fbpx

Maserati GranCabrio Folgore, EV droptop 818 hp, jarak gerak 447 km

Maserati GranCabrio Folgore 2024 13

Maserati baharu sahaja melancarkan sebuah model berkuasa elektrik sepenuh masa, GranCabrio Folgore sebagai alternatif dan pelengkap kepada penawaran GranTurismo Folgore sedia ada.

Secara asasnya, model GranCabrio Folgore merupakan sebuah droptop dengan bumbung yang boleh dilipat.

Namun secara keseluruhannya, model ini banyak berkongsi komponen yang sama dengan model GranTurismo Folgore, termasuklah unit rangkaian kuasa elektrik.

 

Tiga motor elektrik, 818 hp!

 

Ia menampilkan tetapan tiga motor elektrik jenis radial-flux, terdiri daripada dua unit pada gandar belakang dan satu unit untuk gandar depan, di mana setiap satu berkeupayaan menghasilkan kuasa puncak 300 kW (402 hp).

Disebabkan had teknologi bateri, Maserati mendakwa model cabriolet ini mampu menghasilkan kuasa puncak setinggi 818 hp/1,350 Nm dalam mod MaxBoost, atau sehingga 751 hp dalam mod pemanduan standard.

 

Prestasi pecutan bawah tiga saat

 

GranCabrio ini mampu memecut sepantas 2.8 saat dari 0-100 km/j, sebelum ia mencapai kelajuan tertinggi 290 km/j.

 

Jarak gerak 447 km

 

GranCabrio Folgore dilengkapi dengan pek bateri lithium-ion berbentuk T yang diposisikan pada bahagian lantai, dengan kapasiti 92.5 kWh (had 83 kWh).

Untuk pengecasan penuh, model ini mampu bergerak antara 419 km hingga 447 km, dibantu dengan sistem brek regeneratif yang mampu menjana kuasa sehingga 400 kW.

Pengecasan pantas DC 270 kW membolehkan anda menambah jarak 100 km dalam masa lima minit, atau pengisian 20 hingga 80 peratus dalam masa 18 minit.

 

Empat mod pemanduan

 

Secara standard, GranCabrio Folgore menawarkan sehingga empat mod pemanduan, iaitu mod lalai GT, mod Sport, mod pemanduan ekstrem Corsa dan mod kecekapan tinggi Max Range.

 

Buka bumbung dalam masa 14 saat

 

Untuk mereka yang mahu menikmati angin sepoi-sepoi bahasa, bumbung GranCabrio Folgore ini boleh dilipat dalam masa 14 saat pada kelajuan sehingga 50 km/j.

Sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah kereta mewah, pemilik boleh menetapkan sehingga lima warna menarik iaitu Nero, Blue Marine, Titan Grey, Greige dan Granata.

 

Kabin canggih

 

Ruang kabin GranCabrio Folgore ini membawakan ciri seperti skrin kluster digital 12.2 inci, skrin infohibur sebesar 12.3 inci dan skrin ketiga untuk kawalan HVAC sebesar 8.8 inci.

Selain itu, terdapat roda stereng dengan fungsi pemanas, paddle shifter aluminium yang diberus, serta ciri standard lain termasuklah pemanas leher, sistem audio Sonus Faber, dan jam digital yang boleh diubah paparannya menjadi kompas, meter daya G dan jam randik.

Pembeli juga boleh memilih untuk memadankan kemasan bahan mampan seperti Econyl yang diperbuat daripada karpet dan jaring ikan yang dikitar semula.

 

 

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved