Arkib Kategori: MALAYSIA

Chery Malaysia serah kereta baharu kepada wira Paralimpik Paris 2024

Chery Malaysia telah menyerahkan kenderaan baharu kepada atlet Paralimpik negara dalam satu majlis yang diadakan di bilik pameran Chery di Glenmarie, Selangor baru-baru ini.

Untuk pengetahuan, kenderaan-kenderaan ini dibeli oleh atlet Paralimpik dengan diskaun eksklusif yang ditawarkan oleh Chery Malaysia sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam mengharumkan nama negara dalam bidang sukan.

Dalam majlis yang dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh itu, Chery Malaysia menyerahkan Omoda 5 kepada pemenang pingat perak lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Omoda E5 kepada pemenang pingat emas badminton, Cheah Liek Hou.

Pemanang pingat emas powerlifting yang turut memecahkan rekod dunia, Bonnie Bunyau Gustin menempah sebuah Tiggo 8 Pro namun tidak dapat menghadiri majlis tersebut.

Atlet Sukan Paralimpik Paris 2024 yang memenangi pingat emas layak menikmati diskaun 50% ke atas barisan SUV Chery, manakala pemenang pingat perak dan atlet yang mara ke separuh akhir dan akhir mendapat diskaun 30%.

Bukan itu sahaja, Chery turut menawarkan diskaun 15% kepada semua atlet yang bertanding di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.

“Atlet Paralimpik kita menunjukkan kekuatan dan daya tahan yang memberi inspirasi kepada kita semua. Di Chery, kami berbesar hati untuk berdiri di samping mereka dalam perjalanan mereka, meraikan kemenangan dan menyokong aspirasi mereka,” kata Michael Chew, Naib Presiden Chery Malaysia.

JPJ lancar Ops Khas Tahun Baru Cina 2025, fokus sembilan kesalahan utama

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah melancarkan Operasi Khas Tahun Baru Cina 2025 yang akan berlangsung selama 20 hari dari 20 Januari hingga 9 Februari.

Menurut jabatan itu, Operasi Khas Tahun Baru Cina 2025 adalah bertujuan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan atau undang-undang jalan raya.

JPJ akan memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) seperti berikut:

  • Memandu melebihi had laju
  • Tidak mematuhi isyarat lampu merah
  • Memotong di garisan berkembar
  • Memandu di lorong kecemasan
  • Memotong barisan
  • Guna telefon bimbit
  • Tidak guna tali pinggang/topi keledar
  • Memandu kenderaan berat di lorong laju
  • Lebih muatan

Pada masa yang sama, JPJ juga mengadakan kempen keselamatan jalan raya bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ yang menyaksikan pelaksanaan kaedah dan pendekatan advokasi keselamatan jalan raya melalui lebih 30 program.

Antara program yang akan diadakan termasuk pameran, ceramah kesedaran, edaran kit keselamatan jalan raya dan program advokasi dengan kerjasama rakan strategik termasuk media.

Bersempena dengan Tahun Baru Cina 2025, JPJ memohon pengguna jalan raya untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan jalan raya, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan merancang perjalanan.

Lotus Eletre raih dua kategori dalam anugerah Malaysia Car of the Year 2024

Tahun 2024 merupakan satu tempoh yang cukup bermakna buat Lotus Cars Malaysia.

Sepanjang tempoh 12 bulan tersebut, Lotus Malaysia telah berjaya menjual sebanyak lebih 200 unit SUV elektrik Lotus Eletre, diikuti 20 unit kereta sports Lotus Emira.

Bukan itu sahaja, Lotus Eletre juga berjaya mengungguli bukan satu, tapi dua kategori dalam anugerah Malaysia Car of The Year 2024 (MCOTY), iaitu SUV of The Year (atas RM500k) dan xEV of the Year 2024 (atas RM300k).

Dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada tahun 2023, Lotus Eletre merupakan SUV elektrik pertama jenama Lotus yang membawakan kuasa setinggi 905 hp dan 985 Nm.

Dengan padanan pek bateri 112 kWh, Lotus Eletre mampu mencapai jarak pemanduan sejauh 600 km atau 490 km untuk Eletre R.

Tiga pemilik bertuah Peugeot 408 terbang ke Paris Mac ini

Peugeot Malaysia mengumumkan tiga orang pemenang bertuah kempen Beli dan Menang yang dianjurkan bermula 9 Julai hingga 31 Oktober tahun lalu.

Dalam kempen tersebut, pelanggan yang menempah dan mendaftarkan pembelian Peugeot 408 berpeluang untuk memenangi pakej percutian Kelas Perniagaan ke Paris selama tiga hari dua malam dan menyertai acara berprestij Paris Fashion Week 2025.

Tiga orang pemenang yang dimaksudkan ialah Nurfhatiah Zulkarnaini dari Seremban yang membeli sebuah Peugeot 408 GT, Mohamad Faris bin Harun dari Ipoh yang membeli sebuah 408 Premium dan Muhammad Izzul Aiman bin Zahir dari Pulau Pinang yang membeli 408 Allure.

Ketiga-tiga orang pemenang ini akan terbang ke Paris bersama pasangan masing-masing dari 8 hingga 10 Mac ini.

Kesemua pemenang menzahirkan rasa keterujaan mereka dan menyifatkan kemenangan tersebut sebagai peluang sekali dalam seumur hidup.

Sebagai sebahagian daripada persediaan ke Paris Fashion Week 2025, kesemua pemenang dan pasangan masing-masing akan menghadiri sesi penggayaan peribadi yang akan dihoskan oleh pengasas KL Fashion Week.

Pelanggan semakin ramai, Jaecoo Malaysia buka pusat 3S di PJ Midtown

Bagi memenuhi keperluan pelanggannya yang semakin meningkat, Jaecoo Malaysia terus melabur bagi mengembangkan jaringan pengedarnya di seluruh negara.

Terbaru, syarikat itu telah melancarkan pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) baharu yang terletak di Seksyen 13, Petaling Jaya atau lebih dikenali sebagai PJ Midtown.

Dioperasikan oleh Evenergy Auto Sdn Bhd, kemudahan berkeluasan 6,000 kaki persegi itu mampu memberikan kemudahan kepada pelanggan Jaecoo di sekitar Petaling Jaya, Bandar Utama, Damansara, Mont Kiara, Hartamas, Bangsar dan TTDI.

Bilik pamerannya menempatkan model-model terkini Jaecoo seperti J7 dan C9, serta menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pelanggan seperti ruang istirahat dengan Wi-Fi berkelajuan tinggi, serta minuman dan parkir valet percuma.

Sementara itu, pusat servis pula terletak di Sea Park iaitu kira-kira 10 minit perjalanan dari bilik pameran tersebut. Ia dilengkapi dengan lima ruang servis serta gudang alat ganti di mana alat ganti tulen Jaecoo di simpan.

“Jaecoo teruja untuk mendekati pelanggan kami sambil terus menyampaikan barisan SUV off-road premium yang dinamik dan perkhidmatan pelanggan yang terbaik dalam kelas,” kata Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek.

Mengenai posisi jenama itu pula, Lek menjelaskan, “Kami sedang mendefinisikan kemewahan dalam pasaran, dan ini tertanam dalam setiap aspek jenama, dari reka bentuk kenderaan dan pengedar kami, hingga penyediaan pengalaman pemilikan yang luar biasa untuk pelanggan kami.”

Pusat 3S Jaecoo PJ Midtown terletak di G-06, PJ Mid Town, Jalan Kemajuan, Seksyen 13, 46200 Petaling Jaya, Selangor. Untuk membuat janji temu, pelanggan boleh menghubungi talian 012-8251766.

Mercedes-Benz Malaysia tawar pemindahan terminal persendirian guna sedan EQS, S-Class di KLIA

Mercedes-Benz Malaysia mengumumkan kerjasama strategik dengan Malaysia Aviation Group (MAG), pemilik syarikat penerbangan Malaysia Airlines untuk menawarkan khidmat pemindahan terminal persendirian mewah di KLIA.

Bermula 16 Januari, perkhidmatan ini akan ditawarkan kepada pemegang tiket yang layak menggunakan dua sedan mewah Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC dan S 580 e Plug-in Hybrid.

Perkhidmatan 24-jam setiap hari ini akan memudahkan lagi urusan pelanggan untuk bergerak dari Terminal 1 KLIA ke bangunan satelit di sekitarnya.

Selain daripada itu, kerjasama ini turut menawarkan ganjaran istimewa #MyMercedesRewards untuk model elektrik dan PHEV terpilih kepada ahli-ahli Enrich Platinum dan Gold, selain berpeluang untuk menyertai percutian ke Jerman untuk menikmati pengalaman unik dunia Mercedes-Benz.

Ahli Enrich Platinum dan Gold juga akan menikmati akses ke acara-acara eksklusif Mercedes-Benz Malaysia, sementara pelanggan Mercedes-Benz juga berpeluang untuk menyertai acara eksklusif Malaysia Airlines Enrich.

Bermula 1 Mac 2025, pelanggan yang membeli kenderaan Mercedes-Benz akan menikmati perkhidmatan pemindahan terminal persendirian percuma selama satu tahun sekiranya terbang dengan Malaysia Airlines.

Menurut Amanda Zhang selaku CEO dan Presiden MBM berkata, di Mercedes-Benz, misi kami adalah untuk mencipta pengalaman yang luar biasa – apa yang kami gelar sebagai Mercedes Moments – di mana teknologi canggih digandingkan dengan keanggunan abadi untuk menjadikan setiap perjalanan tidak dapat dilupakan.

“Menerusi kerjasama dengan MAG membenarkan kami untuk meningkatkan pengalaman perjalanan mewah kepada para pelanggan kami serta ahli-ahli Enrich, meletakkan satu tanda aras baharu di dalam eksklusiviti dan kecanggihan.”

Seksyen 2 WCE mula dibuka hari ini, hubungkan Banting terus ke Shah Alam, Klang

Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) kini dibuka kepada pengguna lebuh raya bermula 22 Januari 2025 jam 12.01 tengah malam tadi.

Dengan pembukaan jajaran sepanjang 7.2 km ini, pengguna kini mempunyai laluan alternatif dari Banting menuju ke Shah Alam, Klang, Kajang, Putrajaya, Kajang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau sebaliknya.

Selain itu, ia juga menawarkan sambungan terus ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).

Pembukaan jajaran baharu ini akan melengkapkan lagi jajaran Persimpangan Bertingkat Banting ke Persimpangan Bertingkat SKVE yang telah dibuka pada 31 Ogos 2024, dan mempercepatkan tempoh perjalanan berbanding jalan sedia ada.

Bersempena dengan pembukaan jajaran baharu ini, bayaran tol tidak akan dikenakan untuk pengguna yang memasuki Lebuhraya WCE dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE) atau sebaliknya, bermula 22 Januari hingga 21 Februari 2025.

Jajaran terbaharu ini merupakan sebahagian daripada Lebuhraya WCE sepanjang 314.5 km yang akan menghubungkan Banting di Selangor hingga ke Taiping, Perak.

Modenas Kriss 125 Fi dilancarkan ke pasaran – RM5,620

Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) memulakan tahun baru dengan melancarkan Kriss 125 Fi ke pasaran tempatan.

Kapcai itu dijual pada harga RM5,620 tidak termasuk insurans dan cukai jalan, dan boleh di dalam dua warna iaitu Glacier Emerald Green dan Graphite Grey.

‘Nadi’ Kriss 125 Fi adalah enjin satu silinder, empat lejang, dua injap SOHC bersesaran 124 cc yang mampu menjana 8.4 hp pada 8,000 rpm dan 8.5 Nm pada 6,000 rpm.

Menurut Modenas, enjin sejukan udara tersebut menampilkan nisbah mampatan 9.3:1, sistem suntikan bahan api dan boleh dihidupkan secara elektrik atau kick start.

Ia dipadankan dengan transmisi empat kelajuan dan mendapat bekalan bahan api daripada tangki berkapasiti 4.2 liter.

Selain itu, Kriss 125 Fi didatangkan dengan fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar, manakala rim pula berukuran 17 inci yang dibalut tayar bersaiz 70/90 di depan dan 80/90 di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik tunggal berukuran 220 mm yang diapit oleh angkup dua piston untuk bahagian depan, dan dram untuk bahagian belakang.

“Kriss 125 Fi adalah lebih dari sekadar model baru—ia mewakili hasrat Modenas untuk menyediakan solusi mobiliti yang boleh dipercayai, berpatutan, dan efisien yang disesuaikan untuk penunggang dan jalan raya Malaysia. Memasuki segmen ini melambangkan komitmen kami terhadap inovasi dan kepuasan pelanggan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan.

Kerajaan hentikan pemberian tol percuma semasa musim perayaan

Setiap kali tiba musim perayaan, kerajaan akan memberikan tol percuma untuk memudahkan urusan rakyat pulang ke kampung halaman masing-masing.

Walau bagaimanapun, amalan itu akan dihentikan bermula tahun ini bagi memberi peluang kepada pelaksanaan subsidi yang lebih bersasar.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan menggantikan pemberhentian tol percuma itu dengan pendekatan yang lebih bersasar.

Tanpa menyatakan pendekatan bersasar berkenaan, beliau berkata: “Tiada lagi tol percuma musim perayaan”.

“Akan kita umumkan dalam masa terdekat (pendekatan lebih bersasar), tahun lalu kerajaan memutuskan tahun 2024 adalah tahun terakhir pemberian tol percuma pada musim perayaan.

“Ikut keputusan itu tiada (pemberian tol percuma) tetapi kalau ada, mungkin pertimbangan lain, …akan dibincangkan.

“(Keputusan ini kerana) …kerajaan hendak selaraskan dengan subsidi yang lebih bersasar. Perincian akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Imej oleh: Bernama

Sebelum ini, kerajaan memaklumkan syarikat konsesi tidak menanggung sebarang implikasi kewangan berikutan pengecualian tol pada musim perayaan kerana kos pemberian tol percuma dibayar oleh kerajaan.

Secara puratanya, kerajaan membayar kira-kira RM20 juta sehari kepada syarikat konsesi lebuh raya menerusi pelaksanaan tol percuma.

Pada tahun lalu saja, kerajaan membayar RM80.07 juta sempena Aidilfitri, Deepavali RM42.31 juta; Tahun Baru Cina (RM41.21 juta) dan RM38 juta pada Krismas lalu.

Pemberian tol percuma pada Krismas lalu adalah yang terakhir sempena musim perayaan yang diberikan kerajaan.

BMW 3 Series G20 dikemas kini untuk tahun 2025

BMW Malaysia telah mengumumkan beberapa penambahbaikan baharu untuk rangkaian BMW 3 Series, merangkumi elemen reka bentuk yang diperbaharui, ciri digital yang lebih canggih dan peningkatan dalam kelengkapan dinamik.

Rangkaian 3 Series baharu kini menampilkan ruang dalaman yang diperbaharui. Ia termasuk stereng M Sport baharu dengan tanda jam 12 di bahagian tengah, yang kini merupakan ciri standard, serta ventilasi udara bergeometri baharu.

Selain itu, ruang kabin turut dihiasi dengan butiran lebih halus pada panel instrumen dan penutup panel pintu atas, serta permukaan berbentuk geometri baharu untuk 330 Li.

Keselesaan sedan ini juga telah dipertingkatkan menerusi penyesuaian suspensi yang ditambah baik untuk kawalan yang lebih lancar semasa di jalan raya dan permukaan tidak rata.

Interaksi dan kawalan intuitif 3 Series baharu kini diperkasakan dengan BMW Operating System 8.5 terkini yang boleh diakses menerusi skrin lengkung. Sistem operasi ini dilengkapi struktur menu QuickSelect berorientasikan sentuhan untuk memberikan akses yang lebih efisien kepada ciri-ciri kenderaan yang relevan.

Turut disertakan adalah ciri Video Realiti Terimbuh (AR) yang dikemas kini untuk Parking Assistant berasaskan kamera dan ultrasonik, serta prestasi pengenalan suara yang ditingkatkan untuk BMW iDrive Intelligent Personal Assistant.

Untuk model tahun 2025, 3 Series memperkenalkan dua warna metalik baharu iaitu Fire Red dan Arctic Race Blue, di samping pilihan sedia ada iaitu Alpine White, Black Sapphire metalik, M Brooklyn Grey metalik dan M Carbon Black metalik.

Dengan penambahbaikan tersebut, harga jualan untuk waranti standard selama dua tahun meningkat sebanyak RM6,000 untuk semua varian; RM272,800 untuk 320i M Sport, RM308,800 untuk 330i M Sport, RM314,800 untuk 330Li M Sport dan RM385,800 untuk M340i xDrive M Sport Pro.

Bukan itu sahaja, varian hibrid plug-in iaitu 330e M Sport nampaknya telah digugurkan sebagai sebahagian daripada kemas kini ini.

ETCM umum Nissan Kicks e-Power akan dihantar dalam tempoh beberapa minggu

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mengumumkan crossover baharu Nissan Kicks e-Power akan dihantar kepada para pelanggannya dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Menurut Khoo Cheng Pah, Ketua Pegawai Eksekutif Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd berkata, “kami teruja untuk berkongsi bahawa Nissan Kicks e-Power kini berada di landasan untuk penghantaran dalam beberapa minggu akan datang.

“Pasukan kami komited mempercepatkan proses ini untuk memastikan pelanggan kami dapat merasai teknologi e-Power secepat mungkin.”

Dilancarkan secara rasmi di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024, Nissan Kicks e-Power ini dilengkapi dengan sistem e-Power generasi kedua yang menawarkan penggunaan bahan api yang lebih cekap (21.7 km/liter), serta jarak pemanduan sejauh 900 km untuk setangki penuh.

Sistem e-Power itu terdiri daripada motor elektrik 129 PS/280 Nm, enjin 1.2 liter HR12DE (82 PS/103 Nm) yang bertindak sebagai unit penjana kuasa dan pek bateri 2.06 kWh.

Nissan Kicks e-Power serba baharu ini sudah boleh ditempah dalam dua varian, iaitu VL dan VLT dengan harga jualan bermula dari RM113,800 sahaja.

Nissan Kicks e-Power mampu pacu kebangkitan Tan Chong? – Pandu uji ringkas

Perodua, UTM jalin kerjasama bangunkan xEV di Malaysia

Perodua dan Universiti Teknologi Malaysia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan generasi baharu kenderaan elektrik (xEV) di Malaysia.

Memorandum ini merangkumi pakej komprehensif yang meliputi aspek pendidikan dan latihan kepada bakal jurutera baharu dalam membangunkan teknologi berkaitan xEV.

“Kami berharap untuk meneroka masa depan di mana Malaysia mampu membina teknologi xEV sendiri dan manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata.

“Melalui perjanjian ini, Perodua telah melangkah lebih jauh daripada tugas asalnya – daripada menjadi pemangkin pemindahan teknologi kepada sebuah entiti yang memacu pembangunan teknologi,” kata beliau.

Perodua, yang ditubuhkan pada 1993, diwujudkan bagi menyediakan kenderaan yang berkualiti tingggi dan mampu milik buat rakyat Malaysia, dalam masa yang sama bertindak sebagai syarikat yang dapat memindahkan teknologi ke Malaysia.

Pemindahan teknologi ini bertujuan untuk membangunkan ekosistem automotif negara dan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan teknologi rakyat Malaysia.

Prof. Dr. Rosli Md Illias, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menekankan bahawa potensi kerjasama ini adalah untuk memacu kelestarian mobiliti di Malaysia.

“Kerjasama ini menunjukkan kepentingan merapatkan jurang antara akademia dan industri dalam memperkasakan graduan dengan kemahiran serta pengetahuan yang relevan,” katanya.

Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada para pelajar dan penyelidik UTM, tetapi juga menjadi model kerjasama antara akademia dan industri untuk memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam sektor automotif global.

Perjanjian ini menekankan enam elemen utama termasuk pengukuhan kurikulum akademik UTM, pembinaan makmal satelit di kampus utama UTM, pertukaran pengetahuan mengenai teknologi automotif, pendedahan kepada ahli akademik dan jurutera dalam teknologi xEV, kerjasama dalam bidang akademik dan R&D, serta program pembangunan bakat dan latihan.

Perjanjian ini juga turut membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka bidang kerjasama lain yang saling memberi manfaat.

1,427 km dengan satu tangki? Tiada masalah untuk Jaecoo J7 PHEV

Pada Oktober tahun lalu, Jaecoo J7 PHEV telah membuktikan kemampuannya mengembara sejauh lebih 1,300 km dengan satu tangki minyak dan bateri penuh dalam acara marathon dari Guangzhou ke Wuhu, China.

Kali ini, SUV itu sekali lagi menunjukkan kehebatan Sistem Super Hibrid-nya apabila berjaya menempuhi perjalanan jarak jauh dari Singapura ke Hatyai, Thailand, melalui Malaysia dengan satu tangki minyak dan cas.

Perjalanan yang mengambil masa selama tiga hari itu menyaksikan lima unit J7 PHEV melepasi jarak 1,200 km (WLTP), dengan jarak terpanjang yang direkodkan adalah 1,427.5 km.

Menurut Jaecoo Malaysia, 947 km ditempuhi menggunakan petrol semata-mata manakala 108 km menggunakan kuasa elektrik, iaitu 18 km lebih tinggi daripada spesifikasinya.

Penggunaan bahan api pula adalah sekitar 3.5 l/100 km, jauh lebih rendah berbanding angka yang dinyatakan oleh Jaecoo iaitu 6.6 l/100 km.

“Kami berbangga akhirnya dapat menunjukkan prestasi Jaecoo J7 PHEV kepada pasaran tempatan. Ia benar-benar cemerlang ketika diuji sepanjang perjalanan ini, yang merupakan bukti janji jenama Jaecoo dalam menyediakan kenderaan terunggul dalam kelasnya.

“Selain menjadi satu-satunya PHEV dengan kemampuan pengecasan arus terus (DC), teknologi Sistem Super Hybrid kami adalah yang pertama dalam kelasnya di Malaysia. Kami teruja pelanggan kami dapat menikmati manfaat Jaecoo J7 PHEV tidak lama lagi,” kata Emily Lek, naib presiden Jaecoo Malaysia.

Bakal dilancarkan ke pasaran tempatan pada Februari ini, J7 PHEV dikuasakan oleh gabungan enjin 1.5-liter TGDI, transmisi hibrid DHT satu kelajuan dan bateri LFP Blade berkapasiti 18.3 kW yang memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 347 PS (255 kW) dan 525 Nm.

Bateri berkenaan menyokong pengecasan AC 6.6 kW yang boleh mengecas dari 30% hingga 80% dalam masa tiga jam dan pengecasan DC 40 kW yang memerlukan hanya 20 minit untuk pengecasan sama.

Sebagai alternatif, pemilik juga boleh menggunakan soket kediaman tiga pin 230 V yang mengambil masa kira-kira 8.5 jam untuk pengecasan penuh.

Empat skuter menarik yang sudah mendarat di Malaysia

Belum pun sempat bulan Januari melabuhkan tirainya, pasaran Malaysia kini sudah dibanjiri dengan beberapa buah model skuter yang cukup mencuri perhatian netizen.

Dengan spesifikasi yang lebih menyeluruh serta harga yang mampu milik, ia akan membuatkan golongan pembeli berpotensi pening kepala seketika untuk memilih mana satu yang terbaik.

Tanpa membuang masa, ini adalah senarai skuter baharu yang telah dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan ini:

 

1. Zontes 368G ADV

Zontes 368G ADV ini membawakan spesifikasi yang mampu memalukan pesaing dari Jepun.

Selain daripada enjin 368 cc berkuasa 38 hp/40 Nm, fork hadapan USD, dan sistem brek J.Juan, 368G ADV turut didatangkan dengan pelbagai ciri standard termasuklah crash bar, kamera perakam tunggangan, sistem pemantauan tekanan tayar dan pemanas bar hendal!

Harga: RM28,800

 

2. MODA Sporter S

Jenama motosikal tempatan baharu membuat kemunculan pada awal tahun ini dengan skuter maxi Sporter S.

Skuter 250 cc ini mampu menjana kuasa setinggi 24.8 hp, selain memiliki rupa paras agak sporti yang mampu membuatkan ramai tertoleh di atas jalan raya.

Harga: RM17,888

 

3. SYM Husky ADV 300

MForce membawakan skuter terbaharu SYM Husky ADV 300, dengan enjin 278 cc menghasilkan 25.8 hp dan 26 Nm, tidak ketinggalan rekaan badan yang agresif.

Ciri menarik termasuklah skrin paparan digital, sistem kunci pintar, pelindung tangan, serta kehadiran port pengecasan USB-A dan USB-C.

Harga: RM23,888

 

4. Aveta Vanguard 250

Mahukan yang lebih mampu milik? Aveta baru sahaja melancarkan skuter kembara Vanguard 250 dengan membawakan ciri-ciri yang tidak kurang hebatnya.

Selain enjin 244 cc berkuasa 24.8 hp dan 22.5 Nm, Vanguard 250 hadir dengan ciri seperti penghadang angin boleh laras, bar hendal boleh laras, kamera perakam tunggangan, serta skrin paparan digital TFT.

Harga: RM14,888

 

Shell Malaysia, Visa tambah baik kemudahan pembayaran Shell Recharge di Lembah Klang

Shell Malaysia dan ParkEasy mengumumkan kerjasama baharu dengan Visa untuk menambah baik kemudahan pembayaran di fasiliti Shell Recharge di sekitar Lembah Klang.

Kerjasama baharu ini bertujuan untuk menyediakan platform pembayaran yang lebih lancar dan memudahkan semua pemilik kenderaan elektrik untuk membuat pembayaran menggunakan kad kredit atau debit.

Untuk info, ParkEasy merupakan penyedia penyelesaian parkir inovatif yang dimiliki sepenuhnya oleh Shell yang mengendalikan fasiliti Shell Recharge di Malaysia.

Terminal kad kini tersedia di empat lokasi Shell Recharge, iaitu di Pavilion Kuala Lumpur, Hotel Pavilion Kuala Lumpur, Pavilion Bukit Jalil dan Pavilion Damansara Heights untuk kedua-dua pengecasan arus ulang alik (AC) dan arus terus (DC).

Pemilik EV boleh meletakkan kenderaan di tempat pengecasan yang dipilih, dan perlu memasukkan nombor tempat di terminal sebelum membuat pembayaran. Caj pra-pengesahan sebanyak RM150 akan dikenakan untuk setiap sesi pengecasan.

Bersempena dengan kolaborasi terbaharu ini, pemilik EV boleh menikmati pulangan tunai 10 peratus sekiranya membuat pembayaran menggunakan kad Visa bermula 15 Januari hingga 30 Jun 2025, dihadkan kepada RM5 untuk setiap sesi.

Selain itu, terdapat juga rebat kredit 10 peratus ditawarkan apabila pemilik membuat tambah nilai 50 kredit ke dalam akaun ParkEasy menggunakan kad Visa, terhad 5 kredit untuk setiap rebat.

Dua pilihan rebat bernilai RM10,000 untuk Leapmotor C10 sempena CNY

Leapmotor Malaysia mengumumkan promosi istimewa bersempena dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina untuk rakyat Malaysia yang ingin memiliki model Leapmotor C10.

Untuk tempoh terhad sehingga 28 Februari 2025, pelanggan Leapmotor akan diberikan dua pilihan rebat bernilai RM10,000 seperti berikut:
Pilihan 1
-Pengecas dinding (RM3,000)
-Kredit pengecasan (RM2,000)
-Sokongan insurans (RM5,000)

Pilihan 2
-Rebat tunai RM10,000

Selain itu, Leapmotor Malaysia turut menggalakkan orang ramai untuk berkunjung ke pusat pameran bermula 17 Januari hingga 9 Februari 2025 untuk memandu uji dan menempah SUV elektrik C10, selain menikmati pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun.

Leapmotor C10 dikuasakan oleh motor elektrik 214 hp yang dipadankan dengan pek bateri LFP 69.9 kWh untuk jarak gerak sejauh 424 km (data WLTP).

Selain ruang kabin yang cukup luas, Leapmotor C10 menampilkan penggunaan bahan upholsteri OEKO-Tex yang premium dan lebih mesra bayi, serta ciri keselamatan yang melayakkan SUV ini mendapat penarafan lima bintang Euro NCAP.

Leapmotor C10 dijual pada harga RM159,000, lengkap dengan jaminan menyeluruh selama enam tahun atau had perbatuan 150,000 km, serta jaminan lapan tahun atau had perbatuan 160,000 km untuk komponen bateri.

BYD Seal jadi EV pertama dinobat Overall Malaysia Car of the Year

BYD Seal Premium Extended Range melakar sejarah apabila menjadi EV pertama yang merangkul anugerah Overall Car of the Year dalam majlis anugerah Malaysia Car of the Year Awards 2024 (MCOTY).

Selain pengiktirafan tertinggi itu, Seal Premium Extended Range turut mengungguli kategori Sedan Bawah RM200,000 dan xEV (RM150,000-RM300,000), sementara Seal Performance AWD memenangi kategori Sedan (RM200,000-RM300,000).

Tidak cukup dengan itu, pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia iaitu BYD Sime Motors juga menang besar apabila menyapu empat anugerah secara keseluruhan.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara, Sime Motors berkata penganugerahan ini mencerminkan kepimpinan berterusan Sime Motors dalam pasaran EV.

“Penghargaan ini mencerminkan kepercayaan terhadap tawaran BYD, disokong oleh rangkaian luas Sime Motors, pusat perkhidmatan yang luar biasa, dan perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang di seluruh negara,” katanya.

MCOTY adalah satu pengiktirafan berprestij yang menonjolkan kecemerlangan dalam sektor automotif, meraikan pencapaian dalam inovasi, kelestarian, dan kecemerlangan.

Setiap kenderaan dinilai berdasarkan beberapa faktor seperti reka bentuk, keselamatan, prestasi, kecekapan tenaga dan nilai untuk wang. Panel juri terdiri daripada golongan profesional industri automotif, pakar, dan wakil media yang memastikan proses penilaian yang telus dan komprehensif.

Proton X50 Sport Edition dilancarkan, 1000 unit sahaja, harga RM98k

Setelah dipertontonkan pada acara Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024), Proton akhirnya secara rasmi melancarkan SUV edisi terhad Proton X50 Sport Edition.

Menggunakan asas daripada varian X50 Premium, X50 Sport Edition diberikan penampilan luaran yang lebih sporti terima kasih kepada aerokit Sport Edition, warna hitam Quartz Black, aksen merah pada splitter depan, skirt sisi dan bampar belakang, rim 10 jejari bersaiz 18 inci, serta jeriji hitam berkilat.

Selain itu, SUV ini juga dilengkapi dengan pelekat badan berwarna merah, diikuti dengan emblem Sport Edition

Masuk ke dalam kabin, terdapat plet pada ambang pintu, alas kaki Sport Edition, serta kemasan warna merah pada tempat duduk, panel pintu dan perehat tangan hadapan.

Dari segi kuasa, ia mengekalkan enjin tiga silinder sebaris 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS dan daya kilas 226 Nm yang dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan.

Hanya 1,000 unit sahaja X50 Sport Edition yang akan ditawarkan, setiap satu berharga RM98,300 selepas rebat RM7,000 yang ditawarkan sepanjang bulan Januari ini.

Cruiser vintaj BMW R12 dilancarkan di Malaysia – RM123,000

BMW Group Malaysia telah memperluaskan lagi barisan model-model Motorrad-nya menerusi pelancaran BMW R12 yang dijual pada harga RM123,000.

Motosikal ini mempamerkan reka bentuk luaran dengan inspirasi gaya vintaj yang digabungkan dengan pelbagai teknologi moden.

Untuk pasaran Malaysia, R12 boleh didapati dalam warna Aventurin Red Metallic yang diserlahkan lagi menerusi rim tempaan aloi ringan, sistem ekzos keluli tahan karat dan aci pacu terbuka.

Ia didatangkan dengan lampu hadapan LED dengan sistem Adaptif Pro dan lampu belakang LED dengan lampu brek dinamik untuk penglihatan maksimum pada waktu siang dan malam.

Di bahagian tengah, terletak nadi R12 iaitu enjin boxer dua silinder empat lejang berkapasiti 1,170 cc dengan teknologi penyejukan air dan empat injap pada setiap silinder, serta kotak gear enam kelajuan.

Hasilnya, enjin berkenaan mampu menghasilkan 95 hp pada 6,500 rpm dan 110 Nm pada 6,000 rpm, membolehkan R12 mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.

Dari segi elektronik, R12 menawarkan mod tunggangan Rock & Roll, serta ciri-ciri seperti Dynamic Traction Control (DTC), ABS Pro dengan sudut kecondongan optimum, serta Gear Assistant Shift Pro.

Ia juga didatangkan standard dengan Comfort Package yang merangkumi Cruise Control, Hillstart Control, Gear Shift Assistant Pro dan pemanas grip, semuanya direka untuk keselesaan tunggangan jarak jauh.

Turut disertakan adalah sistem Keyless Ride, port pengecas USB dan Connected Ride Control untuk pengalaman tunggangan yang intuitif dan terhubung.

Beli tayar baharu Michelin, rebut peluang menang Tesla Model Y 2025

Bersempena dengan musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya, Michelin Malaysia menawarkan promosi istimewa untuk pembelian tayar baharu.

Bermula dari 6 Januari hingga 9 April 2025, tiga pelanggan bertuah yang membeli apa jua tayar jenama Michelin (minimum dua unit) akan berpeluang membawa pulang sebuah Tesla Model Y 2025 facelift serba baharu.

Untuk mengambil bahagian, pelanggan hanya perlu menjawab enam soalan dengan betul, seterusnya memuat naik bukti pembelian berserta sekeping gambar di akaun Facebook atau Instagram berkisarkan tentang cara mereka mengamalkan kelestarian dalam kehidupan harian masing-masing.

Hantaran di laman media sosial itu perlulah disekalikan dengan tanda pagar #MichelinMalaysia dan #MichelinCNYHariRaya2025

Selain itu, Michelin turut menawarkan barangan eksklusif berupa Duffle Bag MICHELIN bagi pelanggan yang membuat pembelian empat unit tayar saiz 17 inci dan ke atas.

Beg edisi terhad ini boleh ditebus di outlet TYREPLUS dan MICHELIN yang mengambil bahagian, terhad kepada 1,000 orang pelanggan terawal setiap minggu.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web https://promo.michelin.com.my/promotions/cny-and-hariraya-2025