Arkib Tag: TLDM

Ini spesifikasi AS555 Fennec dan AW-139 milik TLDM yang terlibat dalam nahas raptai lintas hormat

DUA helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat dalam tragedi semasa raptai lintas hormat sempena Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 semalam adalah jenis AS555 SN Fennec dan AW-139.

Menurut laman web Pusat Strategi Maritim TLDM (PUSMAS), helikopter Fennec dan AW-139 itu merupakan antara aset udara angkatan itu, selain Super Lynx dan pesawat UAV (tanpa pemandu).

AS555 SN Fennec

AS555 Fennec. Imej oleh: Pinterest

Helikopter AS555 Fennec yang terhempas dalam insiden perlanggaran tersebut ialah unit dengan nombor pendaftaran M502-6. Ia dilancarkan pada 9 Ogos 2004 oleh Menteri Pertahanan waktu itu, Dato’ Seri Najib bin Tun Razak.

TLDM mempunyai enam unit Fennec, berpangkalan di Skuadron 502, Lumut, Perak dan digunakan bagi misi dan tugas-tugas latihan.

Imej oleh: Flickr

AS555 Fennec ini dikeluarkan oleh firma Eurocopter yang kini dikenali sebagai Airbus Helicopters, dari Perancis.

Helikopter ini merupakan versi ketenteraan bagi pesawat AS355 untuk kegunaan awam. Ia mempunyai dua enjin turboshaf Turbomeca Arrius 1A dengan kapasiti 404hp setiap satu.

AS555 Fennec terbang pada kelajuan meluncur 117 knot (217km/j) tetapi mempunyai kelajuan maksima 150 knot (277km/j) dan boleh terbang selama dua jam 20 minit.

Helikopter ini dioperasikan oleh tiga kru, tetapi boleh memuatkan sehingga enam kru termasuk juruterbang.

Ia juga boleh dilengkapkan dengan persenjataan seperti mesingan, roket, misil anti-kapal selam, dan torpedo, selain radar digital 360-darjah yang dipasang pada ‘dagunya’.

HOM AW-139

Sementara itu, helikopter AW-139 digunakan bagi memperkukuhkan kekuatan maritim Armada Timur dalam mempertahankan kedaulatan wilayah maritim negara dan bagi menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan, penyeludupan serta penculikan yang berlaku di perairan Sabah.

Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW-139 yang terhempas dalam insiden perlanggaran tersebut ialah unit dengan nombor pendaftaran M503-3, dan mula dioperasikan oleh TLDM sejak 2022.

AW-139 ini dikeluarkan oleh firma Agusta-Westland yang kini dikenali sebagai Leonardo Helicopter, dari Perancis.

Helikopter ini mempunyai ukuran 13.53 meter panjang, 4.95 meter tinggi, dan mempunyai berat maksima 7,000kg. Ia dikuasakan dua enjin turboshaf Pratt & Whitney Canada PT6C-67C dengan output 1,531hp setiap satu.

Gambar oleh: Gianluca Galli

Ini membolehkan AW-139 terbang pada kelajuan meluncur 130 knot (240km/j) tetapi mempunyai kelajuan maksima 167 knot (309km/j) dan boleh terbang selama empat jam.

Helikopter ini dioperasikan oleh empat kru, tetapi bergantung kepada konfigurasi, boleh memuatkan sehingga 15 penumpang termasuk juruterbang.

AW-139 milik TLDM dibekalkan dengan dua set peralatan misi bagi melaksanakan tugas-tugas maritim. Selain TLDM, pesawat AW-139 turut dioperasikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Helikopter AW139 TLDM terbang dari KK ke Lumut, pertama kali sertai lintas hormat

HELIKOPTER Operasi Maritim (HOM) jenis Agusta-Westland AW-139 yang terbabit dalam tragedi dua helikopter terhempas semalam, pertama kali digunakan bagi acara lintas hormat sempena perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Difahamkan helikopter itu terbang sejauh 2,500 batu nautika dari pangkalannya di Kota Kinabalu, Sabah ke Lumut, Perak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, helikopter dari Skuadron 503 itu mula digunakan sejak 2021.

“Kita terbangkan khas dari Kota Kinabalu untuk sertai raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun ke-90 TLDM yang akan diadakan di sini (Lumut).

AS555 Fennec. Imej oleh: Pinterest

“Manakala sebuah lagi helikopter jenis AS-555 Fennec berpangkalan di sini, beroperasi sejak 2003 dan telah menyertai acara lintas hormat bagi acara sama sebanyak tiga kali,” katanya dalam sidang media.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain.

Mohamed Khaled berkata, helikopter HOM terbabit dinaiki tujuh pegawai dan anggota manakala Fennec dinaiki tiga pegawai dan anggota.

“Helikopter HOM terhempas di kawasan Stadium TLDM manakala helikopter Fennec terhempas di kawasan kolam renang bersebelahan stadium,” katanya.

Beliau berkata ketika kejadian, sebanyak tujuh pesawat terlibat dalam raptai itu melibatkan empat helikopter Fennec, dua HOM AW-139 dan sebuah Super Lynx.

Tragedi membabitkan dua pesawat yang berlaku pada 9:32 pagi semalam mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.

Dua helikopter TLDM terhempas ketika formasi raptai, 10 maut

Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter di ruang udara Pangkalan TLDM, Lumut sebentar tadi.

Menurut laporan Berita Harian, dua helikopter terdiri daripada model HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Setiawan jam 9.03 pagi, sebelum dipercayai bertembung semasa formasi penerbangan raptai lintas hormat.

Difahamkan, tujuh orang kru serta tiga penumpang maut.

Ketika kejadian, pesawat HOM membawa empat orang kru dengan tiga penumpang, manakala Fennec pula membawa tiga kru.

 

Pertingkat keselamatan negara, TLDM cari ‘pengganti’ helikopter Fennec

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) bercadang menambah aset helikopter mempunyai keupayaan peperangan anti kapal selam dan berteknologi baharu.

Panglima Udara TLDM berkata, helikopter baharu itu penting bagi menggantikan helikopter AS555SN Fennec, lapor Bernama.

Jelas Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin Abu Bakar, helikopter AS555SN Fennec tidak lagi dikeluarkan ketika ini dan TLDM akan melihat kepada aset helikopter bersesuaian pada masa akan datang.

Panglima Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin Abu Bakar (kanan) berkata, pihaknya sedang meneliti mendapatkan helikopter baharu. – Foto ihsan Facebook/TLDM

Ahmad Shafirudin memberitahu pemberita selepas majlis penyampaian anugerah meraikan rekod pencapaian 20,000 jam penerbangan helikopter AS555SN Fennec, semalam.

Helikopter AS555SN Fennec dikendalikan Skuadron 502 TLDM semenjak tahun 2004 lagi.

Ia berfungsi sebagai helikopter latihan serta menyokong operasi penerbangan selain mempertingkat kawalan keselamatan negara.

Antara operasi menggunakan helikopter AS555SN Fennec TLDM termasuk Op Fajar di perairan Somalia dan pelbagai latihan ketenteraan lain.

TLDM siasat insiden helikopter mendarat cemas

EMPAT anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berdepan situasi cemas selepas helikopter dinaiki mengalami masalah teknikal.

Situasi menyebabkan helikopter itu terpaksa membuat pendaratan cemas ketika menjalankan penerbangan operasi di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 12 tengah hari tadi.

Markas Pemerintahan Armada Barat mengesahkan kejadian selain memaklumkan pihak TLDM akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung perkara itu.

“Insiden juga tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada orang awam dan kawasan insiden terkawal,” memetik kenyataan dikeluarkan.

Terdahulu, empat anggota TLDM berjaya diselamatkan dan dibawa ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk pemeriksaan lanjut.

Difahamkan, terdapat empat anggota termasuk seorang juruterbang berada dalam helikopter jenis AS 555 SN Fennec.

Bagaimanapun, insiden tidak melibatkan sebarang kecederaan orang awam.

Pemerhatian di media sosial mendapati insiden tersebut turut sempat dirakam orang awam dan tular di media sosial.