fbpx

PKP: Jumlah kenderaan cuba rentas negeri tinggi, polis arah patah balik

Sekatan jalan raya diadakan oleh pihak polis bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan kerajaan
Sekatan jalan raya diadakan oleh pihak polis bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan kerajaan.

JIKA anda berhasrat merentas negeri bagi menyambut Aidilfitri minggu ini, sila lupakan niat itu.

Ini kerana polis telah mengambil langkah mengetatkan kawalan sempadan negeri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara bermula 12 Mei ini.

Setakat semalam, polis telah mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa laluan utama seluruh negara termasuk lorong ‘tikus’ di kawasan tertentu.

Berdasarkan statistik polis, Kelantan antara negeri tertinggi mencatatkan jumlah kenderaan diarah berpatah balik.

Terdapat kira-kira 1,426 kenderaan diarah berpatah balik membabitkan kawasan Jeli, Gua Musang dan Pasir Puteh.

Sementara itu, polis telah mengadakan lebih 24 SJR di Negeri Sembilan bagi memantau pergerakan orang ramai.

Memetik kenyataan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan cubaan merentas negeri.

“Saya menasihatkan supaya mereka (orang ramai) untuk tidak berbuat demikian (rentas negeri) kerana ini akan mengundang padah.

“Sekiranya mereka melanggar arahan ini tindakan kompaun akan dikenakan terhadap mereka,” katanya.

Di Selangor, polis juga telah mengadakan lebih lima sekatan jalan raya di bawah jajaran sempadan kawasan Kuala Selangor.

SJR diadakan di kawasan mempunyai pergerakan serta kepadatan penduduk yang tinggi.

Semalam, kerajaan mengumumkan akan mengenakan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan.

Orang ramai dinasihati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Antara SOP dikenakan termasuk hanya tiga individu dibenarkan berada dalam kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing.

Jumlah itu termasuk pemandu kenderaan.

Pada masa sama, kerajaan juga tidak membenarkan aktiviti kunjungan Aidilfitri dan ziarah kubur 1 Syawal nanti.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved