Chery Tiggo 7 Pro sah akan dilancarkan pada suku kedua 2024
SEMASA pembentangan taklimat perniagaannya di Kuala Lumpur awal hari ini, Chery Malaysia mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan Tiggo 7 Pro ke pasaran tempatan pada suku kedua tahun ini.
SUV lima tempat duduk itu akan menjadi model keempat Chery yang diperkenalkan di Malaysia selepas Omoda 5, Tiggo 8 Pro dan Omoda E5. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Omoda E5 akan dilancarkan pada Mac depan.
Di samping mengesahkan kemasukan Tiggo 7 Pro, Chery Malaysia turut mengambil kesempatan untuk mendedahkan spesifikasi awal untuk model berkenaan.
Tidak seperti Indonesia, di mana Tiggo 7 Pro ditawarkan dengan enjin 1.5-liter turbo, kita akan mendapat enjin 1.6-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 hp dan 290 Nm.
Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.3 saat.
Selain itu, Tiggo 7 Pro juga didatangkan dengan rim aloi 18 inci, bumbung suria panoramik dan penyejuk tempat duduk depan. Menariknya, gambar yang digunakan dalam slaid pembentangan menunjukkan rekaan bampar hadapan yang berbeza dengan unit yang dipratonton tahun lalu.
Sistem infohibur pula merangkumi skrin berkembar berukuran 24.6 inci, Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, serta sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara.
Dari segi keselamatan pula, model tersebut dilengkapi dengan 17 ciri ADAS, iaitu lima ciri lebih banyak berbanding Tiggo 8 Pro. Turut disertakan adalah kamera 540 darjah.
Harga masih belum diumumkan, namun kami menjangkakan Tiggo 7 Pro akan diposisikan betul-betul di antara Omoda 5 (RM108,800 hingga RM118,800) dan Tiggo 8 Pro (RM159,800). Kemungkinan besar ia juga akan dipasang secara tempatan di Kulim, Kedah bersama-sama dengan dua model tersebut.
Hidup ini terlalu singkat untuk bertekak tentang kereta mana yang paling hebat. Pandulah apa sahaja, yang penting anda puas hati.