fbpx

Scam jual kereta, lelaki kongsi pengalaman ‘ngeri’ hampir tertipu

211214-tipu-kereta.jpg
Sindiket penipuan jual kereta sering memaparkan pelbagai model kenderaan mewah termasuk Lamborghini. - Foto ihsan Facebook/Syamay Samsudin

MEMILIKI kereta idaman tidak dinafikan adalah suatu yang amat menyeronokkan sama ada ia merupakan kenderaan baharu atau terpakai.

Namun, rasa teruja itu kadangkala membuatkan ramai kalangan kita lalai dan seterusnya tertipu ketika membeli kereta.

Penulis terpanggil untuk menyiarkan artikel ini selepas terbaca status dimuatnaik seorang pengguna media sosial di Facebook.

Pemilik akaun Facebook Syamay Samsudin berkata, dirinya amat meragui dengan iklan jualan kenderaan di laman sosial yang rata-rata meletakkan harga terlalu rendah.

Syamay pada masa sama mengaku hampir pernah menjadi mangsa penipuan sindiket jual kenderaan di internet selepas terpedaya dengan harga jualan terlalu murah.

“Saya sendiri hampir terkena dah…siap marah kat bini sendiri.

“Bila dia nasihat ‘jangan percaya abang’, nasib baik saya semak di internet dan jumpa blog tentang mereka (mangsa) yang pernah ditipu,” katanya.

Terdahulu, Syamay mendakwa antara modus operandi digunakan sindiket jual kenderaan di internet adalah dengan meletakkan harga terlalu rendah.

Pada masa sama, sindiket turut ‘mengiklankan’ model kereta mewah yang kebanyakan sukar diperoleh di pasaran negara ini.

“Semoga (nasihat) sedikit usaha kita membantu kawan-kawan kita daripada ‘jatuh cinta’ dengan ‘janda lawa’ Type R, M3, AMG, Mustang GT, Vellfire pada harga mampu milik.

“Kita tanya diri kita sendiri kalau kereta idaman murah macam ni legal pulak tu guna di Malaysia?

“Takkan depa tak reti bawak masuk sendiri jual kat kita di Malaysia atau bawak masuk used car depa sendiri?” katanya lagi.

Kenderaan mewah keluaran BMW sering dijadikan 'modal' penipuan sindiket jual-beli kenderaan. - Foto hiasan ihsan BMW
Kenderaan mewah keluaran BMW sering dijadikan ‘modal’ penipuan sindiket jual-beli kenderaan. – Foto hiasan ihsan BMW

Nasihat daripada PDRM

Sebelum ini, polis mendedahkan kes penipuan membabitkan penjualan kereta secara dalam talian meningkat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berkata, 461 kes penipuan dilaporkan sepanjang tempoh lima bulan (sehingga Jun) membabitkan kerugian RM5.43 juta, lapor Berita Harian.

Datuk Mohd Kamarudin Md Din turut menasihati orang ramai mengambil langkah pencegahan sebelum membuat sebarang pembelian kenderaan secara dalam talian.

Pihak polis sentiasa memantau aktiviti sindiket menipu orang awam. - Foto hiasan ihsan Instagram/JSPT PDRM
Pihak polis sentiasa memantau aktiviti sindiket menipu orang awam. – Foto hiasan ihsan Instagram/JSPT PDRM

Berikut antara tips boleh diamalkan bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan jual-beli kenderaan di internet.

1. Semak harga kenderaan

Pastikan semak harga kenderaan ingin dibeli di platform atau aplikasi jual-beli kenderaan lain. Terdapat banyak aplikasi yang boleh anda muat turun.

Paling tidak anda boleh ke pusat jualan kenderaan terpakai dan bandingkan harga kenderaan ingin dibeli.

Jika harganya terlalu rendah, tidak mustahil ia adalah satu sindiket penipuan.

2. Selidik latar belakang penjual

Kenderaan yang anda ingin beli sudah pasti bukan murah harganya walaupun tidak semahal di pasaran.

Jadi, jangan malas dan lakukan sedikit usaha menyemak latar belakang penjual kenderaan tersebut. Jika boleh, dapatkan nasihat daripada pihak lebih arif mengenai hal ini.

3. Jangan ikut nafsu

Tidak dinafikan ramai kalangan kita ‘gelap mata’ melihat kereta idaman dijual dengan harga terlalu rendah.

Apa yang penting di sini buat penilaian serta keputusan berdasarkan fakta dan fikiran waras. Kebiasaan mereka ditipu kerana terlalu ikutkan nafsu membeli.

4. Guna platform dipercayai

Terdapat banyak aplikasi dan platform jual-beli yang sah di media sosial. Terus hubungi penjual dan tetapkan masa untuk bertemu bagi memeriksa kenderaan ingin dibeli.

Jadi, kenapa perlu membeli dengan pihak yang belum pasti ketulenannya?

Secara kesimpulan, semoga kita semua terhindar daripada menjadi mangsa penipuan bukan sahaja ketika membeli kenderaan tetapi dalam semua situasi.

Apa yang penting, terus cakna dan berhati-hati kerana di luar sana banyak si penipu yang ingin mengambil kesempatan.

Amalkan tiga ‘S’ (Semak, Selidik dan Sah) sebelum membeli ya!

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved