Arkib Tag: xv

Subaru XV crossver paling pentingkan diri sendiri – Pandu uji

PENTINGKAN diri sendiri tidak semestinya bermaksud sesuatu yang negatif. Kadang-kadang ia juga boleh menjadi sesuatu yang baik. Di saat crossover lain menekankan praktikaliti dan keluasan, ada sebuah crossover ini mementingkan perkara lain seperti pengendalian.

Perkenalkan Subaru XV, dan ia ‘mengorbankan’ ruang kargonya untuk pengendalian yang mantap dan seimbang. Pentingkan diri sendiri? Anda tentukan.

Nanti penulis akan ceritakan dengan lebih lanjut bab ini.

Sebelum itu, sedikit latar belakang mengenai Subaru XV. Model yang penulis pandu ini merupakan versi facelift, dan varian tertinggi iaitu 2.0i-P.

Mengapa Subaru XV?

Ia berharga RM131,788 iaitu pada harga antara paling popular dan kompetitif di pasaran Malaysia, tetapi untuk unit ini dengan kit GT Edition, berharga RM146,788. Di julat harga RM120,000 hingga RM150,000, anda ada model-model seperti Honda HR-V, Hyundai Kona, Toyota Corolla Cross, Mazda CX-3, Peugeot 2008, dan banyak lagi.

Tak lupa juga model-model berlainan segmen seperti Proton X70 yang lebih besar, pelbagai trak pikap, dan beberapa sedan segmen-C seperti Honda Civic dan Toyota Corolla.

Jadi, mengapa anda melihat kepada Subaru XV? Jika anda tidak selalu memerlukan ruang yang besar, sering masuk ke laluan off-road separa-mencabar, dan mahukan pengendalian paling seimbang, teruskan membaca.

Silap mata Symmetrical AWD dan enjin Boxer

Ciri utama pada XV ialah sistem pacuan semua-roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive (AWD). Tidak seperti sistem-sistem lain dimana kotak gear tidak berada di tengah kenderaan, panjang drive-shaft berbeza di kiri dan kanan, sistem AWD Subaru ini seimbang kiri dan kanan.

Enjin bentangan Boxer pada XV ini dipadankan kotak gear di belakangnya dan disambung terus kepada sistem pacuan yang sangat simetri jika dilihat dari atas. Ini bermakna, segala penghantaran kuasa di kiri dan kanan adalah sama, begitu juga dengan agihan berat.

Ditambah lagi dengan enjin Boxer itu sendiri yang leper dan rendah, membantu merendahkan pusat graviti kenderaan. Hasilnya, pengendalian Subaru XV ini cukup luar biasa, terutamanya semasa menukar arah dan mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Dan tidak seperti crossover lain dalam pasaran yang hanyalah menggunakan pacuan roda depan, Subaru dengan sistem AWD ini bermakna ia mempunyai sistem suspensi belakang yang lebih rumit dan memakan ruang.

Ia terdapat sistem pacuan, differential di belakang, dan juga suspensi independent yang menjadikan lantai di ruang kargo belakang agak tinggi dan tidak begitu besar. Mahu lebih ruang semasa pergi berkhemah? Boleh sahaja tambah tong atau kargo di atas bumbung.

Rupa rugged yang sejati

Kita bercerita mengenai rupa pula. Penulis rasakan rugged merupakan tema keseluruhan XV ini kerana rekabentuk luarannya juga begitu rugged. Bampar depan dan belakang, cladding pada sekeliling kenderaan dan rak bumbung membuatkan XV ini sedia meredah laluan mencabar bila-bila masa.

Tetapi tidaklah terlalu hardcore seperti kenderaan untuk Borneo Safari. Subaru XV ini masih nampak bergaya untuk dipandu dalam bandar seperti ke tempat kerja atau minum kopi hujung minggu.

Apa pun, Subaru XV ini secara amnya sebuah crossover yang nampak agak dinamik dengan badan yang sedikit rendah.

Di bahagian dalam, penulis rasakan ianya biasa-biasa sahaja, bukanlah kabin paling cantik dalam segmennya jika hendak berkata jujur. Ia masih selesa dan luas, serta bahan yang digunakan di sini bersesuaian dengan fungsi XV ini. Jahitan oren pada tempat duduk, stereng dan papan pemuka cukup unik dan agak cantik.

Satu perkara yang wajib diceritakan di sini ialah skrin paparan tambahan di atas skrin infotainmen di tengah. Skrin memanjang ini menunjukkan maklumat tambahan seperti sudut dongakan kereta, agihan kuasa pada tayar, suhu minyak, EyeSight, dan peratusan pedal minyak.

Pemanduan serba boleh

Penulis sebenarnya cukup kagum bagaimana jurutera Subaru berjaya membuatkan XV ini serba boleh pemanduannya. Di jalan kasar, ia mampu menyerap dengan baik, kemudian apabila melalui selekoh-selekoh di jalan rata, suspensinya seolah-olah mengeras untuk kawalan badan stabil.

Ibarat ia mampu melembut dan mengeras sendiri apabila diperlukan, padahal tiada sistem elektronik atau adaptif pada suspensinya.

Kemudian transmisinya menggunakan CVT, tetapi CVT pada Subaru ini yang bersifat paling natural yang pernah penulis uji. Hampir tiada langsung rasa slip atau gelinciran semasa memecut dengan mendadak dan ‘pertukaran gear’ juga boleh terasa, tiada ngauman kurang enak didengar.

Berbaloi?

Seperti dinyatakan di atas, jika anda mementingkan aspek pemanduan dan memerlukan kemampuan AWD untuk aktiviti lasak, Subaru XV ini sangat berbaloi dicuba.

Cuma pilih varian 2.0i-P sudah cukup, bagi penulis tidak perlu sangat pakej GT Edition melainkan anda ada bajet lebih dan mahu membuatkan XV anda lebih menyerlah.

Spesifikasi Subaru XV 2.0i-P GT Edition

Harga: RM146,788
Enjin: 2.0-liter 4-silinder Boxer, naturally-aspirated
Kotak gear: CVT Lineartronic 7-kelajuan
Kuasa: 154hp @ 6,000rpm
Tork: 196Nm @ 4,000rpm

Subaru Crosstrek 2023 diperkenalkan – nama XV tidak lagi digunakan

SUBARU telah memperkenalkan Crosstrek generasi baharu di Jepun. Dengan model generasi ketiga ini, nama XV yang digunakan di beberapa pasaran termasuk Malaysia telah digugurkan, bermakna ia akan dikenali sebagai Crosstrek di peringkat global.

Untuk model tahun 2023, SUV kompak ini masih lagi mengguna pakai platform Subaru Global Platform (SGP) namun ia diberikan reka bentuk yang lebih segar, pengendalian lebih selesa serta beberapa teknologi baharu termasuk trenkuasa hibrid.

Dari segi saiz, model baharu ini mempunyai ukuran panjang 4,480 mm, lebar 1,800 mm dan tinggi 1,580 mm, menjadikan ia 15 mm lebih panjang dan 35 mm lebih rendah berbanding model sedia ada. Panjang tapak roda pula bertambah sebanyak 5 mm kepada 2,670 mm.

Sementara itu, jarak lega tanah adalah 200 mm, manakala radius pusingan adalah sekitar 5.4 meter.

Perubahan terbesar reka bentuk Crosstrek boleh dilihat pada bahagian depan, di mana ia mendapat gril heksagon lebih besar yang bersambung dengan lampu LED yang lebih langsing, serta kemasan plastik hitam berbentuk C pada bampar.

Profil sisinya tidak begitu berbeza, cuma ia diserlahkan lagi dengan kemasan plastik hitam seperti yang terdapat pada WRX dan pilihan rim aloi berukuran 17 atau 18 inci. Di belakang, lampu berbentuk C dan pintu tailgate diberikan rekaan yang lebih menonjol.

Masuk ke dalam, anda akan menemui papan pemuka yang direka semula bagi memuatkan skrin sistem infohibur berukuran 11.6 inci yang disusun dalam format potret. Bagaimanapun, ia masih tidak mendapat kluster instrumen digital.

Selain itu, Crosstrek didatangkan dengan kerusi baharu yang dikatakan lebih selesa dengan fungsi sokongan tulang pinggul. Struktur tapak kerusi juga telah direka semula bagi mengurangkan gegaran, sekaligus meningkatkan keselesaan.

Subaru turut menggunakan bahan penyerap gegaran pada panel bumbung bagi mengurangkan tekanan bunyi yang terhasil daripada gegaran dan meningkatkan prestasi redaman bunyi di dalam kabin.

Di bawah bonet, terdapat enjin hibrid 2.0-liter e-Boxer yang digandingkan dengan transmisi Lineatronic CVT dan sistem pacuan AWD Symmetrical. Jumlah kuasa dan tork tidak didedahkan namun menurut Subaru, trenkuasa itu telah ditambah baik bagi mengurangkan gegaran dan bunyi bising.

Untuk keselamatan pula, Crosstrek mendapat sistem EyeSight generasi baharu yang menggunakan perisian baharu dan kamera mono sudut lebar yang boleh mengesan motosikal dan pejalan kaki.

Subaru XV facelift 2022 kini dengan EyeSight, harga dari RM140k

MULA membuat kemunculan pertama rantau ini di Thailand, Subaru XV facelift kini tiba di Malaysia. Antara naiktaraf ketara kali ini adalah pakej sistem keselamatan termaju EyeSight yang diberikan buat pertama kali untuk crossover ini.

Dengan itu, maka lengkaplah empat cabang Subaru pada XV ini iaitu enjin Boxer, Symmetrical All-Wheel Drive, Subaru Global Platform, dan EyeSight.

Subaru XV facelift dijual pada harga seperti berikut:

Subaru XV 2.0i-P EyeSight: RM139,788
Subaru XV 2.0i-P EyeSight GT Edition: RM146,788

Jadi, pakej EyeSight memberikan fungsi seperti Pre-Collision Braking, Pre-Collision Throttle Management, Adaptive Cruise Control, Lead Vehicle Start Alert, Lane Departure Warning dan Lane Sway Warning.

Perubahan lain pada XV facelift ini adalah dari segi rupa, dimana crossover ini mendapat gril, bampar dan rim 17-inci rekaan baharu.

Di dalam juga ada sedikit perubahan iaitu tempat duduk pemandu dengan pelarasan berkuasa 8-arah dan memori, serta penggera tali pinggang keledar.

Ciri lain dikekalkan seperti lampu depan LED, keyless entry, tempat duduk balutan kulit dengan jahitan oren, sistem infotainmen Panasonic dengan skrin 8-inci, Apple CarPlay dan Android Auto, serta tujuh beg udara.

Dari segi mekanikal juga tiada perubahan. Jadi Subaru XV masih menggunakan enjin 2.0-liter FB20 naturally-aspirated 4-silinder dengan bentangan Boxer. Enjin ini menjana 156hp dan 196Nm, dan kuasa dihantar ke semua roda melalui kotak gear CVT Lineartronic dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive.

Enam warna ditawarkan untuk Subaru XV facelift ini: Crystal Black Silica, Magnetite Grey Metallic, Ice Silver Metallic, Dark Blue Pearl, Pure White dan Cool Grey Khaki.