Arkib Tag: scrambler

Ducati Scrambler generasi kedua dilancarkan di Malaysia – 3 versi, harga dari RM64k

DIPERKENALKAN di peringkat global pada penghujung tahun lalu, Ducati Scrambler generasi kedua kini memasuki pasaran Malaysia dengan tiga varian untuk dipilih iaitu Icon, Full Throttle dan Nightshift.

Harga jualan (OTR tidak termasuk insurans) bermula dari RM63,865 untuk versi asas Icon, dan RM70,865 untuk Full Throttle dan Nightshift.

Ketiga-tiga versi dikuasakan oleh enjin Desmodue silinder L berkembar 803 cc yang menghasilkan 73 hp pada 8,250 rpm dan 65.2 Nm pada 7,000 rpm. Menurut Ducati, enjin ini 2.5 kg lebih ringan berbanding enjin terdahulu.

Selain itu, penambahbaikan pada casis dan kerangka trellis menjadikan Scrambler generasi baharu ini 4 kg lebih ringan berbanding sebelum ini.

Di samping enjin, ketiga-tiga versi turut berkongsi sistem suspensi yang sama yang merangkumi fork terbalik Kayaba 41 mm dan penyerap hentak monoshock, juga dari Kayaba.

Sistem brek pula merangkumi cakera tunggal 330 mm dengan angkup empat piston pada bahagian hadapan dan cakera 245 mm dengan angkup satu piston pada bahagian belakang.

Ciri-ciri lain yang disertakan secara standard termasuk Cornering ABS, Power Mode, Riding Mode (Road dan Sport), Traction Control, Ride-by-Wire dan lampu LED berserta daytime running light LED.

Turut tersedia secara standard adalah paparan TFT berukuran 4.3 inci dengan penampilan moden klasik. Sistem multimedia ditawarkan sebagai aksesori tambahan.

Versi Full Throttle mendapat beberapa ciri tambahan berupa bar hendal yang lebih rendah, lampu isyarat LED jenis high performance, Quickshifter, ekzos Termignoni, panel sisi dengan nombor serta rekaan mudguard dan ekor yang lebih sporty.

Sementara itu, versi Nightshift menerima kelengkapan yang sama dengan Full Throttle, cuma ia mempunyai cermin sisi jenis bar-end, bar hendal rata, pelana berwarna coklat dan rim jenis spoked.

Untuk pilihan warna, Scrambler Icon ditawarkan dalam tiga warna asas iaitu kuning, hitam dan merah, bersama enam pilihan warna untuk panel. Versi Full Throttle pula boleh didapati dalam warna merah/hitam manakala Nightshift dalam warna Nebula Blue.

Ducati catat rekod jualan untuk Q3 2022, Multistrada V4 kekal model paling popular

DUCATI mencatatkan keuntungan terbaik lagi sekali untuk sembilan bulan pertama tahun 2022 dengan 872 juta Euro. Ini merupakan angka jualan terbaik untuk tempoh ini berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan pertumbuhan sebanyak 21 peratus berbanding 2021.

Keuntungan operasi juga meningkat dari 67 kepada 109 juta Euro berbanding sembilan bulan pertama untuk 2021, pertambahan sebanyak 62 peratus.

Dari segi angka penyerahan pula, sebanyak 49,873 unit diserahkan kepada pelanggan sejak awal tahun, sedikit peningkatan berbanding 2021 (49,719 unit).

Claudio Domenicali, CEO Ducati

Claudio Domenicali, CEO Ducati berkata: “Suku ketiga 2022 mencatatkan pertumbuhan kuat terhadap krisis bekalan dan logistik.

“Disebabkan pemulihan ini dan juga strategi cekap yang dijalankan dengan pembekal dan rakan kongsi, kami berjaya memenuhi permintaan penghantaran.

Tambahnya, “Prestasi kewangan yang baik ini sangat relevan untuk membiayai perancangan masa depan syarikat dan mengekalkan sifat dinamik Ducati berkenaan teknologi motosikal.”

China catat pertumbuhan terbesar

Itali masih menjadi pasaran terbesar dengan 8,283 motosikal diserahkan. Ini diikuti dengan Amerika Syarikat (6,595 unit) dan Jerman (5,701 unit).

Populariti jenama ini semakin meningkat di China, pasaran keempat terbesar Ducati, dimana pertumbuhan kekal positif untuk Q3, dengan 4,103 unit motosikal diserahkan. Ini mewakili pertumbuhan 15 peratus berbanding Q3 2021.

Multistrada V4 kekal model paling popular

Sementara itu, Multistrada V4 kekal menjadi model paling popular di suku ketiga ini, dengan 8,776 unit diserahkan kepada pelanggan seluruh dunia. Ini diikuti dengan Monster dengan 6,903 unit dan Scrambler 800 dengan 5,771 unit.

WMoto SX2-300 diperkenal – Enjin 292cc, tiga pilihan warna, RM19k

MFORCE baru-baru ini menambah penawaran mereka dalam pasaran motosikal kecil dengan pengenalan WMoto SX2-300 baharu. Ia dijual pada harga RM18,800 dan ditawarkan dengan tiga pilihan warna – merah, hitam dan putih.

Dipanggil “Scrambler Model”, SX2-300 ini disasarkan lebih kepada tunggangan off-road. Ia juga kini digunakan oleh pasukan keselamatan Malaysia yang terlibat dalam Ops Benteng.

WMoto SX2-300 dikuasakan oleh enjin 292.4cc silinder tunggal dengan penghidup elektrik, sejukan cecair, menjana 28hp pada 9,000rpm dan 25Nm tork pada 6,500rpm. Kuasa disalurkan melalui kotak gear 6-kelajuan dan rantai.

Motosikal ini mempunyai kelegaan tanah 285mm, dengan tinggi tempat duduk 900mm, kapasiti tangki bahan api 11 liter serta mempunyai berat keseluruhan 151kg.

SX2-300 hadir dengan rim 19-inci di depan dan 17-inci di belakang, masing-masing dengan tayar 3.00-19 dan 110/70. Sistem brek pula terdiri dari cakera tunggal di depan dan belakang dengan ABS dua-saluran.

Untuk suspensoi, SX2-300 dilengkapi fork terbalik di depan serta monoshock tunggal di belakang dengan pelarasan pra-muatan.

Ciri lain pada WMoto SX2-300 termasuklah lampu LED dan paparan LCD monokrom ringkas untuk instrumen. WMoto SX2-300 hadir dengan jaminan dua-tahun atau 20,000km.

Ducati lancar 6 model baharu – Streetfighter V2 dan V4 SP, Panigale V2 Bayliss, Multistrada V2S, Urban Motard, 1100 Tribute Pro

DUCATI Malaysia semalam melancarkan bukan satu atau dua, sebaliknya enam model baharu untuk pasaran negara kita. Model-model tersebut adalah Streetfighter V2, Streetfighter V4 SP, Panigale V2 Bayliss, Multistrada V2S, dan siri Scrambler Urban Motard serta Scrambler 1100 Tribute Pro.

Jom kita lihatkan satu per satu.

Streetfighter V2 – RM101,900

Motosikal naked serba baharu in menawarkan praktikaliti untuk tunggangan seharian tetapi pada masa sama membawa prestasi sebuah Streetfighter.

Ia dikuasakan enjin 955cc V2 90-darjah Superquadro yang memberikan 153hp @ 10,750rpm dan 101.4Nm, dan output disalurkan melalui kotak gear Quick Shift.

Streetfighter V2 mendapat tangki minyak dari Panigale V2 serta rekaan lampu depan lebih minimalis mirip Streetfighter V4. Muka depannya dikemaskan dengan DRL berbentuk V yang juga menjadi identiti keluarga Ducati.

Ia juga dilengkapi suspensi depan Showa 43mm, suspensi belakang boleh-laras dengan penyerap hentak Sachs, dan brek cakera 320mm di depan berserta angkup Brembo M4.32 dengan Bosch Cornering ABS EVO. Brek belakang pula bersaiz 245mm, juga dengan ABS EVO.

Streetfighter V4 SP – RM239,900

Seterusnya kita ke satu lagi Streetfighter tetapi model naked terpantas dalam pasaran iaitu V4 SP. Ia menawarkan nisbah kuasa-kepada-berat yang tertinggi dalam kelasnya, hasil dari kuasa setinggi 208hp dan tork 123Nm.

Streetfighter V4 SP dibina khas untuk menawan litar-litar lumba, dapat dilihat pada penampilan agresif padanya. Ia menampilkan rim Marchesini, sirip biplanes gentian karbon, pemijak kaki boleh-laras aluminium dari Rizoma, dan kotak gear Quick Shift yang boleh dikonfigurasi untuk jalanan atau perlumbaan.

Warnanya pula ialah hitam matte dengan tangki minyak berwarna brushed aluminium yang menyerupai livery ujian musim sejuk (winter test).

Ducati Streetfighter V4 SP juga dilengkapi komponen-komponen berorientasikan litar seperti klac kering STM-EVO SBK 9-cakera, suspensi depan dan belakang dari Panigale V4 S 2021, dan suspensi depan/belakang Ohlins dengan pelarasan elektronik.

Panigale V2 Bayliss – RM136,900

Seterusnya kita ke model superbike, iaitu Panigale V2. Tetapi ini bukan Panigale V2 biasa, sebaliknya edisi khas Bayliss 1st Championship 20th Anniversary Model. Ya, satu nama yang cukup panjang.

Ianya dibina bagi memperingati ulang tahun ke-20 Troy Bayliss memperoleh kejuaraan pertama beliau dalam WSBK Championship pada 2001.

Motosikal ini dilengkapi dengan beberapa perincian yang menunjukkan ulang tahun ini iaitu livery khas 2001 Ducati 996 R SBK yang ditunggang Bayliss, warna merah khas, nombor perlumbaan #21, lencana Shell, nombor 21 pada tempat duduk, dan tandatangan Bayliss di atas tangki minyak.

Komponen lain termasuklah penyerap hentak hendal Ohlins, suspensi Ohlins depan belakang, silencer gentian karbon dan titanium, dan bateri lithium-ion. Motosikal ini juga 3kg lebih ringan dari Panigale V2 biasa.

Multistrada V2S – RM105,900

Multistrada V2S baharu menawarkan tempat duduk yang lebih rendah dan selesa, sesuai untuk tunggangan jarak jauh serta lebih lincah untuk kegunaan harian.

Ia dikuasakan oleh enjin 937cc Testastretta L-Twin yang juga 2kg lebih ringan, menjana 113hp @ 9,000rpm dan 96Nm tork @ 6,750rpm.

Multistrada V2S ini juga didatangkan dengan ekor baharu, penutup enjin baharu, dan komponen dari Multistrada V4 iaitu rim dan cermin sisi. Swingarm double-sided aluminium juga didatangkan standard.

Motosikal touring ini turut dilengkapi dengan Riding Modes, Power Modes, Ducati Safety Pack (Cornering ABS, Ducati Traction Control), Ducati Brake Light dan Vehicle Hold Control, serta pakej elektronik penuh yang lain.

Untuk suspensi, Multistrada mendapat fork dengan pelarasan elektronik Ducati Skyhook Suspension Evo di depan dan belakang. Ia juga boleh dilengkapi dengan pelbagai aksesori lain mengikut citarasa pemiliknya.

Scrambler Urban Motard – RM68,900

Seterusnya kita ke siri Scrambler, model pertama kali ini ialah Urban Motard. Ia tampil dengan rupa klasik tetapi dengan kelengkapan moden.

Urban Motard dilengkapi rim 17-inci, tayar Pirelli Diablo Rosso, bar hendal aluminium, plat nombor sisi, dan dikemaskan dengan penutup tali sawat aluminium.

Scrambler Urban Motard dikuasakan oleh enjin 803cc yang menghasilkan 73hp dan 66.2Nm tork.

Kelengkapan standard lain termasuklah brek ABS, lampu LED dengan DRL, dan panel instrumen LCD dengan penunjuk gear dan paras bahan api.

Scrambler 1100 Tribute Pro – RM85,900

Akhir sekali, Scrambler 1100 yang juga merupakan satu-satunya motosikal Ducati dengan sejukan udara. Edisi Tribute Pro ini merupakan satu peringatan khas kepada motosikal-motosikal ikonik Ducati pada 1970an, meraikan ulang tahun ke-50 enjin sejukan udara.

Scrambler 1100 Tribute Pro menawarkan tiga mod kuasa dan tunggangan iaitu Active, Journey, dan City. Enjinnya menghasilkan 86hp @ 7500rpm dan 88Nm tork.

Ia juga dilengkapi Ducati Safety Pack yang merangkumi cornering ABS, Ducati Traction Control (DTC), sistem brek Brembo, suspensi boleh laras, tangki minyak besi, dan ruang simpanan bawah tempat duduk dengan soket USB.

Barisan BMW R nineT 2021 diperkenalkan, dari RM82,500

SELAIN dari M1000 RR, BMW Motorrad turut melancarkan barisan terbaharu untuk R nineT bagi tahun 2021. Terdapat tiga varian ditawarkan, dengan harga seperti berikut:

R nineT: RM96,500
R nineT Pure: RM82,500
R nineT Scrambler: RM86,500

Untuk 2021, BMW R nineT diberikan beberapa peningkatan antaranya panel instrumen baharu, lampu LED sebagai standard dan soket pengecas USB. R nineT Pure dan Scrambler didatangkan dengan paip ekzos bersalut krom.

R nineT mendapat enjin Boxer 1,170cc sebagai nadinya, cukup untuk kuasa sebanyak 109hp dan 116Nm tork. Kotak gear ialah enam-kelajuan dan kuasa dihantar ke roda belakang dengan sistem syaf.

Suspensi pula ialah fork USD 46mm di depan dan monoshock dengan pelarasan pra-beban boleh-laras di belakang. Terdapat dua mod tunggangan iaitu Road dan Rain. Ciri keselamatan antaranya adalah Automatic Stability Control, ABS Pro, dan Dynamic Brake Control.

BMW R nineT baharu hadir dengan Black Storm Metallic sebagai warna standard. Warna tambahan yang lain juga termasuk pilihan Option 719 Aluminium serta Option 719 Night Black Matte/Aluminium Matte.

BMW R nineT Pure baharu disediakan dalam warna Teal Blue Metallic Matte serta Mineral Grey Metallic. Akhir sekali, BMW R nineT Scrambler baharu ditawarkan dalam warna Kalamata Metallic Matte.

BMW R NineT

BMW R NineT Pure

BMW R NineT Scrambler

Ducati Nightshif 2021 ‘mendarat’ di Malaysia, harga cuma RM65,900!

DUCATI Scrambler Nightshift secara rasmi berjaya ‘mendarat’ di bumi Malaysia.

Terdapat beberapa perbezaan ditampilkan pada model 2021 ini terutama melibatkan bahagian komponen tertentu.

Menggunakan sentuhan tona warna lebih gelap iaitu Aviator Grey, Ducati tidak dinafikan berjaya menyerlahkan sisi ‘jahat’ Scrambler Nightshift ini.

Foto ihsan Ducati

Enjin Scrambler Nightshift

Scrambler Nightshift menggunakan enjin L-Twin 803 cc dengan transmisi enam kelajuan.

Ia mampu menghasilkan 73 kuasa kuda pada 8,250 rpm dan 66.2 Nm tork pada 5,750 rpm.

Enjin ini juga telah mendapat pengiktirafan serta menepati tahap emisi Euro 5.

Sistem suspensi dan brek

Ducati menggunakan suspensi daripada Showa bagi model Scrambler Nightshift 2021.

Penggunaan fork 41 mm di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban pada bahagian belakang memberi jaminan tunggangan lebih meyakinkan.

Selain itu, model ini juga dilengkapi brek unit cakera 330 mm dengan angkup empat piston di hadapan serta 245 mm dengan angkup satu piston di belakang.

Apa yang lebih mengujakan, ia turut dilengkapi dengan sistem Cornering ABS!

Foto ihsan Ducati

Ciri-ciri menarik lain Scrambler Nightshift

Keselesaan penunggang dan pembonceng menjadi keutamaan bagi Ducati.

Justeru, model ini menyaksikan penggunaan tempat duduk jenis rata yang selesa untuk dinaiki dua orang.

Sementara itu, Ducati juga menggunakan pemegang lebih lurus yang diambil daripada Scrambler 1100 Sport Pro.

Penggunaan cermin sisi cafe racer, lampu siang LED serta rim spoked 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang menyerlahkan lagi rupa paras model ini.

Anda yang berminat untuk memiliki sebuah Scrambler Nightshift boleh mendapatkan ia di pasaran sekarang pada harga RM65,900 (tidak termasuk insurans).

Foto ihsan Ducati