Arkib Tag: ulang tahun

Hyundai Motor Malaysia rai ulang tahun pertama, tawar pelbagai ganjaran termasuklah Stargazer!

Bersempena dengan ulang tahun pertama operasi, Hyundai Motor Malaysia (HMY) melancarkan kempen Durian Runtuh Berganda-ganda selama tiga bulan bermula 1 Julai hingga 30 September 2026.

Sepanjang tempoh tersebut, Hyundai menawarkan promosi, hadiah eksklusif serta aktiviti menarik di rangkaian pengedar di seluruh negara.

Rebat tunai & subsidi petrol

Untuk pembelian model terpilih Santa Fe, Staria dan Tucson, HMY menyediakan pakej Total Drive Reward yang merangkumi:

  • rebat tunai sehingga 16%
  • 8 kali servis berjadual percuma (termasuk kos buruh & alat ganti)
  • subsidi petrol sehingga RM5,000
Alternatifnya, pembeli boleh memilih untuk mendapatkan rebat tunai segera bernilai sehingga RM36,000.

Peluang menang Hyundai Stargazer

Sepanjang tempoh kempen, pelanggan yang membuat tempahan atau pendaftaran mana-mana model Hyundai akan menerima penyertaan untuk memenangi sebuah Hyundai Stargazer baharu.

Selain itu, mereka yang melengkapkan sesi pandu uji, tempahan dan pendaftaran juga layak untuk menyertai Monthly 7 Lucky Winners Campaign yang menawarkan hadiah RM10,000 dalam bentuk kredit eWallet Touch ‘n Go.

Program jaminan myHyundaiCare

Setiap kenderaan baharu Hyundai hadir dengan jaminan selama 8-tahun atau had perbatuan 160,000 km (yang mana tiba dahulu).

 

Mercedes-Benz raikan 140 tahun inovasi, jelajah global S-Class singgah di Malaysia

140 tahun yang lalu, Carl Benz mempatenkan automobil yang pertama di dunia dan sejak daripada itu Mercedes-benz terus mendefinisikan semula mobiliti melalui inovasi dan ketukangan.

Bersempena dengan ulang tahun tersebut, Mercedes-Benz mengadakan satu jelajah global “140 Years. 140 Places” bermula dari Stuttgart.

Jelajah epik merentasi enam benua tersebut bermula pada 20 Januari 2026 menggunakan Mercedes-Benz S-Class facelift dan kini tiba di Malaysia.

140 Places. 140 Years di Kuala Lumpur

Bertempat di House of Mercedes-Benz di KLCC Square, acara 140 Places. 140 Years itu menawarkan pengalaman yang menyeluruh.

Antara tarikan utama sudah pasti pameran eksklusif model klasik Mercedes-Benz, barisan Mercedes-AMG berprestasi tinggi dan jentera lumba Formula Satu Mercedes MGP W01.

Tidak ketinggalan, penampilan pertama Mercedes-Benz S-Class facelift.

Menurut Martin Schulz selaku CEO dan Presiden Mercedes-Benz Malaysia, “140 Years of Innovation bukan sekadar satu pencapaian, tapi bukti apa yang terhasil apabila minat, ketelitian dan tujuan bergerak seiring.

“Menerusi perjalanan ini, kami berbangga berkognsi warisan dan legasi Mercedes-Benz kepada rakyat Malaysia yang merupakan satu legasi dibina melalui hubungan bermakna dan berkekalan bersama pelanggan.

Ciri utama S-Class facelift

Berbeza dengan S-Class yang diperkenalkan pada tahun 2020, S-Class facelift ini menampilkan lebih 50 peratus atau 2,700 komponennya dibangun dan direka semula.

Antaranya ialah rekaan hadapan dengan jeriji berlampu, sistem operasi MB.OS generasi baharu dengan kuasa superkomputer, MBUX Superscreen, dan suspensi udara Airmatic.

Hasilnya, S-Class facelift menawarkan pemanduan yang lebih senyap dan lebih mewah.

Legasi Mercedes-Benz di Malaysia

Tahukah anda, jenama Mercedes-Benz sebenarnya telah lama bertapak sejak lebih satu abad yang lalu, sebelum wujudnya bilik pameran atau kilang pemasangan seperti yang ada sekarang ini.

Pada awal abad ke-20, Sultan Johor dipercayai antara pemilik Mercedes-Benz yang terawal di Tanah Melayu.

Jualan rasmi kenderaan Mercedes-Benz hanya bermula pada tahun 1951 menerusi Cycle & Carriage.

Pada tahun 1968, program pemasangan tempatan model kereta penumpang pun bermula diikuti pada tahun 1983 di Malaysia menjadi negara pertama selepas Jerman yang memasang model S-Class (380 SE).

Momentum ini diteruskan dengan penubuhan DaimlerChrysler Malaysia pada tahun 2003 dan kemudian berevolusi menjadi Mercedes-Benz Malaysia pada tahun 2008.

Kilang pengeluaran Pekan yang ditubuhkan pada tahun 2004 mengukuhkan lagi peranan Malaysia di rantau ini.

Pada tahun 2023, dua pencapaian besar direkodkan, iaitu:

  • Pengeluaran Mercedes‑Benz EQS 500 4MATIC pemasangan tempatan pertama
  • Kenderaan Mercedes‑Benz ke‑100,000 dikeluarkan dari fasiliti Pekan

Kini, Malaysia turut memainkan peranan penting dalam logistik dan digital melalui Mercedes-Benz Parts Logistics Asia-Pacific (MBPLAP) dan Mercedes-Benz Tech Malaysia.

Agility+ Mendefinisikan Semula Pengalaman Pelanggan

Sambutan 140 tahun ini bukan sekadar meraikan sejarah, tetapi mencerminkan evolusi cara pelanggan menikmati pengalaman Mercedes‑Benz hari ini.

Melalui pelan Agility+ dan Young Star Agility+, Mercedes-Benz menawarkan penyelesaian pembiayaan fleksibel untuk model baharu dan pra-milik.

Ia menjadikan aspirasi memiliki Mercedes‑Benz lebih mudah dicapai, sambil membina komuniti pemilik yang berkongsi minat, hubungan bermakna dan pengalaman eksklusif.

Shell Malaysia sambut ulang tahun ke-135, tawar ganjaran bernilai RM1.35 juta!

Shell Malaysia menyambut ulang tahun ke-135 dengan melancarkan kempen ‘Mencetus Potensi Sejati’.

Kempen terbaharu ini akan menghadiahkan ganjaran bernilai RM1.35 juta untuk pelanggan di seluruh negara melalui peraduan peringkat nasional.

Pelbagai rangkaian produk moden Shell

Daripada permulaan sebagai pedagang minyak tanah, Shell kini menawarkan rangkaian produk moden.

Antaranya termasuklah Shell FuelSave, Shell V-Power hasil kerjasama dengan Scuderia Ferrari HP, serta rangkaian pengecas EV berprestasi tinggi Shell Recharge.

Pelincir Shell juga terus mengukuhkan reputasi global sebagai Pembekal Pelincir No.1 dunia selama 19 tahun berturut-turut.

Di stesen minyak, Shell Select dan Shell Café menawarkan kopi barista, pastri segar dan pelbagai pilihan makanan serta keperluan harian.

Hadiah utama bernilai RM135,000

Sempena ulang tahun ini, Shell memperkenalkan tawaran nilai baharu di Shell Select dan melancarkan kempen ‘Shell Select Ganjaran water2go Berjuta’.

Bermula 16 Mac hingga 10 Mei 2026, dengan setiap pembelian Water2go pelanggan berpeluang memenangi hadiah berikut:

  • Hadiah utama RM135,000
  • Hadiah saguhati sehingga RM13,500
  • Pelbagai ganjaran mingguan serta bulanan

Komitmen Shell bantu rakyat Malaysia

Menurut Seow Lee Ming, Pengurus Besar Shell Mobiliti dan Kemudahan Malaysia, ulang tahun ini menandakan komitmen Shell untuk terus menawarkan nilai, kemudahan dan pengalaman lebih baik kepada rakyat Malaysia — bukan sahaja hari ini, tetapi juga untuk masa depan.

Selepas 135 tahun, Shell kekal komited untuk terus berinovasi, memperluas penawaran dan memperkukuh hubungan dengan komuniti di seluruh negara.

Honda Stepwgn sambut ulang tahun yang ke-30 di Jepun dengan edisi istimewa

Tahukah anda, generasi pertama minivan Honda Stepwgn diperkenalkan secara rasmi pada Mei 1996 dengan reka bentuk yang ringkas bertujuan untuk memaksimumkan praktikaliti.

Setelah lima generasi, generasi keenam Stepwgn akhirnya kembali mengguna pakai konfigurasi rekaan dua-kotak dengan rekaan yang lebih minimalis dan ruang kabin paling luas.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun Stepwgn yang ke-30 pada tahun depan, Honda Jepun mengumumkan model Stepwgn edisi istimewa yang boleh didapati dalam dua varian, iaitu AIR EX dan SPADA.

Kedua-dua varian AIR EX dan SPADA mendapat ciri seperti:

  • sistem kamera pelbagai pandangan
  • sistem sokongan keluar
  • lampu kabin LED
  • ciri pemanas tempat duduk baris kedua
  • bantuan suluhan adaptif
  • tag ulang tahun ke-30 Stepwgn
  • emblem ulang tahun ke-30

Perbezaan antara kedua-dua varian adalah seperti berikut:

 

AIR EX

  • upholsteri fabrik dengan warna lebih cerah
  • pilihan warna Fjord Mist Pearl, Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Crystal Black Pearl dan Seabed Blue Pearl
  • harga dari 4,098,600 yen (RM106,678)

 

SPADA

  • upholsteri kulit
  • pilihan warna Twilight Mist Black Pearl, Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Crystal Black Pearl dan Premium Crystal Garnet Metallic
  • harga dari 4,159,100 yen (RM108,253)

Dari segi kuasa, Honda Stepwgn 2026 ini dilengkapi dengan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV yang terdiri daripada enjin 2.0L i-VTEC (143 hp/175 Nm) dipadankan dengan dua motor elektrik (181 hp/315 Nm).

Kuasa keseluruhan mencecah 212 hp dan 315 Nm, dipadankan dengan transmisi e-CVT dan sistem pacuan roda depan.

Untuk info, Honda Stepwgn e:HEV sudah pun memasuki pasaran negara jiran Thailand dengan harga anggaran bermula dari 1.7 juta Baht (RM222 ribu).

Sekumpulan perantis hasilkan model konsep GT50 sempena ulang tahun ke-50 enjin 5-silinder Audi

Tahukah anda, enjin lima silinder pertama buatan Audi debut pada tahun 1976 menerusi model Audi 100.

Bersempena dengan ulang tahun yang ke-50 dijangka pada tahun depan, sekumpulan perantis Audi dari Neckarsulm, Jerman menghasilkan sebuah projek yang cukup istimewa dinamakan sebagai Audi GT50.

Projek ini mengambil masa enam bulan untuk disiapkan di bawah pengawasan tenaga pengajar dan turut dipantau sendiri oleh Timo Engler selaku Ketua unit Teknologi Automotif, Logistik dan Latihan Pengurusan Perniagaan.

Sekali imbas, Audi GT50 banyak mengambil inspirasi rekaan daripada sejarah warisan perlumbaan Audi seperti Audi 90 Quattro IMSA GTO.

Disebalik imej yang futuristik itu, Audi GT50 sebenarnya bermula sebagai sebuah sedan RS3 sebelum keseluruhan panel luaran dibuka untuk memberikan laluan kepada panel badan yang diperbuat daripada plastik bertetulang gentian kaca ringan.

Bahagian belakang pula menampilkan struktur diffuser dan spoiler yang besar untuk tujuan aerodinamik.

Bumbung pula diambil daripada sebuah Audi 80 yang sebenar.

Untuk ruang kabin, mereka telah membuang segala kelengkapan RS3 yang asal dan menggantikannya dengan kelengkapan perlumbaan yang sebenar.

Malah, mereka turut menghasilkan sendiri struktur bar oleng yang memakan masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan.

Dengan bantuan enjin lima silinder 2.5 liter TFSI, jentera ini berupaya menjana kuasa setinggi 394 hp dan 500 Nm.

Selain daripada Audi GT50, kumpulan perantis dari fasiliti Audi Neckarsulm pernah menghasilkan model konsep yang cukup unik seperti Audi RS6 GTO dan NSU Prinz.

Honda Malaysia umum dua pemenang pertama kempen ulangtahun ke-25

Honda Malaysia mengumumkan dua orang pemenang bertuah pertama bagi kempen “Because of You” bersempena sambutan ulang tahun yang ke-25.

Untuk pusingan pertama, Honda Malaysia menyampaikan dua hadiah berupa sebuah City Hatchback RS dan WR-V RS.

Pemenang bertuah City Hatchback RS, Chin Boon Hao dari Perak menyertai peraduan tersebut setelah membeli sebuah Civic RS.

Jelasnya, memiliki sebuah Civic telah menjadi impiannya sekian lama disebabkan penampilan dan prestasi yang sejajar dengan DNA Civic.

“Saya teruja menerima kereta baharu saya, namun memenangi sebuah City Hatchback RS menjadikannya lebih istimewa.

“Saya tidak sabar untuk memandu kedua-dua Honda atas jalan dan menikmati pengalaman pemanduan yang berbeza,” ujarnya lagi.

Pemenang Honda WR-V RS, Avis Ou Xiao Qian dari Sarawak pula diwakili oleh suaminya, Liew Jeng Siong untuk menerima hadiah tersebut.

Beliau yang membeli sebuah CR-V sebagai kereta keluarga menjelaskan, “saya mahu sebuah SUV yang menawarkan pakej lengkap, seperti keselesaan, luas dan rekaan elegan.

“Saat saya melihat CR-V, saya tahu ia adalah kereta untuk saya dan keluarga saya.

City Hatchback RS dan WR-V RS merupakan antara enam hadiah utama yang ditawarkan sepanjang kempen “Because of You” bersempena sambutan ulang tahun Honda Malaysia yang ke-25.

 

Jam tangan Seiko tema Initial D kini sedia untuk disambar – hanya 1,995 unit sahaja!

Pengeluar jam tangan Seiko mengumumkan penjualan jam tangan edisi terhad “Initial D x Seiko Collaboration Watch” bersempena sambutan ulang tahun animasi perlumbaan terkenal yang ke-30.

Difahamkan, jam tangan tersebut akan dihasilkan sebanyak 1,995 unit sahaja sebagai meraikan tahun pertama komik tersebut diterbitkan.

Jam tangan chronograph itu dihiasi dengan tema Initial D, seperti contoh muka jam mengikut kombinasi warna kereta AE86 yang dipandu watak utama Takumi Fujiwara.

Selain itu, terdapat logo D (melambangkan Drift dan Dream) pada kedudukan jam 6, diikuti logo Kedai Tofu Fujiwara pada kedudukan pukul 4.

Kotak pembungkusan juga turut menggunakan tema warna panda (hitam putih) berserta logo Initial D di sebelah luar, dan gambar ilustrasi Takumi dan Toyota Sprinter Trueno AE86 di bahagian dalam.

Setiap kotak akan turut disertakan dengan nombor siri bermula 1 hingga 1,995.

Jam tangan istimewa ini menampilkan sistem pergerakan Quartz yang terlindung dalam casis 47 mm serta berkeupayaan kalis air sehingga 10 atm.

Setiap satu jam tangan Initial D ini dijual pada harga 65,780 yen (RM1,879).

Mitsubishi Malaysia lancar Triton Athlete dengan ciri dipertingkatkan, harga dari RM159,980

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) menyambut ulang tahun kehadirannya di Malaysia yang ke-20 pada tahun ini.

Bersempena dengan pencapaian tersebut, MMM mengumumkan penawaran model trak pikap Triton Athlete dengan ciri yang dipertingkatkan dan harga jualan bermula dari RM159,980.

Antara ciri unik yang ditampilkan pada Triton Athlete terkini termasuklah kemasan pada bampar hadapan, bar bergaya pada bed belakang, bantuan bukaan pintu tailgate, serta corak dekoratif unik.

Selain itu, MMM menawarkan promosi eksklusif untuk tempoh terhad bagi pembeli Triton Athlete, termasuklah ganjaran sehingga RM8,000 atau pakej penyelenggaraan percuma lima-tahun, serta pakej jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.

Pelanggan juga boleh menikmati kadar faedah serendah dari 0.6 peratus untuk pembiayaan Triton Athlete menerusi Maybank atau Public Bank.

Menurut CEO MMM, Shinya Ikeda berkata, “Kami amat berterima kasih terhadap kepercayaan dan kesetiaan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia. Setelah hampir dua dekad, Triton terus menjadi simbol kekuatan, kepercayaan dan kebolehpercayaan di kalangan pemandu Malaysia dengan hampir 120,000 unit terjual.

“Sejak bertahun-tahun, Triton memperoleh reputasi sebagai kenderaan yang menawarkan prestasi cemerlang baik di atas jalan raya mahupun di laluan yang sukar.

“Triton Athlete yang dipertingkatkan ini menandakan komitmen kami untuk memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin berkembang, dan kami berbangga untuk memperkenalkan model ini sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun yang ke-20,” ujarnya lagi.

Selain itu, bermula 16 Jun ini MMM menganjurkan peraduan Scratch & Win yang menawarkan hadiah lumayan termasuklah iPhone 16, iPad, iPod, jam tangan Seiko dan produk THULE.

Pelanggan yang menempah model Triton atau Xpander baharu di mana-mana pusat pengedar sah MMM layak untuk menyertai peraduan ini, dan akan menerima satu kad untuk dilorek.

Porsche dan Puma bekerjasama untuk kasut edisi khas sempena ulang tahun 911

PORSCHE akan menyambut ulang tahun ke-60 model 911 dengan sneaker edisi terhad. Ianya kerjasama antara Porsche Lifestyle Group dengan Puma, dan sneaker itu berasaskan 911 versi moden serta klasik.

Model pertama iaitu Retro Sneaker mengambil inspirasi Porsche 911 S 2.5 1972 yang tirus dan kecil. Ia dikemaskan dengan kulit lembut dan balutan suede, dan lidahnya mendapat jahitan berwarna merah.

Sneaker berwarna biru cerah ini juga menampilkan nombor 56, iaitu salah satu kereta bersejarah dari era itu. Bahagian berjaring pada lidah juga didatangkan dengan lencana Porsche 911 S/T, bersama logo “60 Years of Porsche 911” berwarna hitam dan putih.

Hanya 1,972 pasang Retro Sneaker akan dihasilkan seluruh dunia, dan setiap satu hadir dengan nombor siri khas.

Kasut kedua pula ialah Heritage Sneaker, yang diinspirasikan dari Porsche 911 S/T 2024. Jadi untuk sneaker ini, ia mempunya profil lebih moden.

Dengan warna biru/kelabu, kasut kulit lembut ini mirip kereta ulangtahun 911 S/T, manakala lapisan dalam kasut berwarna coklat cognac seperti kabin kereta.

Nombor 63 pada kasut ini merujuk kepada tahun kelahiran Porsche 911, dan hanya 1,963 pasang Heritage Sneaker ini akan dihasilkan.

Sama seperti Retro Sneaker, kasut ini juga didatangkan dengan logo “60 Yeas of Porsche 911” pada tag gantung, yang juga diperbuat dari kulit.

Porsche 911 S/T baharu merupakan versi lightweight untuk generasi 992 semasa dengan komponen dikongsi dengan GT3 RS dan GT3 Touring.

Kedua-dua kasut ini akan dilancarkan dalam acara pra-jualan khas pada 5 September depan.

PM ucap selamat ulang tahun ke-65 untuk TUDM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-65.

Su-30 MKM TUDM. Gambar oleh: Kamarul Azizi

Beliau turut menzahirkan penghargaan buat semua warga TUDM atas jasa dan khidmat bakti yang diberikan kepada rakyat dan negara.

“Selamat menyambut Hari Ulang Tahun TUDM ke-65 kepada seluruh warga TUDM,” tulisnya dalam satu hantara Facebook.

“Saya hargai komitmen semua anggota TUDM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara. Jasa dan keringat kalian pastinya dihargai sekalian rakyat. Salut!”

TUDM hari ini menyambut ulang tahunnya yang ke-65 dengan tema “Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara”.

Lebih 120 kereta BMW M sertai himpunan terbesar sempena Hari Malaysia

LEBIH daripada 120 buah kenderaan berprestasi tinggi BMW M telah berhimpun di Kuala Lumpur sempena dua sambutan yang istimewa pada tahun ini – Hari Malaysia ke-59 dan 50 Jahre M iaitu ulang tahun ke-50 BMW M.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Tahun ini, sementara kita meraikan sejarah BMW M selama lima dekad sebagai sebuah pasukan, kita juga perlu menyuluh semangat perpaduan yang dipamerkan oleh warga Malaysia sebagai sebuah negara selama 59 tahun.

“Saya berasa amat gembira kerana berpeluang menyaksikan semangat yang dikongsi bersama oleh warga Malaysia terhadap jenama ini, yang bukan sahaja mendemonstrasikan kebanggaan dan cinta mereka ke atas divisyen sukan permotoran tersebut, tapi juga buat Malaysia pada hari yang begitu bermakna.

“Kami berharap Aksara Terunggul di Dunia ini akan terus memberi ilham kepada komuniti BMW M kita di sini,” kata Hans.

Atas sebahagian daripada sambutan Hari ///Malaysia, BMW Group Malaysia juga telah menghadiahkan para pemenang bagi pencarian jentera BMW M yang tertua di Malaysia bagi setiap siri model – sebuah peraduan nasional yang dianjurkan pada bulan Mei tahun ini, bersempena dengan 50 Jahre M.

Tiga daripada enam model BMW M pemenang telah diperagakan di perhimpunan Hari Malaysia tersebut untuk tatapan umum.

Berikut merupakan senarai pemenang (bukan dalam turutan tertentu):

1. Han Kim Leng, 1981 BMW M535i (E12)
2. Harris Mah Kar Keat – 1988 BMW M3 (E30)
3. Lim Shin Tom – 1991 BMW M5
4. Gan Kian Yeh – 2006 BMW M6 (E63)
5. Tan Kai Che – 2015 BMW M4
6. Tee Yee Jiuh – 2017 BMW M2

Menurut Hans, pihaknya benar-benar tersentuh dengan sokongan padu yang dicurahkan oleh para pemilik dan peminat BMW M di Malaysia.

“Sokongan tidak berbelah bahagi mereka telah menjadi tonggak kejayaan kami di sini, dan Hari ///Malaysia merupakan lambang perpaduan dan kebanggaan sebenar yang telah dipamerkan oleh komuniti BMW M Malaysia,” simpul Hans.

Ulang tahun ke-50 BMW himpun pemilik jentera M di Malaysia

50 buah kenderaan berprestasi tinggi BMW M telah dihimpunkan di Sentul Depot baru-baru ini bagi acara pembentukan formasi bersempena dengan sambutan ulang tahun BMW M ke-50.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata: “Selama 50 tahun kami membekalkan kenderaan prestasi bertaraf premium yang paling ikonik buat dunia – biar untuk kegunaan di atas atau di luar litar, semangat kami terus berkobar untuk menjulang Huruf Terunggul di Dunia ini.

“Kami berbesar hati untuk menyaksikan semakin ramai individu yang menzahirkan perasaan teruja dan sanjungan mereka ke atas jenama ini, terutamanya warga komuniti pemilik dan peminat BMW M di Malaysia yang telah mencurahkan sokongan tidak berbelah bahagi mereka selama ini – termasuk sepanjang dua tahun lalu yang dibelenggu dengan pandemik.

“Komuniti ini terlahir daripada jiwa dan raga dibentuk selama 50 tahun, dan kami yakin bahawa hala tuju BMW M akan memperkukuhkan lagi cinta kita semua terhadap sukan permotoran dan jenama ini.”

Formasi ini merupakan sebahagian daripada program tarikan BMW M, ia telah menyaksikan lebih daripada 100 orang peminat BMW M berkonvoi ke The ///Mansion @ One & Only, Desaru di mana pelbagai aktiviti telah dijadualkan sepanjang hujung minggu ini.

Bukan itu sahaja, program ini turut mengadakan jualan barangan ‘BMW M 50 Years’ edisi terhad, dan dana yang terkumpul semasa acara tersebut akan digunakan untuk membantu inisiatif perusahaan sosial tempatan, Epic Society dalam membekalkan akses buat kanak-kanak orang asli yang mermerlukan ke atas pendidikan berkualiti melalui Hab Pembelajaran Digital mereka.

Himpunan 112 buah Lamborghini cipta sejarah Malaysia Book of Records

PUSAT bandar Kuala Lumpur bingit dengan deruman naturally-aspirated V10 dan V12 apabila sebanyak 112 pemilik Lamborghini menghimpunkan kenderaan masing-masing di depan Mandarin Hotel.

Himpunan ahli-ahli Lamborghini Owners Malaysia (LOM) itu juga bertujuan memecahkan rekod yang pernah dibuat di lokasi sama kira-kira sedekad lalu. Pada 2013, 77 pemilik berhimpun sempena ulang tahun ke-50 Lamborghini.

Dan kini, himpunan terbesar kali ini berjaya memecahkan rekod itu dengan pemilik-pemilik yang hadir dari seluruh semenanjung, dan ia tercatat dalam Malaysia Book of Records.

Bertempat di ruang parkir terbuka Mandaring Hotel, dapat dilihat pelbagai model Lamborghini yang semestinya menarik perhatian pengunjung dan orang awam berdekatan.

Antara yang kelihatan adalah model-model klasik serta Gallardo Malaysia Limited Edition (hanya 20 unit dihasilkan). Tidak lupa juga model-model terkini seperti Huracan Spyder, Aventador SVJ dan Urus.

Kemuncak acara adalah di saat presiden LOM masuk ke perkarangan dengan memandu kereta bernombor 78, disambut dengan tarian singa.

Ahli-ahli LOM dan pengunjung juga bersorak apabila wakil dari Malaysian Book of Records menyerahkan sijil pengesahan rekod baharu itu.

“Detik bermakna dalam sejarah kelab kami ini menunjukkan penghargaan kami terhadap jenama Lamborghini, kata Roslan Rosdi, presiden LOM.

“Rekod ini juga tidak akan berjaya tanpa semangat komuniti yang ditunjukkan oleh ahli-ahli yang hadir pagi ini,” tambahnya.

Tidak lama selepas itu, kesemua 112 Lamborghini yang berhimpun kemudiannya berkonvoi menuju ke Bukit Tinggi untuk acara seterusnya.

Vespa GTS 300 dan Primavera edisi khas sempena ulangtahun ke-75, harga dari RM23,500

DIDI Resources Sdn Bhd, pengedar rasmi Vespa di Malaysia memperkenalkan dua model edisi terhad iaitu GTS 300 75th Anniversary dan Primavera 75th Anniversary. Seperti pada namanya, kedua-dua model ini diperkenalkan sempena menyambut ulangtahun Vespa yang ke-75.

Apa yang berbeza? Pertama, Vespa ulangtahun ke-75 ini diberikan warna kuning metalik yang dinamakan Giallo 75th, yang nampak hampir seperti keemasan. Warna ini dibangunkan khas sebagai tafsiran moden untuk tema retro 1940an.

Seterusnya, model Vespa 75th Anniversary ini dilengkapi panel tepi dan mudguard depan dengan nombor 75, tempat duduk kulit Nubuck khas, rim berwarna kelabu dengan machine finish, dan pelekat grafik pada mudguard, keliling panel instrumen, pelindung ekzos, cermin sisi dan – untuk GTS sahaja – pada pemijak kaki penumpang.

Satu lagi ciri unik 75th Anniversary ialah rak barangan di belakang yang diberikan warna krom, ia boleh menempatkan beg kulit bulat yang nampak seperti tempat tayar simpanan. Beg kulit Nubuck ini juga diberikan tali dan klip khas dengan mekanisma khas untuk memudahkannya dipasang dan ditanggalkan.

Walaupun hadir dengan gaya retro, Vespa ini tetap mendapat teknologi moden. Ini termasuklah paparan TFT berwarna bersaiz 4.3-inci serta panel instrumen digital dengan sambungan telefon pintar.

Untuk lebih eksklusif, setiap pembelian edisi 75th Anniversary, anda akan mendapat Welcome Kit yang mengandungi plat Vespa besi vintaj, Buku Pemilik khas, dan lapan poskad dengan imej dari sejarah hampir 80 tahun jenama Itali itu.

Harga jualan Vespa 75th Anniversary adalah seperti berikut:

Vespa Primavera 75th Anniversary: RM23,500
Vespa GTS 300 75th Anniversary: RM38,900