fbpx

Tular lelaki kutip paku atas jalan, sampai bila hadap perkara sama?

Terdapat pelbagai punca berlaku kemalangan namun, kebanyakannya adalah berpunca daripada sikap manusia. - Foto ihsan Unsplash/Clark Van Der Beken
Terdapat pelbagai punca berlaku kemalangan namun, kebanyakannya adalah berpunca daripada sikap manusia. - Foto ihsan Unsplash/Clark Van Der Beken

SIKAP dua pekerja p-hailing yang sanggup mengutip paku bertaburan di atas jalan raya dua hari lalu mendapat pujian warga maya.

Rata-rata warga maya menyifatkan dua lelaki terbabit sebagai baik hati kerana bersusah payah mengutip paku di tengah jalan raya.

Menerusi video tular di media sosial, kelihatan dua lelaki itu mengutip paku di sebuah persimpangan lampu isyarat.

Pada mulanya, kelihatan seorang daripada lelaki terbabit mengutip paku bertaburan itu.

Kemudian, seorang lagi lelaki tiba dengan menaiki motosikal sebelum turut sama membantu.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan lokasi kejadian berkenaan.

Namun, ada dalam kalangan warga maya mendakwa kewujudan paku terbabit adalah berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu.

Kes tabur paku di jalan raya

Kes tabur paku di atas jalan raya bukan suatu yang baharu.

Terdapat beberapa kes telah dicatatkan sebelum ini yang bukan sahaja membahayakan nyawa penunggang motosikal, malah pengguna jalan raya lain.

Berikut antara kes tabur paku yang pernah berlaku di negara ini:-

Paku di laluan motosikal (2014)

Insiden tabur paku di laluan motosikal pernah dilapor berlaku berhampiran Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Memetik status dikongsi laman akaun Facebook Daily Traffic Report, ada pihak tidak bertanggungjawab sengaja menabur paku di kawasan itu.

Ia dipercayai dilakukan bagi mengaut keuntungan jika terdapat tayar motosikal pancit akibat terlanggar paku berkenaan.

Kelihatan beberapa penunggang motosikal mengutip paku di jalan raya berhampiran Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur
Kelihatan beberapa penunggang motosikal mengutip paku di jalan raya berhampiran Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Paku di Lebuhraya Guthrie (2019)

Beberapa buah kereta ‘tersadai’ di tepi jalan gara-gara terlanggar paku di atas jalan dekat Lebuhraya Guthrie.

Memetik laporan akhbar, terdapat dua kesimpulan dirumuskan terhadap insiden berlaku sama ada paku tersebut ditabur secara sengaja atau tercicir daripada kenderaan lain.

Video kejadian turut tular di media sosial.

Paku di Jalan Skudai – Tampoi (2020)

Insiden paku bertaburan di Jalan Skudai – Tampoi, Johor menyebabkan beberapa tayar kenderaan pancit.

Lebih membahayakan, terdapat kenderaan hampir kemalangan disebabkan kejadian berkenaan.

Berdasarkan kisah dikongsi di Facebook, dua buah kenderaan dilaporkan ‘berpusing’ selepas terlanggar paku berkenaan.

Bagaimana tangani isu tabur paku?

Terdapat pelbagai usaha boleh dilakukan bagi menangani isu tabur paku di jalan raya.

Antara usaha boleh dilakukan termasuk:-

1. Menggunakan penyapu magnet bagi mengutip paku atau serpihan tajam di jalan raya. Negara jiran Indonesia antara menggunakan kaedah ini yang dilihat amat berkesan.

2. Rondaan secara berjadual oleh pihak berkuasa yang ditugaskan khusus memantau keadaan jalan raya.

3. Penguatkuasaan undang-undang. Individu bersalah menyebabkan khianat perlu dikenakan hukuman setimpal termasuk penjara dalam satu tempoh yang lama.

4. Tubuhkan jabatan khas bagi melakukan siasatan menyeluruh membabitkan kes khianat di jalan raya.

5. Gunakan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan hotspot dan memperbanyakan pemasangan lampu jalan di kawasan gelap.

Justeru, pihak berkuasa dan orang ramai perlu sama-sama menangani masalah ini.

Tindakan membuang paku di jalan raya bukan sahaja membahayakan nyawa malah, melanggar etika sebagai rakyat yang berguna.

Jika anda terlihat insiden menabur paku atau lain-lain objek berbahaya di jalan raya, segera laporkan kepada pihak berkuasa.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved