Mercedes-Benz EQE 500 4Matic SUV masuk pasaran Malaysia – RM458,888
SELEPAS EQS SUV, Mercedes-Benz Malaysia kini melancarkan satu lagi model elektrik ke iaitu EQE SUV, sekali gus memperkembangkan lagi rangkaian EQ untuk pasaran tempatan.
Ia ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu EQE 500 4Matic SUV, dengan harga jualan bermula dari RM458,888 (OTR tanpa insurans, 10 peratus cukai jualan).
Untuk bahagian luaran, model ini didatangkan dengan pakej AMG Line yang dilengkapkan dengan rim aloi ringan berukuran 21 inci, lampu Digital Light dengan Adaptive High Beam Assist Plus, pemijak sisi ala aluminium dan corak bintang berbucu tiga Mercedes pada gril.
EQE SUV mempunyai ukuran panjang 4,863 mm, lebar 1,940 mm, tinggi 1,685 mm dan jarak roda 3,030 mm, menjadikan ia sedikit lebih kecil berbanding EQS SUV.
Di dalam, suasana futuristik yang dibawakan tidak jauh berbeza dengan model-model EQ yang lain cuma ia tidak mempunyai Hyperscreen seperti EQS dan EQS SUV.
Apa yang EQE SUV dapat adalah kluster instrumen digital, skrin sentuh OLED dengan sistem infohibur MBUX, paparan head-up, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas wayarles serta sistem audio Burmester 3D.
Kelengkapan lain yang disertakan termasuk kemasan AMG Line, pencahayaan ambien, tempat duduk sport, karpet AMG, balutan kulit Nappa pada stereng, upholsteri kulit hitam/kelabu, kemasan kayu magnolia, trim aluminium, pakej Keyless-Go Comfort, sistem pendingin hawa Thermotronic dan pelbagai lagi.
EQE 500 SUV 4Matic didatangkan dengan sepasang motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 408 PS dan 858 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.
Dengan bateri berkapasiti 90.6 kWj, ia menawarkan jarak pandu sejauh 552 km dengan satu cas penuh (berdasarkan kitaran WLTP).
Untuk pengecasan, model ini menyokong pengecasan AC 22 kW yang mengambil masa selama empat jam 45 minit untuk mengecas dari 0 hingga 100 peratus. Ia juga boleh menggunakan pengecas pantas DC dengan kapasiti sehingga 170 kW, di mana pengecasan 10 hingga 80 peratus boleh dilakukan dalam masa 32 minit.
Menariknya, EQE 500 SUV didatangkan dengan sistem suspensi udara Airmatic dengan peredam adaptif ADS+ yang boleh menaikkan ketinggian sebanyak 30 mm.
Turut disertakan adalah sistem stereng gandar belakang (rear axle steering) yang membantu mengurangkan radius putaran dari 12.3 meter kepada 10.5 meter.
Sistem keselamatan pula terdiri daripada Driving Assistance Package Plus, Active Distance Assist Distronic, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Pre-Safe, Active Parking Assist dengan Parktronic, kamera 360 darjah dan bonet lut sinar.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.