Volkswagen mahu kerjasama Renault bangunkan EV mampu milik, atasi saingan EV dari China
Volkswagen kini sedang merancang untuk membangunkan kereta elektrik yang lebih murah untuk berdepan dengan saingan daripada pengeluar China.
Menurut laporan Automotive News Europe, Volkswagen dikhabarkan telah berhubung dengan Renault untuk perbincangan peringkat awal, dan salah satu sasaran yang ditetapkan ialah untuk mencapai produksi tahunan berjumlah 200,000 hingga 250,000 unit.
Wakil jurucakap Renault menghubungi Automotive News dan menyebut, “kami sedang dalam perbincangan yang berbeza, tetapi tiada sebarang keputusan dimuktamadkan.
Volkswagen pula enggan mengulas lanjut.
Renault sebelum ini telah memperlihatkan sebuah model konsep Twingo yang bakal diposisikan sebagai kereta elektrik aras mula, dan akan dijual seawal tahun 2026.
Selain Twingo, Renault akan menggunakan senibina Ampr Small (sebelum ini dikenali sebagai CMF-BEV) untuk model seperti R5 dan juga R4, di mana hampir 70 peratus komponen datang daripada platform CMF-B sedia ada untuk mengurangkan kos pembangunan.
Volkswagen pula sebelum ini mendedahkan sebuah model ID.2all dengan kos kurang dari €25,000 (RM126,063), sebelum disusuli dengan sebuah lagi EV yang lebih mampu milik dengan julat harga dibawah €20,000 (RM100k).
Kerjasama antara kedua-dua belah pihak itu dilihat mampu untuk mempercepatkan proses pembangunan, selain dapat mengurangkan penguasaan pasaran EV daripada pesaing jenama automotif China yang kian berkembang di pasaran tersebut.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.