fbpx

Rentas negeri dan daerah, berapa ‘nilai’ harga diri kita?

Tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) di sempadan setiap negeri. - Foto ihsan Malay Mail
Tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) di sempadan setiap negeri. - Foto ihsan Malay Mail

TULAR di media sosial perdebatan mengenai ‘status’ bandar Nilai 3 sama ada ia terletak di Negeri Sembilan atau Selangor.

Semuanya gara-gara tindakan seorang selebriti dan suaminya (cuba teka) yang terlepas dakwaan kesalahan merentas negeri baru-baru ini.

Apa yang lebih melucukan, isu ini turut ‘dibincangkan’ secara terbuka oleh menteri besar kedua-dua negeri di media sosial.

Perkara ini sudah pasti membingungkan segelintir individu yang dikategorikan sebagai ‘pembaris’.

Jangan risau, EnGear akan cuba membantu anda mencari jawapan sama ada bandar Nilai 3 terletak di Negeri Sembilan atau Selangor.

Kronologi Nilai milik Negeri Sembilan atau Selangor?

Kontroversi mula tercetus apabila sekeping foto tular di media sosial pada 2 Mei lalu menunjukkan seorang selebriti dan suaminya didakwa berada di Nilai 3.

Pasangan terbabit dikatakan berada di bandar itu bagi membeli karpet di sebuah kedai.

Susulan itu, warga maya mempersoalkan bagaimana pasangan terbabit boleh merentas negeri hanya untuk membeli karpet.

‘Menghangatkan’ lagi suasana apabila Pejabat Peguam Negara baru-baru ini tidak mengenakan tuduhan rentas negeri terhadap pasangan itu.

Jelas polis, keputusan dibuat hasil kajian dan keterangan diperoleh berhubung kes berkenaan.

Tidak terhenti di situ, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari turut bergurau mengenai perkara itu di media sosial.

Secara berseloroh, kedua-dua pemimpin itu berbincang mengenai soal ‘jual-beli’ Nilai 3 selepas Amirudin memuat naik ciapan mengenai sejarah bandar itu.

Gurauan Aminuddin dan Amirudin mendapat perhatian warga maya yang ternyata terhibur dengan seloroh kedua-dua pemimpin itu.

Ada yang kreatif sehingga menghasilkan peta menunjukkan Nilai 3 kini berada di negeri Selangor.

Apa ada dengan Nilai?

Bandar Nilai bukan sahaja terkenal dalam kalangan ‘pencinta’ karpet tetapi menjadi tumpuan sebagai pusat pengajian tinggi.

Berdasarkan kajian EnGear lakukan (di Google sahaja), Nilai merupakan bandar terletak di daerah Seremban, Negeri Sembilan.

Kian membangun, bandar Nilai mempunyai beberapa kompleks membeli-belah termasuk  Nilai 3 Wholesale Centre, Nilai Square, Mydin, Tesco Hypermarket dan Giant Hypermarket.

Terdapat beberapa tempat menarik di Nilai terutama kepada individu yang gemar melakukan aktiviti konvoi sama ada bermotosikal atau berkereta.

Antara kawasan tumpuan umum adalah:-

• Dataran Nilai
• Taman Awam Nilai
• Taman Rasah Kemayan
• Hutan Lipur Lenggeng

Bagaimanapun, buat setakat ini anda dinasihati tidak melakukan aktiviti konvoi ke Nilai susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Anda bukan sahaja tidak dibenarkan merentas negeri malah, turut dilarang memasuki daerah lain.

Karpet merupakan antara produk yang boleh didapati di Nilai 3, Negeri Sembilan
Karpet merupakan antara produk yang boleh didapati di Nilai 3, Negeri Sembilan.

Larangan rentas daerah dan negeri

Umum mengetahui PKP menuntut anda tidak melakukan aktiviti rentas negeri atau daerah demi mengawal penularan pandemik Covid-19.

Rentas negeri atau daerah hanya dibenarkan bagi tujuan tertentu sama ada kecemasan, bekerja, vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Jika gagal mematuhi arahan anda bukan sahaja boleh dikenakan denda malah, tidak terkecuali berdepan hukuman penjara.

Jadi, bagaimana mengelak daripada ‘terentas’ negeri atau daerah?

Mudah, ikuti tips yang kami sediakan ini:

1. Jangan keluar rumah. Amalkan kawalan kendiri.

2. Jika terpaksa keluar, pastikan terus ke tempat dituju dan jangan merayau.

3. Elak membeli barangan di daerah atau negeri lain. Contohnya anda tidak perlu ke Nilai untuk membeli karpet, cari kedai karpet berdekatan kediaman anda.

4. Gunakan aplikasi seperti Waze atau Google Map untuk mengetahui sempadan daerah dan negeri.

5. Sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa. Kini, berita hanya ‘di hujung jari’ sahaja!

Kesimpulannya, isu rentas negeri atau daerah bukan suatu yang sukar untuk difahami.

Apa yang penting adalah sejauh mana kesediaan anda mematuhi arahan pihak berkuasa demi kemakmuran bersama.

Jangan kerana sikap pentingkan diri, kita mengabaikan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pemerintah.

Tepuk dada, tanya iman.

Nota: Sah! Bandar Nilai terletak di Negeri Sembilan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved