fbpx

Honda lancar keluarga EV generasi baharu Ye Series untuk pasaran China

GLUwZGPbcAAZMEc

Menjelang acara pameran Beijing International Automotive Exhibition (Auto China 2024) yang bakal berlangsung pada hujung bulan ini, Honda mengambil kesempatan memperlihatkan Ye Series.

Ye Series atau 烨 (yè) merupakan keluarga EV Honda generasi baharu yang dikhususkan untuk pasaran China, di mana nama tersebut diambil daripada perkataan China yang membawa maksud ‘bersinar dengan cemerlang’ – melambangkan ciri pemanduan menyeronokkan yang bakal ditawarkan oleh Honda kelak.

Bukan itu sahaja, Honda juga turut menerapkan konsep M/M (Man Maximum, Machine Minimum) yang menjadi asas kepada rekaan setiap kereta Honda masa kini dengan mengguna pakai platform EV khusus yang dibangunkan di China.

 

 

Dua model pertama yang bakal dilancarkan bermula penghujung tahun ini ialah Ye P7 dan Ye S7, diikuti dengan sebuah model GT Concept yang dijangka muncul pada akhir tahun 2025.

Ye P7 dan Ye S7 secara asasnya merupakan model Sports Utility Vehicle (SUV) yang sama, namun dengan rekaan muka hadapan yang unik, di mana P7 membawakan unit lampu DRL berbentuk C sementara S7 pula mempunyai unit DRL berbentuk Y seakan lampu Lamborghini.

Terdapat dua variasi yang bakal ditawarkan, iaitu motor elektrik tunggal pacuan roda belakang dan versi pacuan semua roda dengan dua motor elektrik.

 

 

Versi RWD direka untuk menawarkan pemanduan yang lebih sporti, sementara versi AWD pula dibangunkan untuk keseimbangan kuasa tinggi dan dinamik pengendalian yang lebih baik.

Selain daripada susun atur ruang kabin yang luas, P7 dan S7 turut dilengkapi dengan sistem pencahayaan ambien LED yang dikuasakan oleh sistem kepintaran buatan (AI).

 

 

Sementara Ye GT Concept pula membawakan dimensi badan yang lebih rendah dan lebar.

Persis sebuah Grand Tourer (GT), model ini menjanjikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan ditampung dengan prestasi yang lebih dinamik bagi membolehkan pemandu merasai pengalaman bersatu dengan kenderaan.

 

 

Menurut Honda, Ye GT Concept turut menampilkan sistem paparan fokus jauh yang menawarkan pengalaman seakan menggunakan skrin besar dalam panggung wayang, di mana ciri ini akan digunakan buat pertama kali untuk sesebuah produk automobil Honda.

Kesemua model Ye Series akan menggunakan logo H yang baharu, dan Honda menyasarkan sehingga enam buah model Ye Series untuk pasaran China menjelang tahun 2027.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved