Arkib Kategori: MALAYSIA

Hyundai Motor Malaysia rai ulang tahun pertama, tawar pelbagai ganjaran termasuklah Stargazer!

Bersempena dengan ulang tahun pertama operasi, Hyundai Motor Malaysia (HMY) melancarkan kempen Durian Runtuh Berganda-ganda selama tiga bulan bermula 1 Julai hingga 30 September 2026.

Sepanjang tempoh tersebut, Hyundai menawarkan promosi, hadiah eksklusif serta aktiviti menarik di rangkaian pengedar di seluruh negara.

Rebat tunai & subsidi petrol

Untuk pembelian model terpilih Santa Fe, Staria dan Tucson, HMY menyediakan pakej Total Drive Reward yang merangkumi:

  • rebat tunai sehingga 16%
  • 8 kali servis berjadual percuma (termasuk kos buruh & alat ganti)
  • subsidi petrol sehingga RM5,000
Alternatifnya, pembeli boleh memilih untuk mendapatkan rebat tunai segera bernilai sehingga RM36,000.

Peluang menang Hyundai Stargazer

Sepanjang tempoh kempen, pelanggan yang membuat tempahan atau pendaftaran mana-mana model Hyundai akan menerima penyertaan untuk memenangi sebuah Hyundai Stargazer baharu.

Selain itu, mereka yang melengkapkan sesi pandu uji, tempahan dan pendaftaran juga layak untuk menyertai Monthly 7 Lucky Winners Campaign yang menawarkan hadiah RM10,000 dalam bentuk kredit eWallet Touch ‘n Go.

Program jaminan myHyundaiCare

Setiap kenderaan baharu Hyundai hadir dengan jaminan selama 8-tahun atau had perbatuan 160,000 km (yang mana tiba dahulu).

 

Edisi kelima Toyota SYI Outrun 2026 catat lebih 7,500 penyertaan, kutip RM200k untuk NCSM

Seramai lebih 7,500 orang peserta memeriahkan acara tahunan Toyota Start Your Impossible (SYI) Outrun 2026 yang berlangsung hujung minggu lalu di Putrajaya.

Edisi kelima acara larian amal tahunan itu berjaya mengumpulkan sumbangan dana RM200,000 untuk disalurkan kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).

Tiga kategori larian

Diadakan pada 5 Julai 2026, Outrun 2026 ini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai aktiviti komuniti yang menyatukan rakyat Malaysia.

Terdapat tiga kategori yang disediakan iaitu

  • 5KM Fun Run
  • 10KM Competitive Run
  • 21KM Half Marathon

Sambutan yang diterima juga memberangsangkan dengan 2,200 peserta dalam kategori 10KM Competitive Run dan 1,800 pelari dalam kategori 21KM Half Marathon.

UMWT turut menyediakan hadiah keseluruhan bernilai RM138,000 untuk diberikan kepada 10 pelari terbaik bagi setiap kategori kompetitif.

Acara tahunan yang mudah diakses

Datuk Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor berkata, “Toyota SYI Outrun ini menjadi larian pertengahan tahun yang dinantikan rakyat Malaysia kerana ia mudah diakses, membawa mesej positif dan terus menyokong perjuangan yang relevan.

“Bagi UMWT, ini menunjukkan nilai membina inisiatif komuniti secara berterusan, di mana setiap edisi meningkatkan penyertaan, kesedan dan sokongan praktikal kepada organisasi seperti NCSM.

Toyota SYI Outrun diperkenalkan pada tahun 2019 dan telah menyokong pelbagai usaha berkaitan kesihatan yang bermula dengan Majlis Paralimpik Malaysia.

Penampilan atlet paralimpik

Acara ini turut menyaksikan penampilan pertama atlet Paralimpik Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi di acara UMWT.

Beliau sebelum ini menyertai program Global Team Toyota Athlete (GTTA), sebuah platform global untuk atlet mencabar batasan dan memberi inspirasi kepada perubahan positif.

Kehadiran Ammar yang juga pemenang pingat emas Asian Para Games mencerminkan komitmen Toyota terhadap Mobiliti Untuk Semua.

Pelajar UiTM menang cabutan bertuah P-Circle, bawa pulang Myvi baru!

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nik Akmal Afifah binti Nik Mohd Fuad, 22 tahun, dipilih sebagai pemenang hadiah utama Cabutan Bertuah P-Circle yang berlangsung baru-baru ini di KLIMS 2026.

Sepanjang tempoh 12-21 Jun 2026, pertandingan tersebut menyaksikan ribuan pengunjung memuat turun aplikasi super P-Circle dan mengaktifkan ciri e-wallet (P-Duit).

P-Circle merupakan aplikasi super yang menawarkan servis yang komprehensif merangkumi P-Duit, ciri kesihatan, ciri keselamatan, jual beli dalam talian serta platform penstrimannya sendiri.

Aplikasi ini kini tersedia di App Store dan Google Play Store.

Maklum balas positif

Menurut Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, “Secara keseluruhannya, penyertaan kami di KLIMS 2026 mendapat maklum balas yang amat memberangsangkan.

“Seramai 37,786 pengunjung berdaftar di reruai kami dan mencuba pelbagai tarikan yang disediakan semasa pameran itu berlangsung.

“Pertandingan Cabutan Bertuah P-Circle ini juga menarik perhatian ramai generasi muda dan Nik Akmal Afifah adalah pemenang bertuah yang terpilih,” tambahnya lagi.

Nik Akmal Afifah membawa pulang sebuah Perodua Myvi 1.3G berwarna Ivory White.

“Sudah tentu kereta ini lebih baik daripada Perodua Axia yang saya pandu pada masa ini. Terima kasih Perodua. Anda memang terbaik!,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan hadiah di ibu pejabat Perodua pada 3 Julai lalu.

Selain daripada Perodua Myvi sebagai hadiah utama, Perodua turut menyerahkan 100 unit jam pintar P-Go kepada pemenang cabutan bertuah yang lain.

Perodua turut mempamerkan kereta konsep terbaharunya yang dinamakan Chapter 2 atau C2.

Konsep tersebut mewakili gaya reka bentuk berbeza, dilengkapi dengan teknologi terbaharu serta dicipta oleh pereka muda dan berbakat yang mencerminkan visi mereka terhadap masa depan kenderaan elektrik.

Omoda | Jaecoo Malaysia rasmi buka pusat 3S baharu di Selayang

Omoda | Jaecoo Malaysia secara rasmi membuka pusat 3S baharu yang terletak di Selayang.

Pusat 3S baharu ini dikendalikan oleh Carro Digital Sdn Bhd, dan ia merupakan susulan pelantikannya sebagai pengedar sah Omoda | Jaecoo pada Mac 2026.

Kemudahan bersepadu

Pusat 3S Selayang ini menawarkan ruang pameran yang luas dan selesa, menampilkan konsep reka bentuk runcit terkini Omoda | Jaecoo Malaysia.

Di samping jualan kenderaan, pelanggan boleh menikmati perkhidmatan menyeluruh seperti:

  • sesi pandu uji
  • khidmat nasihat pembiayaan
  • penilaian tukar beli kenderaan
  • bantuan insurans
  • akses perkhidmatan selepas jualan

Selain kemudahan akses Wi-Fi percuma dan Coffee Lounge, fasiliti ini turut dilengkapi enam petak servis yang mampu menampung kapasiti penyelenggaraan sehingga 624 buah kenderaan sebulan.

Kemudahan bersepadu ini memastikan pelanggan menikmati pengalaman pemilikan yang lancar bermula daripada pembelian kenderaan sehinggalah kepada penyelenggaraan dan perkhidmatan selepas jualan.

Pusat 3S Omoda | Jaecoo Carro Selayang ini terletak di 17498, Jalan Besar, Kawasan Industri Selayang Indah, 68100 Batu Caves, Selangor.

Waktu operasi adalah seperti berikut:

  • Bilik pameran: 9.00 pagi-6.00 petang (Isnin-Jumaat), 10.00 pagi-5.00 petang (hujung minggu)
  • Pusat servis: 8.30 pagi-6.00 petang (Isnin-Jumaat), 9.00 pagi-3.00 petang (Sabtu)

Momentum pertumbuhan berterusan

Pembukaan pusat 3S ini mencerminkan momentum pertumbuhan berterusan Omoda | Jaecoo Malaysia.

Ketika ini, jenama tersebut mempunyai 53 pusat pameran di seluruh negara, disokong oleh rangkaian pengedar sah yang kukuh.

Semua ini demi memastikan pelanggan di seluruh Malaysia menikmati pengalaman pemilikan dan perkhidmatan pelanggan yang terbaik.

Honda CB650R & CBR650R E-Clutch 2026 dapat warna baharu, harga dari RM47,999

Boon Siew Honda mengumumkan kemas kini warna baharu untuk kedua-dua model Honda CBR650R 2026 dan CB650R 2026 versi E-Clutch.

Honda CBR650R E-Clutch kini ditawarkan dengan pilihan warna Matte Gun Powder Black Metallic disamping warna Grand Prix Red sedia ada.

Sementara Honda CB650R E-Clutch pula hadir dengan pilihan warna Jeans Blue Metallic dan Candy Energy Orange sementara warna Matte Gun Powder Black Metallic terus dikekalkan.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Honda CB650R E-Clutch: RM47,999
  • Honda CBR650R E-Clutch: RM49,999

Spesifikasi

Kedua-dua jentera dipacu enjin empat silinder sebaris 649 cc sejukan cecair DOHC menghasilkan kuasa 93.9 hp @ 12,000 rpm dan daya kilas 63 Nm @ 9,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi kotak gear enam-kelajuan yang dipadankan dengan teknologi E-Clutch.

Teknologi ini membenarkan penunggang untuk membuat penukaran gear tanpa operasi klac tangan bagi mengurangkan kepenatan semasa tunggangan dalam kawasan trafik urban.

Namun dalam masa yang sama, klac tangan masih lagi dikekalkan supaya penunggang dapat menikmati penukaran gear secara manual.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork USD SFF-BP Showa 41 mm di depan, diikuti penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban 10 tahap di belakang.

Brek pula menggunakan tetapan rotor berkembar 310 mm berserta angkup empat omboh di depan, dibantu dengan rotor tunggal 240 mm dan angkup omboh tunggal di belakang.

Ciri lain termasuklah:

  • Honda Selectable Torque Control (HSTC)
  • skrin paparan TFT 5-inci berwarna penuh
  • tangki minyak 15.4 liter
  • pelana 810 mm

Honda CB650R E-Clutch

Honda CBR650R E-Clutch

Yamaha Y15ZR 2026 dapat warna baharu Cyan Jade, versi SE dalam Royal Maroon, harga dari RM8,998

Hong Leong Yamaha Motor mengumumkan kemas kini warna baharu untuk model Yamaha Y15ZR.

Varian biasa kini hadir dengan pilihan warna Cyan Jade menggantikan Mecha Green, manakala warna Aqua Violet dan Blue Spark terus dikekalkan.

Harga jualan asas bermula dari RM8,998 tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans.

Sementara varian Special Edition (SE) pula didatangkan dalam warna Royal Maroon, dengan harga dari RM9,498.

Spesifikasi asas kekal

Yamaha Y15ZR kekal dengan enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair SOHC dengan kuasa 15.2 hp @ 8,500 rpm dan 13.8 Nm @ 7,000 rpm.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan dan penyerap hentak tunggal di belakang, sementara brek pula menggunakan tetapan cakera bagi kedua-dua gandar.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 4.2 liter sementara tinggi pelana 780 mm.

Versi SE pula hadir dengan kelengkapan tambahan seperti:

  • Sports Visor
  • Yamaha Premium Basket berserta port pengecasan USB Type-C terbina

Proton S70 dipilih sebagai imej baharu teksi negara menerusi program Teksi Madani

Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim melancarkan Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional bertempat di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Pelancaran tersebut menandakan permulaan insiatif nasional bagi memperbaharui dan memperkukuh industri teksi negara.

Ia merupakan susulan kepada pengumuman pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan kepada pemilik teksi serta kereta sewa persendirian bagi pembelian kereta baharu buatan nasional.

Kurangkan beban pemilik teksi

Inisiatif ini bertujuan untuk mengurangkan beban kos pemilikan kenderaan baharu dan mempercepatkan proses pembaharuan armada teksi di seluruh negara.

Selain itu, program ini memberi peluang kepada pemandu teksi beralih kepada kenderaan yang lebih moden, selamat, selesa dan berkualiti.

Dalam masa yang sama, peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta turut diumumkan bagi program geran padanan bagi menggantikan kereta lama kepada kereta baharu.

Proton S70 wajah baru teksi negara

Proton S70 dipilih kerana ciri-cirinya yang mampu memenuhi keperluan operasi mobiliti awam, seperti ruang kabin yang luas, enjin cekap bahan api dan teknologi keterhubungan pintar.

Selain itu, pemilik tidak perlu risau kerana terdapat rangkaian pusat servis Proton yang meluas di seluruh negara.

Di bawah program ini, pengendali yang layak akan ditawarkan Proton S70 Premium warna ekslusif Ruby Red, dan tidak lagi menggunakan kemasan dua tona merah putih.

Sedan tersebut turut dilengkapi dengan perkakasan tambahan yang diperlukan seperti:

  • panel LED tulisan hijau Teksi/E-Hailing
  • paparan meter tambahan untuk urusan transaksi dan paparan iklan
  • nombor pendaftaran khas GET (tulisan merah berlatarbelakang putih)
  • kemasan decal unik pada tiang C

Selain itu, teksi S70 baharu itu tidak lagi menggunakan struktur penanda atas bumbung (taxi topper) dan pelekat label operator pada pintu seperti kebiasaan.

Hyundai Motor Malaysia rasmi buka pusat 3S Kuching

Hyundai Motor Malaysia (HMY) secara rasmi melancarkan pembukaan pusat 3S Hyundai Kuching terbaharu.

Ia merupakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi HMY untuk mencapai sehingga 25 outlet menjelang akhir 2026.

Kemudahan yang disediakan

Pusat 3S baharu ini dikendalikan oleh Heng Lian Enterprise Sdn Bhd.
Ia menawarkan keluasan binaan 7,500 kaki persegi yang mampu menempatkan barisan penuh model teras Hyundai termasuklah Santa Fe, Tucson dan Staria.
Selain itu, pelanggan di Kuching juga boleh mendapat akses terus kepada barisan model prestasi tinggi Hyundai Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N yang baharu sahaja dilancarkan.

Ditubuhkan pada 1984, Heng Lian Enterprise Berhad mempunyai 40 tahun pengalaman dalam industri automotif di Sarawak.

Pusat 3S Hyundai Kuching terletak di alamat Lot 98 & Lot 105, KTLD, Jalan Abell, Padungan, 93100 Kuching, Sarawak.

Waktu operasi:

  • Isnin-Sabtu: 8.30 pagi-5.30 petang
  • Ahad & Cuti Umum: 10.00 pagi-3.00 petang

Grand Launching Lucky Draw

Bersempena pembukaan, Heng Lian Enterprise menganjurkan kempen cabutan bertuah perdana bermula 26 Jun hingga 26 Julai 2026.
Satu sesi pandu uji melayakkan satu penyertaan, manakala pelanggan yang membuat tempahan kenderaan akan mendapat tambahan dua penyertaan.

Hadiah utama berupa Samsung Galaxy S26, manakala hadiah saguhati pula berupa pakej tint Hamel, dashcam, payung serta hadiah eksklusif lain.

myHyundaiCare – Tawaran Servis Lepas Jualan

  • Baucar minyak enjin SHELL RM100
  • Pemeriksaan kesihatan kenderaan 20 poin percuma untuk semua model Hyundai, termasuk pemeriksaan bateri 12V dan tayar
  • Kadar upah tetap RM50 untuk servis
  • Baucar kafe tempatan RM20 dengan invois servis minimum RM400
  • Kit badan percuma untuk 10 pemilik STAREX (2020 ke atas) pertama*

Komitmen kepada pelanggan di Malaysia Timur

Jahabarnisa Haja Mohideen, Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia berkata, “Hyundai Kuching melambangkan komitmen kami terhadap Malaysia Timur.

“Kuching mempunyai asas pelanggan yang dinamik dan melalui peluasan ini kami memastikan produk dan servis Hyundai lebih mudah diakses oleh lebih ramai pelanggan.”

Boon Siew Honda buka HQ Jualan baharu di Kota Damansara

Boon Siew Honda Sdn Bhd mengumumkan pembukaan rasmi ibu pejabat jualan baharunya yang terletak di Kota Damansara.

Pembukaan fasiliti baharu ini menandakan kali pertama BSH menubuhkan pangkalan komersial khusus di ibu negara.

Tiga pasukan bawah satu bumbung

Fasiliti tiga tingkat berkeluasan 7,000 kaki persegi itu menempatkan pasukan jualan, pemasaran serta bahagian alat ganti dan perkhidmatan selepas jualan di bawah satu bumbung.

Penyatuan ketiga-tiga fungsi di bawah satu alamat merupakan langkah BSH dalam menyelesaikan cabaran koordinasi yang dialami sebelum ini apabila setiap satu beroperasi dari lokasi berbeza.

Selain itu, terdapat dua bilik latihan khusus serta pusat teknikal lengkap untuk melatih mengedar dalam kemahiran teknikal dan bukan teknikal.

Antara kemudahan lain termasuklah ruang kerja khusus, bilik mesyuarat dan ruang kolaborasi untuk pasukan mengurus perancangan kempen, penglibatan media, pembangunan pengedar dan sokongan selepas jualan.

Bukti komitmen BSH

Kunitomo Asano, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif BSH menjelaskan pembukaan pangkalan komersial khusus di Kuala Lumpur membuktikan tahap serius mereka terhadap kerja yang berlaku di sini.

“Tujuh ribu kaki persegi dan tiga tingkat mungkin kedengaran seperti pengumuman hartanah.

“Bangunan ini mewakili keputusan untuk menyatukan kepimpinan jualan, pemasaran dan perkhidmatan selepas jualan bawah satu tempat dengan satu pandangan pasaran yang sama.

“Tiga pasukan dalam bangunan ini berkomunikasi setiap hari, dan kini mereka boleh melakukannya di koridor yang sama, bukan melalui panggilan telefon.

“Itu bukan perkara kecil apabila kelajuan kerja kami menuntut kecekapan seperti itu,” jelasnya lagi.

Lokasi baharu ini meletakkan pasukan kepimpinan BSH lebih dekat dengan ekosistem rakan industri dan perniagaan yang tertumpu di sekitar Kuala Lumpur.

Buat masa ini, ibu pejabat utama BSH masih lagi kekal beroperasi di Pulau Pinang.

Lokasi dan waktu operasi

Boon Siew Honda Sdn Bhd
7, Jalan Teknologi 3/6F, Taman Sains Selangor,
Kota Damansara
47810 Petaling Jaya, Selangor

+603-6144 0963

Waktu operasi Isnin-Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 5 petang (Tutup hujung minggu)

 

Rim edisi terhad untuk VW Golf GTI, terhad 50 unit sahaja dan percuma!

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan rim eksklusif Huntsville Adamantium Dark sempena sambutan ulang tahun ke-50 Golf GTI.

Rim tersebut ditawarkan sebagai naik taraf percuma hanya untuk 50 unit baharu Golf GTI.

Harga jualan Golf GTI juga kekal tidak berubah, bermula dari RM255,990.

Ciri unik

Rim aloi 18 inci tersebut menampilkan rekaan lima jejari berbentuk Y yang dapat memberikan pandangan lebih jelas terhadap angkup brek merah ikonik GTI.

Kemasan gelap juga menyerlahkan lagi karakter sporti Golf GTI.

Aktiviti bertemakan GTI di Malaysia

Para peminat di Malaysia boleh menantikan pelbagai aktiviti bertemakan GTI sepanjang tahun ini.

Antaranya ialah peraduan di media sosial, serta pelbagai aktiviti menarik di pengedar sah Volkswagen di seluruh negara.

Volkswagen Malaysia turut menganjurkan peraduan “Test Drive and Win” di mana pelanggan yang telah memandu uji mana-mana model Volkswagen berpeluang memenangi kad Touch ‘n Go GTI edisi terhad.

Tempahan pandu uji boleh dibuat di laman web https://testdrive.volkswagen.com.my/ dan pelanggan perlu melengkapkan sesi tersebut selewat-lewatnya 12 Julai ini.

Fungsi AutoCharge kini tersedia untuk semua pengguna aplikasi Gentari Go

Gentari mengumumkan kemas kini untuk aplikasi Gentari Go yang menawarkan beberapa ciri baharu untuk semua pengguna.

Antara kemas kini yang dibawakan termasuklah:

  • fungsi AutoCharge
  • struktur ganjaran baharu
  • ciri keselamatan lebih kukuh

AutoCharge: Plug-in, Charge & Go

Selepas tetapan sekali sahaja, pemilik boleh terus mengecas kenderaan mereka di beberapa pengecas DC terpilih tanpa perlu membuka aplikasi.

AutoCharge berfungsi dalam tiga langkah mudah:

  1. Sambungkan kabel DC ke EV
  2. Kenderaan akan disahkan secara automatik
  3. Sesi pengecasan akan bermula serta-merta

Fungsi terbaharu ini menghapuskan keperluan untuk mengaktifkan aplikasi berulang kali, penggunaan kad RFID atau imbasan kod QR, menjadikan pengecasan awam lebih mudah diakses.

500 pengguna pertama yang berjaya mendaftar dan melengkapkan sesi AutoCharge pertama akan menerima kredit Gentari Go bernilai RM10.

Fungsi AutoCharge ini akan diperluas secara berperingkat di semua rangkaian Gentari di seluruh negara.

Gentari kini mengendalikan lebih 600 titik pengecasan EV di Malaysia, manakala Gentari Go Roaming Hub pula memberikan akses kepada lebih 18,000 titik pengecasan di Malaysia, Singapura, Thailand dan India.

Menurut Fadzrul Ahmad, Ketua Mobiliti Hijau Gentari berkata, “AutoCharge mengurangkan kebergantungan kepada pelbagai aplikasi dan langkah manual, menjadikan pengecasan awam lebih ringkas, pantas dan intuitif.

“Hasilnya tepat seperti yang diharapkan: Plug-in, Charge dan Go.”

Maklumat seperti lokasi pengecasan, model EV serasi dan panduan tetapan tersedia di aplikasi dan laman web Gentari.

Buat masa ini, kadar pengecasan dan pelan sedia ada masih kekal seperti biasa.

Struktur ganjaran baharu, keselamatan lebih kukuh

Selain fungsi AutoCharge, aplikasi Gentari Go turut menerima pembaharuan struktur ganjaran serta ciri keselamatan yang dipertingkat.

Bermula 1 Julai 2026, mata ganjaran baharu mempunyai tempoh sah nilai selama 180 hari.

Manakala mata ganjaran sedia ada yang dikumpul sebelum 30 Jun 2026 kekal sah sehingga 31 Disember 2026.

Dari segi keselamatan, pengguna perlu mengesahkan nombor telefon untuk mengakses kredit Gentari Go.

Ini bertujuan untuk melindungi kredit dan ganjaran pengguna serta meningkatkan ketelusan baki dan tarikh luput kredit.

Aplikasi Gentari Go yang dikemas kini tersedia mulai 1 Julai 2026.

PETRONAS Syntium baharu tawar perlindungan enjin, kecekapan bahan api lebih baik

PETRONAS Lubricants International (PLI) memperkenalkan rangkaian pelincir PETRONAS Syntium generasi baharu di peringkat global.

Rangkaian PETRONAS Syntium serba baharu ini telah dilancarkan di Malaysia, Jepun dan beberapa pasaran Eropah terpilih.

Ia bakal diperluas ke pasaran utama Asia Pasifik sepanjang tahun.

Menjelang akhir 2026, produk ini akan tersedia di lokasi PETRONAS AutoExpert serta rangkaian bengkel bertauliah di negara seperti China, Indonesia dan Thailand.

Formulasi dipertingkat

Pelincir baharu itu kini dengan formulasi yang dipertingkat untuk memenuhi piawaian terkini API SQ dan ILSAC GF-7.

Berbeza daripada pendekatan “satu minyak untuk semua”, rangkaian ini kini terdiri daripada empat varian khusus, masing-masing dibangunkan untuk memenuhi keperluan pemanduan berbeza.

Terdapat empat varian khusus ditawarkan kepada pengguna:

  • PETRONAS Syntium Supreme dengan teknologi CoolTech+™ dan kecekapan bahan api sehingga 13% untuk kenderaan berprestasi tinggi
  • PETRONAS Syntium Supreme GLV2 dengan kelulusan JASO GLV2 yang menawarkan kecekapan bahan api sehingga 19% dan kestabilan ricih tinggi untuk kereta Jepun
  • PETRONAS Syntium Prime dengan teknologi Active Defense™ sesuai untuk pelbagai keadaan pemanduan harian
  • PETRONAS Syntium Hybrid dengan teknologi CoolTech-H™ memberikan perlindungan khusus untuk kenderaan hibrid

Noorhana Abdul Habib, Pengarah Urusan Wilayah Asia PLI berkata, “Rangkaian PETRONAS Syntium baharu ini menawarkan penyelesaian berkualiti tinggi kepada bengkel dan pemandu di Malaysia serta Asia.

“Dipacu formulasi generasi baharu selaras dengan piawaian API SQ, ia meningkatkan kecekapan bahan api dan prestasi enjin, memberikan pemandu teknologi terkini yang memastikan prestasi cemerlang setiap kali memandu,” ujarnya lagi.

 

Volvo Car Malaysia perkenal pengecas dinding 11 kW, harga dari RM3,990

Volvo Car Malaysia memperkenalkan pengecas dinding Volvo Wallbox kepada pemilik kenderaan elektrik (BEV) dan plug-in hybrid (PHEV) sedia ada.

Pengecas dinding 11 kW itu menawarkan ciri-ciri berikut:

  • rekaan luaran yang kemas dan kalis cuaca dengan penarafan IP55
  • datang dengan kabel standard Jenis 2
  • kawalan penuh menerusi aplikasi Volvo Cars menggunakan sambungan Wi-Fi, Ethernet atau kad SIM
  • dua keping kad RFID untuk memudahkan perkongsian akses pengecasan
  • boleh dihubungkan dengan meter tenaga luaran, terutama untuk rumah yang dilengkapi dengan panel solar

Menurut Sun Qian, Ketua Pemasaran Komersial APeC di Volvo Cars, “Komitmen kami adalah untuk sentiasa menyokong pelanggan dari setiap aspek, bermula dari hari pertama pemilikan Volvo.

Jelasnya lagi, menerusi aplikasi Volvo Cars, pemandu boleh mengawal keseluruhan sistem pengecasan di rumah dan tidak terhad kepada fungsi kenderaan semata-mata.

Pengecas dinding Volvo ini tersedia di semua pengedar sah Volvo di seluruh negara, dengan harga jualan RM3,990.

Setiap pembelian hadir dengan jaminan perkakasan komprehensif selama 36 bulan.

Volvo turut bekerjasama dengan EV Connection Sdn Bhd untuk menawarkan pakej pemasangan bermula serendah RM1,600.

GAC GS3 Emzoom buktikan karakter pemanduan sporti, catat masa 2 minit 57 saat di Litar Sepang

GAC GS3 Emzoom mempamerkan karakter pemanduan sporti, prestasi enjin turbo dan kawalan dinamiknya menerusi catatan masa 2 minit 57 saat di Litar Antarabangsa Sepang, baru-baru ini.

Ia merupakan sebahagian daripada program Emzoom Defensive Drive yang mengangkat tema “Built to Outdrive“.

Sesi di Sepang itu turut menghimpunkan para pengamal media daripada Malaysia dan Vietnam, serta pengedar GAC.

Continental sebagai rakan tayar rasmi

Acara Emzoom Defensive Drive ini disokong oleh Continental sebagai rakan tayar rasmi.

Sebagai jenama tayar premium berasaskan kejuruteraan Jerman, Continental berkongsi komitmen GAC terhadap prestasi, keselamatan dan keyakinan pemanduan menjadikannya rakan ideal untuk pengalaman kali ini.

Modul pemanduan khas

Sepanjang program, peserta akan dibawa melalui beberapa modul pemanduan khas yang direka untuk menunjukkan kemampuan GS3 Emzoom dalam pelbagai situasi pemanduan.

Antara cabaran yang disediakan termasuklah:

  • cabaran slalom untuk menunjukkan kelincahan SUV ini melalui perubahan arah pantas
  • latihan brek kecemasan & elakan halangan mempamerkan keyakinan membrek dan kestabilan kenderaan semasa manuver mengejut
  • latihan pengendalian dan penukaran lorong untuk merasai keseimbangan dinamik serta kawalan kestabilan elektronik

Sebagai penutup, peserta diberikan peluang menikmati sesi konvoi terkawal mengelilingi litar Sepang untuk merasai kestabilan kelajuan tinggi dan keyakinan pemanduan GS3 Emzoom.

Turut diadakan sesi hot lap oleh jurulatih perlumbaan profesional yang berjaya mencatatkan masa 2 minit 57 saat pada laluan sepanjang 5.543 km itu.

Catatan masa sub-3 minit di litar tersebut membuktikan GS3 Emzoom menawarkan keseimbangan antara prestasi turbo, pengendalian lincah, kestabilan kelajuan tinggi dan keyakinan kepada pemandu.

Spesifikasi ringkas GS3 Emzoom

SUV segmen B ini dipacu oleh enjin 1.5 liter turbo menghasilkan kuasa 177 PS dan 270 Nm yang dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 190 km/j.

Disebalik rupa yang tajam dan sporti, GS3 Emzoom menawarkan praktikaliti harian dengan ciri seperti:

  • kokpit digital dwi-skrin
  • bumbung suria panorama
  • kamera keliling 360 darjah
  • sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2
  • Bantuan Parkir Automatik (APA)

GS3 Emzoom ditawarkan pada harga bermula dari RM116,800 untuk varian Exclusive, dan RM126,800 untuk varian Premium R dengan rebat tersedia sehingga RM24,500.

NIZRA Auto rasmi buka bilik pameran Xpeng Store Damansara

NIZRA Auto secara rasmi membuka bilik pameran Xpeng Store Damansara yang terletak di kawasan strategik Damansara Utama.

Pembukaan bilik pameran baharu ini mencerminkan strategi jangka panjang NIZRA Auto dalam membangunkan perniagaan mobiliti berteraskan inovasi, pengalaman pelanggan dan pengangkutan pintar.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir, Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM).

Ia turut dihadiri oleh Dato’ Sri Fancis Lee Kok Chuan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto Berhad; Dato’ Sri Amer Hamzah Ahmad, Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Prima Maju Auto Sdn Bhd, serta Wan Zarel Harun selaku Ketua Bermaz Xpeng.

Xpeng bukan sekadar jenama automotif

Nik Iruwan Dato’ Nik Izani, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NIZRA Group Berhad berkata, “Ramai melihat Xpeng sebagai syarikat kenderaan elektrik. Kami melihatnya sebagai syarikat teknologi.”

“Kereta merupakan tempat di mana kecerdasan buatan (AI), perisian, keterhubungan dan teknologi autonomi bersatu.”

Beliau menambah, kerjasama terbaharu ini mencerminkan visi bersama antara NIZRA dan Xpeng dalam mengangkat inovasi, penambahbaikan berterusan dan membina masa depan mobiliti.

Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Bermaz Auto Berhad atas keyakinan terhadap NIZRA Auto.

“Aspirasi kami bukan sekadar menjual kenderaan. Kami sedang membina syarikat mobiliti masa depan yang mengutamakan teknologi, menawarkan pengalaman pemilikan terbaik dan terus berkembang seiring pelanggan kami.”

Selain membuka bilik pameran, NIZRA Auto merancang untuk membangunkan kemudahan selepas jualan dan servis khusus bagi menawarkan pengalaman pemilikan yang lebih lengkap.

Mengakhiri ucapan, Nik Iruwan menyifatkan pembukaan Xpeng Store Damansara sebagai permulaan kepada perjalanan yang jauh lebih besar untuk NIZRA.

Kerjasama dengan AiMotion

Nik Iruwan turut mengumumkan kerjasama dengan AiMotion sebagai sebahagian daripada transformasi digital yang meluas.

Kerjasama terbaharu ini akan mengintegrasikan AI dalam interaksi pelanggan, operasi perniagaan dan proses membuat keputusan di seluruh syarikat di bawah kumpulan.

“Kecerdasan buatan bukan sahaja mengubah kenderaan. Ia akan mengubah cara perniagaan beroperasi.

“Di NIZRA, kami komited untuk menerima transformasi itu di seluruh Kumpulan,” ujarnya lagi.

Denza Z9 GT bakal dilancarkan di Malaysia, ini perkara yang perlu anda tahu

Denza Malaysia bakal menambah sebuah lagi model dalam portfolio produknya, iaitu Denza Z9 GT.

Model ini telah pun dipertontonkan di pasaran Malaysia sejak tahun lalu dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD).

Menjelang pelancaran rasmi yang bakal berlangsung tidak lama lagi, sekumpulan media Malaysia telah diterbangkan ke Zhengzhou, China untuk menghadiri sesi pratonton Z9 GT versi pemanduan sebelah kanan (RHD).

Berikut merupakan beberapa fakta yang perlu anda tahu tentang Z9 GT.

Unit pacuan

Shooting brake elektrik ini dikuasakan oleh tiga motor elektrik, terdiri daripada motor elektrik depan 308 hp/410 Nm dan motor elektrik berkembar di belakang 831 hp/800 Nm.

Kuasa keseluruhan mencecah 1,140 hp dan daya kilas 1,210 Nm.

Z9 GT dilengkapi dengan bateri Blade generasi kedua berkapasiti 122.49 kWh, dengan kadar ketumpatan tenaga 5 peratus lebih berbanding Blade generasi pertama.

Ia turut menyokong pengecasan ultra-pantas Flash Charging dengan tempoh pengecasan sepantas 5 minit (10-70%) dan 9 minit (10-97%).

Terdapat juga fungsi V2L (vehicle-to-load) dengan kuasa maksimum 4 kW.

Casis & Dimensi

Z9 GT merupakan sebuah shooting brake dengan ukuran panjang melebihi lima meter.

Dimensi sebetulnya sepanjang 5,180 mm, lebar 1,990 mm, tinggi 1,490 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,125 mm.

Ruang kargo adalah sebesar 495 liter ditambah dengan kehadiran frunk sebesar 53 liter.

Z9 GT dilengkapi dengan suspensi udara Disus-A terdiri daripada tetapan double-wishbone aluminium di depan, diikuti sistem multi-link di belakang dan kawalan redaman berterusan (CDC).

Dengan bantuan sistem stereng gandar belakang, Z9 GT boleh mencapai radius putaran sekecil 4.62 meter, selain menawarkan “Crab Mode” dan “Pencil Compass Turn”.

Ia turut hadir dengan sistem kawalan kenderaan (VMC) terdiri daripada:

  • Low Friction Pavement Stability Control System
  • High-Speed Tyre Burst Control System

Kelengkapan luaran

Penampilan elegan Z9 GT disumbangkan oleh ciri berikut:

  • nisbah roda-ke-gandar melebihi 3:1
  • nisbah roda-ke-tinggi 2:1
  • garis pinggang (waistline) berbentuk Z

Antara ciri luaran termasuklah:

  • bukaan pintu elektrik lengkap dengan fungsi tutup lembut
  • lampu hadapan LED
  • lampu nyalaan siang DRL LED
  • lampu belakang LED dengan grafik jam pasir
  • logo 3D Denza
  • lampu selamat datang gaya meteor
  • bumbung kaca panorama 1.98 meter persegi
  • spoiler belakang aktif

Untuk permulaan, Denza Z9 GT hadir dalam pilihan warna Rime Gold dan Obsidian Black.

Kelengkapan kabin

Untuk ruang kabin pula, Z9 GT hadir dengan tetapan enam skrin paparan terdiri daripada:

  • skrin kluster digital 13.2 inci
  • skrin tengah sebesar 17.3 inci
  • skrin tambahan 13.2 inci
  • paparan head-up AR 50 inci
  • cermin pandang belakang digital 9.1 inci
  • skrin LCD baris kedua 6 inci

Tempat duduk depan diberikan larasan 8-tahap , diikuti sokongan tulang belakang 4-tahap, fungsi memori, urut, pemanas dan ventilasi, sementara tempat duduk pemandu pula hadir dengan sistem bolster dinamik.

Tempat duduk belakang hadir dengan fungsi urut, pemanas dan ventilasi, diikuti larasan sudut sandaran dan perehat kaki kawalan elektrik.

Ciri lain termasuklah:

  • kawalan iklim empat-zon
  • sistem audio Devialet dengan 20-pembesar suara
  • sistem pencahayaan ambien
  • ruang storan 4 liter dengan fungsi panas (sehingga 50 darjah Celcius) dan sejuk (serendah -6 darjah Celcius)
  • pengecas peranti pintar tanpa wayar 50W berkembar
  • bantuan suara berbilang bahasa (termasuk Bahasa Malaysia)

Denza Z9 GT turut hadir dengan 9 beg udara.

Terdapat tiga pilihan warna kabin iaitu:

  • Dark Chocolate/Red Velvet
  • Dark Chocolate/Perg Beige
  • Full Black

Spesifikasi penuh bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi Denza Z9 GT yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Suzuki e Vitara 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia, harga RM188,000

Naza Eastern Motors secara rasmi melancarkan BEV pertama jenama Suzuki di pasaran Malaysia, iaitu Suzuki e Vitara 2026.

SUV elektrik ini bakal ditawarkan dalam unit terhad, setiap satu dijual pada harga RM188,000.

Untuk info, pasaran Malaysia telah menerima kehadiran kembar e Vitara, iaitu Toyota Urban Cruiser BEV yang dijual pada harga RM198,000.

Unit pacuan

e Vitara dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda depan menghasilkan 172 hp dan daya kilas 193 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 8.7 saat dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 150 km/j.

Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

Bateri berkapasiti 61 kWh pula menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 426 km.

e Vitara menyokong pengecasan AC 7 kW (10-100% SoC dalam 9 jam), serta pengecasan pantas DC 67 kW membolehkan bateri dicas 10-80% dalam 45 minit.

Casis & Dimensi

Suzuki e Vitara dibina berdasarkan pelantar e-Heartec yang ditampung oleh tetapan topang MacPherson di depan dan multi-link di belakang.

SUV ini membawakan ukuran sepanjang 4,275 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,640 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,700 mm.

Keempat-empat sudut roda didatangkan dengan rim aloi 18 inci.

Radius putaran adalah sekecil 5.8 meter dan jarak kelegaan tanah setinggi 180 mm.

Kapasiti ruang kargo pula sebesar 306 liter.

Kelengkapan

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah lampu projektor LED automatik, lampu nyalaan siang DRL LED, lampu kabus, pengelap cermin dengan penderia hujan, serta pemanas cermin sisi.

Ruang kabin pula mendapat ciri seperti:

  • roda stereng EPS rekaan dua jejari balutan kulit sintetik
  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin infohibur 10.1 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • tempat duduk balutan kulit dan fabrik
  • tempat duduk pemandu larasan kuasa 10-tahap
  • fungsi pemanas untuk baris depan
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • sistem audio Infinity Premium
  • bumbung kaca panorama
  • tempat duduk belakang nisbah 4:2:4

Keselamatan

Secara standard, e Vitara hadir dengan ciri seperti 7-beg udara, Kawalan Mendaki Bukit (HHC), Kawalan Menurun Cerun (HDC), serta ciri bantuan pemandu termaju (ADAS) seperti:

  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Pengecaman Papan Tanda (TSR)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Adaptif (AHS)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)

Pro-Net perluas ekosistem pengecasan untuk kondominium dan kediaman bertingkat

Pro-Net memperluaskan ekosistem pengecasannya ke kondominium dan kediaman bertingkat tinggi terpilih di seluruh negara.

Melalui aplikasi Proton e.MAS, pemilik Proton e.MAS menikmati kadar pengecasan kediaman eksklusif bermula daripada RM0.63/kWh.

Kadar khas untuk pemilik Proton e.MAS ini sah sehingga 31 Disember 2026.

Lebih 1,500 titik pengecasan

Rangkaian pengecasan Proton e.MAS kini merangkumi lebih 1,500 titik pengecasan di lebih 500 kondominium dan kediaman bertingkat di bandar utama termasuklah Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.

Tidak ketinggalan lokasi tambahan di Sabah, Sarawak serta bandar-bandar utama lain.

Ini menjadikannya antara ekosistem pengecasan EV paling meluas untuk kehidupan bandar di Malaysia.

Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net berkata, “Dengan kadar pengecasan bermula daripada RM0.63/kWh serta peluasan akses di seluruh negara, kami menjadikan pemilikan EV lebih mudah diakses, dan praktikal untuk kegunaan harian.

“Apabila lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada mobiliti lestari, adalah penting untuk penyelesaian pengecasan kenderaan elektrik memenuhi keperluan pelbagai jenis kediaman, termasuk kondominium dan kediaman bertingkat tinggi,” ujarnya lagi.

Daftar minat infrastruktur masa hadapan

Pemilik Proton e.MAS dan pengguna yang berminat untuk mendaftarkan kawasan kediaman mereka bagi pembangunan infrastruktur masa hadapan boleh berbuat demikian menerusi pautan https://emas.proton.com/charging/

 

TQ Wuling tawar rebat tambahan RM3,000 untuk penjawat awam

TQ Wuling melancarkan kempen “Berkhidmat untuk Mereka yang Berkhidmat untuk Malaysia” khusus untuk penjawat awam bersempena Hari Perkhidmatan Awam Sedunia.

Kempen terbaharu ini menawarkan rebat tambahan RM3,000 untuk pembelian TQ Wuling Bingo EV di samping pakej promosi “Fabulous 5” sedia ada.

Rebat tambahan ini ditawarkan kepada penjawat awam serta kakitangan daripada:

  • kementerian kerajaan persekutuan
  • jabatan kerajaan negeri
  • badan berkanun
  • pihak berkuasa tempatan
  • universiti awam
  • agensi kerajaan lain yang diiktiraf

 

Pakej Fabulous 5 yang ditawarkan sebelum ini merangkumi:

  • rebat RM5,000
  • pengecas dinding 7kW dan pengecas mudah alih percuma
  • filem penapis haba premium percuma
  • ansuran serendah RM625/bulan
  • 17 manfaat perlindungan insurans serta perlindungan khusus untuk EV

Kempen rebat tambahan RM3,000 untuk penawat awam ini sah sehingga 30 Jun 2026.

Awal tahun yang lalu, TQ Wuling mengumumkan Bingo EV versi pemasangan tempatan (CKD) hadir dengan ciri bantuan ADAS sebagai ciri standard untuk kedua-dua varian.

Antara ciri ADAS yang dimuatkan termasuklah:

  • Amaran Titik Buta (BSW)
  • Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

Bingo EV turut dilengkapi pengelap cermin automatik, sistem kunci/nyahkunci ketika beredar dan sistem nyahkunci automatik selepas impak.

Tambahan pula, Bingo EV didatangkan dengan enam beg udara, menjadikan Malaysia pasaran pertama menerima konfigurasi ini.

Spesifikasi serta perincian bagi model TQ Wuling Bingo EV boleh dibaca pada PAUTAN INI.

Proton kini tawarkan Saga dan e.MAS 5 dalam skala 1:64

Proton mengumumkan kerjasama dengan Sunway Tiny Toys yang menawarkan dua produk baharu berskala 1:64, iaitu Proton Saga baharu dan Proton e.MAS 5.

Koleksi model miniatur ini dilancarkan sebagai sebahagian daripada inisiatif Cerita Malaysia Kita sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ditawarkan pada harga RM78, kedua-dua model Proton Saga dan Proton e.MAS 5 ini mula ditawarkan di outlet Sunway Tiny Toys di Sunway Lagoon.

Selain itu, rakyat Malaysia juga boleh mendapatkannya menerusi penjual semula rasmi terpilih.

Berikut merupakan warna yang ditawarkan untuk Saga dan e.MAS 5:

  • Saga – Ruby Red & Marine Blue
  • e.MAS 5: Marble Cream & Quartz Rose

Menurut Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa selaku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, “Proton Saga mempunyai tempat yang istimewa di hati rakyat Malaysia.

“Manakala Proton e.MAS 5 pula melambangkan hala tuju baharu yang cukup mengujakan buat Proton serta landskap mobiliti negara.

“Dengan menjadikan kedua-dua kenderaan ini sebagai model skala untuk koleksi, kami berharap dapat membuka satu lagi ruang untuk rakyat Malaysia mendekati Proton.

“Ia bukan sekadar kereta miniatur, sebaliknya mewakili kenangan, aspirasi dan kemajuan yang membentuk perjalanan kami sebagai jenama automotif nasional.”


Proton sebelum ini bekerjasama dengan Mattel untuk menghasilkan model berskala HotWheels Proton Saga generasi pertama.