Arkib Tag: tentera darat

Helikopter MD 530G tunjuk taring dalam Latihan Kuasa Tembakan 2022

ASET terbaharu Tentera Darat Malaysia (TDM), helikopter penyerang MD 530G pamer keupayaannya semasa Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, semalam.

Helikopter yang dikendalikan oleh 883 Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia (PUTD) melakukan penembakan dengan menggunakan gatling gun M134D dan pod mesin gan berat FN Herstal 12.7mm.

Aksi yang dipamerkan oleh MD 530G itu sebahagian daripada demonstrasi keupayaan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa LKT 2022.

Helikopter keluaran MD Helicopter Inc ini telah diserahkan secara rasmi oleh Destini kepada TDM pada 13 Jun lalu.

Penyerahannya dilaksanakan selepas kesemua enam unit MD 530G selesai menamatkan Ujian Penerimaan Akhir (Final Acceptance Test).

Latihan tahunan LKT 2022 disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM dan Panglima-panglima perkhidmatan.

Turut hadir menyaksikan acara ini ialah anakanda kepada Yang di-Pertuan Agong, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Kanan Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, “Pengujian helikopter MD 530G sekaligus memberi peluang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TDM untuk menilai sebarang ruang penambahbaikan bagi keupayaan aset pada masa akan datang.”

Menyentuh MD 530G, Hishammuddin menjelaskan isu perolehan helikopter tersebut telah selesai.

“Hari ini kita semua dapat saksikan helikopter MD530G telah pun dimanfaatkan dan dapat diuji keupayaannya dalam LKT tahun ini

“Isu mengenai helikopter ini telah dapat diselesaikan dan ia juga telah diterima oleh end user (Tentera Darat) yang sangat memerlukannya iaitu PUTD,” katanya dalam kenyataan.

Gambar oleh: Izarul Lee

Enam helikopter MD 530G Tentera Darat selamat tiba ke tanah air

ENAM buah helikopter MD 530G milik Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) selamat tiba di Malaysia. Kesemua aset tersebut tiba ke negara ini melalui jalan laut pada hujung minggu lalu.

Menurut sumber Air Times News Network, keenam-enam kontena yang mengandungi MD 530G telah pun dikeluarkan dari kawasan pelabuhan dan ditempatkan di sebuah hangar milik syarikat tempatan.

Sumber: Defence Security Asia

“Kesemua helikopter tersebut telah dibawa dari sebuah pelabuhan di pantai barat Amerika Syarikat dengan menggunakan sebuah kapal kontena,” kata sumber itu kepada Air Times.

“Pelayaran tersebut berjalan selama 5 minggu sebelum tiba di Malaysia,” tambahnya.

Sementara itu, sumber dari Kementerian Pertahanan Malaysia mengesahkan Majlis Penyerahan MD 530G akan diadakan pada minggu hadapan.

Sumber: Asian Defence Journal

“Pelancaran mungkin akan dijalankan sebelum sambutan Hari Tentera Darat Malaysia,” katanya.

Tentera Darat Malaysia akan menyambut Hari Ulang Tahun ke-89 pada 1 Mac nanti.

Pada Januari lalu, syarikat MD Helicopters, Inc. (MDHI) mengesahkan kesemua MD 530G telah diserahkan kepada kerajaan Malaysia melalui firma Halaman Optima/ Destini Prima.

MDHI juga mengesahkan seramai lapan juruterbang dan sembilan mekanik dari Tentera Darat Malaysia telah selesai menjalani latihan di Texas.

Perolehan MD 530G menjadi tumpuan umum berikutan kelewatan penerimaan aset tersebut dari AS. Pembelian kesemua pesawat terbabit adalah bernilai RM300 juta pada tahun 2015 dan sepatutnya diterima pada sekitar 2017-2018.

Helikopter tempur MD 530G Tentera Darat mula latihan tembakan di Texas

MD Helicopters mengadakan latihan tembakan baru-baru ini di sekitar kawasan El Paso, Texas, Amerika Syarikat (AS) yang bersempadan dengan Mexico.

Latihan tembakan itu diadakan oleh instruktor untuk melatih juruterbang-juruterbang tentera negara pelanggan MD Helicopters, termasuklah Tentera Darat Malaysia (TDM). Aktiviti itu melibatkan beberapa unit helikopter tempur ringan MD 530F dan MD 530G.

Malaysia memesan enam unit MD 530G Light Scout Attack dan dijangka menerimanya bulan ini.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain pada Februari lepas melaporkan bahawa MD 530G itu telah melalui proses ujian kelayakan udara, dan pihak ATM telah pergi ke AS untuk melihatnya di samping menjalani latihan.

MD 530G sepatutnya diterima dalam dua fasa, dengan dua pada Julai 2017 dan empat lagi sebelum Disember 2018.

Tetapi pandemik Covid-19 serta faktor spesifikasi khusus adalah antara punca enam helikopter yang dipesan untuk keperluan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalami kelewatan dibawa masuk ke negara ini.

Md 530G ialah sebuah helikopter tempur ringan generasi baharu yang mempunyai berat berlepas maksima 1,701kg, mampu membawa beban 816kg dan dioperasikan oleh dua krew. Ia mampu terbang dengan kelajuan cruise 240km/j dan mempunyai jarak operasi 426km.

Antara persenjataan pada MD 530G adalah mesin gan 7.62mm dan roket panduan laser Raytheon TALON.

Difahamkan TDM telah mewujudkan Rejimen 882 PUTD (Pasukan Udara Tentera Darat) di Kuantan bagi menempatkan skuadron helikopter tempur ini. Pembinaan telah berjalan sejak Februari 2018.

Gambar oleh: Vertical Mag