Katakanlah (baca: kecam) apa jua yang anda mahu tentang Perodua Traz, tapi ini adalah SUV Perodua yang paling hensem pernah dihasilkan.
Walaupun tiba agak lewat di pasaran, kembar kepada Toyota Yaris Cross ini masih cuba untuk mengekalkan DNA Perodua yang dikenali ramai.
Ia ada pakej ruang yang selesa, praktikal, dan dalam masa yang sama hadir dengan teknologi moden.
Kami berkesempatan untuk memandu uji SUV ini selama beberapa hari, dan berikut merupakan penemuan kami:
Rupa Traz yang ganazz
Tidak dinafikan, Perodua Traz banyak berkongsi komponen dengan kembarnya Toyota Yaris Cross.
Almaklumlah, platform pun sama, guna DNGA-B macam Toyota Vios, Toyota Velos dan Perodua Alza.
Cuma, penampilannya boleh dibezakan dengan rekaan jeriji, serta rekaan rim 17 inci yang lebih agresif.
Penulis menggemari rupa paras luaran Traz yang tampak berkotak dan bersegi, terutama bila diperhatikan pada bahagian belakang.
Seakan sebuah SUV Lexus yang diberikan lencana Perodua.
Mahukan yang lebih menonjol, pilih sahaja kit badan GearUp.
Dimensi
Secara asasnya, Traz membawakan ukuran dimensi yang jauh lebih besar berbanding Ativa.
Dengan panjang sekitar 4,310 mm dan jarak antara roda 2,620 mm, Traz menawarkan ruang kabin yang besar dan selesa.
Jarak kelegaan tanah pula setinggi 210 mm, cukup memadai untuk digunakan di atas jalan raya Malaysia.
Antara kelebihan utama Traz ialah ruang kargo yang cukup besar, sekitar 471 liter.
Rebahkan sahaja tempat duduk baris kedua, dan anda akan disediakan ruang barang yang lebih besar dengan lantai hampir rata.
Radius putaran sekecil 5.2 meter pula memberikan kelebihan yang tersendiri terutama ketika memandu dalam kawasan urban yang sempit.
Kabin moden
Melengkapi imej sporti Traz ialah susun atur papan pemuka berorientasikan pemandu.
Sejujurnya, kehadiran ciri olskool seperti meter analog merupakan satu perkara yang amat dihargai oleh penulis.
Ringkas, mudah untuk dibaca.
Terdapat skrin paparan TFT sekecil 4.2 inci, itu pun sudah cukup untuk memaparkan info tambahan yang diperlukan.
Butang kawalan juga besar dan mudah untuk dicapai.
Jadi, penulis tidak berdepan masalah langsung untuk mencapai butang kawalan dan mengaktifkan ciri yang diinginkan semasa memandu.
Kualiti alunan bunyi yang dilontarkan oleh sistem audio Traz juga tidak mengecewakan untuk telinga seorang yang bukan audiophile.
Ada sokongan Apple CarPlay dan Android Auto pada skrin 9 inci untuk memudahkan urusan harian yang memerlukan bantuan sistem navigasi.
Cuma, apa yang perlu Perodua buat ialah kurangkan penggunaan aksen merah pada papan pemuka, kerana ia dilihat agak keterlaluan pada pandangan mata.
Pemanduan tidak sporti yang disangka
“Tekan, tekan, pergi” bukanlah moto Traz jika dibandingkan dengan Ativa yang hadir dengan enjin turbo.
Traz berkongsi enjin 1.5 liter (2NR-VE) yang sama wujud pada Perodua Myvi dan Toyota Vios.
Jadi, usah harapkan pecutan sepantas kilat di persimpangan lampu isyarat saat lampu merah bertukar hijau.
Dengan padanan transmisi D-CVT, Traz direka untuk pemanduan yang lebih santai, dan lebih mengutamakan keselesaan.
Mahukan pecutan yang lebih bertenaga, tukar saja kepada mod Power.
Biarpun hadir tanpa enjin turbo, penulis lebih gemar aspek pemanduan Traz yang rasa lebih stabil berbanding Ativa.
Prestasi brek juga meyakinkan, namun ia tidak diseimbangkan dengan talaan stereng yang lebih tajam.
Pengendaliannya terasa sedikit kaku dan tidak responsif seperti yang diharapkan, terutama pada kelajuan lebuh raya yang lebih tinggi.
Namun ia bukanlah satu masalah besar bagi kebanyakan demografik pengguna Traz.
Disebabkan casis yang lebih stabil, Traz juga sebenarnya seronok dipandu di laluan yang berliku walaupun sekadar dibantu dengan tayar standard Proxes CR1.
Kurang olengan casis dirasakan, dan pada kelajuan yang dibenarkan Traz ini boleh dipandu melekat sepanjang selekoh.
Keselesaan
Seperkara yang harus dipuji ialah tempat duduk Traz yang cukup besar dan selesa untuk penumpang dewasa, baik baris depan mahupun belakang.
Tidak seperti Ativa di mana pemandu perlu duduk menegak, posisi pemanduan Traz dirasakan lebih natural.
Sejujurnya, ini antara tempat duduk Perodua yang paling sedap pernah dihasilkan setakat ini.
Dengan sokongan kusyen untuk bahagian peha yang lebih panjang, ia membantu mengurangkan keletihan terutama ketika perjalanan jauh.
Larasan manual? Tidak menjadi masalah.
Setidak-tidaknya, ia mengurangkan kebergantungan diri terhadap perkakasan elektronik dalam SUV ini.
Aspek NVH juga cukup baik di mana penulis dapat merasakan suasana kabin kekal senyap.
Cuma sekali sekala tumpuan sedikit terganggu akibat bunyi bising enjin yang dikerah secara paksa.
Talaan suspensi juga dirasakan agak baik untuk sebuah Perodua, sesuai untuk kebanyakan permukaan jalan raya di Malaysia.
Ia mampu menyerap ketidakrataan jalan, menapis dan mengurangkan gegaran bagi memastikan kabin kekal selesa. Terasa macam kereta rali pula sekali sekala.
Keselamatan
Dengan ciri ADAS, kamera 360 darjah, dashcam dan penarafan lima bintang ASEAN NCAP, Traz boleh jadi satu model yang patut dipertimbangkan.
Disebalik senarai yang dibekalkan, satu sahaja kekurangan yang ada pada Traz: tiada fungsi kawalan jelajah adaptif (ACC).
Ketiadaan ciri tersebut membuatkan roda stereng Traz terasa kosong, boleh membuatkan ramai pembeli prospek berbelah bagi.
Namun, cuba bilang dengan jari berapa kali anda perlukan (dan aktifkan) ciri tersebut setiap kali memandu.
Kebanyakan masa dihabiskan dalam kesesakan trafik, balik kampung pun sekali-sekala, kan?
Kesimpulan
Terdapat banyak pilihan SUV segmen B yang ada dipasaran pada ketika ini.
Dalam julat harga sekitar RM100,000 ada SUV yang terlebih kuasa, terlebih canggih, dan terlampau jimat minyak.
Ciri sebegini memang mengujakan majoriti demografik pembeli masa kini terutama golongan muda.
Namun, usah lupakan kelompok pengguna yang masih mendambakan kereta moden dengan ciri teknologi yang lebih ringkas, tahan lasak, mudah dipercayai dan lebih penting kos pemilikan yang lebih murah.
Jadi, Perodua Traz merupakan jawapan yang ideal sekiranya anda berada di persimpangan dilema untuk memilih SUV yang sesuai digunakan setiap hari.
Spesifikasi Perodua Traz 2026
- Enjin 1.5 liter 2NR-VE
- Kuasa 105 PS @ 6,000 rpm, daya kilas 138 Nm @ 4,200 rpm
- Transmisi D-CVT
- Pacuan roda depan
- Suspensi topang MacPherson/torsion beam
- Rim 17 inci
