fbpx

Lelaki maut kereta meletup di Kota Bharu, bagaimana mercun jadi punca?

Lima kenderaan rosak teruk termasuk sebuah Proto Iswara terbelah dua dalam satu kejadian letupan di Kota Bharu, semalam
Lima kenderaan rosak teruk termasuk sebuah Proto Iswara terbelah dua dalam satu kejadian letupan di Kota Bharu, semalam.

SEORANG lelaki maut selepas kereta dinaiki meletup secara tiba-tiba dalam satu kejadian di Kota Bharu, semalam.

Lelaki berusia 50-an itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian selain mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan.

Siasatan awal mendapati terdapat mercun di dalam kereta jenis Proton Iswara dipandu mangsa.

“Mayat mangsa tercampak kira-kira 20 meter dari kenderaannya dan terputus beberapa anggota badan termasuk kedua-dua belah kaki,” kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Sementara itu, empat lagi mangsa berada berhampiran lokasi kejadian turut tercedera.

Antara mangsa cedera parah termasuk seorang anggota polis yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan-Bahan Letupan 1957.

Letupan gegar kawasan sekitar

Terdahulu, insiden letupan menyebabkan cermin bangunan sebuah tadika dan masjid yang terletak 100 meter dari lokasi kejadian pecah.

Insiden turut menyebabkan kereta jenis Proton Iswara dipandu mangsa terputus dua selain dijilat api.

Selain kereta Proton Iswara mangsa, lima kenderaan lain turut rosak akibat kejadian itu termasuk sebuah Proton Waja yang terbakar teruk.

Susulan insiden itu, enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim dan BBP Tunjong dikejarkan ke lokasi.

Isteri mangsa maut pasrah

Sementara itu, isteri kepada lelaki yang maut akibat insiden letupan kenderaan di Kota Bharu semalam pasrah dengan kejadian terbabit.

Faridah Husin, 49, berkata suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, arwah sering kali berulang-alik setiap petang dari Kampung Sireh ke Kampung Kota kerana mereka sekeluarga akan berpindah rumah tidak lama lagi.

Insiden letupan itu merupakan pertama kali seumpamanya di kawasan itu.

Memetik laporan Bernama, insiden turut menyebabkan kerugian kepada peniaga restoran berhampiran kawasan letupan.

210522-mercun-berita.jpg
Mercun Bola antara jenis mercun yang popular di negara ini yang dipercayai sering dibawa masuk dari negara jiran.

Mercun punca letupan?

Setakat ini, siasatan penuh kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Namun, siasatan awal mendapati terdapat mercun di dalam kenderaan mangsa yang dipercayai menjadi punca kepada letupan berkenaan.

Umum mengetahui bahawa mercun merupakan sejenis perkakas letupan kecil yang direka bagi menghasilkan dentuman kuat.

Mercun diharamkan di kebanyakan negara termasuk Malaysia selepas terdapat bilangan kes kemalangan tinggi membabitkan bahan letupan itu.

Larangan penggunaan mercun termaktub di dalam Akta Bahan Letupan pindaan tahun 1991.

Secara am, proses pembakaran memerlukan tiga komponen iaitu oksigen, bahan bakar dan haba.

Mercun yang dibakar melalui sumbu akan membekalkan haba sebelum membentuk tindak balas kimia bagi menghasilkan letupan.

Gas oksigen akan terhasil dengan kadar cepat dalam sarung mercun yang tertutup apabila menerima haba yang mencukupi.

Berikut merupakan tindak balas redoks dalam pembakaran mercun yang dipetik daripada laman web Root of Science.

Penurunan/ Reduction (thermal decomposition reaction):
2KNO3 (solid)+tenaga→ 2KNO2 (solid)+ O2 (gas)

Pengoksidaan/ Oxidation (combustion):
C (solid)+ O2 (gas)→ CO2 (gas)+tenaga
S (solid)+ O2 (gas) → SO2 (gas)+tenaga

Bagaimanapun, orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berhubung insiden letupan kenderaan di Kota Bharu, semalam.

Sebarang siasatan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa dalam mencari punca berlaku insiden tersebut.

Kami di EnGear mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved