juara dua kali perlumbaan 24H Le Mans, Romain Dumas.

Tahun lepas, Dumas pernah memandu van yang sama untuk memecahkan rekod baharu di Pikes Peak International Hillclimb menerusi kategori Open Class.

Selain daripada itu, beliau juga pernah mencatatkan rekod masa terpantas dalam acara seperti Pikes Peak International Hill Climb, Nurburgring Nordshleife serta Goodwood Festival of Speed Hill Climb di dalam jentera Volkswagen ID. R.

 

 

Ford SuperVan 4.2 EV dibangun menggunakan asas Ford e-Transit Custom, menampilkan tetapan tiga motor elektrik – satu untuk gandar depan dan dua untuk gandar belakang – dengan kuasa keseluruhan melebihi 1,400 hp.

Selain daripada rangkaian kuasa elektrik, Ford SuperVan 4.2 ini turut mempunyai komponen splitter hadapan dan spoiler belakang diperbuat daripada bahan gentian karbon bertujuan untuk meningkatkan daya mendap.

BYD YangWang U9 dilancarkan di China pada harga RM1.12 juta

SEGMEN supercar elektrik kini mempunyai pesaing terbaru yang datang dari jenama mewah milik BYD sendiri iaitu YangWang.

Kereta yang dimaksudkan adalah YangWang U9 dan di China, ia dijual pada harga 1.68 juta RMB (RM1.12 juta). Model ini membuat penampilan pertamanya pada Januari tahun lalu bersama-sama dengan U8.

Seperti SUV itu, U9 dibina di atas e4 Platform. Ia dilengkapi dengan empat motor elektrik, memberikannya kuasa keseluruhan sebanyak 1,300 hp dan 1,680 Nm.

Tidak perlu diperkatakan lagi yang ini adalah kereta paling pantas pernah dihasilkan BYD setakat ini. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam hanya 2.36 saat manakala kelajuan maksimum mencecah 309.19 km/j.

Seperti yang boleh dijangka, prestasi yang mengagumkan itu bermakna jarak gerak supercar ini tidaklah begitu jauh iaitu 450 km mengikut kitaran CLTC.

Bateri LFP berkapasiti 80 kWj pada U9 menyokong pengecasan pantas dual-plug pada kapasiti sehingga 500 kW untuk mengisi kuasa bateri dari 10% ke 80% dalam masa 10 minit. Ia juga boleh dicas menggunakan pengecas AC 7 kW, yang mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk pengecasan 10% ke 80%.

U9 mempunyai 12 set pakej aerodinamik aktif dan pasif untuk mengurangkan seretan dan membantu pelepasan haba. Ia juga dilengkapi dengan sistem kawalan badan iSus-X Intelligent yang boleh menaikkan suspensi sehingga 75 mm pada kelajuan 500 mm sesaat.

Sudah tentu, ciri ini menjadikan U9 lebih tangkas di selekoh namun seperti yang anda mungkin sudah lihat sebelum ini, ia juga membolehkan supercar itu menari dan melompat. Bukan itu sahaja, dengan adanya motor elektrik pada setiap roda, kereta ini juga boleh melakukan tank turn.

Di dalam, U9 menggunakan platform DiLink150 yang dikuasakan oleh chip 5G. Platform ini membantu pemandu memandu di litar dengan menyediakana maklumat lengkap tentang 30 litar lumba di China.

Selain itu, terdapat beberapa ciri keselesaan seperti pelarasan 14 hala untuk tempat duduk pemandu dan penumpang, sistem audio Dynaudio Evidence, sistem pencahayaan ambien dengan 127 pilihan warna dan pelbagai lagi.

Trend EV kian perlahan, Mercedes terus kekal hasilkan enjin pembakaran dalaman

Jenama mewah Mercedes-Benz nampaknya terpaksa akur dengan trend permintaan terhadap kenderaan elektrik (EV) yang bergerak lebih perlahan berbanding jangkaan asal.

Keadaan ini menyebabkan Mercedes-Benz terpaksa menangguhkan dulu perancangan untuk menjadi jenama EV sepenuh masa menjelang 2030.

Bukan itu sahaja, Mercedes-Benz turut mengurangkan sehingga 50 peratus model EV yang bakal diperkenalkan menjelang akhir dekad ini, dan meneruskan penjualan model-model berenjin pembakaran dalaman (ICE) sehingga dekad seterusnya.

 

 

Dalam satu kenyataan, Mercedes-Benz mendedahkan aspek seperti gangguan rantaian bekalan dan ketersediaan komponen kritikal kekal menjadi faktor risiko yang ketara buat jenama itu untuk meneruskan pelan EV mereka.

 

Untuk tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Mercedes-Benz merupakan antara jenama automotif mewah yang mampu menawarkan barisan produk EV yang meluas, bermula dari sekecil EQA, EQB, model sedan EQE dan EQS, SUV EQE dan EQS, serta tidak ketinggalan barisan model EV AMG.

 

 

Generasi baharu EV Mercedes akan dibina berdasarkan platform Modular Mercedes Architecture (MMA) yang direka bukan sahaja untuk EV, malah sesuai untuk kereta berenjin pembakaran dalaman.

CLA generasi baharu merupakan model produksi pertama yang lahir daripada platform MMA ini, dan diikuti dengan model generasi baharu GLA dan GLB.

Mercedes-Benz juga dilapor sedang membangunkan enjin M252 untuk dijadikan sebagai unit penambah jarak bagi model EV akan datang termasuklah CLA EV serta model-model Entry Luxury yang lain.

 

Lebih 800 unit BYD Seal terjual dalam tempoh dua hari

SIME Darby Motors mengumumkan bahawa ia berjaya menjual lebih 800 unit BYD Seal dalam tempoh hanya dua hari selepas model itu dilancarkan.

Berikutan sambutan yang luar biasa itu, Sime Darby Motors akan menambah 300 lagi pakej BYD Seal Early Bird Special di mana pelanggan terawal yang membuat tempahan akan menerima pengecas wallbox dan kredit pengecasan Gentari/ChargEV bernilai RM800 secara percuma.

Untuk pasaran Malaysia, Seal boleh didapati dalam dua varian iaitu Premium dan Performance, dengan harga masing-masing bermula dari RM179,800 dan RM199,800.

Varian Premium dipacu motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menghasilkan 313 PS dan 360 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.9 saat.

Varian Performance pula mempunyai motor elektrik berkembar yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 530 PS dan 670 Nm. Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.8 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j.

Kedua-dua varian menggunakan bateri LFP Blade berkapasiti 82.56 kWh namun dengan jarak pandu yang berbeza iaitu 650 km untuk Premium dan 580 km untuk Performance.

Ineos Fusilier, EV 4×4 buatan Magna Steyr, jarak gerak 400 km, ada opsyen range extender

Ineos baharu sahaja memperlihatkan SUV off-road iaitu Ineos Fusilier, model ketiga mereka selepas SUV 4×4 Grenadier dan trak pikap Quartermaster.

Menurut laman AutoExpress UK, Ineos Fusilier memiliki ukuran dimensi yang lebih kecil berbanding dua model terdahulu.

Ia membawakan ciri seperti unit lampu berbentuk bulat, diikuti gerbang roda yang lebih lebar, sementara bahagian belakang pula membawakan unit lampu juga berbentuk bulat.

 

 

Jika rekaan Grenadier banyak diinspirasikan daripada Land Rover Defender, Fusilier pula banyak mengambil inspirasi daripada Mercedes-Benz G-Class.

Menariknya, Ineos Fusilier juga akan turut dipasang oleh Magna Steyr di kilang Austria, lokasi sama digunakan untuk memasang model G-wagen.

Ineos juga akan melakukan ujian penilaian keupayaan off-road Fusilier di kawasan pergunungan Schöckl, juga lokasi yang sama digunakan untuk membuktikan ketahanan dan keupayaan off-road G-wagen.

 

 

Buat masa ini, spesifikasi Fusilier masih lagi belum diketahui, namun Ineos mengesahkan ia bakal ditawarkan dalam dua varian, iaitu versi elektrik sepenuh masa (EV) dan versi penambah jarak (range extender).

Fusilier EV mampu menawarkan jarak gerak sejauh 400 km untuk sekali cas penuh, sementara versi penambah jarak pula akan menggunakan khidmat enjin petrol berkapasiti kecil sebagai unit penjana tenaga bagi mengecas pek bateri, dan bukannya untuk menggerakkan roda secara terus.

 

 

Bos Ineos, Sir Jim Ratcliffe menjelaskan, “Kami amat teruja untuk menawarkan model 4×4 ke pasaran, namun kami mula sedar kenderaan elektrik bateri ada batasannya dalam situasi tertentu. Kami percaya penambahan versi penambah jarak kepada barisan model kami akan menawarkan pilihan pemanduan emisi rendah tanpa perlu berdepan dengan masalah kebimbangan jarak yang dihadapi oleh pemandu EV masa kini.

“BEV amat sesuai untuk keadaan seperti pemanduan jarak dekat dan penghantaran urban, namun industri dan kerajaan perlu mempunyai jangkaan realistik untuk mempercepatkan kadar perubahan yang diperlukan. Ini merupakan sebab kenapa kami menawarkan rangkaian kuasa baharu untuk Fusilier yang dapat mengurangkan emisi secara mendadak, namun mempunyai julat dan keupayaan pengisian yang diperlukan.

Ineos Fusilier dijangka akan dilancarkan secara rasmi menjelang suku keempat tahun ini.

 

Anda kini boleh pandu EV Ora Good Cat melalui aplikasi GoCar, dari RM157 sehari

GOCAR Malaysia, peneraju platform mobiliti sebagai perkhidmatan berdasarkan kepada permintaan dan Yinson GreenTech telah bekerjasama untuk menawarkan kenderaan elektrik (EV) Ora Good Cat melalui program GoCar Share.

Usaha sama itu hadir menerusi satu kerjasama di antara GoCar dan bahagian perniagaan pajakan YGT EV, drivEV.

Sebagai permulaan, EV Ora Good Cat boleh didapati untuk tempahan GoCar Share Round Trip (pergi-balik) di lokasi-lokasi terpilih di Lembah Klang seperti Berjaya Times Square, The Linc, Lalaport KL, Eco Ardence, Eco Grandeur dan GoCar Malaysia PJ.

Penguna GoCar boleh merasai pengalaman memandu Ora Good Cat pada harga mampu milik iaitu RM23.90 sejam dengan akses percuma ke atas semua pengecas AC dalam rangkaian YGT. Bukan itu sahaja, lebih lama tempoh tempahan pengguna, lebih banyak penjimatan boleh mereka nikmati.

Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun berkata, “Kami sangat teruja untuk mengukuhkan kerjasama dengan Yinson GreenTech. GoCar sentiasa mengutamakan aspek mobiliti lebih pintar dan mapan.

“Kami juga berbesar hati kerana mampu menawarkan model-model kenderaan elektrik yang menarik kerana kami yakin ramai orang awam ingin mencubanya.”

Pengarah Urusan drivEV, Kelvin Soon berkata, “Matlamat drivEV adalah untuk menggalakkan syarikat-syarikat untuk mempromosikan penggunaan EV dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kerjasama dengan GoCar dalam memperkenalkan Ora Good Cat merupakan satu permulaan ke arah matlamat yang betul. Kami merancang untuk menambah lebih banyak rangkaian model EV dan mengembangkan perkhidmatan ini ke lokasi-lokasi lain supaya orang ramai lebih mudah mengaksesnya.”

Pengenalan Ora Good Cat melalui GoCar hanyalah permulaan Kerjasama di antara GoCar dan drivEV yang merancang untuk memperkenalkan model-model lebih menarik serta meluaskan perkhidmatannya melangkaui kawasan Lembah Klang.

Untuk merasai sendiri pengalaman memandu Ora Good Cat menerusi GoCar Share atau model-model lain yang ditawarkan oleh GoCar Share, sila muat turun aplikasi mudah alih GoCar.