Arkib Tag: Selangor

Projek lebuh raya PJD Link dibatalkan

Laman Berita Harian semalam melaporkan projek pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link) telah pun dibatalkan oleh Jemaah Menteri.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat setelah pemegang konsesinya dikatakan gagal untuk memenuhi enam daripada 11 syarat yang telah ditetapkan.

Projek lebuh raya PJD Link akan menghubungkan bahagian utara dan selatan Petaling Jaya, di mana ia akan melalui beberapa kawasan utama termasuklah Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Bukit Jalil Technology Park.

 

 

PJD Link dicadangkan untuk mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing di Petaling Jaya dan Lembah Klang.

Namun begitu, cadangan tersebut mendapat bantahan daripada penduduk setempat.

Pada tahun lalu, kerajaan Selangor telah membuat keputusan untuk membatalkan permohonan pembinaan setelah mendapati pelan yang dikemukakan berkaitan laporan penilaian impak tidak menepati syarat yang ditetapkan, sebelum Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari meminta pemaju untuk merundingkan semula jajarannya dengan kerajaan Persekutuan pada 24 Februari lalu.

 

 

Tourism Selangor umum pelan promosi pelancongan Tahun Melawat Selangor 2025

TOURISM Selangor telah mengumumkan pelan promosi pelancongan menuju ke Tahun Melawat Selangor 2025, juga dengan matlamat menjadikan Selangor sebagai negeri tumpuan pelancong.

Fokus utama bagi pelan promosi pelancongan negeri Selangor pada kali ini adalah dengan memperkenalkan segmen pelancongan fokus seperti pelancongan kesihatan.

Selangor memiliki jumlah hospital swasta terbanyak di Malaysia – sebanyak 20 buah – seperti yang telah direkodkan oleh Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC). Ini dijangka bakal menjadikan Selangor destinasi utama bagi segmen pelancongan kesihatan.

Anjung Utara negeri Selangor akan dipromosikan dengan lebih giat melalui pelancongan berasaskan komuniti dengan beberapa inisiatif seperti Hos Komuniti Selangor dan segmentasi pelancongan agro.

Sabak Bernam Development Area (SABDA) juga akan diaplikasikan dengan lebih giat bagi merancakkan ekonomi Negeri Selangor dan memperkasa komuniti tempatan.

Misi Jualan dan Jerayawara Pelancongan

Tourism Selangor juga akan meluaskan misi jualan di luar negara, terutamanya bagi pasaran tumpuan seperti ITB Berlin di Jerman, Pameran Pelancongan Antarabangsa Seoul 2024 di Korea Selatan, South Asia’s Travel & Tourism Exchange di Delhi, India, Malaysia Healthcare Expo di Medan, Indonesia, Forum Pelancongan ASEAN di Laos, Singapore Cruise Asia 2024, 11th Asia Pacific Geoparks Network 2024 @ Cao Bang UNESCO Global Geopark di Vietnam dan jerayawara pelancongan di China.

Berdasarkan kejayaan pada tahun 2021 dan 2022 dimana Selangor telah menerima jumlah pelawat domestik tertinggi selama 2 tahun berturut-turut, Tourism Selangor kekal optimistik dengan pertumbuhan pelancongan yang berterusan bagi tahun seterusnya.

Kempen “Pusing Selangor Dulu!” yang tertumpu kepada pasaran domestik akan mempamerkan pelbagai tarikan pelancongan Selangor melalui jerayawara interaktif di sekolah-sekolah dan negeri yang terpilih bagi mempamerkan keunikan pelancongan di negeri Selangor kepada para pelancong.

Acara dan Perayaan

Bagi segmen perayaan, Selangor akan menganjurkan lebih 100 acara dan program di kesemua sembilan daerah pada tahun ini, mempamerkan tarikan pelancongan yang pelbagai melalui 10 segmentasi pelancongan yang unik.

Segmen- segmen pelancongan yang terpilih akan memberikan peluang kepada para pengunjung untuk menerokai kekayaan budaya dan nilai warisan negeri Selangor.

Pelbagai acara bakal diadakan tahun ini seperti Wings of Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor, Pesta Kelaut Pantai Kelanang di Kuala Langat, PJ Half Marathon 2024 di Petaling Jaya, Selangor King of the Mountain di Hulu Selangor, Sate & Program Kopi Secocok Bersama 2.0 di Kajang, Pesta Sayap di Kuala Selangor, King of Kampung Kemensah di Gombak, Karnival Ban Kanal 2024 di Sabak Bernam dan Moto GP di Sepang.

Gombak Hulu Langat Geopark

Geopark Gombak Hulu Langat dijangka akan menerima pengiktirafan global daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjelang tahun 2027.

Permatang Kuarza Gombak juga dijangka akan dibuka semula kepada orang ramai menjelang akhir tahun 2024.

Tourism Selangor menyasarkan lebih banyak program promosi akan dijalankan bagi mempamerkan nilai khazanah landskap geologi yang unik di Daerah Gombak dan Hulu Langat.

Geopark Gombak Hulu Langat merupakan kawasan Geopark pertama di Negeri Selangor, dengan keunikan geo-komuniti tempatan dan geo-makanan sebagai tarikan gastronomi Negeri Selangor.

Turapan jalan besar-besaran di Selangor akan dilaksanakan dua minggu lagi

KERJA menurap jalan rosak secara besar-besaran di Selangor membabitkan kos RM50 juta akan dilaksana serentak dua minggu lagi.

Menurut Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Ir Izham Hashim, projek tersebut melibatkan lebih 20 kontraktor dan dijangka mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan.

Tambah beliau lagi, projek itu menumpukan kawasan yang menghadapi masalah jalan rosak teruk serta lokasi yang tidak mendapat perhatian.

“Kita juga akan utamakan jalan yang dicadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT), majlis daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya seperti dilaporkan Selangor Kini pada Ahad.

Beliau berkata, jumlah kerja penurapan berbeza bagi setiap daerah bergantung kepada laporan yang dibuat agensi terlibat.

Terdahulu, menerusi Bajet 2023, kerajaan negeri Selangor mengumumkan peruntukan sebanyak RM145 juta untuk meningkatkan sistem jaringan jalan raya di negeri berkenaan.

Ia termasuk kerja penurapan mega melibatkan jalan-jalan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Susulan itu, Izham telah meminta PBT di Selangor mengenal pasti dan menyenaraikan jalan-jalan kritikal di kawasan pentadbiran masing-masing bagi tujuan tersebut.

Pembayaran parkir digital sepenuhnya di Selangor mulai 1 April

SELANGOR bakal menguatkuasakan sepenuhnya pembayaran parkir secara digital bermula 1 April depan.

Langkah itu dibuat bagi memudahkan orang ramai selain lebih efektif dan efisyen.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) di Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery.

Sementara itu, orang ramai boleh memindahkan baki nilai kupon kepada kredit SSP mulai 26 Mac.

Perkara itu secara tidak langsung mengelak pengguna daripada berdepan kerugian kerana masih mempunyai baki kredit pada kupon dibeli sebelum ini.

Sejak diperkenalkan pada 2018, aplikasi SSP telah menjimatkan penggunaan lebih 1,041,221 kilogram kertas.

Setakat ini, SSP mempunyai 1,963,241 pengguna berdaftar.

Op Selamat 17: Kes kemalangan di Selangor cecah lebih 1,592

OP Selamat 17 diadakan Polis Kontijen Selangor mencatatkan lebih 1,592 kes kemalangan jalan raya.

Operasi sejak 28 Januari lalu itu dibuat sebagai pemantauan pihak polis terhadap aliran trafik bersempena perayaan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed. – Foto ihsan Malay Mail

Ketua Polis Selangor berkata, jumlah kemalangan pada operasi kali ini mencatatkan hasil positif apabila ia menurun 31.2 peratus berbanding Op Selamat 16.

Jelas Datuk Arjunaidi Mohamed, operasi sebelum ini mencatatkan 2,313 kes iaitu 721 lebih banyak berbanding Op Selamat 17.

“Statistik tahun ini juga mencatat kes kemalangan rosak yang tidak mengakibatkan kematian atau kecederaan sebanyak 1,565.

“Kemalangan ringan 15 dan 10 kes masing-masing kemalangan maut,” katanya seperti dilapor portal SelangorKini.

Anggota keselamatan sedang melakukan pemeriksaan jalan raya. – Foto oleh Shafwan Zaidon

Saban tahun, polis melakukan operasi jalan raya ketika sambutan perayaan bagi mengurangkan kadar kemalangan serta kesalahan trafik.

Sementara itu, polis Selangor turut melakukan kajian terperinci bagi mengenalpasti kawasan berisiko tinggi kemalangan.

“Setiap hari kajian dilakukan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan dan tumpuan diberikan di sekitarnya.

“Setakat ini lapan lokasi tumpuan dikenal pasti,”katanya lagi.

Op Selamat kali ini melibatkan penyertaan 300 pegawai dan anggota trafik seluruh negeri Selangor.

Operasi kali ini difahamkan akan tamat pada 6 Februari 2022.

UMW Toyota sumbang RM10,000 perbaiki Sek Keb Sungai Lui

NASIB penduduk Sungai Lui, Hulu Langat yang berdepan banjir penghujung tahun lalu terus mendapat perhatian ramai termasuk pemain industri automotif di negara ini.

Terbaharu, UMW Toyota meneruskan usaha membantu mangsa banjir dengan menyampaikan sumbangan kepada golongan itu.

Bantuan disalurkan menerusi program ‘Back on Your Feet’ hasil kerjasama dengan Yayasan Raja Muda Selangor.

Memetik kenyataan media UMW Toyota, antara bantuan disalurkan termasuk wang RM10,000 yang disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan Sungai Lui.

Jelas Presiden UMW Toyota Motor, peruntukan digunakan bagi proses membaik pulih bangunan sekolah yang mengalami kerosakan akibat banjir berkenaan.

“Sebagai peneraju dalam industri ini kami merasakan ia adalah tanggungjawab kepada masyarakat memerlukan.

“Apa yang penting mangsa banjir terbabit dapat meneruskan semula kehidupan seperti sedia kala,” kata Ravindran K.

Sebelum ini, warga UMW Toyota juga turut ‘turun padang’ membantu mangsa banjir di kawasan terlibat termasuk membersihkan kediaman penduduk terjejas.

Terdahulu, Ravindran mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Raja Muda Selangor kerana sudi bekerjasama dengan UMW Toyota dalam usaha meringankan beban mangsa banjir.

Pada hujung Disember lalu, beberapa negeri di negara ini berdepan bencana banjir besar.

Selangor antara negeri terjejas teruk yang menyaksikan daerah Hulu Langat dan Petaling paling teruk dinaiki air.

Banjir: Tiada caj upah buruh, PM minta lebih ramai contohi Perodua

NASIB serta rintihan mangsa banjir terus mendapat perhatian syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).

Terbaharu, Perodua bersetuju tidak mengenakan bayaran upah buruh kepada mangsa banjir yang menghantar kenderaan mereka ke pusat servis syarikat itu.

Perkara tersebut diumum Perdana Menteri semalam ketika mengadakan lawatan ke Hulu Langat, Selangor yang sebelum ini terjejas teruk akibat banjir.

Jelas Datuk Seri Ismail Sabri, komitmen ditunjukkan Perodua adalah hasil perbincangan dengan kerajaan selain tidak menolak lebih banyak rundingan akan berlaku dengan syarikat lain dalam waktu terdekat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto fail ihsan Malay Mail

“Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan berunding lagi dengan syarikat-syarikat kereta yang lain seperti Proton.

“Saya harap syarikat-syarikat lain boleh mengikut apa yang dilakukan oleh Perodua,” katanya.

Daerah Hulu Langat antara yang terjejas teruk akibat banjir besar pada minggu lalu.

Banjir turut melanda beberapa kawasan lain seperti Shah Alam, Klang dan sebahagian negeri lain termasuk Pahang serta Negeri Sembilan.

Ia menyebabkan banyak harta benda mengalami kerosakan termasuk kenderaan penduduk yang tidak sempat diselamatkan.

Sementara itu, Perodua turut menawarkan servis menunda kenderaan secara percuma kepada mangsa banjir.

Sebelum ini, Perodua mengumukan menawarkan bantuan serta rebat bagi perkhidmatan tunda kenderaan.

Bagaimanapun, Perodua mengubah tawaran mereka dengan memberikan servis tunda percuma kepada mereka yang layak.

Dron thermal mampu kesan perubahan suhu, rakam imej lebih terperinci

PENGGUNAAN dron thermal mampu mengesan pembakaran secara terbuka sekaligus mengelak berlaku pencemaran udara dan alam sekitar.

Drone thermal menggunakan teknologi kamera yang mampu ‘menangkap’ atau mengesan sebarang imej dalam persekitaran gelap.

Kamera imaginer thermal pada asasnya didatangkan dengan sensor yang dapat mengesan sebarang perbezaan suhu walau bersaiz kecil.

Pada masa sama, ia juga boleh mengesan aktiviti pencemaran lain termasuk kegiatan pelepasan asap kenderaan atau industri di waktu malam.

Drone merupakan antara teknologi yang kian digunakan oleh kebanyakan industri masa kini. – Foto ihsan Wikipedia

Ketika ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dilaporkan telah mula menggunakan teknologi dron thermal bagi mengesan pencemaran udara termasuk aktiviti pembakaran pertanian dan industri berat.

Inisiatif ini turut dilakukan dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor.

Minggu lalu, Exco Kerajaan Negeri Selangor Hee Loy Sian berkata, penggunaan drone thermal telah diputuskan sebagai salah satu kaedah terbaharu menangani pencemaran alam.

“Kebanyakan kawasan dalam negara mengalami cuaca panas dan kering disebabkan bilangan taburan hujan yang rendah susulan musim monsun barat daya.

“Beberapa insiden kebakaran belukar di kawasan Revolusi Hijau, Johan Setia telah menyebabkan berlakunya kemerosotan kualiti udara dan jerebu,” katanya seperti dilapor Bernama.

Objek dalam keadaan gelap dapat ditangkap dengan mengesan perubahan suhu. – Foto ihsan Wikipedia

Orang ramai diminta tidak melakukan pembakaran terbuka memandangkan ia mampu menjejaskan kualiti udara.

Mereka yang terlibat boleh didakwa mengikut Seksyen 29 (A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda hingga RM500,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

PDRM terima 400 Toyota GS Cargo, kontijen Selangor dapat paling banyak

POLIS Selangor menerima 35 unit kenderaan baharu pacuan empat roda model Toyota Hilux Single CAB 2.4 jenis GS Cargo (4WD GS Cargo).

Perolehan kenderaan baharu itu bertujuan melancarkan pergerakan anggota polis dalam menjalankan tugas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kenderaan itu mampu memuatkan 10 anggota untuk sekali penugasan.

Tambahnya, Selangor menerima kenderaan baharu terbanyak berbanding kontijen lain seluruh negara.

“Kita buat (perolehan) 400 pacuan empat roda GS Cargo merangkumi semua kontinjen.

“Untuk kontinjen Selangor kita bekalkan lebih sebanyak 35 buah kerana ia kontinjen yang besar dan mempunyai daerah yang banyak.

“Dalam tempoh dua minggu lagi insya-Allah serahan kenderaan pacuan empat roda GS Cargo ini akan dilakukan di Kontinjen Kuala Lumpur,” katanya.

Datuk Seri Mazlan Lazim ketika dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 25 Jun lalu. – Foto ihsan Malay Mail

Mazlan ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Terdahulu, Mazlan berkata kenderaan baharu itu sesuai bagi pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) dan light strike force (LSF).

Kontinjen Selangor telah menerima agihan 37 kenderaan bagi 2020 dan 2021 untuk kegunaan di IPD serta balai-balai polis.

Antara kenderaan terbabit termasuk 18 lori model Hino, tiga pacuan empat roda Toyota Hilux D/C 2.8 Black EDI dan dua Mitsubishi Triton 2.4 VG Premium.

Puspakom seluruh Selangor, Lembah Klang mula operasi

PERKHIDMATAN Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seluruh Selangor mula beroperasi, hari ini.

Pengoperasian pusat itu termasuk perkhidmatan bergerak Puspakom seluruh Lembah Klang dan melibatkan semua jenis pemeriksaan kenderaan.

Puspakom dalam satu kenyataan berkata, pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan perlu membuat temu janji secara dalam talian.

“Pelanggan yang ingin menjalani pemeriksaan kenderaan wajib membuat janji temu secara dalam talian sebelum hadir ke Puspakom.

“Pemeriksaan secara jumpa terus tidak dibenarkan.

“Pelanggan yang hadir pemeriksaan disarankan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” memetik satu kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, Puspakom memaklumkan perkhidmatan di Batu Caves masih belum dibuka pada hari ini.

Pihak Puspakom menjangkakan cawangan Batu Caves akan mula beroperasi pada 21 Julai ini.

Sebelum ini, Puspakom telah menutup semua cawangannya di Selangor berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

PKPD: Puspakom seluruh Selangor ditutup kecuali di Sungai Besar

PUSAT Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seluruh Selangor ditutup sehingga 16 Julai berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Puspakom dalam satu kenyataan berkata, penutupan meliputi perkhidmatan bergerak di Lembah Klang.

“Bagi pelanggan yang telah membuat janji temu di cawangan Puspakom yang tidak beroperasi, bayaran janji temu akan dikembalikan secara automatik,” memetik kenyataan itu.

Bagaimanapun, Puspakom cawangan Sungai Besar tidak terlibat dengan proses penutupan sementara itu.

Semua pusat pemeriksaan Puspakom seluruh negara termasuk perkhidmatan bergerak yang tidak berada dalam kawasan PKPD kekal beroperasi seperti biasa.

Namun, tiada pemeriksaan secara “walk-in” di pusat pemeriksaan sebaliknya hanya pelanggan mempunyai janji temu  dibenarkan melakukan pemeriksaan kenderaan mengikut tarikh, masa dan tempat dipilih.

Mereka yang hadir semasa pemeriksaan disaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ia termasuk mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis.

Segala maklumat mengenai operasi Puspakom bergantung kepada pengumuman terkini kerajaan.

Orang ramai boleh mengikuti Facebook Puspakom Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my untuk maklumat terkini.

Rebat RM20 untuk rakyat Selangor menggunakan Grab ke PPV

SELURUH rakyat Selangor kini berpeluang menerima rebat RM20 apabila menggunakan perkhidmatan e-hailing Grab Malaysia untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Perkara itu diumum Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, hari ini.

Jelasnya, langkah itu merupakan hasil kerjasama Grab Malaysia dan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

“Saya secara sukacita mengumumkan rebat pengangkutan bagi mendapatkan vaksin dibuka kepada semua lapisan.

“ Ia tidak sebagaimana yang saya umumkan pada 9 Jun bahawa terhad kepada 50 tahun ke atas.

“Memikirkan bahawa vaksin adalah satu keperluan kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas, kini rebat pangangkutan dibuka kepada semua rakyat Selangor,” katanya.

Sebelum ini, hanya individu berusia 50 tahun ke atas layak menerima rebat RM20 apabila menggunakan perkhidmatan Grab Malaysia untuk ke PPV.

Usaha itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0.

Rebat tersebut sah bagi perjalanan ke PPV seluruh negeri dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Untuk makluman lanjut dan urusan pendaftaran, sila layari pautan www.platselangor.com.

Rentas negeri dan daerah, berapa ‘nilai’ harga diri kita?

TULAR di media sosial perdebatan mengenai ‘status’ bandar Nilai 3 sama ada ia terletak di Negeri Sembilan atau Selangor.

Semuanya gara-gara tindakan seorang selebriti dan suaminya (cuba teka) yang terlepas dakwaan kesalahan merentas negeri baru-baru ini.

Apa yang lebih melucukan, isu ini turut ‘dibincangkan’ secara terbuka oleh menteri besar kedua-dua negeri di media sosial.

Perkara ini sudah pasti membingungkan segelintir individu yang dikategorikan sebagai ‘pembaris’.

Jangan risau, EnGear akan cuba membantu anda mencari jawapan sama ada bandar Nilai 3 terletak di Negeri Sembilan atau Selangor.

Kronologi Nilai milik Negeri Sembilan atau Selangor?

Kontroversi mula tercetus apabila sekeping foto tular di media sosial pada 2 Mei lalu menunjukkan seorang selebriti dan suaminya didakwa berada di Nilai 3.

Pasangan terbabit dikatakan berada di bandar itu bagi membeli karpet di sebuah kedai.

Susulan itu, warga maya mempersoalkan bagaimana pasangan terbabit boleh merentas negeri hanya untuk membeli karpet.

‘Menghangatkan’ lagi suasana apabila Pejabat Peguam Negara baru-baru ini tidak mengenakan tuduhan rentas negeri terhadap pasangan itu.

Jelas polis, keputusan dibuat hasil kajian dan keterangan diperoleh berhubung kes berkenaan.

Tidak terhenti di situ, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari turut bergurau mengenai perkara itu di media sosial.

Secara berseloroh, kedua-dua pemimpin itu berbincang mengenai soal ‘jual-beli’ Nilai 3 selepas Amirudin memuat naik ciapan mengenai sejarah bandar itu.

Gurauan Aminuddin dan Amirudin mendapat perhatian warga maya yang ternyata terhibur dengan seloroh kedua-dua pemimpin itu.

Ada yang kreatif sehingga menghasilkan peta menunjukkan Nilai 3 kini berada di negeri Selangor.

Apa ada dengan Nilai?

Bandar Nilai bukan sahaja terkenal dalam kalangan ‘pencinta’ karpet tetapi menjadi tumpuan sebagai pusat pengajian tinggi.

Berdasarkan kajian EnGear lakukan (di Google sahaja), Nilai merupakan bandar terletak di daerah Seremban, Negeri Sembilan.

Kian membangun, bandar Nilai mempunyai beberapa kompleks membeli-belah termasuk  Nilai 3 Wholesale Centre, Nilai Square, Mydin, Tesco Hypermarket dan Giant Hypermarket.

Terdapat beberapa tempat menarik di Nilai terutama kepada individu yang gemar melakukan aktiviti konvoi sama ada bermotosikal atau berkereta.

Antara kawasan tumpuan umum adalah:-

• Dataran Nilai
• Taman Awam Nilai
• Taman Rasah Kemayan
• Hutan Lipur Lenggeng

Bagaimanapun, buat setakat ini anda dinasihati tidak melakukan aktiviti konvoi ke Nilai susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Anda bukan sahaja tidak dibenarkan merentas negeri malah, turut dilarang memasuki daerah lain.

Karpet merupakan antara produk yang boleh didapati di Nilai 3, Negeri Sembilan.

Larangan rentas daerah dan negeri

Umum mengetahui PKP menuntut anda tidak melakukan aktiviti rentas negeri atau daerah demi mengawal penularan pandemik Covid-19.

Rentas negeri atau daerah hanya dibenarkan bagi tujuan tertentu sama ada kecemasan, bekerja, vaksinasi dan pasangan jarak jauh.

Jika gagal mematuhi arahan anda bukan sahaja boleh dikenakan denda malah, tidak terkecuali berdepan hukuman penjara.

Jadi, bagaimana mengelak daripada ‘terentas’ negeri atau daerah?

Mudah, ikuti tips yang kami sediakan ini:

1. Jangan keluar rumah. Amalkan kawalan kendiri.

2. Jika terpaksa keluar, pastikan terus ke tempat dituju dan jangan merayau.

3. Elak membeli barangan di daerah atau negeri lain. Contohnya anda tidak perlu ke Nilai untuk membeli karpet, cari kedai karpet berdekatan kediaman anda.

4. Gunakan aplikasi seperti Waze atau Google Map untuk mengetahui sempadan daerah dan negeri.

5. Sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa. Kini, berita hanya ‘di hujung jari’ sahaja!

Kesimpulannya, isu rentas negeri atau daerah bukan suatu yang sukar untuk difahami.

Apa yang penting adalah sejauh mana kesediaan anda mematuhi arahan pihak berkuasa demi kemakmuran bersama.

Jangan kerana sikap pentingkan diri, kita mengabaikan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pemerintah.

Tepuk dada, tanya iman.

Nota: Sah! Bandar Nilai terletak di Negeri Sembilan.

PKP: Jumlah kenderaan cuba rentas negeri tinggi, polis arah patah balik

JIKA anda berhasrat merentas negeri bagi menyambut Aidilfitri minggu ini, sila lupakan niat itu.

Ini kerana polis telah mengambil langkah mengetatkan kawalan sempadan negeri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara bermula 12 Mei ini.

Setakat semalam, polis telah mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa laluan utama seluruh negara termasuk lorong ‘tikus’ di kawasan tertentu.

Berdasarkan statistik polis, Kelantan antara negeri tertinggi mencatatkan jumlah kenderaan diarah berpatah balik.

Terdapat kira-kira 1,426 kenderaan diarah berpatah balik membabitkan kawasan Jeli, Gua Musang dan Pasir Puteh.

Sementara itu, polis telah mengadakan lebih 24 SJR di Negeri Sembilan bagi memantau pergerakan orang ramai.

Memetik kenyataan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan cubaan merentas negeri.

“Saya menasihatkan supaya mereka (orang ramai) untuk tidak berbuat demikian (rentas negeri) kerana ini akan mengundang padah.

“Sekiranya mereka melanggar arahan ini tindakan kompaun akan dikenakan terhadap mereka,” katanya.

Di Selangor, polis juga telah mengadakan lebih lima sekatan jalan raya di bawah jajaran sempadan kawasan Kuala Selangor.

SJR diadakan di kawasan mempunyai pergerakan serta kepadatan penduduk yang tinggi.

Semalam, kerajaan mengumumkan akan mengenakan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan.

Orang ramai dinasihati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Antara SOP dikenakan termasuk hanya tiga individu dibenarkan berada dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing.

Jumlah itu termasuk pemandu kenderaan.

Pada masa sama, kerajaan juga tidak membenarkan aktiviti kunjungan Aidilfitri dan ziarah kubur 1 Syawal nanti.

PKP Selangor: Polis perketat sekatan jalan raya, gesa orang ramai patuh SOP

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor menyaksikan pihak berkuasa terus memperketatkan pemantauan terhadap orang ramai.

Antara langkah diambil termasuk mengadakan sekatan jalan raya di beberapa jalan raya utama.

Selain itu, terdapat empat lokasi sekatan jalan raya masih dikekalkan seperti sebelum ini.

Lokasi sekatan jalan raya dimaksudkan adalah di Tol Sungai Buloh, Tol Kota Damansara, Tol Damansara dan Tol Subang.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di Selangor bermula hari ini sehingga 17 Mei.

Daerah dikenakan PKP adalah Petaling, Sepang, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat dan Klang.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid memaklumkan pihaknya telah menambah kekuatan pasukan pemantauan.

Pihaknya juga mengadakan kerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Justeru, orang ramai dinasihati untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 agar tidak berdepan tindakan undang-undang.

PKP di Selangor, pergerakan rentas daerah tidak dibenarkan

PERGERAKAN rentas daerah tidak dibenarkan di seluruh negeri Selangor bermula 6 hingga 17 Mei ini.

Arahan dikeluarkan kerajaan selepas mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah negeri itu.

Antara daerah terlibat termasuk Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Bagaimanapun, kerajaan membenarkan aktiviti ziarah pada 1 Syawal bagi kawasan PKP dengan jumlah tetamu tidak melebihi 15 individu pada satu masa.

Sementara itu, aktiviti ziarah dibenarkan selama tiga hari bermula 1 Syawal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Aktiviti ziara pusara tidak dibenarkan sama sekali bagi semua kawasan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kerajaan juga melarang penganjuran rumah terbuka Aidilfitri seluruh negara tahun ini.