fbpx

Neue Klasse X, akhirnya BMW pandai bikin jeriji buah pinggang yang lebih senonoh!

BMW Neue Klasse X 01

BMW sebelum ini menerima kritikan keras daripada segenap warga netizen disebabkan keberanian mereka menampilkan rekaan kereta di luar kebiasaan jenama mewah tersebut.

Nampak gayanya, mereka akur dengan permintaan umum yang mahukan sebuah BMW dengan rekaan yang lebih sopan dan tidak keterlaluan.

Untuk itu, BMW mahu membuktikan hala tuju rekaan kenderaan masa depan mereka menerusi pengenalan model Neue Klasse X – pengganti kepada SUV iX3 yang bakal tiba pada tahun 2025.

Apa yang berubah pada Neue Klasse X ini?

 

1. Rekaan jeriji yang lebih kecil berbanding BMW XM

 

Tiada lagi rekaan jeriji yang boleh digunakan untuk memanggang daging, BMW Neue Klasse X kini hadir dengan struktur jeriji buah pinggang yang lebih kompak dan kurus.

Rekaan tersebut mengingatkan kita pada model-model klasik BMW, seperti contoh BMW 2002 dan sedan Neue Klasse yang asal dari era 60-an.

Nampak retro, namun jeriji itu juga mempunyai sistem pencahayaan tersendiri.

 

2. Unit lampu DRL menegak

 

Selain daripada struktur jeriji, Neue Klasse X mempunyai ciri lampu nyalaan siang (DRL) LED menegak, berbanding unit berbentuk bulat atau bersegi pada model-model BMW yang terdahulu.

Ia secara tidak langsung menepati tema yang diperlihatkan pada sedan Neue Klasse yang dipamerkan sebelum ini.

 

3. Muncung hadapan macam M6 klasik!

 

Jika anda perasan, rekaan hidung hadapan BMW Neue Klasse ini membawakan pendekatan rekaan hidung jerung, mengingatkan kita pada model klasik BMW M6 tahun 70-an.

Profil sisi SUV ini tampak lebih ringkas, dengan rekaan tingkap yang lebih luas, garis badan yang minimalis, gerbang roda bersegi, dan kehadiran kamera sisi yang tirus.

 

4. Rekaan lebih aerodinamik

Menurut BMW, bentuk luaran Neue Klasse X ini dikatakan 20 peratus lebih aerodinamik daripada mana-mana model X sedia ada.

Tahap kecekapan bertambah sebanyak 25 peratus, terima kasih kepada rekaan tayar dan brek baharu.

 

5. ‘Otak’ atau unit kawalan baharu, 10 kali ganda lebih cekap

 

BMW Neue Klasse X bakal menampilkan sistem kawalan terbaharu, atau ‘super brain’ yang mempunyai kuasa perkomputeran 10 kali ganda lebih pantas, termasuklah unit kawalan yang dikhususkan untuk sistem rangkaian kuasa dan pemanduan autonomi.

Tiada perincian spesifikasi didedahkan, namun BMW menjanjikan sehingga 30 peratus penambahbaikan pada sistem pacuan eDrive generasi keenam, senibina 800 voltan dan keupayaan pengecasan pantas.

 

6. Tiada lagi tombol kawalan iDrive

 

BMW mengesahkan tombol kawalan iDrive untuk sistem infohibur tidak lagi wujud pada Neue Klasse X, sebaliknya ia akan menggunakan butang khas pada roda stereng HyPersonX.

Butang kawalan itu boleh digunakan untuk mengawal fungsi pada skrin BMW Panoramic Vision dan juga skrin tengah yang unik itu.

 

7. Ruang kabin bebas bahan petroleum

 

BMW Neue Klasse X membawakan penggunaan bahan berasaskan tumbuhan yang dibangunkan secara mampan, dan bebas daripada bahan petroleum pada ruang kabin.

Selain itu, terdapat juga plastik marin yang dikitar semula, di mana hampir 30 peratus kandungan bahan plastik terdiri daripada jaring menangkap ikan yang dikitar semula.

 

8. Produksi tahun 2025

BMW Neue Klasse X bakal memasuki fasa produksi sebagai model iX3 generasi kedua pada tahun hadapan.

 

BMW Neue Klasse X

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved