1,427 km dengan satu tangki? Tiada masalah untuk Jaecoo J7 PHEV


Pada Oktober tahun lalu, Jaecoo J7 PHEV telah membuktikan kemampuannya mengembara sejauh lebih 1,300 km dengan satu tangki minyak dan bateri penuh dalam acara marathon dari Guangzhou ke Wuhu, China.
Kali ini, SUV itu sekali lagi menunjukkan kehebatan Sistem Super Hibrid-nya apabila berjaya menempuhi perjalanan jarak jauh dari Singapura ke Hatyai, Thailand, melalui Malaysia dengan satu tangki minyak dan cas.
Perjalanan yang mengambil masa selama tiga hari itu menyaksikan lima unit J7 PHEV melepasi jarak 1,200 km (WLTP), dengan jarak terpanjang yang direkodkan adalah 1,427.5 km.
Menurut Jaecoo Malaysia, 947 km ditempuhi menggunakan petrol semata-mata manakala 108 km menggunakan kuasa elektrik, iaitu 18 km lebih tinggi daripada spesifikasinya.
Penggunaan bahan api pula adalah sekitar 3.5 l/100 km, jauh lebih rendah berbanding angka yang dinyatakan oleh Jaecoo iaitu 6.6 l/100 km.
“Kami berbangga akhirnya dapat menunjukkan prestasi Jaecoo J7 PHEV kepada pasaran tempatan. Ia benar-benar cemerlang ketika diuji sepanjang perjalanan ini, yang merupakan bukti janji jenama Jaecoo dalam menyediakan kenderaan terunggul dalam kelasnya.
“Selain menjadi satu-satunya PHEV dengan kemampuan pengecasan arus terus (DC), teknologi Sistem Super Hybrid kami adalah yang pertama dalam kelasnya di Malaysia. Kami teruja pelanggan kami dapat menikmati manfaat Jaecoo J7 PHEV tidak lama lagi,” kata Emily Lek, naib presiden Jaecoo Malaysia.
Bakal dilancarkan ke pasaran tempatan pada Februari ini, J7 PHEV dikuasakan oleh gabungan enjin 1.5-liter TGDI, transmisi hibrid DHT satu kelajuan dan bateri LFP Blade berkapasiti 18.3 kW yang memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 347 PS (255 kW) dan 525 Nm.
Bateri berkenaan menyokong pengecasan AC 6.6 kW yang boleh mengecas dari 30% hingga 80% dalam masa tiga jam dan pengecasan DC 40 kW yang memerlukan hanya 20 minit untuk pengecasan sama.
Sebagai alternatif, pemilik juga boleh menggunakan soket kediaman tiga pin 230 V yang mengambil masa kira-kira 8.5 jam untuk pengecasan penuh.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.