fbpx

Vios Challenge musim ke-5 tutup tirai dengan 3.1 juta penonton dalam talian

Vios Challenge Musim 5 Finale 08

Vios Challenge musim kelima menutup tirainya baru-baru ini dengan cemerlang apabila mencatatkan capaian 3.1 juta penonton dalam talian, satu rekod baharu untuk siri perlumbaan ‘one make’ itu.

Bukan itu sahaja, pusingan akhir penuh drama yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan kemunculan empat juara baharu dalam empat kelas yang dipertandingkan.

Dalam kelas Super Sporting yang disertai oleh barisan pemandu profesional, Mitchell Cheah dari Prima Pearl TD Racing kekal tenang untuk menghabiskan perlumbaan 7.3 saat di hadapan Freddie Ang dari Telagamas Toyota. Tempat ketiga pula menjadi milik Eddie Lew dari Laser Motor Racing.

Bagaimanapun, keputusan ini tidak menjejaskan kedudukan Hayden Haikal (Axle Sport) sebagai juara keseluruhan kelas Super Sporting bagi musim kelima.

Sementara itu, tempat pertama dalam kelas Rookie menjadi milik Muizzudin Musyafa, dengan Sharique Zulqarnain dan Nabil Azlan masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga. Walaupun menamatkan saingan di tempat ketiga, ia sudah cukup bagi Nabil untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas Rookie.

Dalam kelas Sporting pula, Naquib Azlan yang mewakili Axle Sports mendominasi Perlumbaan 1 dan 2 pada hujung minggu lalu untuk membawa pulang gelaran juara keseluruhan kelas dengan jurang mata yang lebar. Setelah bergelar juara bagi kelas Rookie tahun lalu dan Sporting tahun ini, Naquib menetapkan sasaran untuk merebut kejuaraan kelas Super Sporting pula pada musim depan.

Saingan dalam kelas Promotional yang disertai oleh barisan selebriti tempatan juga tidak kurang hebatnya. Perlumbaan 2 menyaksikan Khai Bahar muncul juara, meninggalkan Ahirine Ahirudin di tempat kedua dan Nabil Ahmad di tempat ketiga.

Bagaimanapun, gelaran juara keseluruhan menjadi milik Nabil yang memiliki kelebihan enam mata di hadapan pesaing terdekatnya iaitu Zizan Razak.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, “Kami telah menempuh perjalanan yang jauh selama lima musim Toyota Gazoo Racing Festival dan Vios Challenge sejak ia diadakan pada 2017. Pada mulanya, kami ingin mengubah fikiran bahawa kereta Toyota hanya untuk golongan yang matang.

Kami ingin menghasilkan kereta yang lebih baik serta menjadikannya menarik untuk golongan pembeli yang lebih muda dan hari ini, telah berlaku peralihan yang sepenuhnya. Sudah tentu, kami juga ingin memberikan sumbangan besar kepada sukan permotoran Malaysia.”

Tidak seperti sebelum ini, pusingan finale Vios Challenge musim kelima merupakan acara eksklusif yang terbuka kepada hanya 2,000 pengunjung. Keseluruhan bumbung paddock utama Litar Sepang ditukarkan menjadi tapak festival, dengan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung serta konsert oleh selebriti TGR, K-Clique, Ella dan Dolla.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved