Perodua, UTM jalin kerjasama bangunkan xEV di Malaysia


Perodua dan Universiti Teknologi Malaysia telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membangunkan generasi baharu kenderaan elektrik (xEV) di Malaysia.
Memorandum ini merangkumi pakej komprehensif yang meliputi aspek pendidikan dan latihan kepada bakal jurutera baharu dalam membangunkan teknologi berkaitan xEV.
“Kami berharap untuk meneroka masa depan di mana Malaysia mampu membina teknologi xEV sendiri dan manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata.
“Melalui perjanjian ini, Perodua telah melangkah lebih jauh daripada tugas asalnya – daripada menjadi pemangkin pemindahan teknologi kepada sebuah entiti yang memacu pembangunan teknologi,” kata beliau.
Perodua, yang ditubuhkan pada 1993, diwujudkan bagi menyediakan kenderaan yang berkualiti tingggi dan mampu milik buat rakyat Malaysia, dalam masa yang sama bertindak sebagai syarikat yang dapat memindahkan teknologi ke Malaysia.
Pemindahan teknologi ini bertujuan untuk membangunkan ekosistem automotif negara dan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan teknologi rakyat Malaysia.
Prof. Dr. Rosli Md Illias, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menekankan bahawa potensi kerjasama ini adalah untuk memacu kelestarian mobiliti di Malaysia.
“Kerjasama ini menunjukkan kepentingan merapatkan jurang antara akademia dan industri dalam memperkasakan graduan dengan kemahiran serta pengetahuan yang relevan,” katanya.
Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada para pelajar dan penyelidik UTM, tetapi juga menjadi model kerjasama antara akademia dan industri untuk memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam sektor automotif global.
Perjanjian ini menekankan enam elemen utama termasuk pengukuhan kurikulum akademik UTM, pembinaan makmal satelit di kampus utama UTM, pertukaran pengetahuan mengenai teknologi automotif, pendedahan kepada ahli akademik dan jurutera dalam teknologi xEV, kerjasama dalam bidang akademik dan R&D, serta program pembangunan bakat dan latihan.
Perjanjian ini juga turut membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk meneroka bidang kerjasama lain yang saling memberi manfaat.

Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.