fbpx

TUDM sah berminat dengan F/A-18D Hornet terpakai Kuwait

fa-18 hornet tudm 01

URA-ura mengenai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ingin memperolehi sejumlah Boeing F/A-18D Hornet terpakai dari Kuwait sudah lama kedengaran.

Baru-baru ini, perkara itu disahkan sendiri oleh Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang berkata pihaknya sedang mengatur pertemuan dengan Panglima Tentera Udara Kuwait pertengahan bulan ini.

Boeing F/A-18D Hornet milik TUDM. Sumber: Youtube

Jika hasrat ini menjadi realiti, Hornet terpakai dari Tentera Udara Kuwait itu akan menambah armada sedia ada F/A-18D milik TUDM (lapan buah pada masa ini).

“Pelbagai usaha sedang dilaksanakan kita juga sedang menunggu… insya-Allah saya akan ke Dubai Airshow 2021 (di Dubai World Central dari 14 hingga 18 November 2021).

“Staf-staf saya sedang mengatur untuk mengadakan pertemuan dengan Panglima Tentera Udara Kuwait… kalau berkesempatan untuk bertemu mata dengan mata, bertanya daripada mulut beliau sendiri sama ada mereka mempunyai hasrat menjual pesawat itu kepada pihak yang ketiga,” tambahnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Penutup Eksesais PARADISE Siri 8/2021 di Pangkalan Udara Kuantan pada Selasa.

F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait. Sumber: ainonline.com

Kuwait sebelum ini dilaporkan merancang untuk menghentikan penggunaan pesawat F/A-18 Hornet (varian A dan D) dan menggantikannya dengan pesawat F/A-18 Super Hornet.

Gambar oleh: Gianluca Galli

Dalam perkembangan lain, Ackbal berkata TUDM akan memperolehi empat unit helikopter Agusta Westland AW139 secara sewaan dalam masa terdekat untuk tempoh empat hingga lima tahun sementara menunggu rancangan perolehan 24 buah helikopter yang baharu pada Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13)

“Alhamdulillah kita telah dimaklumkan tender baru ditutup dan telahpun di award… saya tak boleh kata syarikat mana yang dapat… dan dalam masa terdekat ini pesawat itu akan mula beroperasi bersama TUDM secara sewaan empat ke lima tahun.

“TUDM mengharapkan the next one is jangka panjang… dan itu perolehan helikopter… kalau boleh dalam RMK-13 sebanyak 24 helikopter lagi,” katanya.

Empat helikopter berkenaan adalah bagi mengisi keperluan utiliti TUDM, katanya.

Helikopter AW139 sebenarnya tidak asing dalam inventori agensi-agensi di Malaysia, digunakan oleh pihak polis, bomba dan maritim.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved