Arkib Tag: Waja

Saat Proton pernah disumbat enjin ‘VTEC Malaysia’ – Imbas Engear

SEBENARNYA dalam industri automotif negara kita, banyak yang boleh dibanggakan. Antaranya ialah Petronas E01 yang penulis rasa tak ramai antara kita tahu, lebih-lebih lagi generasi TikTok.

Sebelum Proton CamPro, Petronas E01 merupakan program pembinaan enjin sendiri yang pertama Malaysia, bermula pada 1997. Ianya tidak pernah diproduksikan untuk pengguna biasa.

Jadi, takhta untuk enjin pertama yang dibangunkan dalam negara pergi kepada CamPro yang mula dikeluarkan pada 2004.

E01 menunjukkan banyak potensi, tambahan lagi pembangunannya melibatkan pasukan Formula Satu (F1) Sauber-Petronas. Jadi, apa yang sebenarnya berlaku? Mari kita imbas sedikit.

Formula baharu

Penyertaan Petronas dalam F1 pada 1995 merupakan sebuah usaha untuk memperkenalkan namanya sebagai syarikat petroleum Malayaisa di persada dunia dan untuk mengembangkan perniagaan lebih dari sekadar menjual minyak.

Tahun 1995 nama dan logo Petronas mula terpahat pada kereta-kereta lumba Sauber.

Pasukan ini bukanlah yang teratas dalam F1 seperti Ferrari, McLaren atau Williams, tetapi ia tetap satu pencapaian membanggakan bagi rakyat Malaysia untuk melihat jenama mereka pada kereta-kereta lumba terpantas di dunia.

Penajaan Petronas kemudiannya menjadikan syarikat ini sebagai pembekal enjin kepada pasukan Switzerland ini pada 1997.

Tahun 1997 juga bermulanya pembangunan projek enjin komersial pertama Malaysia – dikira “enjin nasional”. Seramai 15 jurutera Petronas terlibat dalam projek ini bersama pasukan dari Sauber, dan pembangunan dilakukan di Switzerland dan Malaysia.

Pembangunannya terbahagi kepada dua fasa dimana jurutera-jurutera Petronas telibat sepenuhnya dalam analisis dan reka bentuk enjin. Pada Februari 1998, upacara menghidupkan enjin diadakan diikuti dengan ujian di litar Pasir Gudang empat bulan kemudian.

Prestasi dan versatiliti

Pada bahagian akhir Fasa A, dua buah Lotus Elise Series I dipasang dengan enjin Petronas E01. Enjin ini mempunyai spesifikasi 2.0-liter suntikan bahan api, naturally-aspirated, 4-silinder, dengan kemampuan menjana 204.3hp pada 7,300rpm dan 203Nm tork pada 5,300rpm.

Ianya dibina dari aluminium dan mempunyai sistem Variable Valve Timing (VVT), jadi beratnya hanya sekitar 108.9kg. Angka-angka ini bermakna jurutera Petronas berjaya melepasi sasaran mereka iaitu output 200hp/200Nm dan berat 120kg.

Dilihat pada output dan karakteristiknya, ramai yang tidak dapat mengelak dari membandingkan enjin E01 ini dengan K20A Honda. Malah ada yang menggelarnya VTEC Malaysia, memandangkan output lebih 200hp pada sesaran 2.0-liter yang dikeluarkan itu.

Tapi harus diingat, matlamat lain enjin ini ialah untuk menjadi versatil, bukan berkuasa semata-mata. E01 boleh dipasang condong 15 darjah ke depan atau ke belakang dalam ruang enjin. Untuk membuktikannya, enjin ini kemudiannya telah dipasang pada Proton Perdana, Satria GTi dan Waja.

Enjin ini juga boleh dikonfigurasikan menjadi 1.8- atau 2.2-liter. Ia menandakan era baharu dalam industri automotif negara, tetapi seperti pencapaian-pencapaian lain, terdapat halangan di depan menanti E01.

Tiada sokongan

Hakikat bahawa sebuah syarikat minyak seperti Petronas mampu menghasilkan enjin sebegitu berkuasa sedikit-sebanyak memberi tempias kepada Proton. Pengeluar kereta nasional pertama itu telah me-rebadge kereta Mitsubishi dan menggunakan teknologinya selama lebih 10 tahun pada masa itu.

Walaupun E01 mungkin seperti satu pilihan realistik untuk siri model-model berprestasi tinggi Proton dan beberapa model telah dipinjamkan kepada Petronas semasa peringkat prototaip, pengeluar itu nampaknya menolak tawaran Petronas. Sebaliknya, mereka memilih enjin mereka sendiri.

Kereta-kereta Proton dengan enjin E01 telah digunakan untuk acara-acara istimewa termasuklah menjadi marshal untuk beberapa perlumbaan F1 Malaysian Grand Prix.

Perkembangan agak suram mengenai enjin ini menjelang millennium. Proton menolak, Perodua pula tidak nampak seperti berminat mengambilnya. Maka Petronas mula mencari pembeli dari luar negara.

Pada 2005, gergasi minyak itu berjaya mencari pembeli paten E01. Sebuah Letter of Intent (LOI) dibuat antara Petronas dengan pengeluar kereta China Nanjing Automobile Corporation (NAC) dan Brilliant Culture Group (BCG) Limited.

Tetapi setahun kemudian, Proton pula mula menyedari mengenai E01 ini, maka mereka menandatangani MoU (perjanjian persefahaman) dengan Petronas.

Tutup ‘buku’

Sejajar peradaran masa, Petronas semakin kurang memfokus kepada pembangunan enjin. Sejak pengenalan E01, syarikat minyak itu juga telah menghasilkan satu-satunya superbike, iaitu Petronas FP1 selain dilaporkan membangunkan enjin turbo berkapasiti 2.0- dan 2.2-liter.

Selepas pasukan Sauber F1 dibeli oleh BMW pada 2006, Petronas kekal sebagai penaja utama sehingga 2010 semasa pengeluar kereta Jerman itu menarik diri sepenuhnya. Petronas juga menutup divisyen pembangunan enjin mereka dengan semua paten telah dijual kepada Proton.

Era dengan Proton 

Pembelian paten E10 oleh Proton dilaporkan bernilai RM63 juta pada 2012, terdiri dari tujuh teknologi enjin berserta 117 teknologi lain.

Enjin itu sepatutnya melalui beberapa talaan khasnya untuk memastikan ia menepati piawaian Euro 6C baharu pada masa itu, kerana E01 hanya mencapai standard Euro 2.

Proton asalnya merancang mengeluarkan beberapa enjin baharu berasaskan E01 pada 2017 tetapi ianya terbantut selepas diambil-alih oleh Geely.

Kisah E01 tidak berakhir di situ, pada 2020, menurut Wapcar, isu enjin ini timbul kembali susulan dari lelongan melibatkan warisan sukan permotoran Proton. Beberapa model Proton dan Lotus yang dipasang enjin E01 kemudiannya ditarik dari lelongan.

Menarik untuk kita kenang kembali bagaimana E01 membawa potensi untuk mengubah landskap automotif negara. Tetapi sayang, tiadanya sokongan dari rakan industri membuatkan hasrat kita untuk melihat VTEC Malaysia tidak kesampaian.

Kredit gambar: KP Gasket Blogspot, Mekanika, Facebook Norhelmi Mohd Nor

Lima ‘besi lama’ Proton bawah RM5,000 yang masih berbaloi dimiliki

SEJAK Proton memasarkan model Saga lebih 36 tahun yang lalu, terdapat ratusan ribu kenderaan keluaran syarikat itu di negara ini.

Apa yang lebih membanggakan kenderaan keluaran Proton juga telah berkelana di beberapa buah negara termasuk United Kingdom, Brunei, Pakistan dan banyak lagi.

Walaupun Proton makin berkembang dengan pelbagai model kenderaan terkini namun, tidak dinafikan masih ada yang mencari produk terdahulu syarikat tersebut.

Artikel kali ini, Engear ingin senaraikan lima jenis kenderaan Proton yang berharga RM5,000 ke bawah.

Jom kita check it out!

Proton Iswara LMST

Foto ihsan Wikipedia

Proton mula memperkenalkan model Iswara LMST sekitar tahun 2003 sehingga 2008.

Iswara LMST suatu ketika amat popular di negara ini bukan sahaja kerana harganya mampu milik tetapi lebih penting sangat kukuh untuk ‘membelah’ jalan raya.

Hasil carian Engear di internet mendapati model ini masih boleh didapati dan lebih penting harganya sangat berbaloi.

Sebuah Proton Iswara LMST tahun 2006 boleh dibeli pada harga RM4,499 dan jangan terkejut, kereta ini masih mampu ‘perform’ dengan baik ya!

Proton Tiara

Foto ihsan Wikipedia

Nama Proton Tiara pernah popular suatu masa dahulu memandangkan ia juga amat sesuai untuk perlumbaan rally.

Menggunakan enjin Renault, model ini sangat tahan lasak walaupun rata-rata takut dengan statusnya yang menggunakan enjin syarikat continental itu.

Sebuah Tiara tahun 1997 kini boleh didapati pada harga serendah RM2,500 di internet.

Jadi, jika anda berminat jadikan kereta ini sebagai hobi rally di mana-mana ladang kelapa sawit mungkin boleh pertimbangkan memiliki sebuah Tiara.

Proton Savvy

Foto ihsan Wikipedia

Satu lagi model Proton menggunakan enjin Renault adalah Proton Savvy.

Tidak dinafikan memang ‘sedap’ memandu Savvy terutama daripada segi kawalan stereng dan daya pecutan.

Bagaimanapun, ramai juga takut dengan kereta ini yang menggunakan transmisi gear jenis AMT.

Ramai beranggapan transmisi AMT memerlukan kos baiki agak tinggi jika berlaku sebarang masalah.

Setakat ini, sebuah Savvy boleh didapati dengan harga RM3,600 sahaja.

Proton Waja

Foto ihsan Wikipedia

Kukuh, laju dan jimat.

Itu tiga perkataan dapat digambarkan bagi model Proton Waja 1.8 Premium.

Model ini dikatakan mempunyai kawalan sangat baik walaupun dipandu dengan kelajuan tinggi.

Bagaimanapun, segelintir Waja dikatakan sering berdepan masalah suspensi belakang apabila kenderaan terbabit terlanggar lopak atau lubang di jalan raya.

Untuk sebuah Waja 1.8 Premium tahun 2002, anda boleh miliki pada haraga serendah RM4,500.

Proton Perdana V6

Foto ihsan Wikipedia

Proton Perdana V6 dikeluarkan pada tahun 1998 sehingga 2010.

Model ini amat sesuai bagi mereka yang kerap berada di atas jalan atau sering ke luar kawasan.

Apa tidaknya, model ini agak besar dan sesuai untuk kegunaan mereka yang berkeluarga.

Sebuah Proton Perdana V6 boleh didapati pada harga RM4,599 dan jika anda bernasib baik silalah bargain serendah mungkin.

Itu lima jenis model keluaran Proton berharga RM5,000 ke bawah.

Nak tahu ulasan lebih lanjut sila tonton video bersama host Engear Syamsul Yunos di platform media sosial terpilih.

Chiow!

Proton Waja MME yang rare ini mencari pemilik baharu, beli sekarang!

INI sebuah kereta yang jarang naik di iklan jualan, iaitu sebuah Proton Waja. Bukan sebarangan Waja, tetapi edisi MME!

Ya betul, sebuah Proton Waja MME Edition ini sedang mencari pemilik baharu. Rare ke? Hanya 200 unit pernah dihasilkan dan kita tidak tahu berapa banyak yang tinggal. Ini juga mungkin peluang terakhir anda untuk memiliki antara model Proton R3 yang paling hensem.

Menurut pemiliknya, Shazwan, kereta ini telah diminati sejak zaman kolej dan setelah membelinya pada 2019, dia telah merestorasi secara menyeluruh ke keadaan asal. Ia telah dicat semula, mendapat balutan stereng baharu, lampu depan HID original baharu, dan mendapat brek slotted berserta pelapik brek Brembo.

Cuma sekarang kereta ini jarang dipandu, jadi Shazwan ingin ‘melepaskannya’ kepada pemilik baharu. Dengan keadaan kereta tiptop sebegini, kami yakin pemilik baharu boleh terus ‘cuci tangan’.

Proton pada 2005 telah menjuarai Merdeka Millennium Endurance (MME) dengan jentera Lotus Exige 300R. Jadi sebagai meraikan kemenangan itu, mereka mengeluarkan Waja dan Gen2 edisi khas MME.

Hanya 200 unit dihasilkan setiap satu, dan hadir dengan kotak gear manual sahaja. Waja ditawarkan dengan warna istimewa Deep Burgundy, manakala Gen2 hadir dengan pilihan warna merah dan hitam.

Waja dan Gen2 MME masing-masing dapat banyak aksesori dan komponen prestasi R3 seperti tombol gear R3, karpet R3, kabel plug prestasi, ekzos R3, rim R3 16-inci, brek cakera R3, dan pemain CD dengan Bluetooth dan MP3. Waja dilengkapi lampu HID pertama kali untuk model Proton.

Kedua-dua Waja MME dan Gen2 MME dikuasakan oleh enjin CamPro 1.6-liter yang telah ditala menjadi 122hp (12hp lebih dari enjin biasa).

Proton Waja MME milik Shazwan ini mempunyai perbatuan sekitar 140,000km tetapi meternya telah ditukar kepada model CPS. Harga dipinta RM23,000 dan masih boleh bincang. Jika berkenan, boleh ke Facebook beliau atau terus hubungi 016-3948384. Apa tunggu lagi?

Lelaki maut kereta meletup di Kota Bharu, bagaimana mercun jadi punca?

SEORANG lelaki maut selepas kereta dinaiki meletup secara tiba-tiba dalam satu kejadian di Kota Bharu, semalam.

Lelaki berusia 50-an itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian selain mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan.

Siasatan awal mendapati terdapat mercun di dalam kereta jenis Proton Iswara dipandu mangsa.

“Mayat mangsa tercampak kira-kira 20 meter dari kenderaannya dan terputus beberapa anggota badan termasuk kedua-dua belah kaki,” kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Sementara itu, empat lagi mangsa berada berhampiran lokasi kejadian turut tercedera.

Antara mangsa cedera parah termasuk seorang anggota polis yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan-Bahan Letupan 1957.

Letupan gegar kawasan sekitar

Terdahulu, insiden letupan menyebabkan cermin bangunan sebuah tadika dan masjid yang terletak 100 meter dari lokasi kejadian pecah.

Insiden turut menyebabkan kereta jenis Proton Iswara dipandu mangsa terputus dua selain dijilat api.

Selain kereta Proton Iswara mangsa, lima kenderaan lain turut rosak akibat kejadian itu termasuk sebuah Proton Waja yang terbakar teruk.

Susulan insiden itu, enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim dan BBP Tunjong dikejarkan ke lokasi.

Isteri mangsa maut pasrah

Sementara itu, isteri kepada lelaki yang maut akibat insiden letupan kenderaan di Kota Bharu semalam pasrah dengan kejadian terbabit.

Faridah Husin, 49, berkata suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, arwah sering kali berulang-alik setiap petang dari Kampung Sireh ke Kampung Kota kerana mereka sekeluarga akan berpindah rumah tidak lama lagi.

Insiden letupan itu merupakan pertama kali seumpamanya di kawasan itu.

Memetik laporan Bernama, insiden turut menyebabkan kerugian kepada peniaga restoran berhampiran kawasan letupan.

Mercun Bola antara jenis mercun yang popular di negara ini yang dipercayai sering dibawa masuk dari negara jiran.

Mercun punca letupan?

Setakat ini, siasatan penuh kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Namun, siasatan awal mendapati terdapat mercun di dalam kenderaan mangsa yang dipercayai menjadi punca kepada letupan berkenaan.

Umum mengetahui bahawa mercun merupakan sejenis perkakas letupan kecil yang direka bagi menghasilkan dentuman kuat.

Mercun diharamkan di kebanyakan negara termasuk Malaysia selepas terdapat bilangan kes kemalangan tinggi membabitkan bahan letupan itu.

Larangan penggunaan mercun termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991.

Secara am, proses pembakaran memerlukan tiga komponen iaitu oksigen, bahan bakar dan haba.

Mercun yang dibakar melalui sumbu akan membekalkan haba sebelum membentuk tindak balas kimia bagi menghasilkan letupan.

Gas oksigen akan terhasil dengan kadar cepat dalam sarung mercun yang tertutup apabila menerima haba yang mencukupi.

Berikut merupakan tindak balas redoks dalam pembakaran mercun yang dipetik daripada laman web Root of Science.

Penurunan/ Reduction (thermal decomposition reaction):
2KNO3 (solid)+tenaga→ 2KNO2 (solid)+ O2 (gas)

Pengoksidaan/ Oxidation (combustion):
C (solid)+ O2 (gas)→ CO2 (gas)+tenaga
S (solid)+ O2 (gas) → SO2 (gas)+tenaga

Bagaimanapun, orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berhubung insiden letupan kenderaan di Kota Bharu, semalam.

Sebarang siasatan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa dalam mencari punca berlaku insiden tersebut.

Kami di EnGear mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat.