Arkib Tag: subsidi

Kerajaan pertimbang beri subsidi menerusi pindahan tunai bulanan

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli berkata kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian subsidi bersasar menggunakan model pindahan tunai bulanan.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, inisiatif tersebut merupakan sesuatu yang tidak pernah ditawarkan kepada rakyat sebelum ini.

“Cadangan yang diangkat kepada kerajaan sekarang, sedang dibincangkan dan akan diputuskan ialah bantuan itu adalah dalam bentuk pindahan tunai secara bulanan.

“Sebelum ini kalau ada bantuan kita bagi tiga atau empat bulan sekali, melalui e-wallet dan sebagainya.

“Melalui Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), kita mahu ada reformasi bantuan sosial rakyat untuk tempoh jangka masa yang panjang,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Rafizi, kerajaan juga tidak boleh menunda tarikh pendaftaran PADU berikutan perlu mematuhi jadual piawaian yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa menanggung sekurang-kurangnya RM2 bilion sebulan sekiranya pelaksanaan subsidi bersasar tersebut ditangguhkan.

“Kos itu sangat tinggi dan itu pun jangkaan secara konservatif, sedangkan lebih baik sekiranya RM2 bilion itu disalurkan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengumumkan dalam Belanjawan 2024 yang lepas bahawa tahun ini kita akan melakukan penstrukturan semula subsidi pukal dan ke arah subsidi bersasar.

“Kalau kita lanjutkan, itu bermakna kita akan terus menolak garis masa pelaksanaan itu ke belakang,” ujarnya.

Sistem kad subsidi diesel diuji bermula 1 Februari 2024

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memulakan projek rintis bagi menguji sistem MySubsidi Diesel dan sistem Fleet Card syarikat minyak. Ia akan dijalankan menerusi enam syarikat pengangkutan barangan terpilih akan dilaksana berkuat kuasa 1 Feb depan.

Menterinya, Armizan Mohd Ali berkata pelaksanaan projek rintis itu adalah bagi perluasan pemberian kuota diesel bersubsidi kepada sektor pengangkutan darat (barangan) melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

Foto oleh Miera Zulyana/MalayMail

Enam syarikat tersebut adalah Perceptive Logistic Sdn Bhd, Multimodal Freight Sdn Bhd, Mun Chuen Transport Sdn Bhd, Tan Swee Hee Sdn Bhd, Sim Yew Enterprise Sdn Bhd dan Rantau Panjang Haulage Sdn Bhd yang dipilih susulan kuota Skid Tank mereka bakal luput pada bulan ini.

“Sesi libat urus telah dilaksana untuk memberi pendedahan kepada syarikat perintis dan syarikat minyak tentang panduan untuk memohon kuota dan pelaporan menggunakan Sistem MySubsidi Diesel dan sistem Fleet Card,” kata Armizan dalam satu sidang media.

Beliau sebelum itu melakukan lawatan kerja bagi meninjau persiapan Syarikat Perceptive Logistics untuk pelaksanaan projek rintis itu di Pelabuhan Klang.

“SKDS ketika ini diberikan melalui dua saluran iaitu Skid Tank yang melibatkan permohonan dan pemprosesan secara manual dan Fleet Card yang menggunakan sistem MySubsidi Diesel KPDN.

“Ketika ini, hanya sektor pengangkutan darat (awam) menggunakan saluran Fleet Card manakala sektor pengangkutan barangan (darat), bot penumpang sungai serta feri dan bot ke pulau utama masih menggunakan saluran Skid Tank,” tambahnya.

Katanya penggunaan Fleet Card mampu mengurangkan jenayah penyelewengan dan penyeludupan minyak diesel bersubsidi memandangkan sistem itu akan dipantau oleh KPDN dan syarikat minyak secara digital manakala Skid Tank hanya melibatkan pelaporan oleh syarikat terbabit.

“Pihak KPDN akan terus memantau pelaksanaan projek rintis ini dan mendapatkan maklum balas daripada pihak industri bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan sistem yang dijangka dilaksanakan pada suku kedua tahun ini,” katanya.

Subsidi pukal bahan api tidak adil kepada kumpulan sasar – Zahid

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa bahawa kaedah subsidi pukal tidak mencapai objektif asas kerana kumpulan sasar yang sepatutnya dibantu tidak mendapat manfaat yang optimum.

Timbalan Perdana Menteri itu memetik Laporan Kajian Impak Program Subsidi Petrol dan Program Subsidi Diesel Sektor Pengangkutan Terpilih, yang mengatakan bahawa kumpulan T20 secara purata menggunakan RM399 sebulan bagi petrol RON95, manakala kumpulan B40 pula menggunakan RM243 sebulan.

Justeru, beliau menegaskan adalah tidak wajar untuk kerajaan meneruskan pendekatan yang disifatkan sebagai tidak adil kepada kumpulan sasar.

“Subsidi diesel yang sepatutnya memberi manfaat kepada nelayan atau pengguna untuk mendapat ‘value for money’ kepada perkhidmatan dan barangan yang mereka beli, telah turut disalahgunakan oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan.

“Kita tahu, disebabkan diesel disubsidi secara pukal, wujud ruang ketirisan yang telah menyebabkan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dan menyeludup diesel di pasaran gelap,” kata Zahid dalam teks ucapan yang dibaca oleh pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Teks tersebut dibaca oleh Armizan ketika mewakili Ahmad Zahid merasmikan Simposium Kos Sara Hidup 2023 di Pusat Pameran dan Konvensyen, IOI City Mall, Putrajaya pada Selasa.

Kerajaan akan laksana program subsidi bersasar RON95 pada 2024

KERAJAAN mengumumkan ia akan mula melaksanakan program subsidi bersasar RON95 pada 2024 sebagai langkah untuk mengoptimumkan sumbernya kepada golongan yang paling memerlukannya.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang berkata sebuah negara apabila T20 menerima 53 peratus daripada subsidi bahan api yang menyeluruh bukan satu model yang mampan dan juga bukan sebuah model yang saksama.

“Usaha ini sejajar dengan kedudukan kerajaan dalam meluaskan paradigma fiskal. Berdasarkan kewangan awam kita yang mengalami defisit fiskal lebih 5.0 peratus selama tiga tahun berturut-turut, kita perlu mencari kaedah baharu untuk menggerakkan sumber kita dan mengurangkan pembaziran dalam sistem,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Prospek Ekonomi Negara (NEOC) di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah beliau lagi, melaksanakan program penyasaran semula subsidi pada akhir 2024 akan segera membawa kepada kedudukan fiskal yang lebih baik untuk negara.

Subsidi bersasar diesel dijangka dilaksana tahun depan – Menteri KPDN

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel dijangka mula dilaksanakan pada tahun depan.

Menurut beliau, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang melibatkan beberapa kementerian semalam (17 Mei 2023) bersetuju supaya satu pangkalan data bersepadu disiapkan bagi memastikan pelaksanaan subsidi bersasar itu berkesan.

Katanya perbincangan itu melibatkan KPDN, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Kesemua kementerian ini melihat dan sedang menyiapkan satu pangkalan data bersepadu bagi proses penyelarasan data yang berkesan.

Semua agensi dan kementerian sudah ada pangkalan data masing-masing, cuma kita perlu selaraskan semuanya dan pastikan ia tepat dan berkesan apabila ia (subsidi bersasar diesel) dilaksanakan,” katanya.

Pada Februari lepas, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berkata kerajaan mampu memperoleh penjimatan sehingga RM17 bilion sekiranya golongan T20 tidak menikmati subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Subsidi bersasar: Kerajaan akan guna data bersepadu, bukan cc semata-mata

KERAJAAN akan menggunakan pangkalan data bersepadu dan komprehensif membabitkan data daripada Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Perangkaan Malaysia, Khazanah Nasional selain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam mekanisma pemberian subsidi bersasar termasuk petrol RON95.

Gambar oleh: Malay Mail

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata beliau ingin memperbetulkan salah faham yang mengatakan kerajaan akan hanya menggunakan pangkalan data JPJ dan merujuk kepada kuasa kuda (cc) kenderaan sahaja untuk pemberian subsidi bersasar petrol RON95.

Katanya, data JPJ itu hanyalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar petrol RON95.

“Saya sudah nyatakan dengan jelas tempoh hari, data JPJ itu adalah satu daripada elemen yang akan digunakan dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

“Kita juga ada data Bank Negara, LHDN, Jabatan Perangkaan Malaysia, Khazanah Nasional selain kajian dibuat universiti tempatan yang akan dirujuk.

“Jadi kita harus melihat kepada semua data berkenaan dan bukan hanya data JPJ sahaja diperlukan,” tambahnya.

Menurutnya, memang antara data yang akan dirujuk adalah data JPJ, namun perlu ada pusat data yang lebih bersepadu dan komprehensif untuk kerajaan menjayakan pemberian subsidi bersasar dengan berkesan.

“Jadi, tidak tepat kerajaan hanya akan rujuk pangkalan data JPJ dan berdasarkan cc kenderaan sahaja untuk kita beri subsidi bersasar petrol RON95,” katanya.

Sabtu lalu, Salahuddin dilaporkan memaklumkan pangkalan data JPJ akan digunakan sebagai satu daripada elemen dalam pemberian subsidi bersasar membabitkan petrol RON95.

Beliau dilaporkan berkata, itu antara yang dipersetujui dalam mesyuarat kementeriannya bersama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi, minggu lalu.

Kami kemudian ada menambah bahawa pemberian subsidi bersasar berdasarkan kuasa kuda (cc) sahaja tidak tepat, malah kuasa kuda juga tidak sama dengan cc. Dua perkara berbeza.

Diharapkan kerajaan dan kementerian berkaitan akan dapat mencari solusi terbaik dan paling tepat agar hanya golongan yang layak sahaja mendapat subsidi petrol bersasar ini.

Subsidi petrol ikut cc kenderaan: Langkah mudah tanpa pemahaman mendalam? – Suara Engear

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salahuddin Ayub menyatakan bahawa mekanisma untuk memberikan subsidi bahan api petrol secara bersasar sudah hampir lengkap.

Menurutnya, mekanisma subsidi itu akan menggunakan data dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengenal pasti mereka yang layak menerima bantuan tersebut.

“Jadi dari segi data itu (subsidi bersasar) sudah hampir lengkap untuk kita berikan data itu kepada Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) tentang bagaimana kita boleh buat subsidi bersasar ini,” kata Salahuddin.

Menurut beliau, pangkalan data JPJ boleh digunakan untuk pelaksanaan subsidi petrol RON 95 memandangkan kerajaan dapat mengenal pasti golongan yang layak menerima subsidi berdasarkan jenis kuasa kuda (cc) kenderaan dimiliki.

Tambahnya, “Perdana menteri sudah memberikan arahan supaya perkara itu (mekanisme subsidi bersasar) diteliti. Tetapi buat masa ini kerajaan masih lagi meneruskan polisi yang ada iaitu kita tidak menarik balik (subsidi) ataupun tidak menaikkan sebarang tarif yang kita rasa boleh membebankan rakyat.”

Langkah mudah tanpa pemahaman mendalam?

Walaubagaimanapun, kami rasakan mekanisma ini tidak akan dapat mencapai sasarannya dengan berkesan kerana ianya tidak melibatkan pemahaman mendalam untuk perkara ini.

Pertamanya, kuasa kuda bukanlah cc, berbeza sama sekali. Kuasa kuda ialah salah satu dari unit yang digunakan untuk mengukur output sesuatu enjin. Antara unit yang biasa digunakan adalah kuasa kuda (hp), PS, kW, dan bhp.

Sementara itu cc pula merujuk kepada cubic centimeter atau sentimeter persegi, iaitu unit ukuran kapasiti enjin. Lebih tepat lagi, kapasiti udara dan bahan api yang boleh dimuatkan dalam ruang silinder enjin.

Kita tidak akan jadi terlalu geek untuk menyentuh terlalu teknikal untuk aspek kapasiti enjin kali ini, tetapi dalam masa sekarang, cc lebih besar tidak bermakna kuasa lebih tinggi. Ia tidak berkadar terus.

Sebagai contoh, Proton Persona dengan kapasiti 1,597cc atau 1.6-liter menghasilkan 107hp dan 150Nm. Tetapi Toyota GR Yaris pula dengan kapasiti 1,618cc, juga 1.6-liter tetapi menghasilkan 257hp, lebih dua kali ganda dari Persona.

Mercedes-AMG F1 W13 E Performance. – Foto ihsan mercedesamgf1.com

Mahu lebih contoh, enjin Formula 1 satu juga berkapasiti 1.6-liter, tetapi menjana lebih 1,000hp. Jadi, jelas di sini cc enjin tidak bersamaan dengan kuasa kuda kenderaan.

Seterusnya, menyentuh kembali berkenaan mekanisma subsidi bersasar, ia pastinya akan direka untuk memberi manfaat kepada golongan yang layak sahaja.

Masalahnya, cc kereta juga tidak berkadar terus dengan harga kenderaan. Dalam erti kata lain, tidak semestinya cc besar bermakna kereta itu lebih mahal.

Kita ambil contoh kenderaan dengan kapasiti 1.5-liter, iaitu Perodua Myvi kesayangan rakyat Malaysia. Ia berharga RM58,800 untuk varian tertinggi AV.

Honda Civic idaman jejaka dan para gadis seMalaya juga menggunakan 1.5-liter, dan ia dijual bermula pada harga RM130,700 untuk varian permulaan E. Terdapat juga kereta jenama premium dengan 1.5-liter, contohnya BMW 2-Series gran Coupe, berharga RM213,690.

Jadi, antara pemilik kenderaan-kenderaan ini (Myvi, Civic dan 2-Series GC), siapakah antara mereka yang layak menerima subsidi petrol bersasar jika menggunakan mekanisma cc? Adakah ketiga-tiga mereka layak?

Bagaimana pula dengan pemilik Proton Perdana V6? Sedan eksekutif berusia 20 tahun ini berkapasiti 2.0-liter dan boleh dibeli pada harga bawah RM10,000.

Adakah mekanisme subsidi petrol bersasar pada masa ini kurang tepat? Perlukah kementerian berkaitan menjalankan kajian lebih mendalam bagi memastikan keberkesanannya?