Arkib Tag: van

Toyota Hiace SLWB kini dibuka untuk tempahan – 2.8L diesel, panjang 5.9 meter, RM169k

UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan pembukaan tempahan bagi Hiace SLWB (Super Long Wheelbase).

Menurut UMWT, varian baharu van panel itu dikatakan satu versi yang dinantikan dan menawarkan keluasan serta prestasi tersendiri dalam kelas kenderaan komersil utiliti.

Toyota Hiace SLWB ini lebih besar dari sebelumnya, mempunyai ukuran 5,915mm panjang, 1,950mm lebar, dan 2,280mm tinggi.

Jarak roda (wheelbase) kini mencapai 3,860mm, bermakna ia akan mempunyai ruang dalam yang luas serta menawarkan keselesaan untuk perjalanan jarak jauh.

Hiace SLWB ini dikuasakan oleh enjin 2.8-liter 1GD-FTV turbo-diesel dengan output 177hp pada 3,400rom dan 450Nm tork dari 1,600 hingga 2,400rpm. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik 6-kelajuan dengan Sequential Shift.

Van ini dilangkapi dengan rim 16-inci, cermin kuasa di depan, lampu DRL, lampu depan reflektor, lampu kabus, serta suspensi MacPherson di depan, dan leaf spring di belakang.

Ciri standard pada Toyota Hiace baharu ini termasuklah tali pinggang keledar 3-poin untuk semua tempat duduk, lampu di pemijak sisi pintu gelungsur, DVR (dashcam), dua soket kuasa, RFID binaan dalam, ruang keluar kecemasan di bumbung, tiga beg udara, dan Emergency Stop Signal (ESS).

Van ini boleh mula ditempah dengan harga RM169,000.

“Kami telah menerima banyak permintaan dari rakan kongsi niaga kami berkenaan Hiace baharu ini. Dengan pengenalan model SLWB ini, kami berbesar hati menawarkan kenderaan yang menepati keperluan dari segi ruang, kuasa, dan keselesaan buat pelanggan kami,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMWT.

Van terbabas ketika turun Genting Highland, 7 disahkan maut

TUJUH maut manakala tujuh lagi cedera selepas van persiaran yang dinaiki terbabas ketika menuruni bukit di kilomter 4.8 Jalan Genting Highlands semalam.

Bercakap kepada Berita Harian, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata dua daripada yang meninggal dunia adalah lelaki iaitu pemandu dan kelendan van.

“Lima lagi yang meninggal dunia adalah wanita dan mereka adalah penumpang van persiaran berkenaan.

“Enam mangsa termasuk pemandu, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa iaitu kelendan van meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Menurut beliau lagi, tujuh lagi mangsa yang cedera kini dirawat di hospital dengan dua di Hospital Bentong dan lima lagi di HKL.

Foto ihsan JBPM Pahang

Ramli berkata van persiaran berkenaan dipercayai dalam perjalanan pulang dari Genting Highland ke Pulau Pinang dan siasatan masih diteruskan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dalam kenyataan memaklumkan laporan kemalangan diterima pada jam 1.15 tengah hari.

Menurut kenyataan itu, seramai 14 individu menaiki van berkenaan terdiri daripada 12 wanita dan dua lelaki.

Van terbabit dipercayai terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan mengakibatkan tujuh daripada penumpang maut akibat kejadian itu.

Mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan menggunakan peralatan penyelamatan.

Tukar van lama jadi kenderaan camping, berbaloi ke tidak?

KENDERAAN bukan sahaja merupakan ‘alat’ membawa manusia dari satu lokasi ke lokasi lain malah, kini ia menjadi semakin ‘kompleks’.

Istilah ‘kompleks’ bukanlah bermaksud ia menyukarkan manusia tetapi fungsinya saban hari semakin berubah.

Ini kerana ramai mula menjadikan kenderaan sebagai sebahagian daripada aktiviti masa lapang atau hobi.

Di Malaysia, hobi menukar van lama sebagai kenderaan camping semakin mendapat sambutan memberansangkan.

Terdapat sebilangan individu sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk merealisasikan hobi menukar van lama sebagai kenderaan camping.

Persoalannya, berapa mahalkah hobi ini?

Menjawab persoalan ini, Engear sempat menjalankan pencarian di media sosial untuk mengetahui harga van lama yang boleh didapati di pasaran.

Van lama harga bawah RM10,000

Setakat ini, Engear menemui sebuah Ford Econovan tahun 1992 yang dijual pada harga RM3,999.

Walaupun kondisinya tidak begitu cemerlang tetapi van ini amat sesuai untuk dijadikan sebagai kenderaan camping.

Model ini juga amat lasak dan sesuai untuk dibawa ke kawasan luar bandar.

Selain itu, Engear turut menemui sebuah model Toyota LiteAce tahun 1991 dengan enjin 1.5cc.

Model Toyota LiteAce. – Foto ihsan Wikipedia

Harga yang ditawarkan adalah sekitar RM5,500 dan sudah pasti amat berbaloi untuk dimiliki jika kondisinya masih cemerlang.

Sementara itu, Malaysia juga patut berbangga dengan sebuah van keluaran Perodua yang satu ketika dahulu amat popular.

Model yang dimaksudkan adalah Perodua Rusa yang amat cemerlang dari segi ketahanan.

Sebuah van Perodua Rusa tahun 1996 boleh dibeli pada harga RM8,800 dan kos ini tidak termasuk proses penukaran ia sebagai kenderaan camping.

Perodua Rusa. – Foto ihsan Wikipedia

Terakhir, Engear menemui sebuah van Kia Pregio berharga RM10,000.

Apa yang menarik adalah van ini dikeluarkan pada tahun 2013 dan paling penting, saiznya yang besar. Maka, ia amat sesuai sekali untuk dijadikan sabagai camping van.

Kesimpulannya, jika anda berminat dengan kenderaan camping tidak mustahil untuk mencubanya.

Soal harga bukan penghalang utama kerana apa yang penting adalah, “hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih.”

Ingin tahu lebih lanjut mengenai van berbaloi untuk dijadikan kenderaan camping, saksikan video telah disediakan.

Chiow!

Nissan bawah RM5,000…biar betul?

JENAMA Nissan tidak perlu diperkenalkan lagi di Malaysia memandangkan ia telah lama bertapak di negara ini.

Diedarkan oleh Tan Chong Motor Holdings Berhad, kenderaan keluaran Nissan semakin lama semakin mendapat kepercayaan pengguna di Malaysia.

Ia terbukti apabila terdapat banyak kenderaan keluaran Nissan di jalan raya sekaligus memberi saingan sengit kepada pengeluar automotif yang lain.

Justeru, sama seperti jenama lain, Nissan juga mempunyai model terdahulu yang masih boleh didapati di pasaran kenderaan terpakai negara ini.

Berikut lima model Nissan bawah RM5,000 yang boleh didapati di pasaran kenderaan terpakai Malaysia:

Nissan Vanette

Foto ihsan Wikipedia

Van dikenali sebagai Nissan Vanette antara yang masih boleh didapati di pasaran dengan harga yang rendah.

Sebuah Nissan Vanette tahun 1995 boleh dibeli pada harga RM3,900.

Kepada anda yang berminat dan memerlukan kenderaan untuk berniaga atau melakukan kerja-kerja pertanian, bolehlah mendapatkan Nissan Vanette ini.

Nissan Cefiro

Foto ihsan Wikipedia

Nissan Cefiro sering kelihatan di lapangan terbang suatu ketika dahulu memandangkan ia sering dijadikan limousine untuk membawa penumpang.

Ini kerana Cefiro mempunyai ruangan dalaman yang selesa dan luas. Selain itu, tempat meletak bagasi juga cukup lebar serta boleh memuatkan banyak barangan.

Sebuah Cefiro tahun 1999 dengan enjin 3.0 boleh dibeli pada harga RM4,800.

Nissan Sentra

Foto ihsan Wikipedia

Nama Nissan Sentra cukup popular di Malaysia suatu ketika dahulu.

Mempunyai enjin 1.6 cc, model ini sesuai untuk kegunaan ‘orang bujang’ dan juga mereka yang sudah berkeluarga.

Sebuah Nissan Sentra tahun 1995 boleh didapati pada harga RM3,400 sahaja.

Nissan Sunny

Foto ihsan Wikipedia

Nissan Sunny paling popular terutama sebelum Proton Saga diperkenalkan di pasaran.

Kalau anda masih berminat dengan model ini, jangan gusar kerana ia masih boleh dicari di pasaran kenderaan terpakai negara ini.

Hasil carian kami di internet, sebuah Nissan Sunny boleh dibeli dengan harga serendah RM2,000 sahaja!

Nissan AD Resort

Foto ihsan Wikipedia

Nissan AD Resort terkenal dengan kewujudan beberapa kelab kereta yang sering melakukan aktiviti konvoi suatu masa dahulu sekitar tahun 1997 sehingga awal 2000.

Model wagon ini memang sesuai untuk membawa ahli keluarga memandangkan ia mempunyai ruangan cukup luas.

Jadi, masih berminat mengimbau nostalgia lama bersama AD Resort? Jika ya, anda boleh memilikinya pada harga serendah RM4,900.

Apa yang penting, rajinkanlah diri untuk mencari di internet ya!

Ingin tahu lebih lanjut, sila saksikan video telah kami sediakan ini…chiow!

I.T. Box BM-400 sebuah MPV elektrik dengan jarak pemanduan lebih 400km

SABAN tahun ada sahaja syarikat ‘startup’ dari China yang menceburi industri automotif, terutamanya dalam segmen kenderaan elektrik atau EV.

Pada 15 Disember lalu, pendatang baharu dalam industri iaitu I.T. Box memperkenalkan dua model EV yang disasarkan untuk pasaran perkongsian kenderaan (ride-sharing).

Model-model tersebut dikenali sebagai BM-400 dan BM-600, yang mana masing-masing dikatakan akan memasuki fasa pengeluar pada 2023 dan 2024.

Menurut pengasas I.T. Box, Zhang Shuguang, syarikat itu telah menerima lebih 42,000 tempahan untuk BM-400.

Dari segi penampilan, BM-400 hadir dalam bentuk MPV konvensional dengan elemen-elemen rekaan yang futuristik.

Ia mempunyai dimensi ukuran 4,530mm panjang, 1,900mm lebar dan 1,790mm tinggi, dengan tapak roda sepanjang 2,850mm. Sebagai gambaran, lebih pendek namun lebih lebar dan tinggi berbanding Proton Exora.

Apa yang menarik, model ini direka dengan keupayaan penyelenggaraan kendiri, yang bermaksud 75 hingga 80 peratus kerosakan kecil seperti calar atau kemek boleh dibaiki dengan menukar panel tersebut, termasuk bampar hadapan dan belakang. Dengan cara ini, pemandu secara tidak langsung dapat mengurangkan kos penyelenggaraan.

Ruang dalaman BM-400 pula menampilkan susunan tempat duduk berbentuk ‘L’ dengan satu tempat duduk pada barisan pertama dan kedua, dan tiga tempat duduk pada barisan ketiga. Menurut syarikat itu, kabinnya direka sedemikian bagi menghasilkan ruang untuk muatan seperti kerusi roda, papan selaju dan sebagainya.

Sistem infohibur terdiri daripada dua buah skrin besar, satu disusun secara menegak pada konsol tengah dan satu lagi diletakkan secara melintang pada papan pemuka.

Spesifikasi teknikal seperti bilangan motor elektrik, kapasiti bateri dan sebagainya tidak dinyatakan, namun menurut syarikat itu, BM-400 boleh didapati dalam dua versi jarak pemanduan iaitu 420km dan 530km.

Sementara itu, BM-600 pula boleh dipandu sejauh 600km. Kedua-dua model menyokong pengecasan pantas 600 volt.

Bagaimanapun, dari segi saiz, BM-600 lebih panjang sebanyak 400 mm, manakala tapak rodanya pula berukuran 3,100 mm. Ia juga menyokong teknologi penukaran bateri.

Van sekolah ‘haram’, JPJ gesa ibu bapa berwaspada

ISU pengusaha van sekolah ‘haram’ terus mendapat perhatian serius pihak berkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Terbaharu, JPJ mendedahkan wujud taktik pengusaha van sekolah tanpa lesen mengecat kenderaan mereka berwana kuning bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata, ibu bapa diharap lebih peka dalam mendapatkan perkhidmatan van sekolah bagi anak-anak mereka.

Jelasnya, van sekolah perlu mempunyai permit daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menjamin keselamatan anak-anak.

“Mereka ini mengaburi ibu bapa dengan menunjukkan van masing-masing yang dicat warna kuning itu adalah van sekolah sedangkan tiada permit.

“Dari segi hasil risikan di kawasan sekolah di sini, terdapat beberapa van haram ini yang mengambil dan menghantar pelajar di sekolah dengan jumlah yang ramai untuk mendapatkan keuntungan lebih,” katanya.

Hanif ditemui pemberita selepas Operasi Bas Sekolah Haram di Negeri Sembilan pada semalam.

Sementara itu, JPJ mendedahkan antara alasan pengusaha van sekolah tidak memohon permit adalah kerana terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi.

Pada masa, pengusaha van terbabit juga tidak perlu mengikut standard ditetapkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Berdasarkan peraturan ditetapkan kerajaan, pengusaha van dan bas sekolah perlu menghantar kenderaan mereka menjalani pemeriksaan PUSPAKOM setiap enam bulan.

Antara kesalahan sering dilakukan adalah salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tiada perlindungan insurans.

Bahaya titik buta, murid Tahun Satu maut dilanggar van sekolah dinaikinya

NAMPAKNYA, kita sebagai pemandu atau pejalan kaki harus sedar akan bahaya titik buta di sekeliling kenderaan, kerana ia mampu meragut nyawa.

Terbaharu, seorang murid perempuan Tahun Satu maut dilanggar van sekolah dinaikinya di hadapan sebuah pusat transit di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Supt Azman Shari’at, berkata dalam kejadian jam 12:10 tengah hari itu, mangsa yang berusia tujuh tahun meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

“Hasil siasatan awal mendapati pemandu van iaitu perempuan berusia 31 tahun yang baru selesai menurunkan penumpang, memandu ke hadapan tanpa menyedari telah melanggar mangsa yang juga merupakan penumpang van tersebut.

“Mangsa pada ketika itu sedang melintas di hadapan van yang dipandu oleh pemandu terbabit.

“Sebelum kejadian, mangsa telah diambil oleh pemandu van tersebut dari sebuah sekolah berhampiran dan dihantar ke pusat transit sebelum ke sekolah KAFA,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan pada kepala dihantar ke Unit Kecemasan Nilai Medical Centre sebelum disahkan meninggal dunia jam 2:30 petang semalam.

Beliau berkata, pemandu van sekolah tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian itu, tular di media sosial.

Hyundai Staria yang futuristik ini sudah tiba di Malaysia, tempahan dibuka

BARU sahaja tengok pengenalan globalnya beberapa bulan lepas, kini Hyundai Staria yang futuristik telah tiba di Malaysia dan bakal dilancarkan minggu depan (27 Oktober 2021). Tempahan juga sudah dibuka.

Hyundai Staria ialah MPV premium dengan pelbagai konfigurasi sehingga 11 tempat duduk. Tetapi untuk pasaran Malaysia, Sime Darby Auto Hyundai membawakan satu varian sahaja iaitu Premium, dengan tujuh tempat duduk.

Dapat dilihat rupa luaran Staria ini hampir seperti sebuah kapal angkasa, dan rekaannya menggunakan satu garisan panjang dari depan, bumbung dan hingga ke belakang.

Di depan, satu bar lampu nipis melintang dengan lampu posisi dan DRL LED. Di bawahnya, terdapat gril radiator besar yang juga ‘ditarik’ hingga ke tepi, hampir sama lebar dengan badannya. Gril ini mempunyai elemen tiga-dimensi dan di sini juga terletaknya lampu utama LED kiub.

Bahagian dalam Hyundai Staria pula direka dengan konsep lounge seperti di lapangan terbang atau hotel, dimana ia akan membuatkan penumpang merasa selesa dan relaks. Malah, tempat duduk baris kedua Staria lebih besar dari baris pertama dan ketiga.

Semua tempat duduk dibaluti dengan Nappa Leather, dan keselesaan ditambah dengan kabin yang luas serta mudah dilihat ke luar, hasil dari rekaan beltline atau dasar tingkap sisi yang rendah.

Kedua-dua tempat duduk baris kedua dan ketiga juga boleh digelungsurkan ke depan atau belakang sebanyak 300mm, bergantung kepada keperluan. Ruang kargo maksima adalah hampir 5,000 liter.

Ruang yang luas pada Staria diperolehi kerana tidak seperti Starex yang menggunakan pacuan roda belakang, Staria menggunakan pacuan roda depan. Jadi, tiada sebarang shaf di bawah kabin, malah suspensi belakang menggunakan multi-link.

Staria dipacu oleh enjin 2.2-liter CRDi diesel yang sama dari Santa Fe, tetapi ditala agar mempunyai kuasa lebih rendah, sekitar 177PS dan 431Nm tork. Ini kerana Hyundai Staria mementingkan keselesaan dan kelancaran pemanduan. Kotak gear pula ialah automatik 8-kelajuan.

Hyundai Staria Premium kini dibuka untuk tempahan, dan jika anda berminat, lawati sahaja mana-mana bilik pameran sah. Kami akan maklumkan harga dan maklumat lain selepas pelancaran nanti.

Hyundai Staria-Load: Van komersial dengan rupa futuristik, tetapi bukan EV!

DIPERKENALKAN pada Mac lalu, Hyundai Staria adalah MPV dengan rekaan futuristik yang mampu memuatkan sehingga 11 penumpang.

Kini, jenama dari Korea Selatan itu memperkenalkan pula versi komersial yang dikenali sebagai Staria-Load. Difahamkan, ia dibangunkan khas untuk pasaran Australia sebagai pengganti model terdahulu iaitu iLoad.

Dari segi penampilan, Staria-Load mempunyai rupa yang sama dengan model asas kecuali tingkap sisi pada kedua-dua sebelah kiri dan kanan telah digantikan dengan panel dalam warna yang sama badan, manakala rim yang digunakan pula adalah jenis keluli.

Ia boleh didapati sama ada dengan dua atau lima tempat duduk, dengan pilihan tailgate jenis terpisah (barn door) atau liftback seperti yang terdapat pada Staria.

Seperti kebanyakan van komersial yang lain, pilihan warna adalah terhad dan bagi model ini, hanya dua warna yang ditawarkan iaitu Shimmering Silver dan Creamy White.

Menurut Hyundai, versi dua tempat duduk menawarkan ruang kargo berkapasiti 4,935 liter dan mampu membawa tiga buah palet kayu bersaiz Euro (1,200mm x 800mm).

Versi lima tempat duduk juga tidak kurang hebatnya, dengan ruang kargo berkapasiti 2,890 liter yang boleh memuatkan dua buah palet kayu Euro yang disusun secara bertindih.

Staria-Load didatangkan dengan satu pilihan enjin sahaja iaitu enjin turbodiesel 2.2-liter empat silinder yang menghasilkan 174hp pada 3,800rpm dan 430Nm dari 1,500 hingga 2,500rpm.

Kuasa disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi automatik lapan kelajuan – berbeza dengan iLoad yang mempunyai pacuan roda belakang. Pun begitu, ia masih berupaya untuk menunda beban sehingga 2,500kg.

Biarpun ia merupakan sebuah van komersial, Staria-Load tidak lekang dengan ciri-ciri mewah dan kemudahan yang boleh menjadikan pemanduan lebih selesa.

Antara ciri yang disertakan secara standard termasuk stereng dan tombol gear yang dibalut dengan kulit, kluster instrumen dengan paparan digital berukuran 4.2 inci, serta skrin multimedia lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Turut disertakan adalah pad pengecas tanpa-wayar.

Sistem keselamatan pula merangkumi tujuh beg udara serta sistem bantuan pemandu (ADAS) seperti Blind Spot Collision Avoidance Assist-Rear, Driver Attention Warning, Forward Collision Avoidance Assist, Lane Following Assist, Lane Keeping Assist, Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist, Safe Exit Warning, Smart Cruise Control dengan fungsi Stop & Go dan Surround View Monitor.

Menurut laman web Hyundai Australia, harga bagi Staria-Load bermula dari AUD50,141 (kira-kira RM152,538).

Pemandu van KKM maut ketika dalam perjalanan ambil bekalan vaksin

KEMALANGAN membabitkan sebuah van milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyaksikan seorang individu meninggal dunia manakala tiga yang lain parah.

Individu meninggal dunia merupakan pemandu van KKM dikenali sebagai Shamsul Shamsuri berusia 49 tahun.

Siasatan mendapati kejadian di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Skudai berlaku selepas van terbabit cuba mengelak sebuah kereta yang berhenti secara mengejut.

Bagaimanapun, van tersebut telah merempuh belakang sebuah lori.

Memetik laporan polis, kakitangan KKM terlibat dalam perjalanan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang untuk mengambil bekalan vaksin Covid-19 di Hospital Permai, Tampoi.

Kakitangan KKM yang cedera parah adalah Rosnilam Satari Azlina Mohd Rawi dan Amelia Pek Ying Hung.

Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Black Maria antara lori paling digeruni

SEBUT nama ‘Black Maria’ pasti ramai yang gerun mendengarnya.

Sering kelihatan membawa pesalah atau orang kena tuduh (OKT), ‘Black Maria’ antara kenderaan telah lama digunakan oleh pasukan polis negara ini.

Namun, sejauh mana pengetahuan anda mengenai kenderaan digeruni ramai ini?

Artikel kali ini penulis ingin menceritakan serba sedikit mengenai sejarah ‘Black Maria’.

Sejarah Black Maria

‘Black Maria’ merupakan kenderaan jenis lori atau van yang digunakan polis untuk membawa OKT atau pesalah.

Kenderaan ini dilengkapi sangkar besi di bahagian muatan bagi tujuan keselamatan.

Sangkar besi ini boleh dikunci menggunakan mangga bagi mengelak tahanan daripada melarikan diri ketika dalam perjalanan ke suatu lokasi.

Setakat ini tidak dapat dipastikan tarikh sebenar ‘Black Maria’ digunakan anggota polis negara ini.

Bagaimanapun, sejarah membuktikan bahawa ‘Black Maria’ telah lama digunakan anggota polis bagi membawa pesalah.

Nama ‘Black Maria’ mula diguna selepas kenderaan itu sering kelihatan membawa seorang pesalah wanita bernama Maria pada tahun 1962 di New Jersey, Amerika Syarikat.

Pada zaman dahulu pula, ‘Black Maria’ merupakan wagon paddy yang diubah dijadikan sebagai kenderaan membawa pesalah.

Lama-kelamaan ‘Black Maria’ yang lebih canggih direka dengan dilengkapi sangkar besi selepas terdapat kes pesalah menyerang anggota polis.

Insiden ‘Black Maria’

Setakat ini, terdapat beberapa insiden pernah menimpa ‘Black Maria’ di negara ini termasuk mambabitkan kes kemalangan dan perkara mistik.

Pada 2017, sebuah ‘Black Maria’ mengalami kemalangan ketika membawa 14 OKT dan tujuh anggota polis.

Insiden berlaku di Kulim, Kedah itu menyebabkan kesemua mereka menaiki kenderaan tersebut mengalami kecederaan.

Memetik laporan berita, kemalangan berpunca apabila kenderaan ‘Black Maria’ itu terbabas sebelum bertembung dengan sebuah kereta.

Selain itu, terdapat juga beberapa kisah seram membabitkan kenderaan ‘Black Maria’.

Terdapat individu yang percaya sesiapa pernah menaiki ‘Black Maria’ akan ditimpa nasib malang selain berpotensi untuk terus ditahan pihak berkuasa di masa hadapan.

Demikian antara cerita ringkas mengenai ‘Black Maria’ yang digunakan pihak berkuasa negara ini.

Walau apa jua kisahnya, paling penting semoga kita semua terus dijauhkan daripada menaiki kenderaan ini.

Pastikan patuhi undang-undang dan kekal menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.