Arkib Tag: Suzuki Malaysia

Suzuki Malaysia lancar skuter 125 cc Avenis, Burgman Street EX, dari RM6,980

Suzuki Malaysia baharu sahaja mengumumkan ketibaan dua skuter bersesaran 125 cc untuk pasaran tempatan, iaitu Suzuki Avenis dan Suzuki Burgman Street EX.

 

 

Direka untuk mereka yang memiliki gaya hidup dinamik, Suzuki Avenis dikuasakan oleh nadi empat lejang silinder tunggal 124 cm3 yang mampu menghasilkan kuasa 8.7 PS @ 6,750 rpm dan daya kilas 10 Nm @ 5,500 rpm.

Secara standard, Avenis dibekalkan dengan sistem brek cakera depan dan gelendong di belakang, suspensi jenis fork teleskopik di depan dibantu dengan lengan ayun di bahagian belakang.

 

 

Ciri lain termasuklah unit lampu LED depan dan belakang, Suzuki Easy Start System, paparan meter digital, soket USB serta ruang storan bawah pelana sebesar 21.8 liter.

Kapasiti tangki Avenis adalah sebesar 5.2 liter, dengan ketinggian pelana sekitar 780 mm.

 

 

Suzuki Burgman Street EX pula membawakan penampilan yang lebih premium, di mana ia membawakan jarak antara roda yang lebih panjang, tempat duduk luas, serta ruang lantai kaki hadapan yang menawarkan posisi tunggangan yang ergonomik.

Sama seperti Avenis, Burgman turut dikuasakan oleh nadi silinder tunggal 125 cc, namun dengan ciri tambahan Suzuki Eco Performance Alpha (SEP-a) yang dilengkapi dengan sistem Engine Auto Stop-Start (EASS).

 

 

Ciri standard lain termasuklah skrin penghadang angin, unit lampu LED depan belakang, meter digital, ruang storan bawah pelana sebesar 21.5 liter, soket USB, serta kapasiti tangki bahan api sebesar 5.5 liter.

Burgman turut membawakan tetapan suspensi teleskopik/lengan ayun, sistem brek cakera depan/gelendong belakang, serta tinggi pelana sekitar 780 mm.

 

 

Untuk pasaran Malaysia, Suzuki Avenis tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu Metallic Matte Fibroin Grey/Metallic Lush Green, Metallic Matte Black/Glass Sparkle Black, serta edisi khas GP dengan gandingan warna Metallic Sonic Silver/Triton Blue.

Suzuki Burgman Street EX pula datang dengan dua warna eksklusif, iaitu Pearl Moon Stone Gray dan Metallic Mat Black.

Harga jualan adalah seperti berikut:
1. Suzuki Avenis : RM 6,980.00
2. Suzuki Avenis (Edisi GP) : RM 7,200.00
3. Suzuki Burgman Street EX : RM 7,500.00

 

Suzuki Avenis 125

 

Suzuki Burgman Street EX

Suzuki Gixxer 250 dan 250SF di Malaysia tidak terjejas dengan ‘product recall’

Suzuki Malaysia dalam satu kenyataan yang disiarkan di media sosial mengesahkan bahawa dua model pemasangan tempatan, Suzuki Gixxer 250 dan Gixxer 250SF tidak terlibat dengan panggilan semula (product recall) yang berlaku di pasaran dunia lain. 

Pengumuman itu dibuat susulan berlakunya panggilan semula bagi model 250cc di India yang melibatkan Gixxer 250, Gixxer 250SF dan V-Strom 250SX. 

Difahamkan, panggilan semula di India itu dibuat setelah didapati bahagian ‘camshaft’ bagi ketiga-tiga model itu telah terjejas dan boleh menyebabkan enjin mati secara tiba-tiba selain menghasilkan bunyi yang tidak normal. 

Dalam pada itu, Suzuki Malaysia memberi jaminan bahawa pemilik Gixxer 250 dan Gixxer 250SF boleh menikmati tahap keselamatan dan kepuasan tertinggi. 

Suzuki GSX-S1000 GT masuk pasaran Malaysia pada harga RM85,700

DALAM satu hantaran menerusi laman Facebook rasminya hari ini, Suzuki Malaysia mengumumkan bahawa Suzuki GSX-S1000 GT telah pun dilancarkan untuk pasaran tempatan.

Menurut Suzuki Malaysia, model sport tourer itu dijual pada harga RM85,700 tidak termasuk insurans, pendaftaran dan cukai jalan. Apa yang lebih menarik, ia didatangkan standard dengan kotak barangan sisi (side pannier).

Untuk pasaran Malaysia, GSX-S1000 GT ditawarkan dalam dua warna menarik iaitu Metallic Triton Blue dan Metallic Reflective Blue. Model ini tersedia menerusi rangkaian pengedar Suzuki Big Bike World di seluruh Malaysia.

Jentera ini tampil dengan enjin empat silinder sebaris DOHC bersesaran 999 cc yang mampu menjana 152 PS pada 11,000 rpm, 2 PS lebih tinggi berbanding output pada model terdahulu iaitu GSX-S1000 F.

Seperti GSX-R1000, kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi enam kelajuan dengan nisbah rapat. Ia dipadankan dengan Suzuki Clutch Assist System (SCAS) yang bertindak sebagai klac slipper untuk melancarkan tindak balas enjin.

GSX-S1000 GT dibina berasaskan kerangka aluminium twin-spar yang digandingkan dengan fork terbalik KYB berukuran 43 mm dan lengan ayun aluminium-aloi yang diambil terus dari GSX-R1000. Kadar spring dan daya redaman sistem suspensi ditala secara spesifik untuk model ini.

Kapasiti tangki bahan api adalah 19 liter, manakala berat keseluruhannya mencecah 226 kg. Sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar berukuran 310 mm serta angkup Brembo Monobloc.

Untuk sistem elektronik, Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) menyediakan tiga mod dengan respon pendikit dan karakteristik tork yang berbeza iaitu Active, Basic dan Comfort. Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuklah pendikit Ride-by-Wire, Traction Control, Quickshifter dan Cruise Control.

Semua sistem berkenaan boleh diakses menerusi paparan TFT-LCD berukuran 6.5 inci. Paparan ini juga boleh disambungkan dengan telefon pintar untuk memaparkan peta, panggilan telefon dan pemain muzik.

Suzuki Swift Sport: Hot hatch yang jujur! – Pandu uji

ADA perkara menggembirakan dan mengecewakan dengan Suuzki Swift Sport baharu ini. Yang menggembirakan ialah akhirnya Suzuki kembali ke Malaysia membawakan model-model terkini.

Yang mengecewakan pula ialah Swift Sport ZC33S ini tidak ditawarkan dengan pilihan manual 6-kelajuan, sebaliknya ‘hanya’ automatik 6-kelajuan.

Nanti dulu, sebelum anda semua serang penulis dengan alasan kaki lenguh, ‘traffic jam’ dan lelaki moden, harus diingat kereta sebegini lebih elok dinikmati dengan kotak gear yang betul. Hanya kerana ada pilihan automatik, tidak bermakna kita harus pilih yang itu.

Jika ada menu roti canai dengan sebuk Lotus Biscoff, tidak bermakna itu pilihan yang betul, bukan? Roti canai sedap dimakan dengan dhal dan kari sahaja. Sama lah juga dengan Swift Sport ini…

Baik, cukup merungut. Sekarang kita sudah ada unit pandu uji Swift Sport ZC33S, mari kita lihatkan mantap atau tidak hot hatch terbaharu Jepun ini.

Rupa lebih moden tapi kekalkan elemen SSS

Dapat dilihat bahawa Suzuki Swift Sport baharu mempunyai rupa lebih tajam dan agresif berbanding kereta generasi sebelumnya. Pada sesetengah bahagian seperti tiang-C dan lampu belakang juga nampak lebib premium, hampir seperti MINI Cooper S.

Pada masa yang sama, ia tetap mengekalkan ciri-ciri dan elemen dari Swift generasi sebelumnya, ini yang penulis suka. Sebagai contoh, bentuk lengkungan lampu depan yang naik hampir ke atas hud serta tiang-A yang dicat hitam memberikan kesan rupa ‘bumbung terapung’.

Jika tiada logo Suzuki pun rasanya orang boleh kenal ini sebuah Swift.

Cukup luas dan praktikal

Melihat kepada lengkuk pada ‘bahu’ kereta iaitu dari sisi pintu naik ke cermin, ia memberikan gambaran badan yang lebar tetapi ruang kabin agak kecil.

Sebenarnya, ruang dalam Suzuki Swift Sport ini tetap luas dari yang disangkakan, inilah magik pengeluar kereta Jepun. Mereka pandai mencipta ruang yang lapang tanpa mengorbankan rupa luaran.

Cuma mungkin pandangan untuk penumpang belakang terhalang sedikit oleh tempat duduk depan yang besar dan sporti. Mujurlah siling kereta berwarna cerah, jika berwarna hitam pasti memburukkan keadaan.

Untuk kabin depan, boleh dikatakan masih banyak plastik-plastik berkos rendah, senang cerita bahagian papan pemuka ini biasa-biasa sahaja. Tiada yang terlalu wow atau hebat walaupun kereta ini berharga kira-kira RM140,000.

Tapi harus diingat, anda bukan bayar Suzuki Swift Sport ini untuk ruang dalaman yang premium dan mewah. Jika ini yang anda cari, maka Swift Sport ini bukan untuk anda.

Berkuasa tapi jimat

Suzuki Swift Sport kali ini ditawarkan dengan enjin turbo buat kali pertama, dan sesaran diturunkan dari 1.6-liter sebelum ini kepada 1.4-liter. Enjin 1.4 BoosterJet ini menjana 140hp pada 5,500rpm dan 230Nm tork pada 2,500rpm.

Cukup atau tidak? Harus diketahui bahawa kereta ini hanya seberat 970kg, tidak sampai satu tan. Bayangkan berat sama seperti Myvi, tapi dengan 50 peratus lebih kuasa dan hampir dua kali ganda tork. Dapat bayangkan?

Penulis harus katakan tiada langsung ‘turbo lag’ pada enjin ini, ia cukup responsif. Tekan sahaja bila-bila masa, ada kuasa dan kereta terus melonjak ke depan.

Baik, kotak gear pula. Walaupun bukan manual seperti yang diharapkan, sebenarnya unit torque converter 6-kelajuan ini cukup bagus dan bijak. Ia memberikan gear yang tepat setiap masa sama ada anda memandu santai ke kedai runcit atau melayan selekoh di Ulu Yam pada pagi Ahad.

Penulis berani katakan yang kotak gear ini adalah yang terbaik dalam paras harga bawah RM150,000.

Oh ya, tiada sebarang mod Normal, Comfort atau Sport. Sebaliknya kaki anda jadi penentu. Tekan secara agresif, dia akan berikan prestasi. Tetapi ringankan kaki, dia akan beri anda keselesaan dan penjimatan.

Ya, walaupun sebuah hatchback prestasi, enjin BoosterJet ini cukup menjimatkan. Tangki 37 liter ini dengan mudah memberikan anda 450 hingga 500 kilometer.

Pengendalian jujur

Mengapa penulis kata pengendalian Swift Sport ini jujur? Dua sebab. Pertama, sterengnya begitu tepat dan banyak maklum balas, antara stereng paling responsif pernah penulis rasa dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini.

Sungguh lazat mengambil selekoh dengan stereng Swift Sport ini kerana kita akan rasa mempunyai banyak kawalan ke atasnya. Malah anda pandu kereta ini pada kelajuan 30km/j pun boleh rasa yang stereng ini bukan calang-calang.

Kedua, seperti dinyatakan tadi, tiada sebarang mod pemanduan. Jadi, kereta ini jujur dan patuh sahaja kepada sebarang arahan pemandunya. Dia boleh menjadi kenderaan selesa, dan juga boleh menjadi jentera track day.

Padanan sistem suspensi dan tayar Yokohama Advan A13 juga memberikan keseimbangan untuk semua kegunaan, membolehkan Swift Sport ini mengambil selekoh pada kelajuan tinggi tanpa sebarang drama.

Hanya untuk yang tegar

Untuk siapa Suzuki Swift Sport ini? Hanya untuk yang tegar. Kerana pada harga sekitar RM140,000, anda boleh dapat SUV segmen-B seperti Honda HR-V, Toyota Corolla Cross, malah Proton X70 yang lebih besar.

Tetapi yang memilih Swift Sport ini tidak meletakkan ruang kargo sebagai keutamaan, tetapi menghargai nikmat dan keseronokan pemanduan. Dan pasti juga dia berjaya pujuk orang rumahnya untuk kereta ini.

Dan mungkin juga sesuai untuk mereka yang bujang dan mahukan sesuatu yang seronok dipandu, tidak mahu terlalu sama dengan orang lain. Penulis gerenti Swift Sport ini boleh tapau Honda Civic yang lebih berkuasa.

Tiada kekurangan?

Kekurangan? Mestilah ada, walaupun tak banyak. Baik, selain dari ketiadaan kotak gear manual untuk pasaran Malaysia, Swift Sport ini bagi penulis terlalu senyap bunyinya.

Mungkin Suzuki mahu capai penjimatan atau menepati piawaian-piawaian tertentu, tetapi kalau ekzosnya berbunyi lebih garang dan ada meletup-letup sedikit, kira sempurna dah kereta ni.

Spesifikasi Suzuki Swift Sport

Harga: RM139,900
Enjin: 1.4-liter BoosterJet turbo
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan
Kuasa: 140hp @ 5,500rpm
Tork: 230Nm @ 2,500rpm
Pecutan 0-100km/j: 8.0 saat