fbpx

7 sebab sebuah kapal boleh karam

kapal besar 03

SEMALAM terjadinya satu berita buruk untuk dunia pertahanan negara, dimana kapal Tentera Laut Diraja (TLDM) iaitu Kapal Diraja (KD) PENDEKAR tenggelam sepenuhnya.

Kapal itu tenggelam di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor pada jam 3:54 petang pada Sabtu, 25 Ogos 2024.

Kesemua 39 krew berjaya diselamatkan dan ditempatkan di KD Sultan Ismail di Tanjung Pengelih, Johor. Tiada kecederaan dilaporkan.

TLDM sebelum ini memaklumkan kapalnya mengalami kebocoran dan kebanjiran besar ketika kapal berkenaan melaksanakan penugasan operasi. Kebocoran itu dipercayai berpunca dari kapal terlanggar objek bawah air.

Kebocoran menjadi salah satu punca utama kapal karam. Tetapi dalam artikel ini, kita akan lihatkan sebab-sebab lain kenapa sesebuah kapal boleh karam.

1. Perlanggaran dasar kapal

Kapal dipacu oleh enjin marin besar yang memberi kuasa kepada kipas atau propeller, manakala arah pengemudian kapal dikawal oleh rudder.

Terdapat banyak kejadian dilaporkan dimana bahagian bawah kapal berlaga dengan dasar atau batu berdekatan daratan. Kapal boleh karam jika perlanggaran terlalu kuat dan menyebabkan kebocoran.

Kapal juga merupakan struktur yang sangat besar dan memerlukan masa untuk bertindak balas. Malah secara purata, kapal memerlukan beberapa ratus meter untuk berhenti.

2. Hilang kestabilan

Semua benda yang terapung mempunyai ketinggian metacentric, yang ditentukan dari jarak menegak antara metacentre (M) dengan pusat graviti menegak (G).

Untuk kapal, ia akan kekal stabil jika kuantiti ini kekal positif. Jika kuantiti ini bertukar negatif, ia boleh tumbang dengan hanya sedikit daya.

3. Cuaca buruk

Cuaca buruk menjadi kebiasaan untuk punca kapal karam dan menyumbang kepada 75 peratus dari semua kemalangan.

Disebabkan ruang terbuka yang besar di laut, kelajuan angin boleh menjadi sangat tinggi dan menjadi punca ribut dan taufan. Fenomena ini mampu menumbangkan dan mengkaramkan kapal.

4. Kecuaian dan kesilapan manusia

Kelesuan, kecuaian, dan kesilapan kecil boleh menyumbang kepada kemalangan di lautan. Ini boleh terjadi sekiranya kapal tidak dipantau dengan betul atau krewnya kepenatan.

Kesemua ini akan mengganggu fokus dan menyebabkan kapal terdedah kepada situasi bahaya. Jika tidak ditangani dengan cukup cepat, ia boleh mengundang bencana.

5. Komponen rosak dan kurang penyelenggaraan

Di lautan luas, jarak pandangan boleh menjadi terhad disebabkan awan rendah atau kabus. Di sinilah kelengkapan moden membantu bagi memastikan arah tuju kapal dan sistem pengemudian dalam keadaan baik.

Jika tidak dikalibrasi atau diselenggara dengan betul, komponen-komponen ini tidak dapat berfungsi dengan cara sepatutnya dan memberi risiko kepada kapal.

Begitu juga dengan komponen mekanikal seperti propeller shaft, rudder, dan propeller itu sendiri, kesemuanya bekerja dalam pusingan yang laju. Penyelenggaraan penting bagi memastikan tiada gegaran atau kakisan pada permukaannya.

6. Kerosakan akibat perang

Semasa perang dunia di awal dan pertengahan abad ke-20, beratus-ratus kapal tenggelam disebabkan torpedo, periuk api, dan tembakan artileri.

Di luar masa peperangan ini, risiko tetap ada kerana dikatakan masih ada periuk api dan perangkap terapung yang masih hidup dan merbahaya.

7. Kecuaian di dok dan pelabuhan

Dok dan pelabuhan biasanya agak sibuk dan sempit bagi memaksimakan kecekapan dan operasi. Disebabkan ini, kapal-kapal perlu dikemudi dengan tepat dan kadang-kadang dengan bantuan bot penarik.

Tetapi dengan saiz kapal besar hari ini, terdapat beberapa kemalangan di pelabuhan yang menenggelamkan kapal.

Itu sahaja tujuh sebab utama sesebuah kapal boleh karam atau tenggelam yang dapat kami kongsikan. Harus diingat senarai ini hanya sebagai pengetahuan am dan tiada kaitan dengan insiden KD Pendekar.

Untuk makluman, KD Pendekar mula ditauliahkan (beroperasi) pada 21 Ogos 1979. Ia mempunyai ukuran 43.62m penjang, 7.1m lebar, dan mampu beroperasi secara berterusan selama tujuh hari.

Persenjataan pada KD Pendekar termasuklah misil Exocet MM38 dan meriam Bofors 57mm dan 40mm.

Sama-sama kita tunggu laporan lanjut dari pihak berkuasa berkenaan insiden KD Pendekar. Apa pun, terima kasih dan tabik hormat kepada semua anggota-anggota tentera yang berkhidmat menjaga keamanan dan kedaulatan negara kita!

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved