Arkib Tag: terhempas

Helikopter AW139 milik APMM terhempas, semua kru selamat

SEBUAH helikopter Leonardo AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dilaporkan terhempas di perairan Klang, kira-kira lima batu nautika dari Pulau Angsa, pagi tadi.

Menurut siaran rasmi oleh APMM, pesawat dengan nombor pendaftaran M72-01 itu melakukan pendaratan cemas di Perairan Pulau Angsa, Selangor lebih kurang pada jam 9.55 pagi tadi ketika melakukan latihan menyelamat.

Maklumat awal diterima menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian.

Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 10.15 pagi tadi.

AW139 milik APMM. Gambar oleh: helis.com

Pesawat yang mendarat cemas diterbangkan oleh Leftenan Komander Maritim Tengku Mohd Nizam bin Tengku Zakaria, Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol bin Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I Maritim John bin Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara Muda Maritim Muhamad Nurhayyat bin Hashim.

Airbus AS365 N3 Dauphin. Gambar oleh: Jetphotos

Aset Maritim Malaysia yang diatur gerak ke lokasi kejadian ialah BOT PENGAWAL 25 dari Maritim Negeri Selangor, bot RH 16 dan PSC 39 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dan sebuah pesawat AS365N3 Dauphin APMM dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).

Semua kru AW139 telah diselamatkan dan telah diterbangkan ke SUMS.

Sebelum itu, bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan telah memberi bantuan awal kepada kru yang terbabit dan 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan KM BAGAN DATUK juga diatur gerak ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca-punca kejadian.

Maritim Malaysia juga mengucapkan terima kasih atas maklumat dan tindakan pantas daripada komuniti maritim yang membantu CARILAMAT kejadian ini.

Operasi CARILAMAT telah ditamatkan oleh CAAM pada jam 11:15 pagi sebentar tadi.

Beechcraft Model 390 (Premier I) – Ini info ringkas jet peribadi ringan terhempas di Elmina

Selain kereta dan motosikal, kami juga pesawat sama ada jet peribadi, jet pejuang, kapal terbang komersil, atau helikopter. Kesemuanya mempunyai enjin, dan kita sebagai lelaki juga cenderung tertarik kepada jentera-jentera sebegini, bukan?

Kebanyakan pesawat juga mempunyai tahap kejuruteraan dan teknologi tinggi sama ada dari segi rekabentuk, avionik, atau sistem yang digunakan.

Kali ini kita hendak bercerita mengenai Beechcraft Model 390 (Premier I). Ia sebuah jet ringan yang direka untuk bersaing dengan pesawat seperti Cessna CitationJet, Bombardier Learjet 45, dan Embraer Phenom 300.

Beechcraft Premier I mula direka bentuk pada 1994 dan dilancarkan pada September 1995 semasa acara National Business Aviation Association Convention. Penerbangan pertama dibuat pada Disember 1998. Kemudian pada September 2005, varian baharu Premier IA dikeluarkan.

Beechcraft Premier I biasa dioperasikan oleh dua krew, tetapi juga boleh diterbangkan oleh seorang krew. Ia mampu memuatkan enam atau tujuh penumpang. Dari segi dimensi, ia mempunyai panjang 14.02 meter, tinggi 4.67 meter, dan lebar sayap 13.56 meter.

Berat kosong ialah sekitar 3,901kg tetapi berat maksima semasa berlepas ialah 5,670kg dengan kapasiti bahan api 1,665kg dan muatan 635kg.

Beechcraft Premier I dikuasakan oleh dua unit enjin turbofan Williams FJ44-2A dengan tujahan 2,300 pound setiap satu. Ini memberikannya jarak penerbangan sehingga 1,530km dan kelajuan maksima 461 knot (853km/j).

Tetapi kelajuan meluncur adalah sekitar 426 knot (788km/j) dan untuk lebih penjimatan bahan api, ia akan meluncur pada 370 knot (685km/j).

Dengan kuasa dan saiz yang kompak juga, jet ini mampu mendaki dengan kadar 4,000 kaki seminit, berlepas dengan landasan sependek 1,156 meter dan mendarat dengan jarak 968 meter.

Premier I dibina dari bahan komposit yang kuat, dengan struktur honeycomb epoxy dan gentian karbon. Premier IA merupakan varian baharu dengan kabin direka semula dan sistem yang ditambah baik.

Pesawat Beechcraft Premier I juga tidak asing di Malaysia, tetapi unit yang digunakan dalam kemalangan di Elmina dioperasikan oleh Jetvalet Sdn Bhd. Syarikat itu merupakan sebahagian dari kumpulan Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB).

Selain Beechcraft Premier I, mereka juga menawarkan sewaan Hawker 4000 yang lebih besar dan mampu memuatkan sehingga 12 penumpang tidak termasuk dua krew.

Helikopter AW189 Bomba terhempas, tujuh anggota selamat

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan insiden kemalangan helikopter jenis Leonardo S.p.A AW189, nombor pendaftaran 9M-BOF di kawasan apron UniKL MIAT Hangar dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Gambar oleh: Youtube

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud berkata, helikopter yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu sedang menjalani ujian penerbangan.

Menurutnya, menara kawalan trafik udara Subang menerima laporan kemalangan pada 11:52 pagi dan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) bertindak segera terhadap insiden terbabit.

“Terdapat tujuh penumpang termasuk juruterbang dalam helikopter terbabit dan kesemuanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Helikopter Mil Mi-8 dengan 16 penumpang terhempas di timur Rusia

SEBUAH helikopter Mil Mi-8 dengan 16 penumpang terhempas di wilayah timur jauh Kamchatka, Rusia awal pagi ini. Menurut petugas kecemasan, sembilan dari mereka ditemui selamat manakala tujuh lagi masih hilang dan dikhuatiri maut.

Helikopter itu difahamkan milik syarikat Vityaz-Aero, terbang dengan tiga orang krew dan 13 penumpang yang merupakan pelancong.

Sebuah helikopter Mil Mi-8 milik Vityaz-Aero. Gambar oleh: Jetphotos.com

Ia dalam perjalanan dari Moscow ke St Petersburg sebelum terhempas di sebuah tasik di semenanjung Kamchatka. Agensi berita TASS melaporkan tujuh penumpang dan dua krew ditemui selamat di lokasi kejadian.

Semenanjung Kamchatka merupakan lokasi pelancongan popular dengan alam semulajadinya. Ia terletak lebih 6,000km di timur Moscow dan kira-kira 2,000km ke barat Alaska.

Standard keselamatan penerbangan Rusia semakin baik kebelakangan ini, tetapi kemalangan terutamanya yang melibatkan helikopter dan kapal terbang berusia bukanlah satu perkara yang asing.

Pada Julai lepas, 28 penumpang terkorban apabila pesawat turboprop enjin-kembar Antonov An-6 terhempas.