fbpx

Aveta Vanguard 250 2025 rasmi, 24.8 hp, 22.5 Nm, dari RM14,888

AVETA VANGUARD 250 (10)

Pasaran skuter kembara (ADV) di Malaysia dimeriahkan lagi dengan kehadiran pendatang baharu, Aveta Vanguard 250 2025 yang dibina berdasarkan platform Piaggio Nexus 250.

Vanguard 250 ini didatangkan dengan enjin silinder tunggal 244.2 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 24.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 6,500 rpm, serta dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api Bosch.

Ia menawarkan ciri-ciri yang direka khas untuk keperluan peminat pengembaraan dan touring, seperti jarak kelegaan tanah yang tinggi, penghadang angin boleh laras ketinggian, bar hendal boleh laras, port pengecasan USB, tempat duduk ergonomik (tinggi 780 mm), kapasiti tangki bahan api sebesar 13 liter dan ruang storan bawah pelana sebesar 23.5 liter.

Terdapat dua varian yang ditawarkan untuk pasaran tempatan.

Varian asas Standard dibekalkan dengan fork hadapan teleskopik 33 mm, penyerap hentak berkembar di belakang, sistem brek yang terdiri daripada angkup terapung, rotor 260 mm depan dan 240 mm belakang, serta rim bersaiz 14 inci di depan dan 13 inci di belakang.

Manakala varian Special Edition (SE) pula hadir dengan kelengkapan yang lebih premium seperti kamera perakam tunggangan, fork teleskopik 37 mm, penyerap hentak berkembar gas di belakang, rotor brek hadapan empat omboh, rotor brek dua omboh di belakang, serta padanan rim bersaiz 15 inci di depan dan 14 inci di belakang (balutan tayar 120/70-15, 140/70-14).

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan skrin TFT bersaiz tujuh inci dengan sokongan sambungan kepada peranti pintar, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Apa yang pasti, kedua-dua varian ini datang dengan sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran, serta sistem kawalan cengkaman (TCS) yang boleh dimatikan (fungsi khusus untuk varian SE) untuk tunggangan yang lebih lancar atas pelbagai permukaan muka bumi.

Untuk pasaran Malaysia, Vanguard 250 Standard tersedia dengan warna Nano Grey, dan harga jualan bermula dari RM14,888, sementara varian SE (berharga RM16,388) pula datang dengan pilihan warna Majestic Green dan Titanium Grey.

Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau had perbatuan 20,000 km yang mana tiba dahulu.

Bersempena dengan pelancaran, Aveta Malaysia menawarkan promosi harga istimewa RM14,488 untuk varian Standard dan RM15,988 untuk varian SE, terhad kepada 200 unit pertama.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved