fbpx

Hyundai Staria yang futuristik ini sudah tiba di Malaysia, tempahan dibuka

hyundai staria 03

BARU sahaja tengok pengenalan globalnya beberapa bulan lepas, kini Hyundai Staria yang futuristik telah tiba di Malaysia dan bakal dilancarkan minggu depan (27 Oktober 2021). Tempahan juga sudah dibuka.

Hyundai Staria ialah MPV premium dengan pelbagai konfigurasi sehingga 11 tempat duduk. Tetapi untuk pasaran Malaysia, Sime Darby Auto Hyundai membawakan satu varian sahaja iaitu Premium, dengan tujuh tempat duduk.

Dapat dilihat rupa luaran Staria ini hampir seperti sebuah kapal angkasa, dan rekaannya menggunakan satu garisan panjang dari depan, bumbung dan hingga ke belakang.

Di depan, satu bar lampu nipis melintang dengan lampu posisi dan DRL LED. Di bawahnya, terdapat gril radiator besar yang juga ‘ditarik’ hingga ke tepi, hampir sama lebar dengan badannya. Gril ini mempunyai elemen tiga-dimensi dan di sini juga terletaknya lampu utama LED kiub.

Bahagian dalam Hyundai Staria pula direka dengan konsep lounge seperti di lapangan terbang atau hotel, dimana ia akan membuatkan penumpang merasa selesa dan relaks. Malah, tempat duduk baris kedua Staria lebih besar dari baris pertama dan ketiga.

Semua tempat duduk dibaluti dengan Nappa Leather, dan keselesaan ditambah dengan kabin yang luas serta mudah dilihat ke luar, hasil dari rekaan beltline atau dasar tingkap sisi yang rendah.

Kedua-dua tempat duduk baris kedua dan ketiga juga boleh digelungsurkan ke depan atau belakang sebanyak 300mm, bergantung kepada keperluan. Ruang kargo maksima adalah hampir 5,000 liter.

Ruang yang luas pada Staria diperolehi kerana tidak seperti Starex yang menggunakan pacuan roda belakang, Staria menggunakan pacuan roda depan. Jadi, tiada sebarang shaf di bawah kabin, malah suspensi belakang menggunakan multi-link.

Staria dipacu oleh enjin 2.2-liter CRDi diesel yang sama dari Santa Fe, tetapi ditala agar mempunyai kuasa lebih rendah, sekitar 177PS dan 431Nm tork. Ini kerana Hyundai Staria mementingkan keselesaan dan kelancaran pemanduan. Kotak gear pula ialah automatik 8-kelajuan.

Hyundai Staria Premium kini dibuka untuk tempahan, dan jika anda berminat, lawati sahaja mana-mana bilik pameran sah. Kami akan maklumkan harga dan maklumat lain selepas pelancaran nanti.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved