Arkib Tag: Toyota Gazoo Racing Festival

Toyota Gazoo Racing S6R3 catat lebih 10,000 pengunjung, empat juta penonton

MUSIM keenam bagi Toyota Gazoo Racing Festival melabuhkan tirainya hujung minggu lalu dengan meraikan para peminat, pasukan, dan pelumba yang menjadikan siri itu sebagai salah satu perlumbaan one-make paling utama di negara ini.

Pusingan finale selama dua hari itu yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang mencatatkan lebih 10,000 pengunjung dan sejumlah empat juta penonton online.

Malah UMW Toyota Motor Sdn Bhd juga dikurniakan anugerah oleh Motorsports Association of Malaysia (MAA) atas usaha mereka mempromosikan sukan permotoran kepada orang awam dan menyumbang kepada pembangunan bakat-bakat baharu dalam bidang ini.

“Format one-make race akan dikekalkan dan ditambah baik untuk masa depan. Ini bagi mengekalkan objektif kami yang bukan sahaja menjadikan perlumbaan ini adil dan bergantung kepada kemahiran, tetapi juga menjadikan sukan permotoran lebih mudah disertai dari segi kos,” kata Datuk Ravindran, Presiden UMW Toyota Motor.

Sejumlah 45 pemandu berentap dalam kesemua kelas perlumbaan iaitu Super Sporting, Sporting, Rookie, dan Promotional. Kesemua pelumba menggunakan peluang pusingan akhir ini untuk merebut takhta juara Season 6 dalam kelas masing-masing.

Toyota Gazoo Racing Festival pusingan akhir ini dibuka untuk orang awam dan menyajikan pelbagai aktiviti di dalam dan luar litar.

Selain aksi perlumbaan, pengunjung juga dapat bersama selebriti dalam sesi meet and greet, selain melawati pelbagai gerai makanan serta jualan Tempatan Fest.

Pusingan akhir ini menyaksikan aksi pertama bagi jentera lumba GR Vios Challenge generasi baharu dalam kelas Promotional. Bermula Season 7, kesemua pasukan dalam kelas-kelas lain juga akan menggunakan jentera lumba baharu ini.

Vios Challenge musim ke-5 tutup tirai dengan 3.1 juta penonton dalam talian

Vios Challenge musim kelima menutup tirainya baru-baru ini dengan cemerlang apabila mencatatkan capaian 3.1 juta penonton dalam talian, satu rekod baharu untuk siri perlumbaan ‘one make’ itu.

Bukan itu sahaja, pusingan akhir penuh drama yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan kemunculan empat juara baharu dalam empat kelas yang dipertandingkan.

Dalam kelas Super Sporting yang disertai oleh barisan pemandu profesional, Mitchell Cheah dari Prima Pearl TD Racing kekal tenang untuk menghabiskan perlumbaan 7.3 saat di hadapan Freddie Ang dari Telagamas Toyota. Tempat ketiga pula menjadi milik Eddie Lew dari Laser Motor Racing.

Bagaimanapun, keputusan ini tidak menjejaskan kedudukan Hayden Haikal (Axle Sport) sebagai juara keseluruhan kelas Super Sporting bagi musim kelima.

Sementara itu, tempat pertama dalam kelas Rookie menjadi milik Muizzudin Musyafa, dengan Sharique Zulqarnain dan Nabil Azlan masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga. Walaupun menamatkan saingan di tempat ketiga, ia sudah cukup bagi Nabil untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas Rookie.

Dalam kelas Sporting pula, Naquib Azlan yang mewakili Axle Sports mendominasi Perlumbaan 1 dan 2 pada hujung minggu lalu untuk membawa pulang gelaran juara keseluruhan kelas dengan jurang mata yang lebar. Setelah bergelar juara bagi kelas Rookie tahun lalu dan Sporting tahun ini, Naquib menetapkan sasaran untuk merebut kejuaraan kelas Super Sporting pula pada musim depan.

Saingan dalam kelas Promotional yang disertai oleh barisan selebriti tempatan juga tidak kurang hebatnya. Perlumbaan 2 menyaksikan Khai Bahar muncul juara, meninggalkan Ahirine Ahirudin di tempat kedua dan Nabil Ahmad di tempat ketiga.

Bagaimanapun, gelaran juara keseluruhan menjadi milik Nabil yang memiliki kelebihan enam mata di hadapan pesaing terdekatnya iaitu Zizan Razak.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, “Kami telah menempuh perjalanan yang jauh selama lima musim Toyota Gazoo Racing Festival dan Vios Challenge sejak ia diadakan pada 2017. Pada mulanya, kami ingin mengubah fikiran bahawa kereta Toyota hanya untuk golongan yang matang.

Kami ingin menghasilkan kereta yang lebih baik serta menjadikannya menarik untuk golongan pembeli yang lebih muda dan hari ini, telah berlaku peralihan yang sepenuhnya. Sudah tentu, kami juga ingin memberikan sumbangan besar kepada sukan permotoran Malaysia.”

Tidak seperti sebelum ini, pusingan finale Vios Challenge musim kelima merupakan acara eksklusif yang terbuka kepada hanya 2,000 pengunjung. Keseluruhan bumbung paddock utama Litar Sepang ditukarkan menjadi tapak festival, dengan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung serta konsert oleh selebriti TGR, K-Clique, Ella dan Dolla.

Toyota Gazoo Racing Festival 24-25 September ini – perlumbaan malam, konsert ‘rooftop’ di Sepang

ACARA finale Toyota Gazoo Racing Festival musim kelima yang akan berlangsung pada 24 dan 25 September di Litar Antarabangsa Sepang bakal menyaksikan kemunculan tarikan baharu iaitu festival di atas bumbung paddock.

Seperti sebelum ini, acara Toyota Gazoo Racing Festival dan siri perlumbaan Vios Challenge dibuka kepada umum namun kemasukan ke festival atas bumbung tersebut akan dihadkan kepada 2,000 pengunjung pertama yang mendaftar secara atas talian.

Antara acara menarik yang menanti 2,000 pengunjung tersebut adalah sesi ‘meet and greet’, pameran dan jualan cenderahati Gazoo Racing dan Toyota, dua konsert utama, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti keluarga.

Konsert tersebut akan menampilkan dua selebriti yang menyertai Vios Challenge iaitu Wany Hasrita dan Nabila Razali, serta persembahan rap daripada K-Clique pada hari Sabtu. Pada hari Ahad pula, pengunjung akan dihiburkan oleh barisan artis hebat seperti Khai Bahar, Ella dan kumpulan Dolla.

Sementara itu, acara cabutan bertuah menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk empat buah iPhone 13 Mini, dua iPad dan dua jam tangan Apple Watch Series 7. Turut akan diadakan adalah aktiviti di atas litar termasuk ‘track day’ untuk kelab-kelab pemilik Toyota yang terpilih.

Untuk maklumat lanjut mengenai tiket, layari pautan berikut: https://toyota.com.my/tgrmalaysia/tgr-%20festival-vios-challenge/season-%205/round-3-contest/.

Vios Challenge

Untuk pusingan akhir musim kelima, Vios Challenge akan diadakan pada waktu malam. Gelaran juara untuk kelas Promotional sudah tentu akan menjadi rebutan antara Zizan Razak dan Shukri Yahaya selaku juara bertahan.

Sementara itu, kelas Rookie pula akan menyaksikan pertarungan hebat antara dua pelumba simulator muda iaitu Nabil Azlan dan Muhammad Hamdany Abdul Hamid.

Dalam kelas Sporting, Naquib Azlan dari Axle Motorsports, yang merupakan juara keseluruhan kelas Rookie tahun lalu, berharap kelebihan yang dimiliknya selepas memenangi tiga perlumbaan sebelum ini cukup untuk memberikan gelaran juara kedua berturut-turut.

Saingan dalam kelas Super Sporting tidak kurang hebatnya, dengan empat pemandu masih lagi berpeluang untuk merampas takhta juara. Mereka adalah Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel, Mark Darwin, Eddie Liew dan Freddie Ang.