Arkib Tag: tentera udara

Kenapa jet pejuang buat u-turn atas lapangan terbang sebelum mendarat?

PERNAHKAH anda lihat beberapa buah jet pejuang tiba di lapangan terbang, kemudian seakan-akan membuat bulatan atau pusingan-U sebelum berpusing semula menghadap landasan untuk mendarat?

Ini sedikit berbeza dengan pesawat komersial yang kita biasa naiki, yang terus perlahan dari jauh menuju lapangan terbang dan terus mendarat sebaik tiba.

Secara asasnya, sama ada anda perasan atau tidak, jet pejuang membuat approach atau ketibaan ke lapangan terbang dalam bentuk bulatan manakala pesawat komersial terbang dalam laluan lurus sahaja.

Teknik approach jet pejuang ini dinamakan Overhead Break Pattern. Persoalannya, mengapa?

Imej oleh: DVIDS

Overhead Break Pattern ini mempunyai dua tujuan utama. Pertama adalah untuk ‘buang’ kelajuan. Jet pejuang sangat aerodinamik untuk terbang pada kelajuan tinggi, maka ia memerlukan masa untuk diperlahankan mendekati lapangan terbang.

Jadi, belokan tajam 180-darjah ke belakang semasa ‘break’ sangat membantu memperlahankan pesawat dengan cepat sebelum gear pendaratan dibuka.

Keduanya, ‘break’ ini membolehkan formasi ‘dipecahkan’ untuk pesawat mengambil giliran mendarat satu per satu. Sela masa ‘break’ beberapa saat dari formasi untuk setiap pesawat memberikan mereka jarak sesuai untuk giliran mendarat.

Sesebuah formasi jet pejuang (bergantung kepada angkatan udara) akan tiba di pangkalan pada kelajuan sekitar 350 hingga 500 knot, di ketinggian kira-kira 1,000 kaki.

Kemudian mereka ‘break’ atau berpecah satu demi satu membentuk barisan dengan jarak kira-kira 30 saat antara mereka untuk mengambil giliran mendarat.

Dalam video di bawah, anda dapat lihat dengan jelas pesawat-pesawat pejuang dalam formasi sebelum berpecah mendarat mengikut giliran. Formasi ini adalah dari Eksesais PARADISE antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).

Dari sudut lain pula, jika dalam situasi peperangan, Overhead Break Pattern membolehkan juruterbang melihat secara visual keadaan landasan dari atas sebelum berpusing dan melakukan pendaratan.

Teknik ini juga lebih sesuai dalam situasi peperangan kerana juruterbang lebih peka dengan keadaan sekeliling.

Pergerakan pesawat juga lebih sukar dijangka pihak musuh berbanding jika terbang rendah dan perlahan dalam garisan lurus menuju ke lapangan terbang untuk mendarat.

KAI FA-50 Block 20

Aset utama pesawat pejuang dalam situasi peperangan bukanlah senjatanya, tetapi kelajuan dan altitud (ketinggian). Jadi, juruterbang pejuang seboleh-bolehnya mahu mengelak berada dalam posisi rendah dan perlahan untuk tempoh yang lama.

Sukhoi Su-30 MKM milik TUDM.

Selain itu, jika dalam situasi aman, teknik Overhead Break Pattern ini membolehkan juruterbang pejuang ‘show off’ sedikit kepada juruterbang biasa yang lain. Ibarat kita memandu kereta sports dan ‘belanja’ bunyi atau pecutan kepada pengguna jalan raya lain!

Kini, anda sudah tahu ilmu baharu! Jika anda berminat untuk lebih banyak info sebegini, boleh nyatakan di ruangan komen.

Pesawat Darkstar dari filem Top Gun: Maverick dipamerkan di pangkalan udara Edwards

IANYA hanya sebuah prop filem, tetapi pesawat fiksyen Lockheed Skunk Works Darkstar sebuah prop yang agak meyakinkan dengan kemampuan hipersonik.

Pesawat yang menjadi jet pejuang ujian Tentera Laut AS dalam filem itu kini dipamerkan dalam acara Aerospace Valley Open House 2022 bertempat di pangkalan udara Edwards, California.

Pesawat itu diparkir bersebelahan pesawat sebenar Lockheed SR-71 Blackbird untuk pameran statik, sepanjang tempoh acara berlangsung iaitu dari 13 hingga 16 Oktober 2022.

Darkstar itu menampilkan konsep pengganti Blackbird, atau designasi SR-72, malah rupa dan penampilannya cukup mirip dengan pesawat pengintip altitud tinggi yang mula beroperasi pada 1960an.

“Ia nampak cukup realistik kerana ia dibina oleh Lockheed Skunk Works sendiri dan bukan oleh Hollywood,” satu sumber dari penganjur melaporkan kepada The Aviationist.

Dalam filem Top Gun: Maverick, pesawat Darkstar itu ditampilkan dalam babak awal dimana watak utama, Pete ‘Maverick’ Mitchelle lakonan Tom Cruise membuat penerbangan ujian dan mencuba untuk mencapai Mach 10 (10 kali ganda kelajuan bunyi).

Pesawat itu meletup dan terhempas selepas penerbangan hipersonik itu tetapi Maverick terselamat dan dibawa pulang ke pangkalan oleh helikopter penyelamat.

Gambar oleh: Aerospace Valley Air Show, The Aviationist

TUDM sah berminat dengan F/A-18D Hornet terpakai Kuwait

URA-ura mengenai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ingin memperolehi sejumlah Boeing F/A-18D Hornet terpakai dari Kuwait sudah lama kedengaran.

Baru-baru ini, perkara itu disahkan sendiri oleh Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang berkata pihaknya sedang mengatur pertemuan dengan Panglima Tentera Udara Kuwait pertengahan bulan ini.

Boeing F/A-18D Hornet milik TUDM. Sumber: Youtube

Jika hasrat ini menjadi realiti, Hornet terpakai dari Tentera Udara Kuwait itu akan menambah armada sedia ada F/A-18D milik TUDM (lapan buah pada masa ini).

“Pelbagai usaha sedang dilaksanakan kita juga sedang menunggu… insya-Allah saya akan ke Dubai Airshow 2021 (di Dubai World Central dari 14 hingga 18 November 2021).

“Staf-staf saya sedang mengatur untuk mengadakan pertemuan dengan Panglima Tentera Udara Kuwait… kalau berkesempatan untuk bertemu mata dengan mata, bertanya daripada mulut beliau sendiri sama ada mereka mempunyai hasrat menjual pesawat itu kepada pihak yang ketiga,” tambahnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Penutup Eksesais PARADISE Siri 8/2021 di Pangkalan Udara Kuantan pada Selasa.

F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait. Sumber: ainonline.com

Kuwait sebelum ini dilaporkan merancang untuk menghentikan penggunaan pesawat F/A-18 Hornet (varian A dan D) dan menggantikannya dengan pesawat F/A-18 Super Hornet.

Gambar oleh: Gianluca Galli

Dalam perkembangan lain, Ackbal berkata TUDM akan memperolehi empat unit helikopter Agusta Westland AW139 secara sewaan dalam masa terdekat untuk tempoh empat hingga lima tahun sementara menunggu rancangan perolehan 24 buah helikopter yang baharu pada Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13)

“Alhamdulillah kita telah dimaklumkan tender baru ditutup dan telahpun di award… saya tak boleh kata syarikat mana yang dapat… dan dalam masa terdekat ini pesawat itu akan mula beroperasi bersama TUDM secara sewaan empat ke lima tahun.

“TUDM mengharapkan the next one is jangka panjang… dan itu perolehan helikopter… kalau boleh dalam RMK-13 sebanyak 24 helikopter lagi,” katanya.

Empat helikopter berkenaan adalah bagi mengisi keperluan utiliti TUDM, katanya.

Helikopter AW139 sebenarnya tidak asing dalam inventori agensi-agensi di Malaysia, digunakan oleh pihak polis, bomba dan maritim.

China ‘tunjuk taring’ selepas TUDM buat latihan bersama Tentera Udara AS

TIDAK sampai 24 jam selepas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan latihan bersama-sama United States Pacific Air Force (US PACAF), China mula bertindak balas memberi ‘amaran’.

Beberapa portal pertahanan antarabangsa melaporkan sejumlah kapal Pengawal Pantai negara itu menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pagi tadi.

Antaranya adalah dua kapal dengan kod CCG 5202 dan CCG 6307 bertindak biadab memasuki kawasan Sabah yang kaya dengan gas dan minyak mentah berkualiti.

Kapal pengawal pantai China yang dikatakan mencerobohi perairan Malaysia. Sumber: Facebook

Mereka dilihat mengiringi kapal peninjau penyelidikan China dikenali Da Yang Hao yang sebelum itu angkuh menceroboh perairan Vietnam sebelum diusir.

Setakat pukul 10.20 pagi waktu Malaysia semalam, kapal itu hanya sejauh 50 batu nautika atau 93km dari kapal carigali West Capella disewakan syarikat petroleum nasional, Petronas.

Langkah mengejut itu dipercayai sebagai isyarat amaran kepada Malaysia yang melancarkan Op Curiga bagi mengekang kehadiran banyak pesawat tentera udara China akhir-akhir ini.

Latihan melibatkan B-52 Amerika Syarikat dan beberapa jenis pesawat pejuang TUDM. Sumber: Facebook

Kebetulan, TUDM pada hari berkenaan mempamerkan ‘kekuatan’ menerusi latihan bersama pesawat pengebom B-52 dari pangkalan udara Amerika Syarikat (AS) di Guam, sebuah pulau di Lautan Pasifik.

Sumber: Facebook

Ia menyaksikan buat julung kali aset pesawat pejuang TUDM iaitu Sukhoi Su-30 MKM, F/A-18D Hornet serta Hawk 208 dan 108 ‘menawan’ ruang angkasa ZEE negara kita.

Tindakan Malaysia itu sebagai respon kepada China yang sebelum itu melakukan latihan dengan beberapa kapal perang Tentera Laut Singapura di zon dipertikaikan sekitar Laut China Selatan.

Kehadiran banyak kapal tentera dan pesawat rejim komunis itu dipercayai bagi memberi mesej kepada negara-negara anggota ASEAN agar tidak cuba menuntut perairan berkenaan.

Sumber: Facebook

Latihan bersama antara TUDM dan US PACAF adalah sebahagian dari Eksesais PASSEX B-52 Siri 2/21.

Ianya berlangsung pada 24 September di kawasan latihan yang digazetkan di Selat Melaka melibatkan pesawat pengebom B-52 dari US PACAF serta Su-30 MKM, F/A-18D Hornet, Hawk dan A400M dari TUDM.

Eksesais gabungan dua hala ini dilaksanakan bertujuan mengeratkan hubungan diplomatik dua hala dan diplomasi ketenteraan.