fbpx

Sistem suspensi aktif Nio ET9 boleh bantu buang salji atas bumbung kereta

2024021806012385

Pada saat dan ketika ini, kenderaan elektrik (EV) sudah mula menunjukkan kelebihan yang tersendiri, apatah lagi jika EV tersebut datangnya dari pengeluar China yang kini berlumba-lumba menghasilkan teknologi canggih.

Dalam satu video yang diterbitkan di laman media sosial Weibo, Nio menunjukkan kebolehan sistem gantungan aktif pintar sedan elektrik ET9 dalam pendekatan yang lebih praktikal.

Dengan menggunakan penyerap hentak kawalan bebas, prototaip ET9 itu mampu menggoncangkan dirinya bagi membuang timbunan salji di atas bumbung, persis kelakuan haiwan berkaki empat seperti anjing dan kucing.

Nio ET9 dilengkapi dengan sistem casis pintar yang dinamakan sebagai Sky Ride yang turut merangkumi empat pam hidraulik yang mengawal setiap satu roda.

 

 

Ciri ini amat berguna dalam memastikan kereta kekal stabil sewaktu menempuh laluan yang kasar dan tidak rata, seperti yang ditunjukkan dalam sebuah lagi video berasingan yang mengingatkan kita pada video Lexus LS.

Nio ET9 diperlihatkan secara rasmi pada Disember lalu sebagai sebuah sedan mewah bertaraf mercu yang mampu memberikan saingan kepada Mercedes-Benz EQS, BMW i7, Porsche Panamera, Tesla Model S dan Lucid Air.

 

 

Sedan fastback itu dikuasakan oleh dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 697 hp, serta mempunyai pek bateri 120 kWh yang menyokong keupayaan pengecasan ultra-pantas 600 kW.

Selain daripada sistem casis pintar Sky Ride yang disebutkan tadi, Nio ET9 turut mempunyai sistem stereng gandar belakang, tiga penderia LIDAR, serta rekaan roda stereng yang boleh ‘disembunyikan’ sekiranya fungsi smart pilot diaktifkan.

 

 

Ruang kabin Nio ET9 pula menampilkan skrin infohibur sebesar 15.6 inci, dua skrin AMOLED 14.5 inci yang dipasang pada belakang tempat duduk hadapan, serta sebuah skrin ala tablet bersaiz 8 inci pada konsol tengah belakang.

Penumpang di belakang boleh menikmati ruang rehat yang lebih selesa, terima kasih kepada tempat duduk yang boleh dibaringkan sehingga 45 darjah, mempunyai 11 tahap larasan, dan sehingga tujuh tirai penghadang cahaya yang boleh diaktifkan dengan hanya menekan satu butang.

Nio ET9 akan mula diedarkan di pasaran China pada suku pertama 2025, dengan harga jualan bermula dari 800,000 yuan (RM532,785).

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved