Arkib Tag: toyota gr yaris

Toyota GR Yaris bakal dapat lebih kuasa, tapi auto!

TOYOTA dilaporkan sedang membangunkan versi lebih berprestasi untuk GR Yaris yang sudah cukup mantap. Menurut Motor1 yang memetik majalah Best Car, hatchback AWD itu akan diperkenalkan dengan versi baharu lebih berkuasa pada musim luruh ini, bermakna dalam masa terdekat.

Ia juga dikatakan bakal mendapat reka bentuk yang lebih ‘segar’ berbanding versi mula dilancarkan pada 2020. Menurut sumber tadi, enjin 1.6-liter 3-silinder turbo itu akan ditala supaya menjana 300hp dan 370Nm tork.

Tetapi pembaharuan yang paling mendapat perhatian ialah penawaran kotak gear baharu untuk GR Yaris 2024, iaitu automatik! Ya, Toyota akan memberikan kotak gear automatik 8-kelajuan baharu, malah prorotaipnya telahpun dipertontonkan pada Mac 2022 lalu.

Laporan mengatakan kotak gear itu bakal dilengkapi dengan paddle-shifter dan “lock-up system” baharu, bermakna ianya torque-converter dan bukan dwi-klac.

Pembaharuan lain termasuklah brek dan suspensi yang ditala semula, berserta ketegaran badan yang dipertingkatkan. GR Yaris ini juga akan mendapat bampar dan spoiler belakang lebih besar.

Di bahagian dalam pula, skrin tengah adalah dari GR Corolla, walaupun kita tidak memerlukannya dalam model sebegini.

Apa pendapat anda mengenai GR Yaris automatik? Adakah ianya menjadikan hatchback ini kurang ‘umph’ atau lebih baik kerana lebih ramai dapat menikmatinya?

Pendapat kami, model istimewa seperti Toyota GR Yaris patut dikekalkan dengan manual 6-kelajuan. Tetapi mungkin juga Toyota mahu melihat sejauh mana had GR Yaris ini dengan transmisi baharu.

Rowan Atkinson pandu Toyota GR Yaris berkuasa hidrogen di Goodwood

PELAKON British, Rowan Atkinson baru-baru ini telah membuat kemunculan mengejut di acara Goodwood Festival of Speed dengan memandu Toyota GR Yaris. Tetapi beliau memandu GR Yaris berkuasa hidrogen, sebagai salah satu inisiatifnya dalam menyokong emisi sifar.

Toyota sebelum ini memperlihatkan GR Yaris ini dalam pemanduan demonstrasi semasa acara World Rally Championship untuk mengenengahkan enjin turbo 1.6-liter 3-silinder yang telah ditukar kepada hidrogen melalui sistem suntikan khas.

Dalam satu video yang dimuatnaik ke Instagram, Rowan Atkinson mengulas akan keyakinannya terhadap kenderaan hidrogen.

Menurut pelakon dengan kelulusan ijazah kejuruteraan itu, kedua-dua kenderaan (enjin pembakaran dalaman dan hidrogen) boleh menjadi alternatif terhadap kenderaan elektrik (EV).

“Kerana itulah saya berada di sini hari ini, untuk menyokong matlamat membuka mind akita tentang bagaimana kita memacu kenderaan di masa depan,” katanya dalam acara yang disiarkan secara langsung itu.

“Saya rasa khasnya untuk sukan permotoran, kereta lumba elektrik adalah sedikit susah memandangkan ia berbunyi seperti mesin basuh dalam mod ‘spin’.

“Ianya sukar tetapi ramai yang sedang cuba mengekalkan emosi (bunyi enjin) yang mana hanya kereta enjin pembakaran dalaman boleh berikan.

Tambahnya, “Mungkin kita akan membiasakan diri dengan kereta lumba elektrik dan menyukainya, tetapi buat masa ini, ada sekumpulan pembeli yang tidak begitu mahukannya.”

Atkinson – bintang dalam Mr Bean dan Johnny English – dikenali sebagai seorang peminat kereta. Beliau sebelum ini pernah memiliki McLaren F1, Lancia Delta Integrale HF, dan Honda NSX. Antara koleksinya pada masa ini termasuklah Toyota GR Yaris standard berkuasa petrol.